TUAI PADI ANTARA MASAK, ESOK JANGAN LAYU-LAYUAN, INTAI KAMI ANTARA NAMPAK, ESOK JANGAN RINDU-RINDUAN...

Monday, April 29, 2013

Meraikan Perbezaan Fahaman Politik....

Assalamualaikum....

                Pilihan raya Umum ke-13 akan berlangsung beberapa hari sahaja lagi.  Parti-parti politik semakin kuat berkempen.  Setiap parti menguar-uarkan manifesto parti masing-masing.  Semua itu merupakan fenomena biasa menjelang pilihan raya, namun sayang seribu kali sayang, budaya tidak sihat semasa berkempen semakin berleluasa dan menjadi-jadi di Malaysia.   Budaya tidak sihat yang saya maksudkan di atas ialah budaya keji-mengeji, kutuk-mengutuk dan saling membuka aib orang lain.  Para penyokong fanatik mana-mana parti politik akan mengutuk penyokong parti lawan.  Inikah yang dikatakan negara demokrasi?  Sesiapa pun yang disokong, itu ialah hak individu tersebut.  Saya berasa kesal akan sikap segelintir rakan-rakan. Mereka akan mengutuk rakan-rakan yang menyokong parti yang berlawanan dengan sindiran-sindiran tajam, siap dengan mempamerkan mimek muka yang menjengkelkan, kononnya parti yang disokonglah yang paling benar. Kenapa mesti begitu?  Bukankah negara kita negara demokrasi?  Jadi, raikanlah perbezaan fahaman politik yang dipegang oleh setiap individu.  

            Saya bukanlah seorang ahli politik atau penyokong fanatik mana-mana parti politik.  Saya hanyalah seorang insan kecil yang begitu naif tentang politik, sandiwaranya, juga tipu dayanya, namun saya memerhati dan menilai dalam diam.  Saya akan memilih individu yang mempunyai ciri-ciri pemimpin seperti yang dituntut oleh Islam, namun tidak perlu saya menghebahkan siapa atau parti politik mana yang saya sokong dan akan saya undi kerana bagi saya, undi saya adalah rahsia. Yang penting, saya menunaikan tanggungjawab saya sebagai seorang warganegara yang bertanggungjawab, memilih pemimpin yang saya fikir layak untuk menjadi pemerintah.  Saya pernah terbaca  satu tulisan  oleh seorang penulis bahawa mereka yang merahsiakan undi mereka sebenarnya pengecut, dan  selalunya mereka ini merupakan kakitangan kerajaan.  Dalam satu tulisan lain pula, penulisnya menyatakan bahawa mereka yang tidak berani menyatakan sokongan kepada mana-mana parti politik secara terbuka juga dianggap pengecut.  Terpulanglan kepada  kedua-dua penulis tersebut untuk membuat andaian.  Saya tetap dengan pendirian saya untuk tidak menghebahkan parti politik pilihan saya.  Walaupun begitu, saya menghormati pilihan orang-orang yang ada di sekeliling saya kerana itu merupakan hak mereka untuk menyokong sesiapa sahaja.  Ayuh, raikanlah perbezaan fahaman politik yang wujud di negara kita kerana negara kita ialah negara demokrasi. 

           

Saturday, April 27, 2013

Follower Oh Follower...

          



          Oh, saya baru sahaja terperasan tentang pengikut blog saya ini apabila seseorang menegur saya bahawa blog saya tidak mempunyai ramai 'follower'.  Yalah, baru 22 orang, tetapi "ada saya kisah?"  (hehehehe...jawapan trend sekarang, tumpang sekaki...) Mungkin blog saya tidak popular dan entri-entri saya juga tidak popular, tetapi tidak mengapa.  Saya membina blog ini bukan untuk mencari populariti  mahupun 'follower', tetapi semata-mata kerana saya suka menulis.  Kristal Bening terilham hasil daripada minat saya yang suka berkarya.  Ia sebagai ganti diari saya.  Jika ada sesiapa yang membaca atau terbaca tulisan saya, terima kasih saya ucapkan dan jika ada yang meninggalkan komen, ia merupakan satu bonus untuk saya. Saya tetap akan menulis dan berkarya walaupun tiada sesiapa pun yang sudi membacanya. Noted!

