>
TUAI PADI ANTARA MASAK, ESOK JANGAN LAYU-LAYUAN, INTAI KAMI ANTARA NAMPAK, ESOK JANGAN RINDU-RINDUAN...

Thursday, September 23, 2010

Bicara Buat Angah..... (Doa dan Harapan Seorang Ibu)


Angah....
puteraku, jantung hatiku
apabila Angah jatuh sakit tiba-tiba begini
rasa bersalah bersarang di dada Umi
kerana tidak menatangmu sepenuh hati
perhatian kepadamu kuabaikan
demi tugas, keluh kesahmu kutolak ke tepi

Saat Umi sedari
segalanya sudah terlambat
tubuhmu panas bagai bara yang membakar
dirimu tenat nyawamu di hujung tanduk

Kini
Angah terlantar di katil PICU
sekujur tubuh Angah dipenuhi wayar berselirat
hancur luluh hati Umi, hati seorang ibu
melihat keadaanmu begini, puteraku
maafkan Umi, sayang

Air matalah teman Umi kini
Umi tak putus-putus berdoa untuk kesihatan Angah
saban hari Umi meneliti dan menyentuh seluruh tubuhmu yang kaku
Umi usap dan belai rambutmu
Umi bisikkan doa dan kata-kata semangat

Engkau mesti kuat, puteraku
lawanlan penyakitmu
engkau mesti sembuh, cahaya mataku
kuatkan semangatmu
engkau mesti sihat, sayangku
demi kami semua yang amat menyayangimu

Kau harus bangun, puteraku
kau harus  berdiri  dan berlari  gagah
kerana kepadamu kusandarkan cita-cita yang melangit
agar kau bisa jadi anak yang solleh dan bertaqwa
yang akan mengusung jasadku ke liang lahad

Janji Umi kepadamu, sayangku
perhatian terhadapmu dan putera-puteriku yang lain
tak akan pernah Umi abaikan lagi
inilah janji Umi, janji seorang ibu
diiringi doa dan harapan






Terima kasih kerana sudi membaca entri saya. Jika suka, silalah LIKE.

2 comments:

  1. Salam che nik.
    Ni masa angah sakit dulu kan? Tahun bila dah?
    Alhamdulillah, sekarang angah dah sihat kan?
    Kirim salam pada dia, semoga ujian yang Allah berikan ini,
    sebagai kaffarah dosa dan mengajar kita semua suatu pelajaran yang sangat penting.

    Semoga Allah limpahkan kesejahteraan buat Che Nik sekeluarga, ameen :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. waalaikumsalam..ya, ini masa angah sakit dulu,tahun 2008,,insya-Allah..

      Delete