TUAI PADI ANTARA MASAK, ESOK JANGAN LAYU-LAYUAN, INTAI KAMI ANTARA NAMPAK, ESOK JANGAN RINDU-RINDUAN...

Wednesday, June 26, 2013

Warkah Cinta...


Assalamualaikum....

               Secara kebetulan semasa saya sedang membincangkan tajuk variasi bahasa dengan pelajar-pelajar saya pagi tadi sewaktu berlangsungnya proses pengajaran dan pembelajaran BM di dalam kelas, saya ada menyebut tentang penggunaan panggilan-panggilan hormat yang melambangkan bahasa halus.  Antaranya ialah panggilan kekanda, adinda, bonda, ayahnda, nenda dan sebagainya, selain bahasa istana.  

           Tiba-tiba saya teringat pengalaman saya menulis surat dahulu, lalu saya bercerita kepada pelajar-pelajar saya bahawa saya selalu menulis surat kepada ibu saya sewaktu saya belajar di universiti.  Panggilan hormat yang saya gunakan di dalam surat tersebut  untuk merujuk ibu saya ialah 'bonda'.  Saya juga sering menulis surat kepada bapa dan ibu saudara saya yang tinggal di Johor dan Kuala Lumpur pada waktu itu dan merujuk mereka dengan panggilan 'ayahnda dan bonda'  juga. Saya masih ingat, kandungan isi surat saya begitu sopan dan saya menggunakan bahasa formal dengan ejaan lengkap  namun bersifat mesra.  Apabila mengenangkannya, saya berasa agak bangga (bukan riak) kerana saya sudah menggunakan bahasa yang baik sejak zaman persekolahan lagi.  Jadi tak hairanlah kalau saya akhirnya menjadi guru bahasa Melayu, kan?

            Tiba-tiba saya juga teringat bahawa saya pernah menulis surat cinta kepada jejaka hati saya sepanjang saya berada di Perlis. Maklumlah, dulu manalah ada telefon bimbit untuk kami bermesej-mesej, jadi terpaksalah kami berhubung melalui surat. Saya berada di sana kurang lebih dua bulan kerana membuat latihan mengajar  (LM2) pada waktu itu.   Setiap kali saya menulis surat, saya akan bercerita segala-galanya kepada beliau, kerana dengan berbuat demikian, kerinduan saya terhadap beliau terubat.   Memang saya sendiri tidak percaya bahawa saya boleh menulis hingga 10 muka surat setiap kali saya menulis surat kepada beliau, dan saya memaksa beliau membalas 10 muka surat juga kepada saya.  Walaupun pada awalnya beliau tidak mampu, namun beliau berusaha demi cinta beliau terhadap saya.  Ahirnya, beliau berjaya juga memenuhi permintaan saya. 

           Sebenarnya bukan isi surat atau kisah cinta kami yang hendak saya tulis di sini.  Saya sekadar berkongsi cerita dengan pelajar-pelajar saya bahawa pada waktu itu, walaupun saya hanya menulis surat cinta, namun saya menggunakan bahasa yang gramatis dengan ejaan yang lengkap.  Selain itu, saya juga memfailkan semua surat cinta kami sebagai bahan dokumentasi sejak dulu, hahahaha..(rujuk gambar hiasan).  Saya mengamalkan sistem 'failing' sejak dulu dan saya sangat cerewet tentangnya.  Oleh sebab itu jugalah saya mendidik pelajar-pelajar saya mengamalkan sistem 'failing'  yang sama untuk subjek bahasa Melayu.  Fail yang lengkap, rapi dan mempunyai indeks. Mungkin kerana teruja mendengar cerita saya, pelajar-pelajar saya meminta saya membawa surat-surat tersebut ke sekolah kerana mereka mahu membaca surat-surat saya itu.  Oh tidak!  Saya fikir, cukuplah sekadar saya memuat naik gambar surat-surat saya itu di sini sebagai bukti.  Harap mereka berpuas hati...:D


Wassalam....
            

             

Jerebu...


