TUAI PADI ANTARA MASAK, ESOK JANGAN LAYU-LAYUAN, INTAI KAMI ANTARA NAMPAK, ESOK JANGAN RINDU-RINDUAN...

Salam Perkenalan

Assamualaikum para pembaca yang budiman.....

Buat julung-julung kalinya kita bertemu di laman maya ini, maka salam perkenalan saya hulurkan.

Laman maya saya ini merupakan lembaran baru dalam diari kehidupan saya.  Laman ini merupakan wahana  untuk  menyampaikan wadah  dan rasa hati seorang insan yang bernama wanita, sahabat, anak, isteri, ibu, pendidik dan juga hamba-Nya.  

Di laman ini, saya akan berbicara telus dengan anda semua, berkongsi cerita dan pengalaman, merakamkan segala yang tersurat dan tersirat,  serta menterjemahkan segala yang terlintas di fikiran saya sepanjang kehidupan saya.

Laman ini juga merupakan medan atau gelanggang untuk saya berkarya, bagi menzahirkan segala  rasa yang bersatu dalam hati dan jiwa, mengolah segala pengalaman dan pemerhatian, lalu dipersembahkan melalui bahasa puitis yang paling indah.

Mungkin di sini juga akan tercatat nostalgia ceritera indah  yang mengundang rindu, catatan perjalanan yang menyaksikan keindahan dan kebesaran ciptaan-Nya, serta episod cerita luka yang menggamit mutiara bening untuk tumpah dan membasahi.

Di sini juga saya akan berkongsi segala ilmu yang ada di dada dengan pembaca budiman sekalian, dalam usaha untuk menyebar luas ilmu yang bermanfaat, menasihati dan berpesan-pesan ke arah kebaikan agar kita semua sama-sama tergolong dalam golongan yang diredhai-Nya, insya-Allah.

                          

Kristal Bening... judul indah untuk laman saya ini sesungguhnya mempunyai erti yang besar kepada saya kerana ia diilhamkan oleh seorang sahabat. Terima kasih sahabat. Sesungguhnya persahabatan itu lebih abadi.

Bening itu maksudnya putih, bersih, jernih dan berkilau. Semoga hati saya bisa sebening kristal dalam usaha mencari redha-Nya.

Kristal Bening… di dalamnya ada jiwa yang bersemayam dan di relung hati ia bertahta.

Kristal Bening… rindunya seharum mawar biru di taman larangan dan semerbak kasturi di taman Firdausi.

Kristal Bening… kasihnya seluas hamparan bumi, sebanyak butiran pasir di gurun Sahara dan sebening embun yang menitis.

Kristal Bening cintanya seindah kerdipan bintang kejora di langit ketujuh dan seteguh karang di  dasar lautan yang terdalam. 



Salam  kasih sayang ,
Norzuraidah Md Nor.

(Nota : Semua karya dalam blog saya ini ialah hasil tulisan saya sendiri. Tiada satu pun yang ditiru atau disalin atau diciplak dari mana-mana sumber, kecuali "A Love Letter" dan "In The Name Of Friendship")

3 comments:

  1. assalamualaikum..
    sy nak minta izin copy
    "madah-madah indah" dan
    "Muhasabah Diri" dari puan
    untuk motivasi diri..
    Terima kasih.

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum Puan. Saya Bahtiar Omar, pensyarah Jabatan Pengajian Melayu di IPG Kampus Dato'Razali Ismail Kuala Terengganu. Saya mahu berhubung dengan puan. Tentang novel Selasih Kusayang. Saya sedang mengkaji cerita rrakyat ini. Minta hubungi saya di talian 013 9331306.

    ReplyDelete