>
TUAI PADI ANTARA MASAK, ESOK JANGAN LAYU-LAYUAN, INTAI KAMI ANTARA NAMPAK, ESOK JANGAN RINDU-RINDUAN...

Sunday, April 29, 2012

Dari Kaca Mata Seorang Pendidik....




Assalamualaikum…

                       Entah kenapa hari  ini tiba-tiba saya rasa terpanggil untuk menulis tentang ‘isu politik’.  Seperti mana anda semua tahu bahawa saya bukanlah seorang ahli politik dan tiada potensi langsung untuk  menjadi seorang ahli politik, kerana saya sendiri tidak berminat langsung untuk bercakap soal politik.  Pada saya, dunia politik kini terlalu kotor, penuh dengan helah dan pembohongan.  Semua parti politik mempunyai agendanya yang tersendiri. Jangan samakan politik zaman Rasulullah dan para sahabat dengan politik sekarang. Politik zaman Rasulullah dan para sahabat berbeza; bersih dan telus, berjalan seiring dengan penyebaran agama Islam yang suci. Walau bagaimanapun, saya yakin saya ialah seorang warganegara yang bertanggungjawab kerana saya menjalankan hak saya dengan sebaiknya, iaitu saya tidak pernah ketinggalan mengundi. Siapa yang saya sokong atau pangkah,  biarlah itu menjadi rahsia saya sendiri.  Tidak perlu saya hebahkan kepada sesiapa pun, hatta kepada suami saya sendiri, kerana saya berpegang pada prinsip ‘undi itu adalah rahsia.’   Yang penting, saya menyokong Islam.

       Saya tidak berpihak kepada parti politik atau individu, tetapi saya berpihak kepada kebenaran.    Saya cinta akan keamanan dan saya benci  akan pepecahan dan keganasan.  Senario politik sekarang begitu menakutkan saya.  Akibat fahaman politik yang berbeza, bangsa seagama berpecah dan  berbalah sesama sendiri,  saling memfitnah ,  mengata, mencaci, memaki dan sebagainya.  Kadang-kadang para penyokongnya yang ‘lebih sudu daripada kuah.’  Contoh yang amat ketara adalah apabila saya melayari facebook, banyak status daripada rakan-rakan facebook saya yang menyokong parti politik pilihan mereka dan memaki hamun parti politik bukan pilihan mereka.  Perhimpunan BERSIH 3.0 merupakan peristiwa yang menjadi titik tolak kepada kejadian mencaci dan mengata sesama sendiri.  Masing-masing   mengeluarkan  kenyataan, siap dengan video klip untuk menghentam pihak lawan. Memanglah saya tiada hak untuk menghalang, kerana mereka berhak menulis dan mengeluarkan kenyataan mereka sendiri di laman facebook, tetapi yang saya kesalkan ialah berlaku tikam-menikam lidah antara satu sama lain, sehingga terkeluar perkataan-perkataan kesat akibat terlalu emosional.  Saya hanya mampu mengeluh melihat senario ini.  Tidak ketinggalan ialah pelajar-pelajar saya sendiri.  Mereka begitu beremosi apabila mengeluarkan kenyataan. Paling menyedihkan saya ialah mereka masih bergelar pelajar.  Sayangnya, dalam peperiksaan, mereka tidak mampu pun menjawab soalan peperiksaan dengan baik, tetapi begitu berapi-api menulis kenyataan dan komen masing-masing di facebook tentang perhimpunan BERSIH semalam.   Jika saya tidak bersetuju pelajar ikut berdemostrasi, bukanlah bermakna saya menyokong pihak yang mengharamkan perhimpunan itu.  Saya tidak bersetuju pelajar ikut berdemostrasi  kerana saya mempunyai alasan saya sendiri. Pada saya, tanggungjawab setiap mereka yang bergelar pelajar itu ialah belajar.  Itu juga dikira sebagai menanggung amanah. Pelajar yang ikut berdemostrasi sebenarnya hanya terpengaruh  dengan emosi.  Jika anda bijak dan betul-betul mahu mengubah kerajaan, kenapa mengambil risiko untuk dibuang kolej atau universiti atau mengalami kecederaan?  Bukankah anda sudah tahu risikonya jika anda turut berdemostrasi?  Jika anda benar-benar bijak, habiskan dahulu pengajian anda dengan keputusan yang  cemerlang, kemudian bekerja untuk menyara ibu bapa dan keluarga (kerana itu ialah suatu kewajipan seorang anak), kemudian barulah menyertai parti politik pilihan anda secara sah.  Selepas itu, anda berjuanglah  hingga ke titisan darah terakhir mengikut saluran yang betul, pasti tiada sesiapa pun yang berani menyentuh anda dan  sudah semestinya suara anda akan didengar. Lagi satu, jangan lupa mengundi sebaik sahaja anda layak mengundi.
         
      Mungkin sesiapa yang membaca tulisan saya akan menuduh saya  sebagai penyokong parti A atau parti B, terpulanglah, saya tidak kisah. Saya sekadar memberikan pendapat saya dari kaca mata seorang pendidik.  