Siang jadi kelam
malam jadi hitam
hela nafas tak puas
dada bagai dihimpit
mata pedih berair
kepala pening kadang berdenyut
tekak mual meloya
itulah penangan jerebu

Sekolah cuti
anak-anak seronok
mak bapak bising
anak-anak siapa nak jaga?

Jerebu di Kuala Lumpur salah siapa?
padan muka, kata mereka...
asap pulang kepada tuan
sindiran atau hakikat?
atau sekadar alasan untuk menyorok tangan...

Bumi makin tenat
dek tangan yang rakus 
membakar segala yang tumbuh
meranap segala yang tegak
bumi merintih
menunggu ajal yang kian mendekat
namun tak siapa yang cakna
















Saturday, June 15, 2013

Pesanan Keramat Seorang Guru...


           Pada 13 Mei 2013 yang lepas, saya telah ditanda pada sekeping gambar di 'facebook' oleh seorang bekas pelajar saya  (saudara Ierwan Ismail) yang pernah saya ajar 13 tahun yang lepas di sekolah lama saya iaitu HSBM (Sek. Tinggi Bukit Mertajam). Saya mengajar beliau  di tingkatan enam rendah (2000) dan enam atas (2001).    Sebaik sahaja saya melihat gambar tersebut, saya berbisik di dalam hati, subhanallah....Saya sebenarnya tersentuh melihat gambar itu.  Gambar itu tidak mempunyai apa-apa keistimewaan, selain hanyalah sebuah catatan ringkas pada sekeping kertas.  Saya sendiri sebenarnya sudah lupa bahawa saya pernah menulis catatan tersebut sehinggalah saya membacanya semula.
                        
              "Ierwan anak didikku,
    
                      Semoga Ir dapat jawab soalan peperiksan dengan jayanya, dapat keputusan cemerlang dan dapat masuk (belajar) ke universiti.  Semoga bebelan cikgu menjadi motivasi untuk Ir berjaya dan terus berjaya, tetapi jangan lupa akan cikgu ya.....and lastly, stay cute.
                                                                                        
                                                                                                                                                  Salam kasih sayang daripada orang KL to be,
                                                                                                         -Cikgu Zu-"


                Saya tersenyum tatkala membaca catatan saya itu.  Saya berasa lebih tersentuh dan terharu apabila bekas pelajar saya itu memberitahu saya bahawa pesanan terakhir itu saya tulis di dalam  buku 'autograf' beliau semasa saya hendak berpindah ke Kuala Lumpur pada akhir tahun 2001.  Pada tahun 2002, saya mula mengajar di Ampang, Selangor.  Beliau telah mengoyak helaian yang tertulis catatan saya itu agar senang dibawa oleh beliau ke universiti. Apabila saya memerhatikan gambar tersebut, ternyata kertas catatan saya itu tidak mempunyai tanda lipatan atau gumpalan.  Jadi saya membuat rumusan sendiri bahawa beliau begitu cermat dan berhati-hati menjaga helaian catatan saya itu seolah-olah catatan itu sangat berharga kepada beliau.  Kata beliau lagi, catatan saya itu mempunyai nilai yang tersendiri kepada beliau. Oleh sebab itulah beliau menyimpannya hingga kini kerana ia menjadi pemangkin semangat beliau. Menurut beliau lagi, beliau biasa mengalami kegagalan, namun beliau berjaya bangkit untuk berjaya.  Pesanan saya itu merupakan salah satu faktor yang menjadi perangsang kepada beliau untuk berjaya.  Alhamdulillah, beliau kini sudah berjaya.  Beliau kini bergelar pensyarah dan mempunyai sebuah keluarga bahagia yang sangat sempurna di mata saya. Tahniah Ierwan bin Ismail.  Cikgu bangga akan awak dan cikgu juga bangga kerana pernah mempunyai seorang pelajar seperti awak.

               Sesungguhnya saya tidak menyangka bahawa sepanjang saya menjadi guru, rupa-rupanya kata-kata, nasihat dan kadang-kadang bebelan saya menjadi sumber inspirasi kepada sebahagian besar bekas pelajar-pelajar saya.  Saya sangat bersyukur kerana berjaya 'mendidik' mereka.  Saya juga berasa sangat bahagia kerana mereka masih mengenang saya hingga kini...

