TUAI PADI ANTARA MASAK, ESOK JANGAN LAYU-LAYUAN, INTAI KAMI ANTARA NAMPAK, ESOK JANGAN RINDU-RINDUAN...

Tuesday, May 15, 2012

Zaman Sudah Berubah...



Zaman sudah berubah
dunia kini tanpa sempadan
teknologi juga kian canggih
segalanya di hujung jari
berfikir juga harus di luar kotak
membebas minda daripada belenggu kekolotan

Zaman sudah berubah
budak sekolah juga semakin hebat
datang ke sekolah berkereta mewah
mengalahkan cikgu sekolah
guru sekadar berkereta kecil
silap haribulan anak murid memotong
dan cikgu terkulat-kulat jauh ketinggalan

Zaman sudah berubah
tugas guru makin mencabar
guru-superb gelaran diberi
bilang sahaja apa kerja yang diarah
semuanya boleh tak boleh tidak
demi sekolah dan anak murid tercinta

Zaman sudah berubah
guru kini  tak boleh garang
banyak sungguh pantang larang
guru kini mesti penyayang
menyambut pelajar dengan senyuman 
ucapan terima kasih tak lekang dari bibir 
namun sayang
pelajar tak heran endah tak endah
jauh sekali mahu membalas
dunia sudah di akhir zaman

Zaman sudah berubah
guru kini hilang kuasa
jangan sesekali menjentik pelajar
walau niat untuk mendidik
pasti ibu bapa datang meluru
guru diherdik tak berpeluang bela diri   
ibu bapa angkuh dek punya pengaruh keliling
akhirnya, guru terima surat saman dari mahkamah
tak pasal-pasal diri dan keluarga menerima padah

Zaman sudah berubah
guru sekolah berhempas pulas
buat kelas tambahan penuh ikhlas
satu sen pun tak perlu bayar
namun pelajar tak pernah heran
pelajar yang datang boleh dibilang
pelajar tak datang beribu alasan
tuisyen termahal jadi tumpuan

Zaman sudah berubah
nah, itulah hakikat yang harus diterima 
walau tugas penuh cabaran 
walau diri tak lagi dihargai
guru tetap ikhlas mendidik
kalis tohmahan juga tuduhan
mendoakan anak didik terus berjaya
cemerlang dunia
cemerlang akhirat
jasa kami tak minta dibalas
cukup sekadar kekal dalam ingatan 
serta doamu untuk kami selalu
andai terselit ehsan di hati...









No comments:

Post a Comment