        Seperkara lagi, saya juga ada  membaca beberapa status dan komen rakan-rakan facebook saya yang cuba menasihati orang lain ke arah kebaikan.  Bagus, tetapi yang membuatkan saya tidak berkenan ialah mereka menggunakan kata-kata yang keras, menghukum, menghentam, menyindir, mengejek dan merendah-rendahkan orang yang dinasihati. Mungkin mereka berasa diri merekalah yang terbaik. Pada pandangan saya, perkataan yang digunakan oleh mereka itu memperlihatkan diri mereka angkuh dan sombong.  Kalau begitu caranya, orang pasti tidak mahu mendengar, malah akan berasa meluat terhadap mereka.  Pada saya, jika kita hendak berdakwah atau menasihati, gunalah cara dan perkataan yang berhemah, lembut tetapi mampu meresap   ke dalam hati orang yang dinasihati.  Contohilah cara Rasullulah berdakwah.  Walaupun, Rasulullah merupakan kekasih Allah, namun baginda tidak pernah  mencaci dan mencerca orang yang didakwah.  Saya pernah cuba menegur cara mereka dengan lembut, tetapi saya pula dituduh menyokong pihak yang satu lagi.  Sekali lagi saya tegaskan, saya tidak menyokong atau berpihak kepada mana-mana individu, tetapi saya  berpihak kepada kebenaran.
Wallah hua’lam…





Terima kasih kerana sudi membaca entri saya. Jika suka, silalah LIKE.

Saturday, April 28, 2012

Zalimkah Cikgu?


Assalamualaikum...


           Sudah banyak kali cikgu pesan, sudah banyak kali cikgu ajar, sudah berbuih mulut cikgu cakap….tapi awak semua masih buat acuh tak acuh, ambil mudah dan tidak ambil 'pot'.  Apabila cikgu membebel, awak semua hanya insaf sekejap, selepas itu balik kepada sikap asal. Cikgu agak kecewa…. cikgu takut sebenarnya.  Takut sekiranya sejarah hitam berulang kembali jika awak semua masih tidak mahu berubah.   Jangan sampai hati kecil cikgu boleh meramalkan siapa yang bakal kecundang  nanti.  Jangan sampai cikgu terpaksa redha sahaja dengan sikap acuh tak acuh awak.  Jangan sampai cikgu kata, “ memang patutlah awak gagal, kerana usaha awak juga sedikit.”   
       
           Mungkin kerana cikgu tidak cukup tegas dan tidak cukup garang, maka segala pesanan dan nasihat cikgu awak tak nak ikut? Mengapa susah sangat awak nak jadi pelajar yang taat?  Semalam cikgu sudah pesan, cikgu akan denda  sesiapa yang tidak boleh melengkapkan jadual konsonan, keratan rentas vokal dan keratan rentas diftong hari ini.  Oleh itu cikgu suruh awak semua bersedia dan membuat ulangkaji sampai awak ingat pada sebelah malamnya.  Hari ini, apabila cikgu masuk ke kelas, awak semua tidak bersedia secukupnya.  Nah, separuh daripada awak tidak dapat melengkapkan jadual konsonan.  Apabila cikgu bertanya sama ada awak membuat ulangkaji pada malam tadi, ada antara awak jawab, “buat sikit-sikit.”  Jadi kalau awak membuat ulangkaji sikit-sikit, maka awak akan ingat sikit-sikit jugaklah. Cikgu terpaksa kotakan kata-kata cikgu, dan awak terpaksalah menerima hukuman, iaitu berdiri di atas kerusi. 

          Cikgu tahu dan cikgu cukup sedar, awak semua sudah besar, sudah tingkatan enam, dan  tidak layak untuk didenda berdiri, apatah lagi berdiri di atas kerusi, tapi cikgu terpaksa bertegas.  Kalau cikgu tidak bertegas seperti itu, awak  masih tidak mahu menghafal jadual konsonan  tersebut.  Kalau awak semua tidak ingat jadual konsonan, maka awak tidak dapat menjawab soalan-soalan yang berkaitan dengannya. Seperti yang cikgu jangka, akan ada antara awak yang mengalirkan air mata.  Ternyata, jangkaan cikgu tepat.  Maafkan cikgu, pelajar kesayangan cikgu semua.  Cikgu terpaksa bertindak zalim demi kejayaan awak.  Maafkan cikgu sekali lagi.  Kalau selepas ini, rasa sayang awak akan bertukar menjadi benci terhadap cikgu, cikgu tak kisah.  Cikgu sudah biasa dibenci oleh pelajar.  Cikgu sudah lali.   Yang penting, semoga suatu hari nanti, awak akan mengerti sebab cikgu bertindak zalim terhadap awak sekarang.   Semoga...Insya-Allah... 
  

Terima kasih kerana sudi membaca entri saya. Jika suka, silalah LIKE.

Tuesday, April 24, 2012

Perlukah Menguar-uarkan Kehebatan Diri Untuk Menjadi Cemerlang?


Asssalamualaikum….

       Semasa saya menjalani kursus minggu lepas, saya telah bertemu dengan 'seseorang'.

