>
TUAI PADI ANTARA MASAK, ESOK JANGAN LAYU-LAYUAN, INTAI KAMI ANTARA NAMPAK, ESOK JANGAN RINDU-RINDUAN...

Sunday, May 14, 2017

Hadiah Hari Lahir 3 : Jambangan Misteri




Bersama dengan Pn. Maimon, Cikgu Zaiton dan staf bukan guru


Bismillah...

         Pada setiap tahun, saya akan mengadakan satu jamuan kecil di bilik guru tingkatan enam bagi meraikan sambutan hari lahir saya yang jatuh pada 5 Mac bersama  dengan rakan-rakan guru.  Pada hari tersebut, saya telah membuat tiga biji kek coklat moist dan sebiji cheese cake.  Saya menempah roti jala, bee hun goreng, kuih talam dan kuih koci untuk majlis itu. Sebiji kek coklat mosit dan sebiji cheese cake untuk rakan-rakan guru di bilik guru tingkatan enam, sebiji kek coklat moist untuk staf di pejabat dan para pentadbir serta sebiji kek coklat moist khusus untuk pelajar-pelajar saya, U6SS1 berserta roti jala dan bee hun goreng.  Seperti tahun-tahun sebelum ini, saya sentiasa dikejutkan dengan 'surprised birthday cake' oleh pelajar-pelajar saya, padahal saya yang ingin mengejutkan mereka dengan kek saya dan makanan yang lain.  Thanks guys, Cikgu betul-betul terkejut apabila Afif yang konon-kononnya mahu ke tandas, tiba-tiba muncul di pintu kelas dengan sebiji kek dan nyanyian 'Happy Birthday' daripada seluruh kelas. Cikgu tergamam seketika.  Pandai awak semua berlakon ya. Love you all so much, guys!  Sehari sebelum tarikh tersebut, beberapa orang bekas pelajar saya (ex Sidang Redaksi 2016) iaitu Faisal, Anwar, Hidayah, Tasya, WNS, Loshene, Shanta, Thashvinia dan Nur Fazreen Ezaty) turut mengejutkan saya dengan 'surprised birthday cake' pada jamuan akhir sidang redaksi yang diadakan di Restoran Thai Steam Boat di Ampang Waterfront.  Thanks guys! 




Surprised Birthday Cake di Restoran Thai Steam Boat



Surprised Birthday Cake oleh pelajar-pelajar U6SS1 2017










Pelajar-pelajar saya yang sporting





Saya dan Eka dengan hadiah misteri

Kad  ucapan daripada pelajar misteri

          Pada hari itu, tanpa diduga, saya menerima jambangan besar coklat ferero rochelle, sebiji belon dan jambangan  kecil coklat keping.  Saya benar-benar terkejut dengan hadiah misteri itu.  Hadiah itu dihantar oleh bekas pelajar saya, Eka (ex L6SS1 STPM 2014). Beliau menjalankan bisness penghantaran jambangan coklat. Jambangan kecil coklat keping itu daripada beliau sendiri.  Saya bertanya kepada Eka, siapakah gerangan oang yang menghadiahkan hadiah itu kepada saya. Eka meminta maaf daripada saya kerana tidak dapat memberitahu saya kerana dia sudah berjanji  dengan orang tersebut bahawa perkara itu adalah rahsia.  Eka hanya menjelaskan bahawa orang itu ialah pelajar saya pada tahun lepas (ex U6SS1 2016).  Bersama-sama jambangan besar ferore rochelle itu, terselit sekeping kad yang bertaip kemas.  Siapa pemberinya tidak dinyatakan.  Setelah saya membaca isi kandungan kad itu, saya yakin pelajar tesebut ialah bekas pelajar saya pada tahun lepas, seperti yang dinyatakan oleh Eka.  Saya tidak dapat berfikir siapakah gerangan pelajar saya itu, lalu saya memujuk Eka supaya berterus terang.  Sekali lagi Eka meminta maaf kerana dia sudah pun berjanji dengan orang tersebut bahawa perkara itu adalah rahsia.  Saya akhirnya akur dengan prisip yang dipegang oleh Eka dan memuji Eka kerana teguh menyimpan rahsia pelanggannya.  

       Setelah pulang ke rumah, saya 'menwhassap' setiap bekas pelajar saya, bertanya tentang hadiah misteri itu, namun seorang pun tidak mengaku yang merekalah yang memberi hadiah tersebut kepada saya dengan alasan,  manalah mereka mampu untuk memberi hadiah semahal itu kepada saya.  Saya jadi bingung memikirkannya dan hadiah misteri itu masih menjadi teka-teka dalam hidup saya hingga kini.  Adik-beradik saya dan beberapa orang rakan saya berpendapat bahawa jambangan itu daripada suami saya. Saya menolak pendapat mereka kerana saya kenal suami saya.  Tambahan pula, isi kandungan kad itu berkisah tentang saya dan pelajar saya.  Jadi mustahil suami saya tahu cerita yang berlaku di dalam kelas saya pada tahun lepas. Walau siapa pun pemberi hadiah misteri itu, cikgu mengucapkan jutaan terima kasih kepada pemberinya.  Cikgu sangat gembira menerimanya dan sangat menghargainya. Terima kasih sekali lagi.

