>
TUAI PADI ANTARA MASAK, ESOK JANGAN LAYU-LAYUAN, INTAI KAMI ANTARA NAMPAK, ESOK JANGAN RINDU-RINDUAN...

Monday, May 16, 2016

Citra Seorang Guru


(i)
Guru
pencetus idea
pembina negara bangsa
mendidik dan menyebarkan ilmu
melahirkan modal insan seimbang
cemerlang dunia
cemerlang akhirat

Guru
tingkahnya menjadi teladan
bicaranya  bak pendeta
senyumnya mesra menyantun pelajar
terkadang menjadi tempat untuk mengadu
marahnya bukan kerana benci
ada sayang yang sukar dimergerti


Demi anak bangsa
doa dan harapan tak pernah putus
agar putera puteri yang terdidik olehnya
bisa jadi yang terhormat
bisa jadi yang tersohor
bisa berbakti kepada nusa dan bangsa
dan bisa juga jadi insan mulia
walau tak punya harta segala

Usah dinista khilaf seorang guru
kerana tiada yang sempurna
dia jua manusia biasa
yang bisa salah percaturan
namun
pandanglah usaha dan dedikasinya
dan pada segala bakti yang dicurah
kepada anak bangsa

Angkatlah martabatnya
muliakanlah darjatnya
sebaris darjat seorang ibu dan ayah
kerana... 
melalui didikan dan asuhannya
telah melahirkan insan-insan hebat
yang melata di pelosok dunia

Citra seorang guru
lelahnya tak pernah dicanang
ikhlasnya tak perlu diragui
wang ringgit tak pernah berkira
ceria dan derita anak didik dikongsi bersama
bukan balasan yang dipinta
cukup sekadar ingatan yang berkekalan
dan doa yang tulus ikhlas

(ii)
Dengarlah wahai anak-anakku
pesan gurumu ini
andai dirimu tersungkur di tengah jalan
dan langkahmu goyah

usah risau
usah bimbang

akan kami sambut
tak akan kami lepas

akan kami rawat 
tak akan kami biar

hingga lukamu sembuh sepenuhnya
agar kau mampu meneruskan perjalananmu
menuju lorong harapan
dengan langkah gagah
demi menggapai cita-cita
untuk mengenggam kecemerlangan

semoga nanti
kau akan mengerti jua
pengorbanan dan kasih sayang kami 
tulus tak bersempadan











Terima kasih kerana sudi membaca entri saya. Jika suka, silalah LIKE.

No comments:

Post a Comment