    “Saya guru cemerlang DG 54…” jelas 'seseorang' itu apabila saya bertanya kepadanya sebab beliau mahu berpindah sekolah. 

        Saya terpinga-pinga seketika.

        “Hmm….saya nak pindah rumah sebenarnya.” Beliau menyambung kata-katanya dalam ketawa kecil.

         Saya sekadar tersenyum. 

     Selepas itu saya mendengar lebih banyak cerita daripada beliau tentang perkara yang telah dilakukan beliau.   Saya amat mengagumi beliau, tetapi terdetik di hati saya, perlukah kita bercerita tentang kelebihan diri sendiri kepada orang lain secara berlebihan? Apa rasionalnya?  Tidakkah perbuatan itu dianggap riak dan bangga diri? Rakan sebilik saya ada juga bercerita kepada saya bahawa 'seseorang' itu tidak begitu disenangi oleh rakan-rakan di daerah beliau kerana beliau suka 'mengangkat' diri sendiri apabila bercakap.   Saya seperti bersetuju pula dengan cerita rakan sebilik saya, kerana saya juga berpendapat yang sama  setelah mendengar taklimat daripada 'seseorang' itu. Walau apapun, beliau sememangnya hebat.

      Setelah pulang dari berkursus, saya bertanya kepada salah seorang rakan sekerja saya tentang perkara ini semasa berbual-bual dengannya.

    “Memang kita perlu mengangkat diri sendiri untuk menjadi cemerlang.  Jika kita tidak berbuat demikian, orang lain tidak akan mengetahui kelebihan diri kita, tidak nampak perkara-perkara hebat yang telah kita lakukan, jadi susahlah orang nak bagi kita cemerlang,”   jawab rakan sekerja saya sambil tersenyum.

       “Ohhh…macam tu ke?”  Saya jadi keliru. Kemudian saya mengulang baca mutiara kata oleh Ibnu Ahmad al-Khuraiwi yang saya tulis di side bar  di sebelah kiri blog saya ini.  Wallahhua’lam… 

Terima kasih kerana sudi membaca entri saya. Jika suka, silalah LIKE.

Monday, April 23, 2012

Muhasabah Diri : Kerana Mulut...

Assalamualaikum....

Gambar Hiasan
               Memang sudah menjadi lumrah manusia, suka menjadi yang pertama dalam segala hal.  Mahu menjadi isteri pertama, mahu menjadi yang pertama mencipta rekaan terbaharu,  mahu menjadi yang pertama mengetahui sesuatu berita sensasi,  mahu menjadi yang pertama yang menyampaikan berita sensasi, mahu menjadi yang pertama yang mengucapkan tahniah dan takziah, dan segala macam yang pertama lagi.  Baguslah…tetapi awas, kadang-kadang yang pertama itulah yang menjadi penyebar fitnah!!!

         Kadang-kadang fitnah (berita yang tidak benar) itu disebarkan oleh golongan manusia yang bukan berniat untuk memecahbelahkan, sebaliknya  dia sekadar mahu memberitahu masyarakat bahawa dia tahu segala-galanya dan menjadi yang pertama yang mengetahui  segala-galanya,  walaupun sebenarnya berita itu adalah tidak benar atau telah ditokok tambah dengan pelbagai perisa untuk menyedapkan jalan cerita agar kedengaran lebih “happening”.  Kesannya, maruah diri mangsa fitnah pasti  akan tercalar kerana dipandang serong oleh masyarakat. Apa daya mangsa fitnah untuk membela dirinya sendiri kerana cerita tentang dirinya dijaja di luar pengetahuannya.

              Fenomena atau gelaja suka menjaja cerita yang tidak benar kesahihannya (fitnah)  berlaku di mana-mana sahaja dalam masyarakat, baik di kampung, di bandar, dalam masyarakat kelas atasan, sederhana dan bawahan.  Akan wujud golongan penglipurlara yang bertindak sebagai tukang cerita, berbisik ke telinga seseorang ke seseorang yang lain, kemudian siap berpesan, “jangan bagitahu orang lain tau...” Yang mendengar pula berbisik pula kepada yang lain, juga siap dengan pesanan yang sama, “jangan bagitahu orang lain tau”…dan akhirnya fitnah tersebar seluas-luasnya.

“Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa…”

       Itulah peribahasa Melayu dahulu kala yang masih terpakai hingga kini, memberi peringatan dan pesanan kepada sesiapa sahaja agar mengawal lidah daripada berkata sesuatu yang bakal merosakkan diri sendiri dan juga orang lain. 

“Jagalah lidahmu agar tidak berkata yang sia-sia, kerana perkataan yang sia-sia itu menjurus diri kepada fitnah dan umpatan….”


"Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

       Potongan hadis di atas membenarkan  peribahasa Melayu tersebut. Petang tadi sebelum terlelap menunggu azan asar, saya terfikir-fikir tentang peristiwa yang telah berlaku di tempat kerja saya. Peristiwa  tersebut membuatkan saya bermuhasabah, memberi peringatan kepada diri sendiri bahawa   fitnah boleh memberi kesan yang besar kepada  diri dan masyarakat, iaitu menghilangkan kepercayaan orang lain terhadap diri sendiri  serta mengaibkan seseorang hingga boleh mewujudkan perbalahan dan perpecahan.

