TUAI PADI ANTARA MASAK, ESOK JANGAN LAYU-LAYUAN, INTAI KAMI ANTARA NAMPAK, ESOK JANGAN RINDU-RINDUAN...

Wednesday, August 31, 2016

Salam Merdeka, Salam Sehati Sejiwa 2016








Bismillah...


Salam merdeka, salam sehati sejiwa ...
Alhamdulillah, pertama kali dalam hidup, saya berpeluang menonton acara perbarisan dan perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia kali -59 secara langsung dari Dataran Merdeka pada pagi tadi.  Saya dan dua orang lagi rakan guru, iaitu Pn. Noor Roazua bt Mohd Nor dan Pn. Siti Hajar bt Abdullah serta seorang pelajar tingkatan enam iaitu Hamizah bt Ismail mendapat jemputan tersebut atas nama Pandu Puteri Renjer. Itu rezeki yang tidak terjangka namanya.  Mungkin bagi orang lain, apalah sangat jemputan tersebut, kerana tanpa jemputan pun, mereka boleh pergi sendiri untuk menonton sambutan tersebut, tetapi bagi saya, besar maknanya.  Kalau tidak kerana jemputan itu, saya tidak akan sama sekali pergi menontonnya di Dataran Merdeka.  Bukan kerana saya tidak patriotik, tetapi saya lebih gemar menontonnya di kaca televisyen di rumah.  Tidak perlu bersesak-sesak dengan orang ramai, malah lebih santai bersama anak-anak sambil makan-makan di depan kaca televisyen.

Dengan jemputan itu juga, saya berpeluang beruniform lengkap sebagai pemimpin Pandu Puteri Renjer dan duduk dalam kumpulan badan-badan beruniform yang lain. "Feeling truly proud and honoured." Walau apapun, saya sangat-sangat kagum akan mereka yang sanggup hadir ke situ semata-mata mahu menyaksikan perbarisan dan perarakan secara langsung.  Ada yang membawa anak-anak kecil, ada yang berpakaian bendera Malaysia, dari adik-adik, kakak-kakak, abang-abang, hingga makcik-makcik dan pakcik-pakcik, semua ada di situ. Mereka sanggup berdiri, berpanas dan berasak-asak di sepanjang jalan Dataran Merdeka sejak awal pagi hingga tamat acara. Namun begitu, mereka kelihatan sangat teruja dan sangat gembira. Sungguh, mereka sangat-sangat patriotik! Syabas dan tahniah kepada rakyat Malaysia.





















































Dari tempat duduk saya, saya dapat melihat dengan jelas setiap perarakan dan perbarisan yang lalu di hadapan pentas kami. Bunyi jet-jet pejuang yang terbang rendah di atas kepala kami sungguh menggerunkan, namun mengujakan. Nyanyian, tarian dan pergerakan-pergerakan indah yang dibuat oleh para pelajar di Dataran Merdeka  membuatkan saya berasa sangat kagum. Kami turut mengibarkan bendera, melambai-lambai kepada kumpulan perbarisan dan menyanyi semua lagu patriotik yang berkumandang. Wah, saya berasa sungguh patriotik!  Teruja juga sebab saya berpeluang melihat  wajah pemimpin secara 'live'. Saya juga berpeluang menonton drama pendek secara langsung hasil lakonan semula pihak PDRM, dalam adegan detik-detik cemas mereka menumpaskan  aktiviti penyeludupan dadah. Adegan mengejar penyeludup dengan kereta dan helikopter, adengan tembak-menembak, penglibatan pasukan berkuda, pasukan anjing pengesan dan semuanya kelihatan seperti benar-benar berlaku. Saya terpegun dan terkedu seketika.  Meremang bulu roma.  Tahniah kepada pasukan PDRM.

Setelah acara tamat dan para pemimpin negara pulang, masih ramai orang  tidak bergajak.  Mereka terus duduk-duduk di situ dan ada yang mengambil tempat para kenamaan yang sudah pulang. Ramai juga yang masih berada di situ kerana mereka mengambil kesempatan cuti hari kemerdekan untuk lepak-lepak bersama keluarga di situ. Kami akhirnya beredar. Pada saya, pengalaman pada hari ini sangat menyeronokkan. Semoga jumpa lagi pada tahun hadapan. 

No comments:

Post a Comment