Thursday, April 25, 2013

Hijrah....


Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh...


               Definisi 'hijrah' dari segi etimologi bermaksud 'berpindah dari suatu tempat ke suatu tempat yang lain', manakala definisi 'hijrah' dari segi agama bermaksud 'berubah daripada sesuatu yang tidak baik kepada yang baik, dan daripada sesuatu yang baik kepada yang lebih baik.' Penghijrahan  diri amat dituntut dalam Islam dalam usaha menjadi insan yang lebih sempurna daripada sebelumnya,  Saya sedar bahawa tiada manusia yang sempurna di dunia ini tetapi kita harus berusaha ke arah itu.  Penghijrahan yang tulus dan ikhlas akan berlaku bukan atas desakan atau pengaruh sesiapa, tetapi ia terjadi kerana terbit rasa insaf dalam diri seseorang.  Penghijrahan yang terjadi akibat desakan atau pengaruh mana-mana pihak tidak akan kekal lama. Beruntunglah sesiapa sahaja andai menerima hidayah daripada-Nya untuk berhijrah dalam usia yang masih muda.  Saya sendiri telah melihat beberapa orang bekas pelajar  saya yang telah berhijrah dalam usia yang masih muda.  Sebaik melangkah kaki keluar dari alam persekolahan, mereka terlibat dengan dakwah sihat hingga diberi hidayah untuk berhijrah.   Tersentuh hati saya melihat perubahan mereka.  Alhamdulillah, berbahagialah kedua-dua ibu bapa mereka kerana dikurniakan zuriat seperti mereka yang akan membawa mereka ke syurga, insya-Allah.

                 Penghijrahan boleh berlaku dalam pelbagai sudut.  Antaranya penghijrahan pemikiran, kepercayaan, akhlak dan tingkah laku, pakaian (penampilan) serta cara hidup.  Saya sendiri kini dalam proses berhijrah. Saya berazam untuk menjadi saya yang lebih baik daripada sebelum ini.  Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa saya yang lepas.  

                   Dari sudut fahaman politik pula, dahulu saya begitu angkuh kerana tidak mahu 'ambil tahu' tentang politik kerana bagi saya, politik itu kotor. Walau apapun,  saya tetap mengundi, dan undi saya adalah rahsia.  Pada saya, sesiapa jua atau mana-mana pihak sekalipun yang menjadi pemerintah, pasti mempunyai agenda politik kotor masing-masing.  Hasil pembacaan saya, kini saya mula sedar bahawa menjadi tanggungjawab setiap warganegara untuk menentukan pemerintah. Berdosa seseorang itu andai memberi hak kepada pihak yang tidak layak untuk menjadi pemerintah.  Jika pun tiada parti politik yang benar- benar bagus, tapi pasti ada yang lebih bagus daripada yang satu lagi.  Jadi, wajib bagi dirinya memilih parti yang lebih bagus itu.  Penghijrahan pemikiran dan kepercayaan saya kini menyakinkan saya tentang siapa yang patut saya pilih untuk menjadi pemerintah. Sesiapa pun yang akan saya pilih nanti, undi saya tetap rahsia.







Tuesday, April 23, 2013

Muhasabah Diri...Kenapa Tidak Cemerlang?

         
               
             Coretan ini saya tujukan kepada anak-anak didik saya di SMK Taman Tasik, khususnya pelajar-pelajar prauniversiti 2013 dan yang lain umumnya.

     Sebagai guru yang telah mengajar hampir 20 tahun lamanya, saya sudah menghadapi pelbagai jenis dan ragam pelajar.  Pelajar yang tidak cemerlang selalunya lebih ramai  daripada pelajar yang cemerlang.  Jika anda tergolong dalam golongan pelajar cemerlang, alhamdulillah, tetapi jika anda tergolong dalam golongan pelajar tidak cemerlang, anda sepatutnya memuhasabah diri  dan bertanya kepada diri sendiri, "kenapa aku tidak cemerlang?"