        Apabila saya memuhasabah diri, rasanya lebih baik saya duduk sahaja di dalam bilik kerja saya, dan melakukan kerja-kerja saya sendirian, kerana hal itu dapat mengelakkan saya  daripada mendengar cerita-cerita yang tidak benar dan turut menyebarkan fitnah.  Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa saya yang lepas.  


"Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah  kepada sesuatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu." (Surah 49, Al-Hujurat :6)


"Lebih baik berdiam diri daripada berkata yang sia-sia." 
"Dosa menyebarkan fitnah itu lebih besar daripada  dosa membunuh seorang manusia."
Wallah hua’lam….  


Terima kasih kerana sudi membaca entri saya. Jika suka, silalah LIKE.

Wednesday, April 18, 2012

Kenapa Mesti Begini?


“susahnya nk lupe kan kau. klau aku dngar lagu-lagu yang kau bagi kad aku dulu, aku ingat kad kau. time kita knal date sume lhaaa, sweet sngad sngad.  ha ha…aku ingad lagi time kita jmp, aku pena tampar kau… hahaha… siot jeh...he he...klau boleh aku nk putar balik masa. aku nk bersama kau balik. aku nk kau.  aku jealous time kau kata sayangs kad Hi****h. hati aku sakit sngad. kau mana thau, aku sayangs kau keh tak. yang kau thau aku nieh b***n.  tapi aku tk macam yang kau sngka. aku sayangs sngad sngad kad kau. aku nk kau balik. Ya allah, kuat kan lhaa hati ku nieh. ya Allah. aku seorang insan yang lemah.”

          Saya termenung seketika setelah membaca status seorang rakan facebook saya petang tadi.  Petikan di atas merupakan petikan asal statusnya 100%. Saya hanya mampu mengeluh.  Perasaan saya bercampur baur.  Dua isu besar menerjah otak saya.
  
         Pertama;  Saya berasa sangat sedih dan sangat kasihan akan nasib bahasa Melayu di tangan orang Melayu sendiri.  Huru-hara jadinya bahasa Melayu yang indah.  Saya seorang guru bahasa Melayu, seorang pejuang bahasa, jadi saya  sangat kesal apabila bangsa saya sendiri iaitu bangsa Melayu  menjahanamkan  bahasa yang menggambarkan jati dirinya sendiri. Banyak perkataan dieja dengan ejaan yang salah, mungkin disengajakan, hasil pengaruh bahasa dan tulisan slanga facebook.  

            Pertama kali saya membaca petikan status tersebut, saya tidak memahaminya, tetapi setelah dua kali membacanya dan cuba memahaminya, barulah saya betul-betul faham.  Kenapa mesti jadi begini? Atau rakan facebook saya itu tidak pernah bersekolah, sehingga tidak tahu mengeja perkataan dengan betul?  Siapakah yang bersalah? Tiadakah sekelumit pun perasaan bersalah di hati mereka kerana mengkhianati bahasa sendiri? Saya turut berasa kecewa apabila orang di sekeliling saya menggunakan bahasa Melayu yang salah dan mengeja perkataan sesuka hati mereka, dengan ejaan yang salah dan menggunakan kependekan perkataan sewenang-wenangnya. Apabila saya menegur, jawapan “klise” yang saya terima.  “Saya bukan cikgu BM" atau “nak jimatkan masa dan ruang” dan macam-macam lagi.  Yang paling menyedihkan, apabila saya cuba menegur rakan-rakan dari kalangan guru sendiri, jawapan yang sama yang saya terima.  Apakah bahasa Melayu yang betul ejaannya  hanya layak diguna pakai dalam penulisan  bahasa Melayu sahaja? Atau dalam majlis rasmi sahaja?  Saya tersangat kecewa akan fenomena ini. Saya tidak mampu untuk menggambarkan nasib bahasa Melayu dalam tempoh sepuluh atau lima belas tahun akan datang. Tepuk dada tanya akal…

        Kedua;  Saya terkedu apabila mengenangkan keterbukaan sikap para gadis sekarang.  Terlalu terbuka segala-galanya hingga memperlihatkan kejelekan diri sendiri. Tiada lagi segan-silu.  Harga diri atau maruah diri tercampak entah ke mana.  Merayu bekas teman lelaki  dan menulisnya di dinding peribadi sebagai status,  sehingga menjadi tatapan umum di alam maya. Sangat menyedihkan.  Wahai gadis, ke mana kamu campakkan maruah dan harga dirimu?  Berfikirlah dahulu sebelum menulis sesuatu yang bakal mengaibkan dirimu sendiri.  Janganlah menjadi hamba cinta palsu golongan lelaki. Jangan rosakkan dan injak-injak harga dirimu  sendiri kerana lelaki. Pengakuan jujurmu  itu pasti akan dibaca oleh bekas teman lelakimu dengan sorak gembira. Pasti!!! Rayuanku, tutuplah aibmu sendiri dengan menjaga maruah dirimu, jangan sampai kau kelihatan sangat terdesak mahukan lelaki dalam hidupmu. Fikirlah wahai gadis…

