TUAI PADI ANTARA MASAK, ESOK JANGAN LAYU-LAYUAN, INTAI KAMI ANTARA NAMPAK, ESOK JANGAN RINDU-RINDUAN...

Wednesday, June 26, 2013

Warkah Cinta...


Assalamualaikum....

               Secara kebetulan semasa saya sedang membincangkan tajuk variasi bahasa dengan pelajar-pelajar saya pagi tadi sewaktu berlangsungnya proses pengajaran dan pembelajaran BM di dalam kelas, saya ada menyebut tentang penggunaan panggilan-panggilan hormat yang melambangkan bahasa halus.  Antaranya ialah panggilan kekanda, adinda, bonda, ayahnda, nenda dan sebagainya, selain bahasa istana.  

           Tiba-tiba saya teringat pengalaman saya menulis surat dahulu, lalu saya bercerita kepada pelajar-pelajar saya bahawa saya selalu menulis surat kepada ibu saya sewaktu saya belajar di universiti.  Panggilan hormat yang saya gunakan di dalam surat tersebut  untuk merujuk ibu saya ialah 'bonda'.  Saya juga sering menulis surat kepada bapa dan ibu saudara saya yang tinggal di Johor dan Kuala Lumpur pada waktu itu dan merujuk mereka dengan panggilan 'ayahnda dan bonda'  juga. Saya masih ingat, kandungan isi surat saya begitu sopan dan saya menggunakan bahasa formal dengan ejaan lengkap  namun bersifat mesra.  Apabila mengenangkannya, saya berasa agak bangga (bukan riak) kerana saya sudah menggunakan bahasa yang baik sejak zaman persekolahan lagi.  Jadi tak hairanlah kalau saya akhirnya menjadi guru bahasa Melayu, kan?

            Tiba-tiba saya juga teringat bahawa saya pernah menulis surat cinta kepada jejaka hati saya sepanjang saya berada di Perlis. Maklumlah, dulu manalah ada telefon bimbit untuk kami bermesej-mesej, jadi terpaksalah kami berhubung melalui surat. Saya berada di sana kurang lebih dua bulan kerana membuat latihan mengajar  (LM2) pada waktu itu.   Setiap kali saya menulis surat, saya akan bercerita segala-galanya kepada beliau, kerana dengan berbuat demikian, kerinduan saya terhadap beliau terubat.   Memang saya sendiri tidak percaya bahawa saya boleh menulis hingga 10 muka surat setiap kali saya menulis surat kepada beliau, dan saya memaksa beliau membalas 10 muka surat juga kepada saya.  Walaupun pada awalnya beliau tidak mampu, namun beliau berusaha demi cinta beliau terhadap saya.  Ahirnya, beliau berjaya juga memenuhi permintaan saya. 

           Sebenarnya bukan isi surat atau kisah cinta kami yang hendak saya tulis di sini.  Saya sekadar berkongsi cerita dengan pelajar-pelajar saya bahawa pada waktu itu, walaupun saya hanya menulis surat cinta, namun saya menggunakan bahasa yang gramatis dengan ejaan yang lengkap.  Selain itu, saya juga memfailkan semua surat cinta kami sebagai bahan dokumentasi sejak dulu, hahahaha..(rujuk gambar hiasan).  Saya mengamalkan sistem 'failing' sejak dulu dan saya sangat cerewet tentangnya.  Oleh sebab itu jugalah saya mendidik pelajar-pelajar saya mengamalkan sistem 'failing'  yang sama untuk subjek bahasa Melayu.  Fail yang lengkap, rapi dan mempunyai indeks. Mungkin kerana teruja mendengar cerita saya, pelajar-pelajar saya meminta saya membawa surat-surat tersebut ke sekolah kerana mereka mahu membaca surat-surat saya itu.  Oh tidak!  Saya fikir, cukuplah sekadar saya memuat naik gambar surat-surat saya itu di sini sebagai bukti.  Harap mereka berpuas hati...:D


Wassalam....
            

             

No comments:

Post a Comment