>
TUAI PADI ANTARA MASAK, ESOK JANGAN LAYU-LAYUAN, INTAI KAMI ANTARA NAMPAK, ESOK JANGAN RINDU-RINDUAN...

Thursday, May 31, 2012

Gersang...


             
          Anuar  memberhentikan keretanya betul-betul di hadapan pintu  pagar usang  rumah  kampung itu. Kemudian Faridah keluar dari kereta, membuka pintu pagar  seluasnya dan Anuar memandu keretanya masuk ke halaman rumah.  Beberapa minit kemudian, Anuar keluar dari kereta.  Dia  membuka boot belakang kereta dan mengeluarkan beberapa beg  plastik yang tertulis perkataan Tesco. Beg plastik itu berisi barangan dapur dan buah-buahan.  Faridah menyambutnya dari tangan Anuar dan terus masuk ke  dalam rumah.  Tiba-tiba muncul Latifah dari arah dapur, meluru ke arah Anuar. Anuar yang baru sahaja hendak menutup pintu boot keretanya, terperanjat dengan kemunculan Latifah.  Dia benar-benar tidak menyedari  bila waktunya  Latifah berdiri di sebelahnya. Badannya terlanggar badan Latifah tanpa sengaja.  Nafsunya bergetar  dan kelakiannya sedikit melonjak.  Anuar memandang Latifah yang tersenyum simpul di sebelahnya. “Menyampah!”, gerutunya dalam hati.

              “Nuar, ada lagi ke barang yang nak diangkat, boleh akak tolong angkat bawa masuk.”

            Anuar hanya membisu. Dia segera berlalu  masuk ke dalam rumah meninggalkan Latifah di belakangnya.  Latifah berlari anak membuntutinya.  Semasa Anuar  menunduk untuk membuka kasut  di hadapan muka pintu, Latifah memintasnya.  Tiba-tiba dia terasa tangan Latifah mengusap-ngusap punggungnya.  Dia segera menepis tangan Latifah tetapi Latifah terlebih dahulu melarikan tangannya dan terus berlalu dan menyertai Faridah di dapur bersama ibu mentuanya.  Dia memandang Latifah dengan pandangan yang tajam, kemudian  Anuar beredar ke ruang tamu.  Cuaca sejak beberapa minggu ini begitu membahang. Anuar membuka kipas dengan kelajuan paling maksima.  Namun kipas tua yang tergantung di siling ruang tamu rumah ibu mentuanya itu seperti sudah nazak benar.  Terlalu perlahan kipas itu berpusing.  Anuar akhirnya membuka butang kemejanya lalu merebahkan badannya di atas kerusi rotan di ruang tamu.   Dia berbaring di atas kerusi panjang  sambil membaca surat khabar di sisi lalu meneliti setiap berita dengan khusyuk.  Akhirnya, Anuar terlelap di sofa dengan nyenyaknya.
               
         Tiba-tiba Anuar terjaga apabila dia terasa ada tangan sedang merayap di dadanya. Tangan itu mengurut-ngurut dadanya dengan lembut. Dalam keadaan mamai, Anuar  memegang tangan itu.  “Ida?” Tiada jawapan.  Anuar memaksa dirinya untuk membuka mata.  Sebaik sahaja dia membuka mata, dia betul-betul terperanjat kerana di sisinya ialah kakak iparnya, Latifah dan tangan yang dipegangnya  itu ialah tangan Latifah. Kelihatan Latifah sedang tersenyum manis memandang Anuar.  Anuar segera menolak tangan Latifah dari dadanya lalu dia bingkas bangun dan menjauhkan dirinya daripada  Latifah.

                     “Apa ni kak?”  Tinggi suara Anuar menerjah ke telinga Latifah.   Matanya meliar melihat ke sekeliling rumah sambil membutangkan semula kemejanya.  Dia bimbang jika Faridah atau ibu dan bapa mentuanya melihat adegan sebentar tadi. 
                    
                   Latifah membetulkan kedudukannya.  Mukanya kelihatan bersahaja.  Langsung tiada riak bimbang atau malu atau bersalah. 
                     
             “Ni ha, akak bawak ais sirap.  Nuar tentu hauskan?”  Latifah menunjukkan segelas ais sirap di atas meja kopi.  Mata Anuar memandang gelas ais sirap itu.  Ais sirap  merah  itu memang menggoda tekaknya apatah lagi tekaknya memang agak perit dan dia memang sangat  dahaga. Anuar mahu sahaja mencapai gelas ais sirap di atas meja itu, tapi tiba-tiba dia tidak jadi berbuat demikian.
                    
            “Mana Faridah?”  Soal Anuar setelah diamatinya rumah itu agak sunyi.
          
               "Faridah dengan mak pergi  ke rumah kak Ton."

              "Rumah Kak Ton? Buat apa ke sana?   Kenapa dia tak beritahu saya?"
                
             "Tadi mak minta tolong Faridah temankan mak.  Kak Ton kan nak kenduri esok, jadi kak Ton minta tolong mak buat pulut kuning. Faridah  nak beritahu Nuar tadi, tapi Nuar tidur.  Alah, dia pergi sekejap saja tu, bukannya jauh pun.  Sekejap lagi baliklah tu."

                   "Kenapa akak tak pergi sama?"
                  
                 "Akak dah pergi pagi tadi.  Lagipun, kalau semua pergi, siapa pula nak jaga  rumah?"    
                 
                 "Mana ayah?"
             
               "Ayah ke pekan sejak pagi tadi dengan Pak Hamid, pergi  ke pejabat tanah, nak uruskan tanah kat tepi sungai tu."
               
                "Minumlah ais sirap ni Nuar, nanti kalau ais dah cair, tawar pula jadinya, dah tak sedap pula nanti."  Latifah memungut  surat khabar di lantai lalu menyusunnya di atas meja. 
            
               Anuar masih berdiri dan membisu.  Dia sedang memikirkan sesuatu.  Mungkin inilah masa dan saatnya yang sesuai untuk dia berterus terang kepada Latifah. Anuar memandang Latifah di hadapannya.  
               
          “Kenapa Nuar pandang akak macam tu?”  Latifah tersenyum manis.  Senyuman paling manis untuk lelaki idamannya.
              
          “Kak, saya nak cakap sikit dengan akak.” Anuar sebenarnya serba salah untuk memulakan kata-katanya.  Dia bimbang Latifah akan tersinggung, namun inilah peluang terbaik untuk dia meluahkannya, kerana hanya mereka berdua di situ.
               
         "Cakaplah, akak dengar ni." Lembut suara Latifah kedengaran di telinga Anuar.
                  
           "Akak, saya ni adik ipar akak, suami kepada adik akak. Jadi saya rasa segala perbuatan akak pada saya selama ini salah, kak."
                
                 "Akak buat apa pada kau?"
                   
               "Akak tanya saya apa akak buat pada saya?  Akak cuba goda saya!" 
                   
              "Nuar pun sukakan?"

               "Saya tak suka!  Perbuatan akak ni berdosa."

            "Alah, akak tahu, kau pun tak puas dengan Faridah.  Faridah tu asyik semput memanjang.  Faridah tu, sampai sekarang tak beranak-beranak pun. Mengaku sajalah Nuar, apa nak dimalukan dengan akak."
                   
