TUAI PADI ANTARA MASAK, ESOK JANGAN LAYU-LAYUAN, INTAI KAMI ANTARA NAMPAK, ESOK JANGAN RINDU-RINDUAN...

Tuesday, December 13, 2016

Kecilnya Dunia Ini...

Dari kiri : Nik Masni, Engku Faridah, Haryati dan Niza



Bismillah...


Semalam, 12 Disember 2016, saya dan dua orang anak perempuan saya menemani suami saya ke rumah kawan sekolahnya semasa di tingkatan enam dahulu.  Kawan suami saya itu seorang pensyarah dan baru sahaja membeli rumah baharu di kawasan perumahan UPSI Tanjung Malim. Beliau mengadakan sedikit jamuan kecil unuk meraikan rakan-rakan lama dari kelas yang sama dengan suami saya  di SIC (Sultan Ismail Kolej) Kota Bharu.  Mereka semua berkumpul semula dalam "group" yang dicipta oleh suami saya beberapa bulan yang lepas.  Apabila saya bertanya kepada suami saya, siapa kawan suami saya itu, dia hanya menjawab, "kawan perempuan".  Saya bertanya lagi, adakah saya mengenalinya, suami saya menidakkannya. 

Kami bertolak dari rumah jam 8.30 am.  Setelah berhenti bersarapan, kami memulakan perjalanan ke Dengkil untuk menghantar anak ketiga kami di kampus UITM Dengkil terlebih dahulu.  Dari situ, kami terus bertolak ke Tanjung Malim.  Tepat jam 12.00 tengah hari, kami sampai di rumah kawan suami saya itu.

Di muka pintu rumah, tiba-tiba muncul rakan sekerja saya di SMK Taman Tasik, Engku Faridah, yang juga  bekas rakan sekelas suami saya dahulu.  Saya maklum tentang beliau kerana saya memang tahu beliau pernah belajar sekelas dengan suami saya semasa di tingkatan enam dahulu.  Selain Engku Faridah, Kamal Rosli, (rakan sekerja saya dan Engku Faridah), Azizah Abdullah (teman serumah semasa belajar di USM dahulu)  dan Halim Ashghar Hilmi (teman sekelas saya dari darjah 1-6 di SRK Kota) juga merupakan bekas rakan sekelas suami saya. Kecil dunia ini kan?  Saya bersalam dengan Engku Faridah dan bertanya khabarnya. Kemudian muncul pula kawan suami saya a.k.a tuan rumah menyambut kedatangan kami.  Beliau memandang dan menyapa suami saya.  Saya pula mengamati kawan suami saya itu sebelum menyuakan tangan untuk bersalam dengannya.  Tiba-tiba saya terperasan sesuatu dan berasa amat terkejut. 

"Ya Allah, Haryati Hassan ke ni?" Saya terus mengenggam erat tanggannya
Dia menoleh kepada saya dan mengamati saya. " Ya...Ya Allah, Zu ke ni?"
"Subhanallah, kecilnya dunia ini.   Tak sangka Zu ni isteri Kujik",  Kami terus berpelukan kegembiraan.  

Suami saya juga terkejut, begitu juga Engku Faridah.  Rupa-rupanya Dr. Haryati merupakan bekas teman sekelas saya semasa di tingkatan 1-3  sewaktu kami bersekolah di SMK Kota. Suasana pada ketika itu agak gamat kerana masing-masing mula menyoal itu dan ini.  Setelah suasana kembali tenang, kami pun duduk.  Kami mula bercerita sambil mengenang kembali kisah-kisah dahulu. Selain Engku Faridah dan kami sekeluarga.  hadir juga Nik Masni. dan kawan lelaki suami saya bersama-sama keluarganya.  Setelah puas bercerita, makan-makan dan bergambar, kami mohon diri untuk beredar.  Hampir dua jam setengah kami di rumah Haryati.  Saya berasa amat teruja kerana dapat bertemu kembali dengan beliau setelah sekian lama berpisah.  Semoga pertemuan ini bukan yang pertama dan yang terakhir untuk kami.  Semoga ada pertemuan kedua dan seterusnya yang bakal menyusul nanti, Insya Allah.

Terima kasih Yati atas jemputan dan hidangan yang sedap.  Gembira juga dapat berkenalan dengan Nik. Semoga kita terus berteman dan jumpa lagi nanti di sekolah, Engku Faridah..hehehe
Sesungguhnya kecilnya dunia ini, bak kata Halim Ashghar, "gi maghi, gi maghi, dale geluk yang sama."





No comments:

Post a Comment