>
TUAI PADI ANTARA MASAK, ESOK JANGAN LAYU-LAYUAN, INTAI KAMI ANTARA NAMPAK, ESOK JANGAN RINDU-RINDUAN...

Wednesday, September 3, 2014

Di sini Lahirnya Sebuah Cinta




Di sini lahirnya sebuah cinta
di tanah tumpah darah
bumi bertuah
negaraku Malaysia

Cinta yang lahir
bukan cinta biasa
terungkap dalam setiap hela nafas
menjalar dalam setiap denyut nadi
merimbun dalam segenap ruang hati

Cinta itu 
pada bumi bertuah 
tak rela dijajah
sanggup berjuang
berkorban apa sahaja
keringat, juga darah
nyawa, galang gantinya 

Di sini adat dijunjung
di sini maruah dipertahan
perlembagaan dipatuhi
tiga bangsa memeterai janji
siapa tuan
siapa menumpang
itu bukan persoalan
jangan ada curiga sesama kita
yang pasti semua bersatu
memperteguh cinta
terhadap tanah tumpah darah

Ayuh semua 
pencinta negara
nyahkan petualang
singkirkan pembelot
hanya yang setia
yang berhak di sini
ayuh saling memerah keringat
menggalas tanggungjawab
memajukan negara juga bangsa
agar cinta yang lahir
tak sekadar di bibir sahaja

Selamat Hari Kemerdekaan 2014 yang ke-57...




















Terima kasih kerana sudi membaca entri saya. Jika suka, silalah LIKE.

Saturday, July 26, 2014

MH 17


18 Julai 2014
mimpi ngeri berulang
sebuah lagi MH bernasib malang
terkejut bukan kepalang
tatkala menerima khabar
longlai seluruh tubuh
mutiara bening menitis tanpa sedar

MH370 masih misteri
hilang tak berjejak
kini MH17 ditembak jatuh
terhempas di bumi bergolak
Ya Allah, bala apakah ini?
ampunilah kami...

Siapakah petualang?
siapakah dalang?
nyawa tak berdosa jadi taruhan
ratap tangis keluarga tiada terkesan
di hati mereka 
yang tak punya perasaan

Ya Allah
ampunilah mereka
kasihanilah mereka
tempatkanlah roh mereka
dalam kalangan mereka yang beriman
di sisi-Mu











Terima kasih kerana sudi membaca entri saya. Jika suka, silalah LIKE.

Saturday, May 3, 2014

Dalam Doaku Ada Kamu...


Mereka yang teristimewa
ayah bonda
suami tercinta
anak-anak permata hati
abang kakak dan juga adik
anak didik silih berganti
guru-guru yang pernah mendidik
saudara-mara
juga sahabat-handai
atau sesiapa pun jua
yang pernah singgah di hati
yang selalu hadir dalam ingatan
maka
dalam doaku ada kamu

Ya Allah
Engkau maha perkenan
kurniakanlah mereka
usia yang diberkati
kesihatan yang berpanjangan
rezeki yang melimpah
kebahagiaan yang berterusan
serta amalan yang diterima

Antara kita
mungkin pernah ada sengketa
terguris hati tercalar rasa
namun itu lumrah
kita hamba-Nya
tak pernah sunyi daripada kekhilafan
ampun maaf dipinta
semoga ukhwah 
tetap utuh dimamah usia

Semoga
dalam doamu jua
ada aku...













Terima kasih kerana sudi membaca entri saya. Jika suka, silalah LIKE.

Hadiah Hari Lahir 2...


Coretan  Untuk Seorang Norzuraidah..

