TUAI PADI ANTARA MASAK, ESOK JANGAN LAYU-LAYUAN, INTAI KAMI ANTARA NAMPAK, ESOK JANGAN RINDU-RINDUAN...

Friday, May 11, 2018

Malaysia Memilih : PRU 14 2018




Assalamualaikum..

Pada 9 Mei 2018 bersamaan hari Rabu, rakyat Malaysia telah menjalankan tanggungjawab sebagai warganegara apabila mereka beramai-ramai keluar mengundi bagi memilih kerajaan baharu yang akan memerintah Malaysia dalam tempoh 5 tahun akan datang. 10 Mei 2018  merupakan hari bersejarah bagi Malaysia kerana sebuah kerajaan baharu  iaitu Pakatan Harapan telah dibentuk setelah berjaya menyingkirkan kerajaan lama yang telah memerintah negara selama 61 tahun. Tsunami rakyat telah muncul dan menumbangkan kerajaan Barisan Nasional yang korup.  Kesengsaraan rakyat, penindasan, kemiskinan dan ketamakan para pemimpin Barisan Nasional serta ketidakpedulian mereka  terhadap nasib rakyat menyebabkan rakyat nekad untuk menumbangkan mereka.  Proses peralihan kuasa telah pun berjalan malam tadi dalam keadaan yang sangat aman.  Tahniah kepada rakyat Malaysia kerana sentiasa menjaga keamanan dan keharmonian negara.  Tahniah juga kepada kerajaan Barisan Nasional kerana akur dan menghormati keputusan rakyat.  Terima kasih juga atas khidmat dan bakti sebelum ini.

Terlakar juga dalam sejarah apabila keputusan PRU 14 sangat lambat diumumkan oleh SPR dengan pelbagai alasan yang tidak masuk akal.  Keputusan sepenuhnya hanya diumumkan sehingga jam 3.00 pagi.  Sungguh, hari ini dalam sejarah!  Menjadi sejarah juga apabila Tun Mahathir bin Mohamed, 93 tahun menjadi Perdana Menteri Malaysia kali kedua serta merupakan PM yang tertua di dunia.  Tahniah Tun!  Semoga Tun dan team kabinet baharu dapat  memulihkan negara seperti yang diharapkan oleh rakyat.

Proses angkat sumpah Tun Mahathir untuk menjadi PM Malaysia di hadapan YDPA mengalami sedikit kelewatan oleh sebab-sebab yang munasabah.  Alangkah sedihnya hati ini apabila membaca komen-komen penghinaan terhadap YDPA oleh manusia-manusia yang tidak cerdik, konon-kononnya YDPA sengaja melambat-lambatkan proses tersebut kerana bersekongkol dengan DS Najib dan tidak mahu melantik Tun sebagai PM.  Keji dan dangkal sungguh pemikiran mereka.  Hanya rakyat yang cerdik yang bisa memahami protokol pelantikan tersebut.  

CnP :

"Negara tercinta sudah tidak diperintah BN lagi.  Seperti kita merdeka sekali lagi.  Buat Kelantan, masih damai Serambi Mekahnya.  Buat Terengganu, moga bersinar Darul Imannya.  Saya syukuri semua ini.  Ya, buat PH yang mengasak lalu menang bergaya.  Tahniah kalian semuanya.  Buat BN yang direhatkan rakyat, terima kasih atas bakti yang baik sebelum ini.

Sungguh, menuju hari ini, PRU kali ini  paling emosi dan menguji.  Hakikatnya banyak hati tercalar tercarik rasa.  Ada ukhwah yang retak, persaudaraan yang dingin dan akhlak yang runtuh berkeping-keping dek perjuangan membangunkan negara.  Lalu, selepas hari ini, marilah kita pilih mencantumkan kembali.  Rawat dan baiki. Jaga kata-kata kita semua. Walaupun tidak mudah, namun kita cuba.  Ramadhan pun sudah hampir benar.  Kita mahu masuk ke madrasahnya dengan hati yang lapang dan sejahtera.  Atas segalanya, teruskan perjuangan dan perjalanan.  Fastabiqul khairat.  Kita hanya mahukan redha Allah pada helaan nafas yang berbaki.  Suhanallah"

(Saya tertarik dengan bait-bait yat yang digunakan oleh penulis, sebab itulah saya menyalinnya). 

No comments:

Post a Comment