>
TUAI PADI ANTARA MASAK, ESOK JANGAN LAYU-LAYUAN, INTAI KAMI ANTARA NAMPAK, ESOK JANGAN RINDU-RINDUAN...

Friday, June 17, 2011

Seorang Lelaki Tua Itu... (Kisah Benar Sempena Hari Bapa)

Gambar Hiasan

Semalam
aku didatangi seorang lelaki tua
berwajah lesu
bertubuh kering
memaut pagar besi rumahku

Kutanya... kenapa pakcik ?
jawabnya...Anak, pakcik  nak minta derma ikhlas
nak buat tambang balik ke Melaka
baju lusuh disingkap
menunjukkan jahitan di perut yang baru dibedah

Hati kecilku dipagut hiba
lalu aku mengorek  rahsia
cuba mengerti derita si tua
bibir kering itu mula bercerita
dan matanya mula berkolam
berkisah tentang nasib dirinya
yang punya dua puteri
namun hidupnya sebatang kara
hanya berteman rindu pada arwah isteri
di rumah usang di negeri Melaka

Dua puteri bersama suami tercinta
jauh di perantauan
entah apa khabar mereka
si ayah menderita tak pernah bertanya  

Betapa dirinya
lelaki tua itu
meredah malu 
menyisih maruah
memberi salam dari rumah ke rumah
meraih simpati
mengharap belas
meminta harga sebuah tambang
untuk kembali ke rumah usang

Ya Tuhan
kenapa begini malang nasibnya
lalu wang kertas RM10 berpindah tangan
ucapan terima kasih tak putus-putus
dan dia beredar
perutnya ditahan
jalannya mengengsot
mengheret kaki
mengintai pula ke rumah sebelah

Apa dayaku
untuk melakukan yang lebih
sekadar membiarkannya pergi
kutahan sebak di dada
amarah dan kesalku bersatu
terhadap dua puterinya
anak-anak tak mengenang budi
membiarkan si ayah menderita sendiri...

Abah...
janjiku...
nasibmu akan kubela
biarpun nyawaku galang gantinya
tak akan kubiarkan dirimu seperti lelaki tua itu
hidup melarat  menagih simpati pada yang lain
walau punya zuriat sendiri....





Terima kasih kerana sudi membaca entri saya. Jika suka, silalah LIKE.

No comments:

Post a Comment