TUAI PADI ANTARA MASAK, ESOK JANGAN LAYU-LAYUAN, INTAI KAMI ANTARA NAMPAK, ESOK JANGAN RINDU-RINDUAN...

Friday, September 24, 2010

Dalam Memori.....Allahyarham Mohd Ismahdi bin Yazid

           
        Catatan ini khusus untukmu anak didikku. Catatanku ini kutulis dalam derai air mata, setelah aku mendapat perkhabaran tentang pemergianmu mengadap-Nya buat selama-lamanya....

           Allah telah menentukan pertemuan kita di kelas 4 Perdagangan 1 2008.....kau seorang antara anak didikku yang agak nakal, sentiasa ponteng kelas, tak pernah menyiapkan latihan dan tak pernah menghantar buku latihan.  Tiada apa-apa yang istimewa tentang dirimu di mataku. Namun begitu, sebagai guru, aku cuba mendekatimu dengan cara halus.  Aku melayan karenahmu dan rakan-rakanmu di dalam kelas dengan cara dan gaya seorang ibu.  Aku banyak berdiplomasi denganmu dan rakan-rakanmu, namun sesekali aku memuntahkan juga amarahku apabila caraku tidak kauhargai.  Aku membebel, menjegilkan mata dan menjerit sesekala apabila suaraku terbenam dalam keriuhan dan kebisingan kau dan rakan-rakanmu.  Sesekali aku merajuk, namun rajukku tidak berpanjangan kerana karenahmu dan rakan-rakanmu menggeletek hatiku.  Setiap pelajar lelaki di kelasmu kuberikan nama gelaran yang 'glamor'.  Engkau tak terkecuali.  Kupanggil dirimu dengan nama "DIDI", namun kau tak menyukainya kerana bagimu, nama itu mirip nama perempuan.  Semakin kau tidak menyukai nama itu, semakin aku memanggil dirimu dengan nama itu.  Aku tergelak kecil apabila kau mencebikkan bibirmu, tanda protes dengan gelaran itu.

            Pertengahan tahun 2008, kau mula berubah sikap.  Perubahan sikap yang positif.  Kau tidak lagi ponteng kelas waktu BM.  Kau mula menunjukkan minat untuk belajar.  Kau tekun mengikuti pengajaranku di dalam kelas.  Kau mula rajin membuat latihan yang kuberi.  Kau lulus subjek BM dalam Ujian 2 tingkatan 4.  Aku teruja dengan perubahan sikapmu.  Aku juga bangga akan dirimu.  Aku sentiasa memujimu di dalam kelas menyebabkan rakan-rakanmu mengusikmu kerana engkau mula menjadi kesayanganku.

             Lewat tahun 2008, kau mula menghilangkan dirimu dari kelas.  Mulanya aku bertanya juga tentang dirimu kepada rakan-rakanmu, namun jawapan mereka mengecewakanku.  Aku hampa kerana perubahan sikapmu hanya seketika.  Kemudian aku sudah tidak begitu kisah lagi dengan ketidakhadiranmu di kelas kerana kukira engkau sudah hanyut dan memang sudah tidak berminat untuk bersekolah, atau mungkin juga engkau telah digantung persekolahan.  Sejak itu, ketiadaanmu di kelas tidak lagi memberi apa-apa kesan kepadaku. 

            Pada penghujung tahun 2008, engkau muncul kembali di dalam kelas.  Engkau bersongkok sepanjang masa, dan kepalamu botak! Pertama kali aku menegurmu di dalam kelas.

          " Eh, Ismahdi, long time no see! Awak pergi ke mana selama ni? Awak kena gantung sekolahke? Tup-tup datang dengan fesyen kepala botak pulak!"

            Kau hanya tersengih memandangku.  Tiada sebarang jawapan daripadamu.  Selang beberapa hari kemudian, kau hilang lagi.  Aku jadi malas untuk bertanya tentang dirimu lagi. " Ah, lantaklah...", tetapi naluriku tetap ingin tahu. Aku bertanya tentang dirimu kepada salah seorang rakanmu. 

           "Cikgu, dia sakitlah...." 
          "Sakit? Sakit apa?" 
       "Madi sakit kanserlah cikgu.  Kepala dia botak sebab dia buat kemoterapi." 

             Aku terkedu.  Ya Allah, macam mana aku tidak tahu bahawa anak muridku sakit kanser? Keadaan fizikalmu tidak langsung memperlihatkan bahawa engkau sedang menderita sakit.  Kejamnya aku kerana pernah menegur keadaan kepalamu yang botak dengan sindiran.  Sejak itu aku sentiasa bertanya khabar tentang dirimu daripada rakan-rakanmu.

            Awal tahun 2009, kau hadir ke sekolah.  Kau tetap ceria walaupun hakikatnya kau menderita sakit.  Aku mula bertanya khabar tentang penyakitmu.  Kau menafikan bahawa kau menghidapi kanser.  Aku jadi sebak.  Kini kaumenjalani kehidupan seorang pelajar seperti biasa.  Kau semakin tekun belajar.  Aku gembira dengan perubahanmu.  Aku berdoa agar kau dipanjangkan usia dan sembuh daripada penyakitmu.