             Fenomena gadis Melayu Islam mempamerkan  foto diri sendiri dalam pakaian seksi dan mencolok mata di laman facebook juga semakin berleluasa.  Antara mereka ialah rakan-rakan facebook saya sendiri yang terdiri daripada gadis-gadis remaja yang masih bersekolah. Lebih mengujakan apabila rakan-rakan mereka dari kalangan lelaki memberi pujian melangit. Makin galaklah si gadis mempamerkan gambar-gambarnya dalam aksi yang lebih menggoda untuk tatapan umum. Saya sebagai guru berasa terpanggil untuk membuat teguran. Saya pernah membuat teguran yang sopan dengan menulis komen pada gambar tersebut, tetapi malangnya komen saya dipadam oleh mereka. Jadi, untuk tidak bersyubahat dengan mereka dalam perkara maksiat, saya terpaksa 'tidak berkawan' dengan mereka. Begitu juga fenomena penggunaan bahasa kesat dalam facebook. Mereka mencarut dan memaki rakan-rakan sendiri, namun disokong oleh 'geng satu kepala'.  Sama seperti tindakan di atas,  saya akan memberi teguran dan nasihat,  Jika nasihat saya dipadam, maka nama mereka akan saya  padamkan  daripada senarai rakan-rakan saya. Zalimkah saya?

               

Terima kasih kerana sudi membaca entri saya. Jika suka, silalah LIKE.

Sunday, April 15, 2012

Tujuh Petala Cinta...

Gambar Hiasan
Tujuh petala cinta
kehebatan cinta tiada tandingan
tulusnya tak mampu dihitung
sucinya tak mampu disukat
rindunya  tak mampu diukur
cinta teragung untuk Sang Pencipta

Tujuh petala cinta
bukan cinta sesama manusia
dambaan cinta hanya untuk Sang Pencipta
bukan sekadar mainan bibir
tapi dari  hati yang terdalam
tak mampu digambarkan
ketaatan  dan ketulusan 
bukti kecintaan
cinta teragung buat Sang Pencipta

Tujuh petala cinta
lambang kudusnya nilai sebuah cinta
cinta hamba buat Sang Pencipta
jiwa dan raga diserahkan
dalam sujud hati merintih
merayu cinta Sang Pencipta



Terima kasih kerana sudi membaca entri saya. Jika suka, silalah LIKE.

Friday, April 13, 2012

Kerdilnya Diri ini...


Assalmualaikum warahmatullahhiwabarakatuh…

         Tatkala melayari  blog orang lain, hati ini terdetik rasa kagum.  Kagum  yang teramat kerana blog mereka cantik dan sangat berinformatif, penuh dengan dakwah-dakwah ke arah kecemerlangan hati dan jiwa dalam usaha menjadi hamba-Nya yang  diredhai. Mereka  merupakan penulis blog dan pendakwah yang terdiri daripada  anak-anak muda  dan ramai juga yang masih remaja. Mereka semua lebih muda daripada saya.  Tiba-tiba terasa diri ini begitu kecil dan kerdil.  Hati tiba-tiba menjadi sayu.  Saya tidak mampu berdakwah seperti mereka.  Begitu cetek ilmu saya berbanding mereka.  Cantiknya dakwah mereka apabila menyelitkan petikan ayat Al-Quran dan hadis. Saya juga ingin berdakwah seperti mereka tetapi saya tidak mampu menulis seperti mereka. Saya hanya mampu berdakwah dengan cara saya, mendidik  diri sendiri terlebih dahulu, kemudian anak-anak saya, kemudian pelajar-pelajar saya di dalam kelas. Betapa kecil ruang lingkup dakwah saya, tetapi hanya itu yang termampu saya lakukan.  Betapa ruginya diri ini kerana tidak bersekolah aliran agama dahulu dan betapa bertuahnya mereka yang pernah bersekolah aliran agama kerana ayat-ayat al-Quran selalu bermain di bibir.
      
      Semakin banyak saya membaca dakwah-dakwah dan motivasi-motivasi di blog orang lain,  semakin saya berasa diri ini serba kekurangan.  Banyak yang perlu saya perbetulkan, bermula daripada niat hinggalah perbuatan saya. Saya bersyukur kerana masih diberi peluang oleh-Nya untuk bermuhasabah  dalam usaha menjadi hamba-Nya yang diredhai, insya-Allah.  Akan saya usahakan agar tulisan-tulisan saya di blog saya ini sedikit sebanyak dapat mendidik mereka yang membacanya dan  menyeru orang ramai ke arah kebaikan  sekadar yang termampu saya lakukan, insya-Allah. 

Terima kasih kerana sudi membaca entri saya. Jika suka, silalah LIKE.

Thursday, April 12, 2012

Aku Kini Bukan Lagi Aku Yang Dulu...