             Anuar terkedu mendengar kata-kata Latifah.

         "Sampai hati akak kutuk adik akak sendiri? Kami tak ada anak sebab belum ada rezeki, kak. Untuk pengetahuan  akak, saya bahagia dengan Faridah."
               
             "Iyalah sangat."

           "Akak, saya beri amaran kepada akak.  Kalau akak cuba goda saya lagi, saya tak akan teragak-agak akan beritahu Faridah hal ini.  Tolong jangan khianati darah daging akak sendiri."
                  
           "Kalau kau berani, cakaplah.  Kalau kau nak tengok rumahtangga kau berantakan, cubalah beritahu Faridah.  Faridah lebih percayakan aku daripada kau, Nuar, sebab aku ni kakak dia."
                   
         Anuar terdiam  mendengar kata-kata amaran daripada Latifah.  Dia tidak menyangka sama sekali, dia pula diugut oleh Latifah.  Memang licik perempuan ni, bisiknya dalam hati.  Anuar terus meninggalkan Latifah yang masih duduk di  ruang tamu.  Dia masuk ke biliknya lalu mengunci pintu dari dalam.  Anuar duduk di birai katil sambil termenung.  Dia mencari akal bagaimana hendak memberitahu Faridah tentang Latifah.  Masalahnya, Faridah sendiri seperti acuh tak acuh dengan sikap kakaknya.  Pernah Faridah terserempak  dengan dia dan  Latifah di dalam bilik stor berdua-duaan.  Waktu itu, dia sedang mencari sesuatu di dalam bilik stor, tiba-tiba Latifah masuk ke dalam bilik stor  itu dan menutup pintu.  Belum sempat dia hendak keluar dari bilik stor itu, Faridah membuka pintu bilik stor kerana mahu  mencari sesuatu.   Faridah kelihatan agak terkejut apabila melihat dia dan Latifah berada di dalam bilik stor itu.  Anuar bimbang jika Faridah menuduhnya melakukan sesuatu yang tidak baik  dengan Latifah di dalam bilik stor itu.  Dia membayangkan tentu Faridah akan mengamuk atau memarahinya atau setidak-tidaknya bermasam muka dengan kakaknya, namun jangkaannya meleset.  Apabila mereka berdua di dalam bilik, Faridah langsung tidak bertanya hal yang berlaku di dalam bilik stor itu sedangkan dia sudah menyediakan alasan yang sebenar jika Faridah menuduhnya yang bukan-bukan.  Faridah bersikap selamba dan biasa sahaja seolah-olah dia tidak nampak apa-apa.   Dengan Latifah juga, Faridah masih kelihatan mesra dan bergelak ketawa seperti biasa.  Dia hairan dengan sikap Faridah. Langsung tiada perasaan cemburu atau prasangka.  Biar betul.  Walau apapun, dia mengakui, hubungan Faridah dan Latifah sangat akrab. 
                   
                Latifah masih agak menawan walaupun sudah berusia 45 tahun.  Dia dan Latifah sebaya. Tubuh wanita itu agak kemas dan masih bergetah.  Hmm, janda  anak empat, memanglah bergetah, getusnya sendiri. Beza umur Latifah dengan Faridah cuma   dua tahun.  Perwatakan Latifah lebih ceria berbanding Faridah.  Faridah agak pendiam manakala Latifah lebih peramah, tetapi kalau dua beradik itu berdua bersama, mereka asyik berceloteh  sepanjang masa.  Latifah merupakan janda kematian suami.  Suaminya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya lima tahun yang lepas.  Latifah mempunyai empat orang anak, dua lelaki dan dua perempuan.  Semuanya sudah besar panjang.  Yang sulong berumur 20 tahun, yang kedua 18 tahun, yang ketiga 15 tahun dan yang bongsu pun sudah di tingkatan dua.  Yang sulong dan yang kedua bekerja  dan tinggal di Pulau Pinang.  Yang ketiga dan bongsu pula tinggal di asrama, jadi Latifah tinggal bersama emak dan ayahnya bertiga di rumah itu.  Dua minggu sekali anak-anaknya yang tinggal di asrama akan pulang dan bermalam di rumah,  jadi rumah itu agak sepi pada hari-hari biasa.  Adik beradik Faridah yang lain tinggal berasingan dengan keluarga masing-masing.  Biasanya dia dan  Faridah akan pulang ke rumah mentuanya pada hujung minggu kerana dia dan Faridah tinggal di rumah sendiri di Taman Sri Pinang, tidak jauh dari kampung dan rumah mentuanya.  Jika ada keperluan, dia dan Faridah akan pulang ke rumah mentuanya tidak kira masa.
                          
              Anuar terkenang semula kata-kata Latifah sebentar tadi.   Bagaimana Latifah boleh beranggapan bahawa dia suka  akan godaan Latifah?  Ahh, perempuan gersang memang macam tu, tak ingat dosa pahala, tak kira siapa, semuanya mahu digoda, getus hatinya sendiri tetapi suatu hal, Anuar tidak dapat menafikan perasaannya.  Dia lelaki normal, sihat dan masih gagah.  Nafsu lelakinya kadang-kadang tergugat juga dengan godaaan Latifah.  Setiap kali dia terlanggar Latifah tanpa sengaja, atau sewaktu Latifah menyentuhnya, nafsunya  bergetar.  Itu lumrah, bukan dibuat-buat.  Latifah pula sangat pandai menggoda, sengaja menyentuh bahagian tubuhnya yang sensitif tanpa relanya,  dan wajah Latifah  kelihatan  selamba sahaja walaupun wajahnya sendiri bertukar merah padam dengan perbuatan Latifah.  Dahulu Latifah tidak begini, tetapi sejak setahun yang lepas, perangainya berubah. Dahulu Latifah sangat menghormatinya sebagai adik ipar walaupun mereka sebaya. Anuar juga hairan memikirkan perubahan sikap Latifah.  Sehingga hari ini dia masih mampu menangkis godaan Latifah, tetapi bagaimana dengan esok atau lusa? Kalau digoda sepanjang masa, lambat laun pasti imannya akan rapuh jua.  Nauzubillah himinzalikh…Ya Allah, minta dijauhkan perkara itu, doa Anuar di dalam hati.  Ya Allah, kuatkanlah imanku, jauhilah aku daripada melakukan kemungkaran ya Allah.  Jadi, untuk mengelakkan perkara-perkara terkutuk itu terjadi, dia mesti memberitahu Faridah tentang perbuatan tidak senonoh kakak kesayangannya itu. Masalahnya, adakah Faridah akan percaya akan kata-katanya?  Tak apa, yang penting dia harus memberitahu Faridah perkara yang sebenar sebelum terlambat. Faridah mahu percaya atau tidak, itu perkara kedua, bisiknya dalam hati.  Dia harus mencari waktu yang sesuai untuk menceritakan hal itu kepada Faridah.  Semoga Faridah mengerti dan memahami situasinya.  Semoga Faridah turut memikirkan langkah-langkah untuk  dia menghindari kakaknya itu.  Semoga  hidupnya  kembali aman tanpa godaan Latifah.  Semoga dan semoga, itulah harapan Anuar.

      Malam itu selepas  makan malam, Anuar meminta diri untuk pulang ke rumahnya  kerana sudah sehari suntuk dia dan Faridah  berada di rumah mentuanya.
                               