               Saya juga teringat  seorang bekas pelajar saya dari sekolah yang sama dengan Ierwan, cuma bekas pelajar saya ini lebih 'senior' daripada Ierwan.  Nama beliau ialah Azizi bin Mohamad.  Beliau kini merupakan seorang 'konsultan' yang berjaya. Beliau telah berkahwin dengan rakan sekelas beliau yang juga merupakan bekas pelajar saya dahulu.  Mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata. 

                 Sewaktu saya mengajar Azizi, saya baru sahaja menjadi guru selama beberapa tahun.  Oleh sebab saya masih baru mengajar, kenangan saya tentang keseronokan menjadi seorang mahasisiwi masih kuat melekat dalam minda saya.  Pada waktu itu, saya selalu bercerita kepada para pelajar saya tentang seronoknya pengalaman menjadi seorang mahasiswi.  Segala aktiviti saya semasa saya menjadi mahasiswi di universiti (USM), saya ceritakan kepada para pelajar saya.  Tujuan saya berbuat demikian agar mereka dapat membayangkan keseronokan tersebut  dan mengalami sendiri pengalaman menjadi mahasiswa dan mahasiswi universiti.  Akhirnya, saya berkata kepada mereka, andai mereka mahu merasai sendiri pengalaman tersebut, mereka harus belajar bersungguh-sungguh agar mendapat keputusan cemerlang dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke universiti idaman mereka.  Saya masih ingat, bagaimana terujanya mereka tatkala mendengar cerita saya tentang pengalaman-pengalaman indah saya di universiti.  Setelah Azizi menduduki peperiksaan STPM, akhirnya beliau berjaya melanjutkan pelajaran di UKM. 

                  Waktu berlalu.  Pada suatu hari, tanpa diduga, saya telah menerima sekeping poskad  daripada Azizi.  Azizi pada waktu itu sedang belajar di tahun pertama di UKM dalam jurusan Sains Sosial atau Sains Kemasyarakatan (saya tidak begitu pasti). Saya masih ingat ayat-ayat yang ditulis oleh Azizi pada poskad itu hingga kini.  

              " Assalamualaikum Cikgu.
  
                              Saya sekarang sedang belajar di UKM.  Cikgu, kini saya merasai sendiri apa yang cikgu ceritakan kepada saya dahulu tentang pengalaman cikgu semasa belajar di universiti.  Apa yang cikgu alami, saya juga alami dan merasainya.  Memang seronok, cikgu.  Terima kasih cikgu kerana mengajar saya hingga saya berjaya melanjutkan pelajaran di universiti.

                                                                                                               Daripada bekas anak muridmu,
                                                                                                                   Azizi bin Mohammad."

               Saya tidak pasti sama ada Azizi masih ingat atau tidak tentang poskad yang dikirimnya kepada saya dahulu.  Apa-apa pun, saya juga berbangga kerana pernah mempunyai seorang pelajar seperti Azizi.    Hingga kini, kami masih berhubung melalui facebook.  

                 Itulah dua cerita tentang pelajar saya yang begitu menghargai nasihat-nasihat saya.   Mungkin ada lagi  bekas pelajar-pelajar saya yang lain yang turut menjadikan nasihat dan kata-kata saya sebagai motivasi kepada mereka untuk melakar kejayaan dalam hidup mereka.  Mereka merupakan antara dua orang pelajar saya daripada beribu-ribu pelajar saya yang lain yang telah berjaya menjadi insan berguna kepada agama, bangsa dan negara. 

                Sebenarnya ramai juga bekas pelajar saya yang menjadi rakan saya  di laman facebook.  Jika ada bekas pelajar-pelajar cikgu yang membaca tulisan cikgu ini dan cerita mereka hampir sama seperti Ierwan dan Azizi, maafkan cikgu kerana  tidak menyebut nama anda. Segala yang ditulis ini sekadar untuk menjadi kenangan cikgu  pada masa akan datang.  Wallahhuallam....