Tengah hari tadi saya telah menonton sebuah drama tempatan dalam slot BIDADARI yang bertajuk "3 TERHANGAT", tanpa sengaja. Sekadar menonton untuk menghilangkan rasa mengantuk yang amat sangat. Drama tersebut merupakan sebuah drama masyarakat yang biasa-biasa sahaja, iaitu kisah tiga wanita berkerjaya. Ketiga-tiga mereka bekerja di bawah satu bumbung, di sebuah syarikat penerbitan majalah yang tersohor, namun berbeza pangkat dan jawatan. Salah seorang daripadanya, si A berjawatan sebagai ketua editor majalah, terlalu sibuk di pejabat hingga mengabaikan anak dan suami. Yang kedua, si B penolong editor, pembantu kepada si A, menghadapi masalah rumahtangga kerana suaminya curang, manakala yang ketiga, iaitu si C, belum berkahwin, dan minat menulis novel. Si C begitu tekun menulis novel hingga terbawa-bawa ke pejabat. Ketiga-tiga mereka agak akrab dan saling menasihati antara satu sama lain walaupun berbeza pangkat.
Yang menarik perhatian saya ialah watak si C , yang selalu mengambil kesempatan menulis novel di pejabat, akhirnya ketahuan oleh si B. Dengan lembut, si B menasihati si C supaya tidak menulis novel di pejabat, takut ketahuan oleh bos mereka, iaitu si A, tambahan pula, perbuatan itu tidak baik, kerana si C menggunakan masa dan kemudahan pejabat untuk kerja-kerja peribadi. Antara dialog nasihat si B kepada si C ialah..."Nelly, tak baik Nelly buat kerja macam ni, siap tulis novel kat pejabat. Di pejabat buatlah kerja pejabat, jangan ambil kesempatan dan curi masa untuk buat kerja peribadi di pejabat, nanti duit gaji tak berkat."
Saya bungkam seketika sebaik mendengar dialog tersebut. Terasa macam terkena batang hidung sendiri pula. Pada waktu itu juga saya segera memuhasabah diri. Adakah saya termasuk dalam golongan yang sama dengan Nelly? Adakah saya juga pernah mengambil kesempatan menggunakan kemudahan di tempat kerja saya untuk pekerjaan lain yang tiada kaitan dengan tugas-tugas seorang guru? Ya Allah, saya selalu juga berblog pada waktu "free" saya!!! Astagfirullahhalazim...Pada waktu "free", saya sepatutnya menanda latihan pelajar-pelajar saya, bersedia untuk masuk ke kelas seterusnya, atau melakukan kerja-kerja lain yang berkaitan dengan tugas seorang guru sahaja. Ya Allah, berdosanya saya. Semoga Allah mengampuni dosa-dosa saya yang lepas. Saya berazam, saya tidak akan berblog lagi di sekolah, Insya-Allah.
Jika melihat senario sekarang, ramai juga penjawat awam atau swasta yang mengambil kesempatan melakukan "bisnes" di tempat kerja, dengan membawa produk atau barangan yang hendak dijual di tempat kerja. Rakan-rakan yang "free" akan mengambil peluang untuk melihat dan membelek produk yang dibawa, hingga kadang-kadang mereka terpaksa mencuri waktu kerja mereka untuk meneliti dan memilih barangan tersebut. Terdapat juga guru-guru yang lewat masuk ke kelas kerana terleka membelek barangan yang dibawa oleh rakan-rakan. Pada hemat saya, perbuatan itu juga sama halnya dengan babak drama yang saya tonton itu, iaitu mengunakan kemudahan di tempat kerja dan mencuri masa kerja untuk kepentingan peribadi. Jika begitu, berkatkah pendapatan daripada pekerjaan kita itu? Tepuk dada tanya iman. Wallah hua'lam...
No comments:
Post a Comment