        "Ayah, mak, saya dan Faridah balik dulu ya.  Esok saya kerja."  
                 
       "Yalah, bawa kereta tu elok-elok." Pesan Haji Karim.  Esok jangan lupa kenduri rumah kak Ton. Kalau kau berdua tak datang, apa pulak kata mereka nanti.  Kita ni hidup berjiran, kenduri kendara kena tunjuk  muka."
                            
          " Yalah ayah, saya dan Faridah akan datang esok."
                       
       "Ehh…kenapa pulak Faridah nak balik.  Faridah bukannya kerja esok.  Biarlah dia tidur di sini.  Esok pagi-pagi dia boleh terus pergi ke rumah kak Ton dengan mak dan akak, tolong apa-apa yang patut    di rumah kak Ton.  Kalau tunggu Nuar balik baru Faridah nak datang, nampaknya petang baru nampak muka."  
                           
           "Hah..betul juga kata Latifah tu, Nuar", sampuk Hajjah Rahmah. "Biarlah Faridah tidur  di sini saja, Nuar."
                          
            Anuar memandang Faridah yang sudah bersiap sedia untuk  pulang.
                 
                “Macam  mana Ida?”
                
               "Ida mana-mana pun boleh.  Abang izinkan ke?"
                               
                Anuar menjadi serba salah.  Lama juga dia diam,
            
          "Amboi, macam pengantin baru, tak sanggup berpisah semalaman?" Latifah mencelah.  Muka Anuar merah padam mendengar sindiran Latifah.  Akhirnya dia  terpaksa mengalah.
                  
             "Yalah…Ida, mak ayah, saya balik dulu. Petang esok saya datang.  Anuar pun melangkah keluar dari rumah mentuanya menuju ke keretanya. Sewaktu Anuar hendak   menghidupkan enjin keretanya, tiba-tiba Latifah datang meluru ke kereta.
                
              "Ya Allah, apa lagi ni", desis Anuar dalam hati. 
                              
              “Nuar, akak tumpang Nuar sampai ke kedai runcit kat depan tu ya. Kebetulan akak nak beli barang.  Takut pula jalan sorang-sorang malam-malam ni."

          Anuar sudah dapat mengagak muslihat Latifah.  Hatinya berat untuk menumpangkan Latifah,  namun dia tidak mampu untuk mengatakan tidak kerana bapa mentuanya sedang memerhatikannya dari dalam rumah.  Anuar tidak menjawab.  Tanpa dijemput, Latifah membuka pintu kereta lalu duduk di sebelah Anuar.  Setelah Latifah menutup pintu kereta, Anuar terus memandu keretanya perlahan melalui lorong ke jalan besar.  Suasana di dalam kereta sepi.  Tiba-tiba tangan Latifah menjalar di peha kirinya.  Anuar terkejut namun nafsunya tetap bergetar.  Dia membrek keretanya secara mengejut. Akibatnya badan Latifah terdorong ke hadapan.  Anuar memberhentikan keretanya di bahu jalan. Anuar menepis tangan  Latifah dari pehanya dengan kasar.
                             
               "Apa ni kak?  Dalam kereta pun nak buat hal?" Suara Anuar kedengaran meninggi.
                            
              "Nuar, kenapa nak marah-marah ni? Nuar pun sukakan?  Jangan pura-pura dan berlagak sombong dan baiklah Nuar.  Akak tahu Nuar pun nakkan?"   
                             
             "Astagfirullahhalazim , akak, ingat Allah kak.  Saya ni adik ipar akak.  Jangan buat perangai tak senonoh ni.”
                           
               Latifah tidak mempedulikan kata-kata   Anuar.  Dia terus memegang dan mengusap tangan  kiri Anuar dengan penuh ghairah.  Anuar merasakan bulu romanya meremang.  Anuar cuba menepis tangan Latifah. Tiba-tiba tangannya terkena muka Latifah.  Latifah menjerit kecil.  Dia menekup mukanya dengan kedua-dua tapak tangannya.  Anuar jadi resah seketika. 
                           
              "Akak?"  Anuar cuba melihat muka Latifah dengan lebih dekat.  Dia bimbang cincin di jarinya terkena muka Latifah dan menyebabkan luka di muka Latifah.
                            
              Tiba-tiba sahaja Latifah bertindak agresif.  Dia menarik kepala Anuar rapat ke mukanya, lalu dia mengucup bibir Anuar dengan pantas, penuh berahi.  Anuar tergamam, tidak sempat menolak.  Akhirnya Anuar membalas kucupan Latifah, juga dengan penuh berahi.  Kini seluruh tubuhnya dikuasai oleh nafsu berahi.  Tiba-tiba terdengar bunyi hon kereta dari arah belakang.  Anuar tersentak.  Dia menolak tubuh Latifah jauh darinya.  Dia beristighfar beberapa kali.   "Ya Allah, ampunilah aku."  
              
              Anuar bergegas turun dari kereta lalu membuka pintu  kereta untuk Latifah.
                               
              "Akak, demi Allah, saya tak merelakan semua yang berlaku tadi.  Akak tolong turun dari kereta saya sekarang. Lebih baik akak balik sekarang.  Bertaubatlah akak!"
                      
           Latifah membetulkan tudungnya.   Dia turun dari kereta dengan wajah masam mencuka.
            
               "Nuar, jangan sesekali kau beritahu Faridah pasal hal ini, atau rumahtangga kau akan berantakan.  Ingat, Faridah lebih percayakan akak daripada kau."

             Sejurus itu, Latifah berjalan pulang ke rumah dalam suluhan lampu jalan dan samar cahaya bulan.  Anuar bergegas menghidupkan  enjin keretanya lalu memecut pulang ke rumahnya.  Di rumah, dia termenung panjang memikirkan peristiwa yang berlaku sebentar tadi.  Dia kemudiannya mengambil wuduk dan melakukan solat sunat taubat dan akhirnya dia menangis di dalam sujudnya.
                               
            Di rumah, di dalam biliknya, Latifah berbaring di atas katilnya sambil memeluk bantal peluk.  Dia tersenyum sendiri.  Dia terkenang semula peristiwa yang berlaku di dalam kereta sebentar tadi.  Dia tidak akan pernah melupakan kucupan  balas Anuar sebentar tadi.  Walaupun hanya sekejap, namun dia puas. Nafsunya kembali bergelora. Dia yakin suatu hari nanti dia akan berjaya juga  menawan nafsu Anuar.  Anuar akan jatuh juga  ke dalam pelukannya.  Dia akan menunggu saat dan ketika itu. 

       "Huh, alim konon, menolak konon", desis Latifah dalam hati.    "Kalau dah namanya lelaki, lelaki jugalah, sama juga macam kucing, kalau dah nama kucing, kucing jugalah, tak akan menolak ikan di depan mata." Latifah tersenyum sendiri.  Tiba-tiba lamunannya terhenti apabila Faridah masuk ke dalam bilik dan berbaring  di sebelahnya.
                         
        "Ehh, engkau ni Ida, kalau ya pun nak masuk, ketuklah pintu tu dulu, ni main redah saja." Latifah mengomel.
                            