Hadirmu umpama percikan sinar mentari
menyilaukan alam
tiada taranya
tegas ajaranmu ilmu dicurahkan
pusaka agung bangsa Melayu jadi sarinya
penat dan lesu tiada peduli
cita anak bangsamu jadi pemangkin

Selagi waktu masih berputar 
kudratmu tak akan pudar 
dugaan demi dugaan kau tempuhi
tiada yang mampu menggugatmu
engkau satu dalam seribu
dirimu tiada yang lain dalam fana ini
ilmu dicurahkan moga berkekalan

(Ahmad Azwadie @ Tukang Kata :
Nukilan khas buat guru bahasa Melayu terbaik sepanjang zaman, Pn. Norzuraidah Md Nor)


       Terharu,  sungguh saya terharu!  Puisi ini merupakan nukilan oleh seorang pelajar saya sempena hari lahir saya yang jatuh pada tanggal 5 Mac baru-baru ini, namun hanya kini baru saya berkesempatan untuk menulis tentangnya. Saya tidak pernah menyangka bahawa pelajar saya ini rupa-rupanya pandai menulis puisi.  Terima kasih Azwadie. Puisi ini merupakan antara hadiah hari lahir saya yang paling menyentuh hati, selain sebiji kek harijadi dan sebuah majlis kejutan untuk saya oleh pelajar-pelajar saya di dalam kelas. Saya juga menerima hadiah-hadiah lain yang sangat comel, ikhlas daripada mereka. 

      Pada hari yang sama juga, saya menerima pesanan ringkas daripada seorang pelajar saya yang menulis begini,
"Cikgu, selama saya belajar di sekolah selama 13 tahun, cikgu merupakan guru terbaik yang pernah saya jumpa. Semoga cikgu dirahmati tuhan selamanya." - Murrali a/l Bemalin.

      Terima kasih kepada semua pelajar cikgu, U6SS1 2014, ikhlas dari hati cikgu yang terdalam.































       Sebenarnya bukan pelajar-pelajar saya pada tahun ini sahaja yang meraikan hari lahir saya, malah hampir setiap tahun ada sahaja majlis kejutan untuk saya.  Biasanya saya akan membuat kek hari lahir saya sendiri dan membawanya ke sekolah untuk menjamu pelajar-pelajar saya, kononnya satu kejutan daripada saya untuk mereka, namun mereka lebih 'advance' daripada saya.  Mereka pandai berlakon dan menghadiahkan satu majlis kejutan untuk saya.  Terima kasih juga kepada semua pelajar cikgu, U6SS1 2013 dan tahun-tahun sebelumnya.  Cikgu sayang awak semua!
















Terima kasih kerana sudi membaca entri saya. Jika suka, silalah LIKE.

Wednesday, April 23, 2014

Menulis Dari Hati...



Assalamualaikum,
      
                   Sejak sajak saya yang terakhir, iaitu 'Damailah Engkau di sisi-Nya" saya tulis, Kristal Bening kembali sepi. Bukan mudah untuk saya menulis kerana saya bukan penulis profesional.  Saya cuma seorang insan biasa yang menulis berdasarkan gerak hati.  Bukan semua perkara boleh saya tulis kerana ilham hanya datang sesekali apabila adanya sesuatu peristiwa yang melekat di hati dan mengusik jiwa saya, lalu menjentik hati saya untuk menzahirkannya melalui bahasa yang lebih berkesan.  

        Sejak sajak saya yang bertajuk "Terkhusus Untukmu....Kapten Zahari Ahmad Shah" tersiar  di dada akhbar tempatan sedikit masa lalu, Kristal Bening menerima kunjungan yang agak tinggi dalam tempoh seminggu.  Saya sendiri agak terkejut, namun gembira.  Yang paling mengharukan saya apabila ada pembaca yang meninggalkan komen-komen yang  membina.  Terima kasih saya ucapkan.  Saya sebenarnya tidak pernah menyangka bahawa tulisan saya itu turut menggambarkan perasaan mereka terhadap tragedi MH370.  Kata mereka, tulisan saya berjaya menterjemahkan perasaan mereka dengan tepat. Dari situ, teman facebook saya juga bertambah. Saya juga tidak pernah menyangka bahawa saya kini ada peminat. Terharunya saya! "I like your writtings.  I am a fan of yours." - Swan Hwa

        Menurut peminat saya itu, "your poems are so true and brought tears to my heart. I like the way you put your thoughts on your writtings. And nice knowing that somehow, somewhat and somewhere there, though just on thoughts, but thoughts that are what brought people together." Terima kasih, Swan Hwa, satu-satunya peminat saya. Benar, suatu pemikiran yang sama mampu menyatukan manusia, dan ternyata kami cuba saling mengenali antara satu sama lain kerana kami mempunyai 'rasa' yang sama. 