Duhai teman
maafkanlah diri ini
kerana aku kini bukan lagi aku yang dulu
yang  bisa menemani sunyimu
yang selalu menyapamu dari kejauhan
bukan lagi teman yang mendengar keluh kesahmu
namun 
kita tetap berteman
walau tanpa kata
tak pernah lagi bicara

Duhai teman
aku tahu
ku juga maklumi
dirimu berduka
kerana aku kini bukan lagi aku yang dulu
pergi tanpa izinmu
menyepi tanpa alasan
biarlah tak perlu kau tahu
semoga kau mengerti jua nanti

Duhai teman
aku tahu
aku juga mengerti
betapa luluh hatimu
kerana tega aku menghindarimu
meninggalkanmu bertemankan sepi
namun tak daya aku menjelaskannya
semoga kau memahami jua nanti

Duhai teman
maafkanlah diri ini
kerana aku bukan lagi aku yang dulu
hanya kemaafan yang kupinta
jangan ada dendam di hatimu
kerana kita tetap berteman
walau tak seperti dulu
kuiring doa dari kejauhan
moga dirimu bertemu bahagia
yang kaudambakan...


Terima kasih kerana sudi membaca entri saya. Jika suka, silalah LIKE.

Wednesday, April 11, 2012

Kecil, Namun Cukup Bermakna....









10 April 2012. Tarikh yang dinantikan akhirnya tiba jua.  Pada tarikh tersebut, seramai 103  orang pelajar Pra-U dan 13 orang guru pengiring dari kalangan guru  Tingkatan 6 SMKTT telah melawat Galeria Sri Perdana (bekas kediaman Tun Dr. Mahathir Mohamad selama beliau menjawat jawatan Perdana Menteri ke-4) dan Parlimen.  Bukan catatan tentang pengalaman melawat Galeria Sri Perdana dan Parlimen yang hendak dikongsi, tetapi kepuasan yang dirasai apabila puisi Seorang Mahathir gubahan saya sendiri dideklamasikan di foyer Galeria Sri Perdana oleh dua orang pelajar iaitu Nur Syazana bt Mohamad Napis dan Nursofea Iman  bt Ahmad Suffian diiringi petikan gitar oleh Ahmad Syimir Akid bin  Akashah dan Raja Muhammad Adib.  Walaupun persembahan  mereka masih mempunyai kelemahan dari segi penghayatan dan lontaran vokal (kurang menggegar dan bulu roma tak cukup meremang), namun  saya tetap berpuas hati memandangkan  mereka hanya  berlatih sekadar kurang lebih tiga jam sahaja, akibat kekangan masa. Tepukan gemuruh mengiringi persembahan mereka.  Pihak pengurusan Galeria  Sri Perdana begitu mengagumi pelajar-pelajar Pra-U SMK Taman Tasik dan menurut mereka, pelajar Pra-U SMKTT merupakan kumpulan pelawat yang terbaik  dan terhebat yang pernah diterima oleh mereka.  Tahniah untuk Nana, Iman, Akid dan Adib serta semua pelajar Pra-U SMKTT. Setiap orang daripada mereka yang membuat persembahan menerima cenderamata, termasuk saya. Hadiah yang kecil tetapi cukup bermakna kepada saya, sebagai tanda penghargaan daripada mereka. Terima kasih pihak pengurusan Galeria Sri Perdana dan terima kasih  Allah kerana mengurniaiku ilham untuk terus berkarya. 

Terima kasih kerana sudi membaca entri saya. Jika suka, silalah LIKE.

Thursday, April 5, 2012

Sharing Is Caring...

Dari kiri : Yap, Saya, Yus dan Mas...

Assalamualaikumwarahmatullahhiwabarakatuh…
        
         Hari ini  merupakan hari ketiga dan hari terakhir saya berkursus di IPG Pendidikan Teknik, Cheras, Kuala Lumpur.  Nama kursus yang saya hadiri  itu ialah Pelaksanaan Kursus Latihan Guru Bahasa Malaysia Dalam Kursus Jangka Pendek Kelolaan Institusi Pendidikan Guru (KPKI) Tahun 2012 : Komputer Dalam Pengajaran Bahasa Malaysia. (hmmm…bukan main panjang lagi nama kursusnya).  Pada mulanya saya keberatan untuk menghadiri kursus tersebut memandangkan tarikh kursus tersebut (3-5 April 2012) bertindih dengan tarikh sesi fotografi di sekolah saya.  Saya berasa ralat dan berat hati untuk menghadiri kursus bukan atas sebab saya tidak akan ada dalam   gambar nanti, tetapi atas sebab saya merupakan guru penyelaras  majalah sekolah dan orang yang paling  bertanggungjawab untuk mengendalikan sesi fotografi.  Walau bagaimanapun, atas tuntutan tugas, saya menghadiri juga kursus, setelah menjalankan semua kerja-kerja saya yang sepatutnya dan meninggalkan tanggungjawab tersebut kepada penolong saya, iaitu Pn. Hasnani  bt Mahmood yang sememangnya mempunyai pengalaman menerajui sidang redaksi selama sepuluh tahun sebelum saya menggantikan beliau.
          