        "Ehh, akak ni, sejak bila pula kena ketuk-ketuk pintu ni.  Selama ni tak pernah pun Ida ketuk. Akak tak marah pun.  Akak beli apa kat kedai tadi?  Tak nampak barang pun.  Kenapa pula akak balik jalan kaki?  Kenapa tak minta abang Nuar hantar akak balik?"
               
              Latifah membiarkan sahaja soalan-soalan Faridah berlalu tanpa jawapan.   Dia buntu untuk memberikan alasan.  Dia berpura-pura tidur agar Faridah tidak lagi bertanya.
            
          Apabila soalannya tidak berjawab, Faridah menjenguk muka Latifah yang sedang membelakangkannya.
                             
                    "Eh, kita cakap dengan dia, boleh je dia tidur." Faridah pula mengomel sendiri. 
                                   
                      ****************************************
                  Anuar mengambil cuti selama tiga hari khusus untuk membawa  Faridah makan angin ke Kuantan, sempena ulang tahun ke-18 perkahwinan mereka.  Anuar menempah penginapan di Hotel D’Renaissance di bandar Kuantan.  Anuar mahu mengambil kesempatan itu untuk berterus-terang dengan Faridah tentang Latifah.  Pada malam terakhir di hotel, Anuar telah menceritakan segala-galanya kepada Faridah, kecuali peristiwa di dalam kereta tempoh hari.  Malangnya Faridah tidak memberikan apa-apa reaksi setelah mendengar cerita daripada Anuar.  Anuar kesal dengan sikap Faridah, seolah-olah dia tidak mempunyai hati dan perasaan.     

               "Ida, Ida dengar tak apa yang abang ceritakan pada Ida ni?"

                "Ya, Ida dengarlah ni."

                "Habis tu?"

                 "Habis tu apa?"

                 "Ida langsung tak marah?"

              "Ida percayakan abang."
          
             "Maksud abang, Ida tak marahkan kak Latifahke?"     

          "Entahlah bang.   Ida tak tahu nak cakap apa.  Dahlah bang, Ida ngantuk ni, Ida nak tidur."

            Anuar terkedu.  Dia kemudiannya melepaskan  satu keluhan yang amat berat.  Dia jadi bingung dengan sikap Faridah. Dia berbaring  di sebelah Faridah sambil termenung.  Dia tidak mampu memikirkan apakah kesudahan ceritanya dengan Latifah.  Hidupnya kini sudah tidak aman.  Sikap Latifah semakin melampau.  Godaannya semakin menjadi-jadi.  Kegersangan janda beranak empat itu sudah mencapai tahap kronik, fikir Anuar sendiri. Aku kena bagi perempuan ni kahwin, barulah dia tak mengatal lagi, Anuar berkira-kira sendiri.  Tapi siapa yang hendak berkahwin dengan Latifah?  Entahlah!  Buntu Anuar memikirkannya. Akhirnya Anuar terlelap juga sewaktu sedang berfikir-fikir.
  
          Sekembalinya Anuar dan Faridah dari bercuti, rutin hidup mereka berjalan seperti biasa.  Latifah seperti biasanya akan mengambil peluang untuk menggoda Anuar jika ada kesempatan dan ruang.  Anuar merasakan dia harus menceritakan masalahnya kepada seseorang, seseorang yang boleh dipercayai, yang boleh membantunya menyelesaikan masalahnya. Dia tidak boleh mengharapkan Faridah untuk menyelesaikan masalahnya, kerana Faridah kelihatannya lebih mengutamakan kakaknya dan lebih menjaga hubungan kekeluargaan daripada suaminya sendiri.  Dia tidak  akan menceritakan masalahnya kepada ibu bapa mentuanya. Kalau Faridah sendiri tidak kisah, apatah lagi mentuanya.  Pasti dia pula akan dituduh cuba menggoda Latifah.  Pasti Latifah akan mereka-reka cerita untuk menyalahkannya.  Anuar tercari-cari siapa  antara rakan-rakannya yang boleh dipercayai.  Tiba-tiba dia teringatkan Halim, rakan di tempat kerjanya.  Halim agak pendiam tetapi mempunyai idea dan fikiran yang bernas jika diminta memberi apa-apa pendapat.
                           
           Hari itu sewaktu makan di kantin, Anuar telah berkisah segala-galanya kepada Halim, dari A hingga Z.  Halim mendengar dengan penuh minat namun sesekali dia mencelah.
                    
          "Itulah susahnya jadi orang kacak macam kau ni  Nuar. Muka macho, badan sasa, tinggi, dan tegap, perempuan mana tak cair. Kalau aku ni perempuan, aku pun cair dengan kau. Ha ha ha."  Halim tergelak panjang.
                            
           "Eh Lim, aku cerita kat kau ni untuk tolong aku macam mana nak selesaikan masalah aku  ni, bukannya  suruh kau gelakkan aku. Kalau perempuan lain cair kat aku, aku tak kisah, tapi masalahnya, perempuan tu kakak ipar aku!"
                               
               "Relakslah bro. Aku tengah fikir ni.                      Kau dah beritahu isteri kau perkara ni?"

                               "Dah, tapi sia-sia saja.  Dia buat endah tak endah saja.  Barangkali dia tak sayang aku kot.  Dia lebih sayang kakak dia lagi daripada aku."     
                           
                   "Kenapa dia bodoh sangat ah?  Atau dia sendiri sebenarnya serba salah?"
                            
                   "Entahlah Lim, aku sendiri tak faham isteri aku tu.  Dia macam tak kisah kakak dia goda aku."  
                              
                    "Nuar, aku rasakan, kau pun 2 x 5 dengan kakak ipar kau tu.  Kau kata kau pun tergoda juga dengan godaan diakan.  Nampaknya kau pun memang suka digoda."
          
                    "Engkau salah Lim.  Aku tak sama dengan perempan gersang tu.    Aku sebenarnya  diuji dengan ujian nafsu , dan setakat ini aku masih mampu bertahan.  Esok lusa aku tak boleh nak ramal apa akan berlaku. Aku harap iman aku tak rapuh dengan godaan perempuan tu."
  
                 "Beginilah Nuar, aku nasihatkan kau, jangan selalu pergi ke rumah mentua kau tu."
  
                      "Itulah yang payahnya Lim.  Hampir setiap minggu aku kena mengadap mentua aku di rumah mereka sebab aku uruskan projek 'summer' kem  mereka, dan kakak ipar aku merangkap ketua tukang masak   kat situ.  Jadi nak tak nak aku terpaksa berurusan dengan kakak ipar aku tu untuk bincang pasal makanan peserta  yang menginap di kem tu."
                        
                          "Oh ya ke? Memang masalah  besar tu, Nuar.  Kalau macam tu Nuar, aku pun tak tahu macam mana nak tolong engkau selesaikan masalah engkau ni.    Satu saja saranan aku yang terakhir, tebalkan iman  di dada kau tu, Nuar.  Hanya itu caranya untuk menangkis godaan janda tu."     
                           
                  "Aku akan cuba sedaya upaya aku , Lim.  Terima kasih kerana sudi mendengar masalah aku".
                  
                  "Itulah gunanya kawan, bro."

           Malam itu, sebaik pulang dari surau, Faridah meluru mendapatkannya di  muka pintu sambil menangis.  Annuar agak terkejut dengan aksi Faridah. 
                                 