     Kata bekas pengetua saya pula, tulisan saya begitu menyentuh perasaan kerana saya menulis dengan mata hati. Terima kasih jua, Pn. Zaini, dan menurut Sir Lim Khan San, "I like both of your poems, Pulanglah MH370 dan Terkhusus Untukmu... I got to know you from your poems." Thank you Sir.

           Sebenarnya, tulisan saya biasa-biasa sahaja, mudah dan polos.  Saya tidak pandai menggunakan ayat-ayat yang puitis sebagaimana tulisan mereka yang sangat profesional dalam bidang ini.  Saya bukan orang 'sastera' tetapi saya orang 'bahasa'. Saya tidak pandai menggunakan unsur hiperbola, personifikasi, metafora dan segala ciri gaya bahasa dalam puisi. Walaupun tulisan saya tidak berseni, namun saya puas kerana saya menulis dari hati dan penuh kejujuran.  Jika pun tulisan saya masih dianggap seni, seni saya untuk masyarakat, bukan seni untuk seni.


Terima kasih kerana sudi membaca entri saya. Jika suka, silalah LIKE.

Tuesday, March 25, 2014

Damailah Engkau di Sisi-Nya...


17 hari penuh ranjau
misi pencarian tak kenal lelah
seluruh tenaga sudah dikerah
semua aset dikeluarkan sudah
lautan nan luas tetap diredah

Akhirnya
tanggal 24 Mac 2014
penantian bernoktah
satu ucapan
menyentap tangkai hati
MH370 mengakhiri perjalanan
di selatan lautan Hindi

Jantung bagai terhenti
lemah longlai seluruh tubuh
segala rasa bersatu
lidah kelu 
tak mampu berkata
hanya derai air mata
mengiringi khabar duka

Seluruh dunia meratap hiba
pergimu menyentap jiwa
esak di mana-mana
tangis tak lagi berlagu

Ya Allah
andai ini ketentuan
jika ini qada' dan qadar
kami redha
kami pasrah
dari Engkau kami datang
kepada Engkau kami kembali

Ya Allah tuhanku
ampunilah mereka
kasihanilah mereka
tempatkanlah mereka
di tempat yang mulia di sisi-Mu

MH370
pusaramu tak bernisan
hanya doa kami kirimkan
walau kami menyayangimu
namun
Dia lebih mengasihimu
segala yang tersurat
pasti ada hikmah yang tersembunyi
kerna
hanya Dia yang mengetahui
doa kami tak akan putus
damailah engkau di sisi-Nya

Sungguh
walau redha dengan berita yang diterima
namun
di sudut hati yang terdalam
masih mengharapkan keajaiban
entah kenapa...
mungkin kerna
belum melihat bukti yang nyata

Biarlah
aku tak mahu berhenti berharap...












Terima kasih kerana sudi membaca entri saya. Jika suka, silalah LIKE.

Sunday, March 23, 2014

Terharu...

Berita Harian :  Selasa 25 Mac 2014

The Star : 26 Mac 2014

Berita Harian : 27 Mac 2014

Berita Harian : 27 Mac 2014

"Di kala media membuat tuduhan-tuduhan tidak berasas, sekurang-kurangnya sajak Norzuraidah Md Nor dapat mengubati luka dan kesedihan kami sekeluarga.  Terima kasih" - Ahmad Idris Zaharie.



      Terharu! Hanya sepatah perkataan itu yang mampu saya ungkapkan tatkala terbaca komen balas saudara Ahmad Idris Zaharie (anak kepada Kapten Zaharie) terhadap sajak saya yang dimuat naik di halaman Friends of Captain Zaharie MH370 pada 21 Mac 2014.  Sajak saya yang pertama iaitu "Pulanglah MH370" terilham kerana saya terlalu memikirkan MH370.  Sebaik sahaja selesai berdoa, saya terus menzahirkannya di dada Kristal Bening. Sajak kedua saya yang berjudul "Terkhusus Untukmu...Kapten Zaharie Ahmad Shah" yang berselang 7 hari dengan sajak pertama pula, terilham kesan daripada kekecewaan saya apabila membaca dan mendengar tuduhan demi tuduhan yang tidak berasas terhadap Kapten Zaharie.  Kalau saya yang tidak pernah mengenali beliau begitu terluka dengan tuduhan-tuduhan tersebut, apatah lagi keluarga beliau.  Saya turut merasai kelukaan, kesakitan dan kesedihan keluarga beliau.  Kedua-dua sajak saya itu sekadar  tanda sokongan saya terhadap MH370 dan Kapten Zaharie.  Kepada media dan mana-mana pihak yang suka menangguk di air keruh, hentikanlah fitnah kalian terhadap Kapten Zaharie!