          Pertengahan Mac, kau tidak hadir ke sekolah.  Apabila aku bertanya tentang dirimu kepada rakan-rakanmu, mereka mengatakan bahawa kau tidak sihat dan berada dalam keadaan lemah di rumah.  Hari itu hari Jumaat, aku pergi ke rumahmu untuk menziarahimu, namun abangmu memberitahuku bahawa kau berada di wad hospital Ampang.  Hari itu aku tidak sempat menziarahimu di hospital.  Keesokkan harinya, baharulah aku berkesempatan dan berpeluang menziarahimu di hospital.  Apabila aku tiba di wad dan menemuimu di katil, kau kelihatan malu-malu.  Walau apapun, kau kelihatan sihat.  Ibumu menjelaskan kepadaku bahawa engkau tertunggu-tunggu kedatanganku setelah dikhabarkan oleh abangmu tentang kedatanganku ke rumahmu semalam.  Setiap pelawat yang datang, kau mengharapkan aku, dan apabila menyedari pelawat itu bukan aku, kau berasa hampa.  Itu cerita ibumu kepadaku.  Aku merupakan pelawat pertama dari sekolah yang menziarahimu.  Dalam diam, kau menghubungi rakan-rakanmu untuk memberitahu kedatanganku.   Ibumu dan aku berbual panjang, tentang penyakitmu, tentang keluargamu, tentang ragammu dan segala-galanya.  Kau hanya tersipu-sipu mendengar.  Rupa-rupanya kau anak manja, anak emak. Ibumu bercerita lagi bahawa kau akan berasa sedih dan merajuk apabila ibumu tidak menemani malammu di hospital. 

             "Cikgu, saya ada bagitahu Madi, masa dia sakit, sayalah yang jaga dia, tapi kalau saya sakit, siapa akan jaga saya? Madi jawab, emaklah jaga diri emak sendiri. " 

             Aku sedih dan kesal apabila mendengar cerita ibumu. 

           "Tak baik awak jawab macam tu, Madi. Awaklah yang sepatutnya jaga emak awak kalau emak awak sakit.  Emak awak bersusah payah mengandungkan awak dan melahirkan awak, membesar dan mendidik awak, tapi kalau dia sakit, awak tak nak jaga emak awak?" 

            Engkau berdiam cuma.  Ibumu juga memberitahuku bahawa engkau mahu menangguhkan peperiksaan SPM pada tahun hadapan.  Aku bersetuju.  Setelah lama berbual-bual denga ibumu, aku meminta diri untuk pulang.

           Setelah beberapa minggu berada di hospital menjalani kemoterapi, kau muncul kembali ke sekolah.  Kau kelihatan sihat dan aktif.  Hari Khamis, seminggu sebelum pemergianmu, kau menemuiku untuk memberitahuku bahawa kau tetap akan mengambil peperiksaan SPM pada tahun ini juga kerana kau telah sihat.  Kau juga meminta buku nota Komsas daripadaku untuk membuat ulangkaji.  Katamu, buku yang sama yang pernah engkau beli daripadaku telah hilang.  Aku tak kisah.  Apabila aku kembali ke mejaku di bilik guru, aku terus mencari lebihan buku nota itu untuk kuberikan kepadamu.  Alhamdulillah, tinggal sebuah lagi buku nota itu dalam simpananku.  Terus kuambil buku itu dan kuletakkan di atas mejaku supaya aku tidak terlupa untuk menyerahkan kepadamu pada hari Isnin berikutnya.  Hari Isnin, Selasa dan Khamis, aku tidak melihat kelibatmu di kelas.  Mungkin kau tidak sihat, getusku sendiri.    Hari itu hari Jumaat, semasa aku makan di kantin pada awal pagi, aku diberitahu oleh seorang guru bahawa egkau telah pergi untuk selama-lamanya.  Aku terkedu dan sebak.  Lututku terasa lemah. Innalillah hiwarajiin... Engkau pergi jua akhirnya, Madi  pada pagi hari yang barakah.  Apabila aku kembali ke mejaku di bilik guru, aku menangis mengenangkanmu.  Aku tidak menyangka, secepat itu engkau pergi.  Kini baharulah aku faham akan jawapanmu kepada ibumu apabila dia bertanya siapa yang akan menjaganya jika dia sakit.  "Emaklah yang jaga diri emak sendiri."  Memanglah engkau tidak dapat menjaga ibumu kerana engkau telah pergi terlebih dahulu daripada ibumu.

              Ismahdi, aku sedekahkan al-fatihah kepada rohmu dan doaku agar rohmu ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang soleh di sisi-Nya.  Amin, Amin Ya Rab'bal Al'amin.

Nama                       : Mohd Ismahdi bin Yazid (1992-
                                  2009)
Keturunan                :  Melayu
Agama                     :  Islam
Pendidikan Rendah   :  SK Taman Tasik
Pendidikan Menengah   :  SMK Taman Tasik
Sebab Kematian           :  Cancer Lymphoma








No comments:

Post a Comment