Terima kasih kerana sudi membaca entri saya. Jika suka, silalah LIKE.

Tuesday, May 9, 2017

Usah Penat Berdoa...Dia Sentiasa Mendengar






Bismillah...

Pagi ini, seperti juga semalam, saya memandu ke Shah Alam seawal 7.00 pagi untuk menghadiri Taklimat Rubrik Kerja Kursus BM STPM 910/5 Penggal 3.  Taklimat itu berlangsung selama dua hari (8-9 Mei 2017) di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Selangor, Seksyen 19/1, Shah Alam.  Dari Lebuh raya Shah Alam, saya memandu memasuki lebuh raya LKSA dan exit di plaza tol LKSA untuk ke Sekyen 19.  Selama dua hari memandu pergi dan pulang, saya sentiasa berdoa agar Allah mempermudah urusan pekerjaan saya pada hari ini, mempermudah perjalanan saya agar saya tidak menempuh jem yang teruk, memelihara keselamatan saya dan melindungi saya sepanjang pemanduan.  Saya juga turut berdoa perkara yang sama untuk suami dan anak-anak saya.  Saya memohon agar Allah menjaga kami walau di mana kami berada.  Saya asyik mengulang doa Allahhumayassir, walatuaasir... dan Bismillahhi tawakkaltu alallah...

Oleh sebab saya ingat jalan ke Sekyen 19, saya tidak menggunakan waze.  Saya hanya membuka waze sebelum "exit" ke plaza tol LKSA, agar saya tidak sesat mencari BTPN.  Saya meletakkan telefon bimbit saya di kekisi aircond kereta di bahagian tengah dengan menggunakan getah pengikat (seperti yang saya pelajari dari faebook).  Semasa memandu, sesekali mata saya melihat waze. Semasa saya sedang mencari lokasi di bahagian "favorouite" dengan jari telunjuk tangan kiri saya, saya tidak sedar bahawa pemanduan saya agak laju dan kereta saya tiba-tiba terbabas ke lorong kanan. Saya hanya tersedar keadaan tersebut apabila sebuah kereta dengan lajunya memotong kereta saya  dari lorong kanan. Nasib baik saya cepat menyedarinya lantas dengan spontan saya memulas stering kereta saya ke kiri dengan dada yang berdebar-debar. Saya berfikir tentu saya tidak dapat mengelak kereta itu. Saya pasrah dan hanya mampu menyebut nama Allah berulang kali. Ya Alah, Ya Allah, Ya Allah. Kaki saya menggigil.  Kereta saya nyaris-nyaris melanggar belakang kereta tersebut.  Alhamdulillah, dengan izin-Nya dan rahmat-Nya, saya sempat mengelak daripada melanggar kereta itu dari belakang kerana kereta itu agak laju.  Sekiranya kereta tersebut dipandu perlahan, saya yakin dan pasti, kereta saya akan menghentam punggung kereta tersebut. Kecut perut saya pada waktu itu kerana memikirkan saya pasti accident sebentar tadi akibat kecuaian saya sendiri, iaitu memandu sambil mencari lokasi di waze. 

Setelah itu, saya mengucapkan syukur kepada Allah  berkali-kali.  Tiba-tiba saya teringat, itulah keberkatan kita berdoa sebelum dan semasa memandu.  Alhamdulillah, Allah mendengar doa saya. Allah melindungi saya daripada kecelakaan dan Allah menjaga saya.  Terima kasih Allah.

Terima kasih kerana sudi membaca entri saya. Jika suka, silalah LIKE.

Thursday, May 4, 2017

Cikgu Vs Pendidik

         

      Malam itu, sebelum tidur, jari-jemari mengescroll status rakan-rakan di "newsfeed"...dan tiba-tiba mata tertangkap satu posting dari seorang bekas pelajar. Sungguh emosional bunyi statusnya dan agak kasar bahasanya.  Oleh sebab saya mengenali dirinya sejak dulu  (walaupun mungkin terbatas dari luaran sahaja), hati berasa kesal.   Kenapa mesti berbahasa kasar begitu?  Beliau seorang guru malah pernah berguru dengan saya selama dua tahun.  Sangat tidak molek seorang guru berbahasa kasar dalam khalayak / media sosial.  Apa pun alasannya,  niat tidak menghalalkan cara. Paling penting, beliau seorang guru dan menjadi ikutan anak-anak muridnya.  Tentu sahaja ramai anak-anak muridnya menjadi rakan fbnya.  Saya sebagai guru bahasa Melayu, yang pernah mengajarnya tentang ilmu sosiolinguistk, iaitu tentang budaya berbahasa dalam kalangan masyarakat Malaysia, sudah pasti saya terpanggil untuk menegurnya demi menjalankan tanggungjawab sosial.




