>
TUAI PADI ANTARA MASAK, ESOK JANGAN LAYU-LAYUAN, INTAI KAMI ANTARA NAMPAK, ESOK JANGAN RINDU-RINDUAN...

Sunday, January 15, 2017

Makcik Fatimah


Semalam, selepas pulang dari sekolah setelah selesai aktiviti gotong royong, saya singgah di sebuah 'car wash" di kampung Tasik Tambahan kerana ingin mencuci kereta Exora saya yang sudah lama tidak dicuci.  Itulah kali pertama kereta saya itu dimandikan di "car wash".  Biasanya  anak-anak saya yang mencuci kereta saya jika kereta saya itu kotor.  Kebetulan anak-anak saya semuanya sibuk dengan urusan masing-masing, dan dek tidak sanggup lagi melihat rupa kereta saya itu, maka saya cuba berdikari. Di situ, saya berjumpa dengan Hanilah, rakan sekerja saya.  Kami berdua duduk di sofa yang disediakan di "car wash" itu sambil berbual-bual.  Tiba-tiba muncul sebuah kereta kancil berwarna biru  memasuki parkir yang kosong di hadapan saya  Kemudian, keluar seorang makcik dari kereta itu, tersenyum kepada saya, lalu duduk di sebelah saya. Saya memandangnya, membalas senyuman beliau sekadarnya. Kemudian saya asyik memerhatikan budak pencuci Myammar itu mencuci kereta saya sambil bertanya itu dan ini kepadanya.  Tiba-tiba makcik di sebelah saya mencelah dan ahirnya kami pun terus berbual mesra.  Hanilah yang baru mengalihkan keretanya, turut menyertai perbualan kami. 

Makcik itu mula bercerita macam-macam.  Menurutnya, keretanya itu sudah berumur 20 tahun, namun masih elok, kerana katanya, dia selalu sahaja bercakap-cakap dengan keretanya supaya tidak membuat onar. Jika keretanya itu membuat onar, dia tiada duit untuk membaikinya kerana dia tidak bekerja dan tinggal seorang diri.

"Dia dengar cakap makcik.  Dia tak pernah rosak," ujar makcik sambil tersenyum kepada saya. Tiba-tiba saya teringat bahawa saya pernah membaca satu artikel tentang pokok. Kalau kita selalu bercakap dengan pokok dan selalu membelainya, pasti pokok itu akan tumbuh subur.  Rupa-rupanya kereta pun sama. Saya bermonolog di dalam hati.

Melalui penceritaannya, rupa-rupanya makcik itu tinggal seorang diri, Arwah suaminya sudah meninggal dunia 22 tahun yang lalu akibat penyakit lukemia.  Anak-anaknya tiga orang lelaki namun semuanya sudah berumah tangga dan tinggal berasingan. 

"Mereka tak jaga makcikke?" Agak lancang saya bertanya.

"Tak, merekakan ada bini, jadi mereka jaga bini merekalah".  Makcik tersenyum kepada saya, namun ada nada sinis pada jawapan makcik itu,  Saya memaksa sebuah senyuman kepadanya.

"Anak-anak makcik tinggal kat mana? Hanilah pula bertanya.
"Sorang kat Negeri Sembilan, yang dua lagi dekat-dekat sini je".
"Mereka tak datang jenguk makcik ke?" Hanilah bertanya lagi.
"Tak ada pun..kalau banyak kali telefon pun, sekali baru mereka datang.  Tapi kalau raya mereka baliklah, minta ampun minta maaf".  Ujar makcik sambil ketawa kecil.  Saya dan Hanilah saling berpandangan.  Pandangan kesal dan kasihan kami bersatu. 

"Tak apalah," ujar makcik tiba-tiba.  "Yang penting, Allah ada untuk jaga makcik.  Kalau mereka jaga makcik pun, tapi Allah tak jaga, tak ke mana jugak,"  Subhanallah, tulusnya hati seorang ibu.