                   "Abang, jom kita balik ke rumah mak sekarang."  Suara Faridah kedengaran panik.
                                 
                        "Kenapa ni Ida?  Kenapa Ida menangis?"
                                
                      " Kak Latifah, bang. Ayah call tadi bagitahu kak Latifah kena stroke tiba-tiba setelah tergelincir  dan terjatuh dalam bilik mandi."      
                                 
                     Anuar terkedu.  "Astagfirullahhalazim…masya-Allah." Hanya patah-patah perkataan itu yang terkeluar dari mulut Anuar.  Balasan Tuhankah itu, tanyanya di dalam hati. Hanya Allah yang maha mengetahui segala yang terjadi.  Wallahhuallam…..                   


Terima kasih kerana sudi membaca entri saya. Jika suka, silalah LIKE.

Tuesday, May 29, 2012

Jannah...


             
             Air mata Jannah deras mengalir.  Badannya terhinjut-hinjut  menahan esak.  Cikgu Humaira juga menangis.  Suasana dalam bilik sebesar sepertiga  sebuah bilik darjah itu sepi.  Yang kedengaran hanya bunyi kipas  siling yang ligat berpusing.  Jannah menyeka air matanya sambil memandang Cikgu Humaira yang sedang termenung, membuang pandangan ke luar tingkap  bercermin neko.  Jannah sedikit resah dengan diam cikgu Humaira.  Dia tidak pernah marahkan Cikgu Humaira, sebaliknya dia kesal dan marah akan dirinya sendiri.  Jannah sebenarnya malu untuk berkisah tentang dirinya kepada Cikgu Humaira, membuka pekong di dada sendiri, tetapi dia terpaksa  melakukannya, walaupun dia sangat yakin bahawa  Cikgu Humaira akan memarahinya setelah mendengar kebenaran dari mulutnya.  Dia tidak mampu lagi untuk menyimpan segalanya sendiri.  Hidupnya tidak akan tenang selagi dia tidak meluahkannya kepada seseorang.  Dia tidak nampak calon yang lebih sesuai  selain Cikgu Humaira untuk mendengar kisahnya, bukan rakan baiknya apatah lagi ibunya sendiri.  Bukan dia tidak mempercayai ibunya, tetapi sesungguhnya dia tidak sanggup menghancurkan hati ibu kesayangannya jika ibunya mengetahui kebenaran tentang anak gadisnya ini.  Jannah sangat yakin bahawa Cikgu Humaira seorang yang amanah dan boleh dipercayai.  Cikgu Humaira bersifat keibuan, banyak menasihatinya dan rakan-rakannya di dalam kelas sewaktu mengajar, dan kerana itulah hatinya terpikat kepada Cikgu Humaira dan kerana itu jugalah Cikgu Humaira menjadi pilihannya untuk menjadi pendengar kisahnya. 

              Cikgu Humaira kembali duduk di kerusi di hadapan Jannah. Cikgu Humaira memandang tepat ke wajah Jannah.  Jannah tidak sanggup bertentang mata dengan Cikgu Humaira.  Dia menundukkan kepalanya. Sesekali dia menyapu air matanya dengan sapu tangan  kecil dalam genggamannya. 
       
            “Kenapa boleh jadi macam ni, Jannah?  Awak dah tak ingat dosakah Jannah?     Cikgu tak sangka begini jauh tindakan awak.  Lebih cikgu tak sangka sebab pada cikgu awak   seorang pelajar yang  lembut, pendiam dan bersopan santun.  Cikgu sangat kesal Jannah.  Kalau perkara ini berlaku kepada Wati, cikgu tak begitu terkejut sangat sebab dia memang sosial.”  Cikgu Humaira masih sebak.
            
        “Cikgu, saya minta maaf, cikgu.”  Jannah masih mengongoi seperti seorang anak kecil, memohon pengertian daripada Cikgu Humaira.
                       
          “Bukan kepada cikgu awak harus minta maaf,  tapi kepada Tuhan, Jannah.  Awak wajib minta ampun kepada Allah.” 

       Jannah mengangguk  dan masih juga menangis.  Cikgu Humaira mamandang tepat ke wajah polos di hadapannya.  
                     
            “Dah berapa kali awak terlanjur, Jannah?
            
            “Beberapa kali, cikgu”
            
            “Sekarang, masih buat lagi?”
            
            "Masih cikgu…”
            
         Jujur gadis itu menjawab. Terlalu jujur. Cikgu Humaira sebak lagi. Terasa hendak luruh jantungnya mendengar pengakuan jujur Jannah.
   
        “Ya Allah Jannah, kenapa awak jadi macam ni Jannah?  Awak tak takut dosakah Jannah? Apa guna awak menangis di depan cikgu seolah-olah awak menyesal tetapi sebenarnya awak masih lagi bergelumang dengan dosa, Jannah?
                
          Cikgu Humaira berasa kesal, kecewa dan jengkel.  Semua perasaan itu bersatu dalam hatinya. Kalau Jannah itu anaknya sendiri, mahu sahaja dikerjakan Jannah separuh mati.    Kasihan  wanita yang menjadi ibunya kerana tidak tahu anaknya sedang bergelumang dengan dosa. 
            
          “Cikgu, saya dah cuba, tapi saya tak mampu menolak kemahuannya.  Saya benar-benar cintakan dia cikgu”.
        
     “Jannah, awak cintakan lelaki keparat tu sampai sanggup korbankan maruah awak sendiri?  Awak ingat dia cintakan awak?” Suara Cikgu Humaira mula meninggi. Dia terasa hendak muntah mendengar penjelasan Jannah.  Dia tidak mampu untuk mengasihani pelajarnya ini.  Dia tidak boleh berkompromi dalam hal yang bersangkut paut dengan dosa ini. 
         
         Sindiran Cikgu Humaira membuatkan  Jannah semakin kuat teresak.  Habis hujung tudungnya basah dengan air mata.    Tiba-tiba Cikgu Humaira mengeluh.  Dia beristighfar beberapa kali.  Dia tidak sepatutnya terus menghukum Jannah dengan kata-kata yang pedas.  Gadis ini harus disedarkan dengan cara yang berhemah. Cikgu Humaira memegang  bahu Jannah yang masih teresak-esak.  Gadis itu duduk di kerusi di hadapannya hingga lutut mereka bertemu. 

       “Jannah, awak yakinkah budak lelaki tu cintakan awak?”  Suara Cikgu Humaira kembali lembut. 
          
            “Dia memang sangat cintakan saya, cikgu, jadi saya tak mampu menolak kemahuannya.  Dia janji dia akan berkahwin dengan saya.  Saya pernah cuba nak putuskan hubungan dengannya tapi dia ugut nak bunuh diri, cikgu, sebab dia kata hanya sayalah sahaja yang dia ada dalam hidupnya.”

