TUAI PADI ANTARA MASAK, ESOK JANGAN LAYU-LAYUAN, INTAI KAMI ANTARA NAMPAK, ESOK JANGAN RINDU-RINDUAN...

Wednesday, April 23, 2014

Menulis Dari Hati...



Assalamualaikum,
      
                   Sejak sajak saya yang terakhir, iaitu 'Damailah Engkau di sisi-Nya" saya tulis, Kristal Bening kembali sepi. Bukan mudah untuk saya menulis kerana saya bukan penulis profesional.  Saya cuma seorang insan biasa yang menulis berdasarkan gerak hati.  Bukan semua perkara boleh saya tulis kerana ilham hanya datang sesekali apabila adanya sesuatu peristiwa yang melekat di hati dan mengusik jiwa saya, lalu menjentik hati saya untuk menzahirkannya melalui bahasa yang lebih berkesan.  

        Sejak sajak saya yang bertajuk "Terkhusus Untukmu....Kapten Zahari Ahmad Shah" tersiar  di dada akhbar tempatan sedikit masa lalu, Kristal Bening menerima kunjungan yang agak tinggi dalam tempoh seminggu.  Saya sendiri agak terkejut, namun gembira.  Yang paling mengharukan saya apabila ada pembaca yang meninggalkan komen-komen yang  membina.  Terima kasih saya ucapkan.  Saya sebenarnya tidak pernah menyangka bahawa tulisan saya itu turut menggambarkan perasaan mereka terhadap tragedi MH370.  Kata mereka, tulisan saya berjaya menterjemahkan perasaan mereka dengan tepat. Dari situ, teman facebook saya juga bertambah. Saya juga tidak pernah menyangka bahawa saya kini ada peminat. Terharunya saya! "I like your writtings.  I am a fan of yours." - Swan Hwa

        Menurut peminat saya itu, "your poems are so true and brought tears to my heart. I like the way you put your thoughts on your writtings. And nice knowing that somehow, somewhat and somewhere there, though just on thoughts, but thoughts that are what brought people together." Terima kasih, Swan Hwa, satu-satunya peminat saya. Benar, suatu pemikiran yang sama mampu menyatukan manusia, dan ternyata kami cuba saling mengenali antara satu sama lain kerana kami mempunyai 'rasa' yang sama. 

     Kata bekas pengetua saya pula, tulisan saya begitu menyentuh perasaan kerana saya menulis dengan mata hati. Terima kasih jua, Pn. Zaini, dan menurut Sir Lim Khan San, "I like both of your poems, Pulanglah MH370 dan Terkhusus Untukmu... I got to know you from your poems." Thank you Sir.

           Sebenarnya, tulisan saya biasa-biasa sahaja, mudah dan polos.  Saya tidak pandai menggunakan ayat-ayat yang puitis sebagaimana tulisan mereka yang sangat profesional dalam bidang ini.  Saya bukan orang 'sastera' tetapi saya orang 'bahasa'. Saya tidak pandai menggunakan unsur hiperbola, personifikasi, metafora dan segala ciri gaya bahasa dalam puisi. Walaupun tulisan saya tidak berseni, namun saya puas kerana saya menulis dari hati dan penuh kejujuran.  Jika pun tulisan saya masih dianggap seni, seni saya untuk masyarakat, bukan seni untuk seni.