          Syarat asas untuk menjadi insan cemerlang ialah 'disiplin diri'.  Jika anda tidak mampu mendisiplinkan diri anda sendiri, jangan bermimpi untuk menjadi insan cemerlang!  Saya yakin anda pernah bercita-cita untuk menjadi pelajar cemerlang, tetapi anda tidak pernah berusaha ke arah itu.  Jika anda tidak mampu mematuhi peraturan sekolah, iaitu datang tepat pada waktunya, selalu ponteng sekolah atau kelas, suka menangguhkan kerja, tidak menyiapkan tugasan atau latihan yang diberikan guru, tidak fokus pada pengajaran guru di dalam kelas dan sebagainya, bagaimana anda hendak cemerlang?   Cuba anda lihat pelajar-pelajar cemerlang yang anda kenal, adakah sikap mereka seperti anda?  Pelajar cemerlang selalunya sangat berdisiplin dalam hidup mereka.  Mereka merupakan golongan manusia yang menepati masa, mematuhi peraturan sekolah, tidak pernah ponteng sekolah atau kelas tanpa sebab, tidak menangguhkan kerja, selalu menyiapkan tugasan atau latihan yang diberikan oleh guru serta sentiasa fokus pada pengajaran guru di dalam kelas!

         Dalam konteks ini, sikap berkait rapat dengan disiplin diri dan merupakan faktor utama sebagai penentu kejayaan selain bertawakal dan berdoa kepada-Nya. Sikap positif  akan membuahkan kecemerlangan, manakala sikap malas dan tidak menjadikan kegagalan lalu sebagai pengajaran (tidak insaf)  akan menjuruskan diri kepada kegagalan  untuk selama-lamanya.  Pernah anda mendengar dan membaca pengakuan pelajar-pelajar cemerlang tentang tips mereka untuk tampil cemerlang?  Kesemua mereka menyatakan bahawa fokus pada pengajaran guru di dalam kelas ialah kunci utama untuk berjaya.  Jadi kenapa anda tidak meneladani mereka?   Jika anda benar-benar mahu menjadi pelajar cemerlang, berusahalah untuk mengubah sikap anda. Tiada siapa yang mampu mengubah takdir anda, kecuali diri anda sendiri. Berilah peluang kepada diri anda untuk mengecapi kecemerlangan seperti orang lain. Insya-Allah, dengan izin-Nya, anda pasti boleh!

Wednesday, April 10, 2013

Sungguh, Diri Ini Redha....


       Setelah memuhasabah diri, saya akur dan menerima segala yang terjadi dengan hati terbuka, jadi tidak timbul lagi istilah 'marah' dan 'jauh hati.'  Saya redha akan segala yang tertulis.  Saya juga sedar, dalam hidup ini kita wajib berhijrah, daripada yang tidak baik, kepada yang baik, dan daripada yang baik, kepada yang lebih baik. Mungkin saya sedikit emosional pada awalnya, tetapi kini tidak lagi. 

       Saya tahu bahawa saya tidak keseorangan kerana Dia sentiasa ada untuk mendengar segala keluh kesah dan rintihan saya.  Kini saya sedang berusaha untuk melupakan segala yang pernah menjadi kenangan dalam hidup saya, termasuklah sebuah persahabatan.  Bukan kerana saya terluka, tetapi kerana saya harus meneruskan hidup saya yang masih berbaki dengan penuh ceria tanpa menoleh ke belakang lagi...dan yang paling penting, kerana saya sudah penat untuk memikirkannya....

        Pada perkiraan saya, sudah acap kali saya memberikan kemaafan dan untuk yang terakhir kalinya, saya sekali lagi memberi kemaafan, jika itu yang dipinta.  Harapan saya, biarlah keadaan kini kekal untuk selama-lamanya...kerana begini lebih baik untuk kita.