             "Ya Allah, Jannah, kenapalah awak ni bodoh sangat Jannah. Budak  tu sebenarnya tak cintakan awak pun Jannah.  Awak ni pun bukannya cantik sangat sampai dia tergila-gilakan awak.  Sebenarnya dia hanya nak ambil kesempatan ke atas awak.  Dia bohong nak berkahwin dengan awak.  Dia kata dia cintakan awak sebab dia boleh dapat tubuh awak dengan percuma tanpa keluarkan  duit satu sen pun.  Dia bukan suami awak, jadi dia tak perlu tanggung nafkah awak, tak perlu beri duit kepada awak.  Bila-bila masa dia nak tubuh awak, awak akan beri dengan percuma, jadi sebab tu dia sayang nak lepaskan awak.  Tadi awak kata dia kerja kuli sajakan? Selalu tak cukup duitkan?Jadi macam mana dia nak kahwin dengan awak sedangkan  dia tak ada duit.  Kalau betul dia ugut nak bunuh diri kalau awak tinggalkan dia, biarkan dia bunuh diri.  Pergi matilah orang macam tu."  Begitu beremosi Cikgu Humaira berkhutbah.  Jannah terdiam.
              
          "Jannah, dia tu bukanlah  bodoh sangat sampai nak bunuh diri kalau awak tinggalkan dia.  Dia cuma gertak awak supaya awak tak tinggalkan dia.  Awak sebenarnya yang bodoh sebab terlalu percayakan lelaki macam dia."      
                        
           “Tak cikgu, saya yakin dia cintakan saya.  Pernah dulu saya bagitahu nak putus tapi dia asyik call dan msg saya, kemudian menangis dan merayu agar jangan tinggalkan dirinya.”

            Cikgu Humaira terkejut mendengar jawapan Jannah.  Nampaknya gadis ini masih beria-ria mempertahankan lelaki itu.  Dah termakan ubat guna-gunakah budak ni? Tanya Cikgu Humaira sendiri dalam hati.
                           
          “Bertaubatlah Jannah.  Awak tak takutke kalau awak mengandung anak luar nikah, anak zina?
                          
          “Insya-Allah, saya tak akan mengandung cikgu sebab dia pakai kondom."

        “Astagfirullahhalazim…Jannah, awak ni nak bertaubat ke tidak ? Siap pakai kondom lagi.   Jannah, kalau Tuhan kata  jadi, maka jadilah. Kalau Tuhan nak bagi awak mengandung, pasti  akan ada sebabnya, kondom tu bocor ke, tak sempat nak pakai dah terpancutke dan macam-macam lagi.  Dengar sini Jannah, kalau ditakdirkan awak mengandung, awak akhirnya akan melahirkan anak zina.  Awak tentu malu dan tak mahu keluarga awak tahu awak mengandungkan?  Jadi sebelum bayi tu lahir, awak pun berpakat dengan budak lelaki  tu untuk gugurkan janin tu, dan awak telah melakukan satu lagi dosa besar iaitu membunuh.  Awak  tak tak takut dosakah Jannah?”
                      
              “Sebab saya takutlah saya jumpa dan beritahu hal ini kepada cikgu.  Saya nak minta nasihat cikgu.  Saya nak bertaubat.”
              
               “Kalau awak nak bertaubat, awak kena tinggalkan
dulu perbuatan awak ni Jannah.  Tinggalkan budak  lelaki tu, kemudian awak buat taubat nasuha, minta ampun daripada Allah dan awak berjanji awak tak akan ulangi lagi dosa ini.  Menangislah dalam sujud awak sebagaimana awak menangis di pangkuan cikgu, Jannah.”  
                          
          “Tapi saya asyik teringakan dia cikgu, lagi pun  macam mana saya nak putuskan hubungan dengan dia, dia pasti akan call dan msg saya.” 
         
            Cikgu Humaira mengeluh.  Air matanya sendiri sudah kering.  Dia kesal dengan gadis itu, terlalu banyak beralasan.
               
          “Jannah, awak ni betulke nak bertaubat.  Kenapa masih lagi fikirkan jantan tak guna tu?  Kalau dia msg awak, kalau dia call awak, jangan balas dan jangan jawab.  Kalau dia cari awak di rumah, jangan jumpa!”   
                                 
             “Pasti dia akan sedih cikgu kalau saya putuskan hubungan dengannya.” 
                                
           “Sudahlah Jannah.  Yang awak kesian sangat dengan dia kenapa?  Awak sebenarnya yang tak sanggup  tinggalkan diakan?  Awak nak buktikan apa?  Nak buktikan bahawa awak setia?  Sudahlah Jannah, cikgu tak nak dengar apa-apa alasan  lagi daripada awak.  Kalau awak takutkan Allah dan benar-benar nak bertaubat, lupakan jantan tu.  Tolonglah Jannah, cikgu merayu kepada awak.”
                                
             Mata Jannah masih basah.  Dia termenung seketika.
                           
                    "Mak awak dah tahu pasal ni Jannah?
                   
                    “Belum, cikgu.”
                   
                  “Mak awak kena tahu.  Awak kena beritahu mak awak.  Kalau awak takut, biar cikgu pergi rumah awak dan jumpa mak awak.”
                           
         “Tolonglah cikgu, saya merayu kepada cikgu, jangan bertahu mak saya atau pun kepada sesiapa pun juga.  Saya amanahkan cikgu.  Saya tak nak hati mak saya hancur jika dia tahu keadaan diri saya.”
             
            "Jannah, sepatutnya awak fikir risikonya sebelum awak terlibat dengan dosa besar ni.  Baiklah Jannah, cikgu janji cikgu tak akan ceritakan hal awak ni kepada sesiapa pun,  tapi cikgu kesal Jannah. Cikgu merayu kepada awak, bertaubatlah dengan taubat nasuha, Jannah.   Cikgu boleh marahkan awak, nasihatkan awak, tapi hanya awak  sendiri yang boleh mengubah diri awak.  Lupakan lelaki itu.  Awak akan menempuh peperiksaan besar tak lama lagi, Jannah.  Tumpukan perhatian awak pada pelajaran."
 
             “Saya tak pasti saya boleh tumpukan perhatian saya pada pelajaran kalau saya putuskan hubungan dengannya.  Selama ni kalau saya nak belajar dengan tenang, saya akan ke rumah sewanya dan saya akan belajar ditemani olehnya.  Dia sangat baik terhadap saya cikgu, tapi saya berjanji saya akan berusaha melupakannya.” 
  
             “Macam mana awak  boleh kenal dengan budak lelaki tu, Jannah?”

            “Dia sebenarnya sepupu saya, tapi dia telah dihalau oleh keluarga Pak Ngah saya kerana dituduh mencuri,  tapi saya yakin dia tak mencuri.  Mak saya pun tak sukakan dia.”
    
          “Ya Allah Jannah, kenapa awak ni tak boleh berfikir?  Kalau dah mak bapak dia sendiri dah halau dia dan mak awak pun tak suka dia, awak masih kata dia baik?  Mereka lebih kenal anak mereka Jannah. Ibu bapa tak akan halau anak sendiri kalau perbuatannya tak begitu teruk, tapi nampaknya dia memang buat kerja tak senonoh hingga ibu bapa dia sanggup halau dia, dan awak kononnya sebagai penyelamat dialah?  Penyelamat konon, maruah sendiri sanggup digadai.  Atau awak sendiri pun suka dan seronok melakukan perbuatan terkutuk tu Jannah?”  Cikgu Humaira berasa panas hati apabila Jannah masih terus-menerus membela budak lelaki itu.
          
