TUAI PADI ANTARA MASAK, ESOK JANGAN LAYU-LAYUAN, INTAI KAMI ANTARA NAMPAK, ESOK JANGAN RINDU-RINDUAN...

Monday, March 21, 2016

Bertamu di SMKTT...21 Mac 2016


(i)
Dahulu
segalanya bermula di sini
di ruang maya tanpa sempadan
facebook medan perantara
saban hari
santun menyapa

Citranya hebat
berbicara puitis
bermadah menyentuh jiwa
kalimah membuai rasa
status ditulis menjadi pembayang
berkias segala
terkadang berkisah tentang 'dia'
berteka-teki selamanya

Hati mula terpesona
mengagumi
menjentik rasa ingin tahu
namun naif meneka
bimbang, andai silap mentafsir

Cuba mencari yang tersirat dalam yang tersurat
namun hampa
misteri tak jua terungkai
lalu nekad bertanya
memancing jawapan
demi mencari suatu kepastian
agar terjawab segala teka-teki

Jujur berbicara
dari hati yang terdalam
jawapan tulus menyentak kalbu
terkedu seketika
terkesima
terpana

Sungguh
aku tak pernah terfikirkannya


(ii)
Salam dihulur 
salam disambut
persahabatan terjalin
antara dua negara serumpun
mengusir prasangka
merapatkan jurang tersedia
kita sebagai jambatannya

Waktu berputar
bibit-bibit kemesraan bercambah
silaturrahim semakin erat
dan bicara pun kian ramah
walau hanya di skrin monitor


Dalam pertemanan
ada suka
ada duka
namun kita jalani seadanya
teguh berdiri atas nama persahabatan
terkadang hampir tewas dengan perasaan 
namun kita bangkit semula
kerana persahabatan itu lebih abadi

(iii)
Kini
bagai mimpi
namun nyata
kau bertamu di sini
di SMKTT

Lawatan kerja berlangsung sempurna
delegasi dirai penuh istimewa
segala persiapan tak sia-sia
kunjungan bermakna sarat maklumat
bertukar idea, cerita dan pengalaman
dalam batas formaliti 

Kepada-Nya
syukur dipanjatkan
bertemu jua akhirnya
bertentang mata
berbalas senyum
berbicara ramah tanpa skrin monitor 
walau hanya seketika 

Kalau ada sumur di padang
boleh kita menumpang mandi
kalau ada umur yang panjang
boleh kita berjumpa lagi












No comments:

Post a Comment