       Saya menyeru semua rakyat Malaysia agar terus berdoa untuk MH370 dan semoga Kapten Zaharie dan krew yang lain serta semua penumpang MH370 selamat dan kembali ke pangkuan kita dalam masa yang terdekat.  Selagi tiada bukti yang menunjukkan MH370 terhempas, usah berhenti berharap!

Terima kasih kerana sudi membaca entri saya. Jika suka, silalah LIKE.

Wednesday, March 19, 2014

Terkhusus Untukmu...Kapten Zaharie Ahmad Shah


Tanggal 8 Mac 2014
tarikh perkenalan
kutatap wajahmu
di dada berita
cuba aku selami  
untuk kukenal dirimu 

Kau bukan sesiapa denganku
bukan ayah
bukan abang
bukan adik
bukan juga suami
namun 
dirimu dekat di hati
bukan kerana aku cinta
hanya kerana 
aku mengagumi

Fitnah datang
bertubi-tubi
dari segenap arah
bagai panah tak bermata
menusuk jiwa
apa dayamu
tak mampu menepis
kerna engkau 
entah di mana

Kutulikan telinga
tak sanggup mendengar
kubutakan mata
tak sanggup membaca
tuduhan demi tuduhan
yang dilemparkan kepadamu
tidak aku mempercayainya
walau sebesar zarah

Keluargamu terluka
aku juga
pulanglah segera
agar kau bisa bersuara
menyangkal segala cela
yang semakin bermaharajalela

Aku bersama yang lain
yakin dan percaya
kau punya segala jawapan
untuk setiap persoalan
dan segala tindakanmu
berdasarkan akal yang waras

Aku bersama yang lain
yakin dan percaya
nyawamu kau pertaruhkan
demi MH370

Yakinlah
percayalah
Allah sentiasa bersamamu...












Terima kasih kerana sudi membaca entri saya. Jika suka, silalah LIKE.

Friday, March 14, 2014

Usah Berhenti Berharap...






                                     



                                       





Terima kasih kerana sudi membaca entri saya. Jika suka, silalah LIKE.

Wednesday, March 12, 2014

Pulanglah...MH370


Tatkala mendengar berita
lewat tengah hari 8 Mac 2014
dari kaca televisyen
hati tertanya-tanya
benarkah?

Hilangmu dari radar
tiada jejak
misteri
dan dunia pun gempar

Sungguh 
aku berduka
menangis dalam diam
walau bukan saudara
bukan jua rakan taulan
namun 
hilangmu
meruntun hati semua

Doa untukmu tak pernah putus
dalam jaga
seusai solat
hanya satu yang dipinta
agar dirimu baik-baik sahaja

Semakin lama menatap berita
semakin banyak mendengar cerita
hati semakin terluka
fitnah di mana-mana
andaian demi andaian
mencalar maruahmu
merobek jiwaku

Rindu padamu menyesak dada
pulanglah...
tamatkan saja penantian ini
biar hati tenang 
biar semua fitnah berkubur
biar semua teka-teki terjawab

Rindu padamu tak pernah bernoktah 
pulanglah...
tak sabar mahu menyambutmu
dengan air mata gembira
kami tak akan marah
kau akan kami peluk erat

Ya Allah
Engkau maha besar
Engkau maha berkuasa
Engkau maha mengetahui
Engkau permudahkanlah
jangan Engkau persulitkan
temukanlah 
biar segalanya berakhir...




Terima kasih kerana sudi membaca entri saya. Jika suka, silalah LIKE.