          Jannah terdiam,  Dia hanya mampu menadah telinga mendengar sindiran Cikgu Humaira.  Memang pedih kata-kata yang terhambur keluar dari mulut Cikgu Humaira, tapi semua yang dikatakan oleh Cikgu Humaira memang betul.  Kenapa hatinya begitu rapuh dengan pujuk rayu Azri?  Kenapa dia begitu lemah apabila berhadapan dengan Azri?  Kenapa dia tidak mampu menolak bila bertentang mata dengan Azri?  Ya Allah, ya Tuhanku, ampunilah aku.
                                 
         “Sudahlah Jannah.  Tak guna awak menangis lagi.   Awak pergilah masuk ke kelas.  Kesat air mata awak.  Dengarlah nasihat seorang guru ini Jannah.  Tolong lupakan lelaki tu, dan awak bertaubatlah.  Awak menangislah dalam sujud awak seperti mana awak menangis di hadapan cikgu.  Hanya awak yang boleh bantu diri awak.  Cikgu  hanya boleh  marah dan menasihati awak.  Cikgu tak mampu berbuat lebih daripada itu,  dan selalulah baca al-Quran untuk menenangkan hati awak.  Kalau dia msg atau call, jangan sesekali balas atau jawab.  Lama-lama nanti dia pun tak larat nak kacau awak.  Dia cuma takut kehilangan  awak sebab dia tak akan dapat barang percuma lagi.  Kalau nak melanggan pelacur pun, sekurang-kurangya dia kena bayar juga, tapi dengan awak dia dapat percuma.  Dia tak rugi dan tak luak apa-apa pun Jannah. “  
                             
             “Baiklah cikgu.  Saya berjanji saya akan lupakannya dan tumpukan perhatian saya pada pelajaran.  Saya akan dengar nasihat cikgu.  Terima kasih cikgu sebab sudi mendengar kisah saya.  Saya hanya ceritakan hal ini kepada cikgu seorang sahaja sebab saya percayakan cikgu.  Saya tak  ada tempat lain nak mengadu.” 
                             
           Cikgu Humaira berdiri dan memeluk Jannah yang juga sedang berdiri.  “Cikgu pun minta maaf sebab marahkan awak.  Terus terang cikgu katakan, cikgu memang kesal dengan awak tapi cikgu harap awak benar-benar berubah dan bertaubat.”
                  
     “Saya janji saya akan berubah dan bertaubat.  Doakanlah saya cikgu.”
               
            “Jangan berjanji kepada cikgu, Jannah, berjanjilah kepada Allah dan diri sendiri.”

       Jannah menggangguk lemah.  Dia kemudiannya menyalami dan mencium tangan Cikgu Humaira, lalu meminta izin untuk masuk ke kelas.  Cikgu Humaira hanya menggangguk dan memandang Jannah berlalu keluar dari biliknya dengan perasaan  kesal dan hiba.
                                         
           Cikgu Humaira tidak dapat meneruskan perhatiannya pada skrin komputer di hadapannya.  Fikirannya jauh melayang.  Dia sedang  memikirkan nasib ibu Jannah. Kasihan wanita itu kerana tidak tahu keadaan anak gadisnya sendiri.    Tiba-tiba dia teringat akan dua orang puterinya yang sedang meningkat remaja. Ya Allah, Engkau lindungilah anak-anakku daripada melakukan maksiat dan kemungkaran.  Engkau peliharalah mereka daripada tipu daya   syaitan.  Ya Allah, ampunilah Jannah, Ya Allah, kasihanilah dia. Bukalah pintu hatinya untuk bertaubat kepada-Mu, ya Allah.                                                                         

          Beberapa minggu sebelum peperiksaan besar bermula, Cikgu Humaira bertanya Jannah  keadaan dirinya, tetapi Jannah  sekadar  tersenyum sambil menjawab ringkas. 
                
          “Lupakanlah  segalanya  yang telah saya ceritakan kepada cikgu.” 
                 
           Cikgu Humaria terkedu mendengar jawapan Jannah.  Apa maksud gadis itu?  Adakah Jannah bermaksud dia tidak mahu Cikgu Humaira campur tangan lagi dalam masalahnya? Atau apa sebenarnya maksud kata-kata Jannah?  Cikgu Humaira mengeluh.  Dia tidak mahu memaksa Jannah menceritakan apa-apa lagi.   Mungkin Jannah sudah benar-benar berubah dan bertaubat,  dan sudah melupakan segala yang berlaku dalam hidupnya.  Kalau begitu, syukurlah.   Cikgu Humaira tidak pernah berniat untuk menjaga tepi kain Jannnah.  Dia tidak pernah memaksa Jannah menceritakan apa-apa. Dahulu pun Jannah sendiri yang datang kepadanya dan mengadu kisah hidupnya kepadanya, jadi kalau sekarang Jannah tidak mahu lagi bercerita apa-apa, dia tidak kisah.  Itu hak Jannah.  Dia hanya mahu yang terbaik untuk pelajarnya itu.

                 *************************************************
      Semuanya berjalan dengan lancar dan sempurna. Setelah rombongan pihak lelaki pulang, Jannah masuk ke dalam biliknya untuk berehat.  Dia sebenarnya mahu membantu ibunya dan emak-emak saudaranya berkemas tapi ditegah oleh mereka.  Mereka menyuruh Jannah berehat sahaja, kerana majlis itu merupakan majlis meraikan Jannah, kata mereka.  Jannah akur.   Jannah duduk di birai katilnya sambil memerhatikan hantaran yang tersusun di suatu sudut bilik tidurnya.  Hatinya lega dan gembira.  Jannah  merenung cincin di jari manisnya.  Kini dia sudah berpunya.  Bakal menjadi milik Fahrin yang sah dalam jangka masa tiga bulan akan datang.  Tiba-tiba juga Jannah teringatkan Cikgu Humaira.  Apa khabar Cikgu Humaira?  Hatinya seperti disentap-sentap untuk bertemu dengan Cikgu Humaira. Kali terakhir dia berjumpa dengan Cikgu Humaira ialah dua tahun yang lalu.  Wajah keibuan Cikgu Humaira terbayang-bayang di mindanya.  Ya, esok dia akan ke sekolah lamanya untuk bertemu dengan Cikgu Humaira.  Banyak yang hendak dikisahkannya kepada Cikgu Humaira, tentang dirinya kini dan tentang Fahrin.  Jannah berasa tidak sabar untuk menunggu esok hari.   
                        
            Jannah mengetuk pintu bilik Cikgu Humaira.  Cikgu Humaira yang sedang tekun mengadap komputer agak terkejut melihat susuk tubuh di depan pintu biliknya.
                       
              “Assalamualaikum cikgu.” 
             
             “Waalaikumsalam, Jannah? Ehh..masuklah.”  Cikgu Humaira  benar-benar terkejut menerima kehadiran Jannah.  Dia tidak menduga bahawa Jannah masih sudi datang ke sekolah dan menemuinya.  Cikgu Humaira merenung wajah polos itu seketika. 
                          
          “Kenapa cikgu tengok saya macam tu?  Cikgu sihat?  Cikgu sibukke?”    Bertalu-talu soalan terpacul dari mulut Jannah.  Cikgu Humaira tersenyum.  Jannah menyalami dan mencium tangan Cikgu Humaira kemudian mereka berpelukan. Cikgu Humaira menjemput Jannah duduk di kerusi di hadapannya.
           