       Di tempat kursus, saya duduk dalam satu kumpulan  semeja bersama  Pn Yap Nyet Min dari SMK Cheras Perdana, Pn. Yusaniza bt Md Yunus dari SMK Jalan Bukit dan Pn. Maslina bt Zainal Abidin dari SMK Tasik  Permai. Para peserta hadir dan masuk ke bilik kursus iaitu Bilik Bestari tanpa dialu-alukan oleh sesiapa pun.  Setelah hampir satu jam berada di situ sambil bersembang-sembang tanpa berbuat apa-apa, saya mula menyuarakan rasa kesal kepada Yus, Mas dan Yap kerana datang berkursus, namun mereka meredakan saya.   Peserta sudah lama tiba tetapi tiada sesiapa pun yang menyambut kami.  Lama kami bersembang kosong sambil menunggu pihak urus setia masuk.  Walau bagaimanapun, setelah penceramah iaitu Pn. Zaleha Fadzil (pensyarah bahagian  Pengajian Bahasa Melayu) tiba, kami diberi jadual kursus.  Hari pertama biasa-biasa sahaja kerana kami hanya diberi tugasan untuk membina bahan pengajaran menggunakan Program Wondershare.   

         Hari kedua paling menyeronokkan kerana kami diajar membina blog (membina laman web sebenarnya), tetapi sesi pembelajaran kami tidak sempat ditamatkan kerana pensyarah yang mengajar kami membina laman web tidak datang pada hari ketiga kerana beliau mempunyai tuntutan tugas di tempat lain.  Bukan salah beliau sebenarnya, tetapi kami para peserta yang ‘agak lambat belajar’…macam-macam masalah yang timbul, biasalah, orang tua belajar ITkan.  Saya berasa seronok sebab saya sudah pun mempunyai blog sendiri, jadi banyak persoalan yang tersimpan  dalam fikiran saya selama ini yang berkaitan dengan blog saya ajukan kepada En. Rohaizad Agil (pensyarah bahagian Teknologi Maklumat) dan Pn. Pensyarah dari IPG Ilmu dan Bahasa (yang dijemput oleh En. Rohaizad khusus untuk menjawab persoalan-persoalan saya...hehehe) 

         Kalau selama ini saya perasan blog saya sudah cukup menarik, rupa-rupanya blog Antan Bertingkah milik Yusaniza lagi hebat dan cantik serta berinformatif.  Apabila saya melayari blog beliau, perasaan kagum menerjah.  Cantik sungguh blog beliau! Lebih kagum apabila saya mengetahui beliau pakar memasak segala jenis kek dan kuih-muih tradisional.    Tiba-tiba terasa blog saya serba kekurangan. Terasa diri ini begitu kerdil. Bukan dengki tetapi betapa saya mengagumi  beliau dan blog beliau. Apalagi, saya pun bertanyalah kepada beliau cara hendak mendapatkan semua gadjet  yang  menarik yang terdapat  di Antan Bertingkah.   Sebelum ini, bukan saya tidak pernah mencuba untuk mendapatkan gadjet-gadjet tersebut tetapi tidak pernah berjaya, sebab  saya tidak tahu cara yang sebenar.  Hendak merujuk sesiapa, masalahnya, tiada sesiapa pun  di sekolah saya yang mempunyai blog (atau saya yang tidak tahu), jadi sekadar melayari blog anak saudara saya, Mengejar Cinta-Mu milik Dr. Nur Farah Aisyah bt Nazim dan blog-blog penulis lain.  Saya sudah pun beberapa kali cuba mengeklik pada gadjet-gadjet tersebut, tetapi gadjet-gadjet itu tidak mahu keluar di blog saya. Kecewanya!    Jadi, saya banyak bertanya kepada Yus dan dengan senang hati Yus mengajar saya.  Allah telah membaca hati saya selama ini, dan Allah telah mempertemukan saya dengan orang yang tepat, iaitu Yusaniza bt Md Yunus. Terima kasih Allah dan terima kasih Yus. (hehehe…) Tiba-tiba terasa berdosa sebab terbit rasa menyesal  datang berkursus.  Saya tidak lagi menyesal sebaliknya bersyukur kerana terpilih untuk datang ke situ.  Banyak ilmu dan informasi terkini yang saya pelajari.   


       Kalau selama ini KRISTAL BENING merupakan gelanggang untuk saya  menulis, tetapi akan datang, KRISTAL BENING juga akan menjadi medan untuk saya berkarya dalam bidang masak-memasak, macam Antan Bertingkah. Saya pun pandai membuat kek dan memasak jugak, tetapi tidaklah sehebat Yus (ngeee...) Jadi, akan datang, saya juga akan pos gambar-gambar hasil masakan saya yang tidak seberapa di KRISTAL BENING (sebab teruja sangat dengan Antan Bertingkah, itu pun  kalau rajin)  Terima kasih Yus kerana blog Yus mencetuskan idea baharu kepada Kak Zu, dan jangan marah ek sebab banyak meniru gadjet blog Antan Bertingkah. "Sharing is Caringkan"….Saya juga amat teruja dengan wajah baharu KRISTAL BENING (suka….suka…suka). Selepas ini, akan tiba giliran IQRA' untuk saya "upgrade" seperti KRISTAL BENING, insya-Allah. Saya juga bersyukur kerana mendapat kawan-kawan baharu di tempat kursus, terutamanya Yusaniza dan Yap. (Mas sudah saya lama kenal, sejak saya mengajar di SMK Tasik Permai tahun 2002 dahulu).  Terima kasih Yus, Yap dan Mas,  dan terima kasih juga kepada para penceramah, pihak urus setia dan semuanya. 
Insya-Allah akan saya siapkan juga laman web yang baru separuh jalan itu dan  juga wondershare.