Saya melakukannya dengan mengirim pesanan di ruangan mesengger (private message) agar hal ini menjadi rahsia antara kami berdua sahaja.  Saya akhirnya mengambil keputusan untuk memasukkannya dalam entri saya  ini untuk memberi pengajaran kepada orang lain.  Saya rasa saya tidak mengaibkan beliau  kerana saya hanya meletakkan keratan tulisannnya sahaja tanpa  namanya.




Beberapa minit kemudian, beliau membalas  pesanan saya.


Diikuti postingnya di facebook. Wah, marah betul beliau terhadap saya! 


       Tak apalah, saya tak marah  dan tak berkecil hati pun.  Saya menganggap beliau masih tidak matang kerana tidak dapat mengawal emosi dan amarahnya apabila ditegur.  Sekali lagi saya ingin tegaskan di sini, apa pun alasannya, niat tidak menghalalkan cara. Apakah beliau fikir semua orang yang terbaca postingnya akan bertanya sebab beliau berbahasa kasar begitu?  Mungkin ada, tetapi sekadar seorang dua sahaja.  Pada yang lain, apa sebabnya tidak penting bagi mereka (who cares?) tetapi posting beliau itu mencerminkan dirinya. 

        Sebagai guru, kita harus menunjukkan nilai yang positif sepanjang masa kerana kita membawa imej seorang pendidik, mendidik anak bangsa menjadi manusia yang cemerlang di dunia dan di akhirat.  Sebagai pendidik, tugas mendidik bukan hanya di dalam kelas, tetapi juga di luar kelas. Tingkah laku kita dan tutur kata kita akan memberi impak besar kepada anak-anak murid kita.  Kita menjadi idola kepada anak-anak murid kita.  Nak tahu kenapa generasi Y kini semakin bersikap kurang ajar dan biadap dari segi tingkah laku dan tutur kata?  Jawabnya, selain faktor media massa, pengaruh rakan sebaya dan kurang didikan agama, kita sendiri sebagai guru menunjukkan contoh yang tidak baik kepada mereka. 

       Pada hemat saya, ramai yang boleh menjadi cikgu tetapi tidak ramai yang boleh menjadi pendidik. Ramai cikgu di sekolah, tetapi berapa kerat sahaja yang sebenar-benarnya pendidik? Ramai cikgu lelaki yang merokok di sekolah (kebanyakan sekolah), tetapi dalam masa yang sama, mereka merupakan guru disiplin yang akan mendenda pelajar yang merokok. Ada guru yang ponteng kelas, tetapi dalam masa yang sama, mereka mengambil tindakan terhadap pelajar yang ponteng kelas atau sekolah. Ada guru yang selalu lewat ke kelas, tetapi dalam masa yang sama, mereka marahkan pelajar yang datang lewat ke kelas atau sekolah. Ada guru yang berbahasa kesat dan kasar dengan pelajar atau di media sosial tetapi dalam masa yang sama, mereka seorang kaunselor. Begitulah realitinya. Terdapat pelbagai jenis guru di sekolah.  Jadi bagaimana kita hendak mendidik pelajar-pelajar kita menjadi orang yang baik sedangkan kita sendiri menunjukkan contoh yang tidak baik kepada mereka, bak kata pepatah, guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari.

      Agak melucukan, apabila ada sebilangan guru yang meluahkan perasaan kesal kerana tidak dihargai oleh pelajar-pelajar mereka pada hari guru.  Pelajar mereka tidak mengucapkan selamat hari guru dan sebagainya. Kenapa mesti bersedih atau kesal?  Cuba tanya diri kita sendiri, pernahkan kita mengajar mereka dengan nilai-nilai positif seperti yang kita mahukan di dalam kelas?  Tugas seorang pendidik bukan setakat mengajar subjek yang diamanahkan, tetapi juga membentuk sahsiah murid-muridnya.   Kalau kita ingin diri kita diingati, dihargai dan diraikan, belajarlah menjadi seorang pendidik yang sebenar-benarnya. Berbahasa dan bertingkah lakulah dengan baik dan sopan, semoga kita dikenang kerana nilai positif yang terserlah dalam diri kita, tidak kiralah semasa kita berada di dalam kelas atau di luar kelas.

     Apa-apa yang saya kongsikan dengan pembaca dalam entri saya pada kali ini, bukan bermaksud saya seorang guru yang sempurna,  hebat atau bagus.  Saya membuat pemerhatian berdasarkan pengalaman di sekolah sendiri,  cerita daripada rakan-rakan guru dari sekolah lain, cerita-cerita dari media sosial dan  rungutan daripada ibu bapa  yang pernah saya kenal, lalu saya membuat rumusan saya sendiri.  Saya juga sebenarnya tidak terlepas daripada kekhilafan dalam usaha menjadi seorang pendidik yang sebenar-benarnya pendidik, tetapi saya cuba untuk sentiasa memuhasabah diri saya dan berusaha untuk memperbaik kelemahan saya, insya-Allah.  

Akhir kalam, sebenarnya yang menjadi titik tolak permasalahan...ialah diri kita sendiri.  Apa pendapat anda? 

Terima kasih kerana sudi membaca entri saya. Jika suka, silalah LIKE.