            “Cikgu pandang awak macam tu sebab dah lama cikgu tak jumpa awak.  Awak semakin cantik dan kelihatan berseri-seri.  Cikgu sihat, macam biasa saja.  Cikgu taklah sibuk, cuma buat kerja-kerja biasa seorang guru.”
                          
                Jannah tersenyum memandang Cikgu Humaira. 
               
               "Awak pula apa khabar?  Buat apa sekarang?”

              "Saya rindu sangat pada cikgu.  Saya khabar baik dan sekarang sedang belajar di Institut Pendidikan Guru Raja Melewar, Negeri Sembilan.”
                       
            “Ohh, bakal cikgu juga nampaknya.  Tahniah Jannah.  Semoga awak menjadi seorang guru yang berdedikasi kelak.   Tak tahu pula cikgu awak masuk maktab perguruan.  Yalah selepas awak ambil STPM dulu, langsung awak tak datang jumpa cikgu.  Masa ambil result pun awak tak datang jumpa cikgu.”
           
            “Entahlah cikgu, masa tu saya malu nak jumpa cikgu.   Saya belum bersedia pada masa itu.”

             Tiba-tiba mata Cikgu Humaira terpandang inai di jari Jannah.  “Ehh, awak dah kahwinke Jannah?”

            “Belum cikgu.  Saya baru saja bertunang semalam.  Tiga bulan lagi  Insya-Allah kami akan disatukan sebagai suami isteri yang sah.“  Ada nada gembira pada suara Jannah pada pendengaran Cikgu Humaira.   

           “Alhamdulillah dan tahniah, Jannah.  Cikgu tumpang gembira.”   
   
           “Siapa tunang awak tu, Jannah?  Tiba-tiba terpacul pertanyaan itu dari mulut Cikgu Humaira. 
     
                “Tentu sahaja bukan Azri, cikgu.  Azri dah lama berkubur dari hati saya.  Nama tunang saya ni Fahrin.  Kami sama-sama belajar di IPG Raja Melewar.”
                  
                   “Baguslah Jannah.”
       
               “Terima kasih cikgu kerana banyak menasihati saya dulu.  Selepas cikgu menasihati saya, saya telah memutuskan hubungan dengan Azri.  Saya nekad dengan keputusan saya.  Saya juga telah bertaubat atas keterlanjuran saya dulu. Semoga Allah menerima taubat saya. Selepas itu saya tumpukan perhatian pada pelajaran dan akhirnya saya diterima masuk ke IPG Raja Melewar.  Saya bersyukur kerana dipertemukan dengan Fahrin.  Dia seorang lelaki yang baik, cikgu.  Dia tidak pernah mengambil kesempatan ke atas saya.  Dia banyak mengubah hidup dan pemikiran saya.  Bulan lepas dia berterus terang dengan saya tentang hasratnya untuk melamar saya sebagai isterinya.  Saya telah menceritakan semua kisah silam saya kepadanya agar dia tahu siapa saya sebelum ini agar dia tidak menyesal dan tidak rasa ditipu.   Ternyata dia seorang lelaki yang beriman dan budiman.  Dia memberitahu saya bahawa siapa saya sebelum ini  tidak penting baginya, tetapi siapa saya setelah menjadi isterinya, itu penting baginya.  Katanya lagi, semua orang mempunyai kisah silam yang tersendiri, jadi tidak patut kita menghakimi seseorang itu atas kisah silamnya.  Cikgu, Allah telah memakbulkan doa saya agar diberi jodoh yang baik dan beriman.”  
       
           Cikgu Humaira terpana mendengar patah-patah kata yang keluar dari mulut Jannah.  Sungguh berbeza Jannah yang dahulu dengan Jannah yang ada di hadapannya sekarang.    Jannah yang sedang berada di hadapannya sekarang begitu matang berbicara.   

       “Jannah, awak sedar tak?  Allah sangat sayangkan awak.   Dia tidak pernah mensia-siakan hamba-Nya yang benar-benar insaf dan bertaubat.  Dia telah mempertemukan awak dengan seorang lelaki yang sangat baik yang bakal menjadi suami dan pelindung awak kelak."

             "Ya cikgu, saya sangat bersyukur, dan terima kasih sekali lagi, cikgu." Jannah  mengangguk sambil memandang ke mata Cikgu Humaira. Kelihatan mata Jannah bersinar-sinar, sebagaimana sinar yang diharapkannya yang bakal menyinari hidupnya kelak. Cikgu Humaira terharu memandang  Jannah.  Bukan sahaja bicaranya berbeza, seri wajah juga terpancar pada wajah bujur sirih itu.  Seri keimanan.

           "Maaf cikgu bertanya, Jannah.  Emak awak dah tahu atau belum tentang kisah silam awak?”
      
         “Belum cikgu.  Biarlah hanya cikgu dan Fahrin sahaja yang tahu kisah silam saya.  Saya tak sampai hati nak melukakan hati ibu saya, cikgu.”

         “Yalah Jannah, cikgu faham.”     

       “Cikgu, saya rasa dah lama benar saya menganggu masa cikgu.  Saya nak minta izin untuk beredar dulu, cikgu.”

         “Baiklah Jannah.  Jaga diri awak.  Cikgu doakan awak bahagia selalu.”

        “Terima kasih, cikgu.  Nanti bila tiba hari bahagia saya, saya akan kirim kad jemputan untuk cikgu.  Cikgu jangan tak datang tau.    Kalau cikgu tak datang, saya pasti berasa sedih.  Saya juga nak perkenalkan Fahrin kepada cikgu.”

    “Insya-Allah Jannah, kalau ada umur, cikgu pasti datang.  Cikgu pun teringin sangat nak kenal Fahrin.”        
                               
        Jannah akhirnya menyalami dan mencium tangan Cikgu Humaira.  Cikgu Humaira kemudiannya memeluk Jannah dengan erat. Jannah juga membalas pelukan Cikgu Humaira dengan erat. Berat hatinya untuk melangkah keluar dari bilik Cikgu Humaira. Tiba-tiba Jannah mencium kedua-dua belah pipi cikgu Humaira.  

      "Cikgu, lupa pula saya tadi, rasanya belum terlambat untuk saya ucapkan selamat hari guru kepada cikgu tersayang.  Semoga cikgu dirahmati Allah selalu, dilimpahi rezeki dan kemewahan, bahagia selamanya serta diberi kesihatan baik yang  berpanjangan agar cikgu terus mendidik anak bangsa dengan cemerlang."  

            "Terima kasih Jannah, cikgu sangat terharu." Mata wanita berusia dalam lingkungan 40-an itu mula berkolam.  Dia  benar-benar terharu dengan ucapan ikhlas  daripada bekas pelajarnya itu.  Dia juga benar-benar bahagia melihat kebahagiaan Jannah kini.    

        Cikgu Humaira mengiringi Jannah ke muka pintu biliknya dengan satu perasaan yang  sukar  digambarkan dengan kata-kata…. gembira, bangga, bersyukur, seronok dan semuanya bersatu dalam hatinya.   
         
             “Terima kasih, Allah.”     
                                                             
                                                
                                     
              
                     

    

Terima kasih kerana sudi membaca entri saya. Jika suka, silalah LIKE.