Terima kasih kerana sudi membaca entri saya. Jika suka, silalah LIKE.

Sunday, April 1, 2012

Sekadar Renungan...


Assalamualaikum wahai para pembaca budiman. 

               Hari ini saya ingin berbicara tentang kesantunan berbahasa. Kesantunan berbahasa itu perlu untuk mengelakkan salah faham, perasaan tersinggung, menjaga hubungan dan sebagainya. Pada hemat saya, untuk menjadi ibu bapa atau guru yang dihormati  dan disenangi oleh anak- anak atau para pelajar, kita sebagai  ibu bapa atau guru  seharusnya  dapat menyelami hati dan perasaan setiap  anak atau pelajar kita.  Sebagai  ibu bapa atau guru juga, kita wajib menggunakan bahasa yang bersantun terhadap anak-anak dan para pelajar kita, lebih-lebih lagi terhadap mereka yang sudah remaja, kerana mereka cepat tersinggung dengan bahasa yang kita gunakan. Kalau kita sebagai  ibu bapa atau guru tidak mampu menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak atau para pelajar apabila berbahasa, mana mungkin mereka akan menggunakan bahasa yang bersantun seperti yang kita harapkan, maka akan berlakulah situasi bagaimana acuan, begitulah kuihnya dan guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari.

           Terkadang saya berasa amat kesal tatkala mendengar ada guru yang menggunakan bahasa mengejek terhadap pelajarnya. Ada yang menggunakan isu saiz badan untuk memanggil pelajar dengan gelaran yang tidak sepatutnya dalam khalayak.  Apabila ditegur, si guru akan menjawab bahawa dia hanya bergurau dan dengan yakin pula menafikan bahawa pelajar tersebut tersinggung.    

             Setiap manusia yang dilahirkan ke dunia ini, kejadiannya berbeza daripada seseorang dengan seseorang yang lain.  Ada yang cantik, kurang cantik, tidak cantik, langsing, sederhana, gempal, gemuk dan sebagainya. Pendek kata, rupa paras  dan bentuk  badan berbeza daripada seseorang dengan seseorang yang lain.  Sebagai ibu bapa, guru, sahabat dan saudara mara, janganlah menjadikan isu saiz badan    sebagai bahan untuk mendera hati dan perasaan insan di hadapannya, walaupun sekadar gurauan. Jika anda mempunyai hati dan perasaan, mereka yang diejek juga sama seperti anda, punya hati dan perasaan.  

           Saya pernah menerima  sepucuk  surat daripada seorang pelajar saya beberapa tahun yang lepas.  Saya suka sekali memetik beberapa baris ayatnya yang tertulis begini.  

          “Cikgu, terima kasih kerana menerima saya seadanya.  Cikgu merupakan antara guru yang mengajar saya yang tidak pernah mengejek  saya dan tidak pernah memperkatakan  isu bentuk badan saya.  Saya faham, cikgu-cikgu lain yang sering memperkatakan isu bentuk badan saya sebenarnya tidak berniat apa-apa, sekadar bergurau sahaja, namun hati saya tetap terluka”.

             Setelah selesai membaca seluruh isi surat pelajar tersebut, saya termenung.  Betapa di dalam kelas dia kelihatan sungguh ceria dan banyak mulut, namun rupa-rupanya dia tetap tersinggung dengan ejekan yang dilabelkan kepadanya.

           Tidak terkecuali, dalam persahabatan juga berlaku perkara yang sama. Kesantunan berbahasa amat dituntut sewaktu berbicara. Jangan terlalu lancang apabila berkata-kata.  Lihat dahulu dengan siapa kita berbicara, umurnya, pangkatnya dan lain-lain. Dalam situasi yang lain, terkadang kita terpaksa menelan sahaja perkataan rakan-rakan kita yang terlalu sinis, demi menjaga persahabatan.  Amat mendukacitakan apabila mereka terus berbicara sesedap kata, tanpa memikirkan hati dan perasaan kita. Lebih malang, apabila kita tidak mempunyai ruang untuk mempertahankan diri. Jika dibiarkan, perkataan mereka boleh menyebabkan kita makan dalam, tetapi jika ditegur, hubungan pasti menjadi suram.  Jika itu yang berlaku kepada anda, bersabarlah dan berdoalah agar Allah memberi petunjuk kepada mereka, insya-Allah, dan yakinlah bahawa Allah sentiasa bersama orang-orang yang bersabar.    
      

Terima kasih kerana sudi membaca entri saya. Jika suka, silalah LIKE.