"Alhamdulillah, berkat Allah jaga makcik, makcik masih kuat untuk ke mana-mana sahaja sendirian dengan kereta makcik tu." Ujarnya lagi sambil memandang kereta kesayangannya itu. Saya dan Hanilah saling berpandangan lagi.

"Makcik ni mata pun rabun, kena pakai spek, kalau tidak, kena cahaya matahari, mata rasa senak. Ada darah tinggi  lagi.  Semalam pergi farmasi beli jarum suntik insulin.  Doktor suruh tukar alat tu  tiga tahun sekali."

"Semuanya makcik buat sendiri?" Tanya Hanilah

"Yalah, siapa lagi nak tolong buatkan.  Semuanya makcik buat sendiri."  

"Dah lama makcik kena kena kencing manis?"

"Lama dah, 10 tahun"

"Jantung pun ada," tambah makcik. Kasihannya, desis saya di dalam hati.

"Makcik kalau nak makan dodol ke, makcik bawalah kereta ke Chow Kit, sebab kat sana banyak orang jual dodol.  Nak buat sediri tak berbaloi, makan sorang."

"Ya Allah, jauhnya makcik bawak kereta sorang-sorang." Hanilah menjerit kecil kekaguman.

"Berapa umur makcik?"  Tanya Hanilah lagi.

"68 tahun."

"Wah, kagum saya dengan makcik.  Umur macam ni pun  makcik pun masih boleh bawa kereta dan pergi ke mana-mana sendirian." balas Hanilah.

"Alhamdulillahlah" balas makcik pendek.

Seketika kemudian, Hanilah meminta diri untuk beredar kerana keretanya sudah siap dilap dan divacum.  Hanilah bersalam dnegan saya dan makcik.  Setelah Hanilah beredar, budak pencuci kereta memberitahu saya dan makcik bahawa Hanilah telah membayar harga upah cuci kereta untuk kami berdua.  Saya dan makcik hanya mampu mendoakan Hanilah agar rezekinya sekeluarga melimpah-limpah. Terima kasih Hani, Saya terus menelefon Hanilah untuk mengucapkan terima kasih kepadanya dan memberi telefon kepada makcik agar dia dapat bercakap dengan Hanilah.  Setelah itu saya dan makcik menyambung perbualan kami. Banyak lagi yang kami bualkan. Semasa berbual dengannya, saya memegang dan mengusap-usap tangannya kerana saya teringat, ibu saya sendiri suka apabila tangannya diusap-usap. Semoga sentuhan saya dapat mengubati kesunyian hatinya untuk seketika.  Akhirnya, kereta saya juga sudah siap. Sebelum saya beredar dan bersalam dengannya, tiba-tiba baru saya teringat untuk bertanya namanya.  

"Makcik nama apa?"

"Fatimah."

"Anak?"

"Saya Zuraidah.  Yang tadi tu Hanilah."

"Saya pergi dulu ya makcik.  Kalau ada rezeki kita jumpa lagi ya."
  
"Yalah, insya-Allah".

Saya bersalam dengannya dan mencium kedua-dua pipinya.  Hati saya sebak dan mata saya mula berkolam, namun saya terus melangkah tanpa menoleh lagi ke arahnya.

Hari ini saya dan Hanilah berasa sangat menyesal kerana tidak  bertanya alamat rumahnya.  Di mana pun makcik Fatimah tinggal, saya doakan agar Allah memberi kesihatan yang berpanjangan kepadanya,  terus tabah dan gembira selalu  dalam  meniti sisa-sisa usianya sendirian.  Semoga Allah mempertemukan kami lagi dengannya Insya -Allah.

Saya sendiri masih mempunyai ibu dan bapa yang sudah tua.  Saya bersyukur kepada Allah kerana mereka masih diberi kesihatan yang baik hingga kini.  Semoga Allah menetapkan hati saya dan adik-beradik saya untuk terus menjadi anak-anak yang membahagiakan ibu bapa kami hingga saat-saat akhir hayat mereka, insya-Allah.  

  

Terima kasih kerana sudi membaca entri saya. Jika suka, silalah LIKE.

No comments:

Post a Comment