>
TUAI PADI ANTARA MASAK, ESOK JANGAN LAYU-LAYUAN, INTAI KAMI ANTARA NAMPAK, ESOK JANGAN RINDU-RINDUAN...

Sunday, May 13, 2012

Cabaran Guru Alaf Baharu...



Guru :
Wahai anak didikku
kau harus rajin belajar, tekun dan taat   
usah dibazirkan waktumu dengan perkara yang sia-sia
jadikan buku teman terbaikmu
kelak kau lulus dengan cemerlang
nanti dapat  masuk universiti pilihan
belajar pula kursus yang diinginkan
tak mahukah kamu?

Pelajar :
Ahhh…
sudahlah cikgu
aku muak menadah telinga
saban hari modal yang sama yang  kauhamburkan
dalam kelas tak payahlah berceramah
aku tahulah bagaimana mengurus waktuku
ibu di rumah pun tak pot pet pot pet begini

Guru :
Wahai anak muridku
kau harus ikuti semua peraturan
usah ego melanggar disiplin 
jangan  pula cuba melawan
pasti dirimu malu dihukum
mengusap punggung bila dirotan
dek nakalmu  tak pernah berkurang
jadi tontonan mata memandang
nanti ditolak mata demerit
lalu dilabel pelajar bermasalah
mahukah kamu digelar begitu? 

Pelajar :
Ahhh, cikgu!
kalau berani cubalah sentuh diriku
pasti ayah ibuku datang meluru
membantah tindakanmu yang cuba menyakitiku
tak kiralah walau aku yang bersalah
tunggulah saman dari mahkamah
pasti diri dan keluargamu menanggung padah
tak percaya?
cubalah...

Guru :
Wahai anak muridku
solat itu tiang agama
menutup aurat  itu satu kewajipan
jangan pun sekali meneguk yang haram
nanti hidupmu tiada keberkatan
dosa dan pahala jadi ukuran
cegah dirimu daripada kemungkaran
berbuat baik sesama insan
pasti dirimu diredhai Tuhan

Pelajar :
Ahhh ustazah...
usah berceramah memberi khutbah
lagakmu mengalahkan imam di masjid
ibu bapaku sendiri tak pernah kisah
jadi ada aku kisah?
Oh ya, lagi satu ustazah
mati nanti, kubur lain-lain ya....

Guru :
Oh Tuhan
mengapa begini
lancang sekali bila beralasan
angkuh dan sombong bila berkata
tak rela merendah 
mendabik dada 
berasa diri yang terhebat
hanya kepada-Mu aku berserah
kasihanilah mereka
ampunilah mereka
Ya Allah



Terima kasih kerana sudi membaca entri saya. Jika suka, silalah LIKE.

No comments:

Post a Comment