Malam itu, sebelum tidur, jari-jemari mengescroll status rakan-rakan di "newsfeed"...dan tiba-tiba mata tertangkap satu posting dari seorang bekas pelajar. Sungguh emosional bunyi statusnya dan agak kasar bahasanya. Oleh sebab saya mengenali dirinya sejak dulu (walaupun mungkin terbatas dari luaran sahaja), hati berasa kesal. Kenapa mesti berbahasa kasar begitu? Beliau seorang guru malah pernah berguru dengan saya selama dua tahun. Sangat tidak molek seorang guru berbahasa kasar dalam khalayak / media sosial. Apa pun alasannya, niat tidak menghalalkan cara. Paling penting, beliau seorang guru dan menjadi ikutan anak-anak muridnya. Tentu sahaja ramai anak-anak muridnya menjadi rakan fbnya. Saya sebagai guru bahasa Melayu, yang pernah mengajarnya tentang ilmu sosiolinguistk, iaitu tentang budaya berbahasa dalam kalangan masyarakat Malaysia, sudah pasti saya terpanggil untuk menegurnya demi menjalankan tanggungjawab sosial.
Saya melakukannya dengan mengirim pesanan di ruangan mesengger (private message) agar hal ini menjadi rahsia antara kami berdua sahaja. Saya akhirnya mengambil keputusan untuk memasukkannya dalam entri saya ini untuk memberi pengajaran kepada orang lain. Saya rasa saya tidak mengaibkan beliau kerana saya hanya meletakkan keratan tulisannnya sahaja tanpa namanya.
Beberapa minit kemudian, beliau membalas pesanan saya.
Diikuti postingnya di facebook. Wah, marah betul beliau terhadap saya!
Tak apalah, saya tak marah dan tak berkecil hati pun. Saya menganggap beliau masih tidak matang kerana tidak dapat mengawal emosi dan amarahnya apabila ditegur. Sekali lagi saya ingin tegaskan di sini, apa pun alasannya, niat tidak menghalalkan cara. Apakah beliau fikir semua orang yang terbaca postingnya akan bertanya sebab beliau berbahasa kasar begitu? Mungkin ada, tetapi sekadar seorang dua sahaja. Pada yang lain, apa sebabnya tidak penting bagi mereka (who cares?) tetapi posting beliau itu mencerminkan dirinya.
Sebagai guru, kita harus menunjukkan nilai yang positif sepanjang masa kerana kita membawa imej seorang pendidik, mendidik anak bangsa menjadi manusia yang cemerlang di dunia dan di akhirat. Sebagai pendidik, tugas mendidik bukan hanya di dalam kelas, tetapi juga di luar kelas. Tingkah laku kita dan tutur kata kita akan memberi impak besar kepada anak-anak murid kita. Kita menjadi idola kepada anak-anak murid kita. Nak tahu kenapa generasi Y kini semakin bersikap kurang ajar dan biadap dari segi tingkah laku dan tutur kata? Jawabnya, selain faktor media massa, pengaruh rakan sebaya dan kurang didikan agama, kita sendiri sebagai guru menunjukkan contoh yang tidak baik kepada mereka.
Pada hemat saya, ramai yang boleh menjadi cikgu tetapi tidak ramai yang boleh menjadi pendidik. Ramai cikgu di sekolah, tetapi berapa kerat sahaja yang sebenar-benarnya pendidik? Ramai cikgu lelaki yang merokok di sekolah (kebanyakan sekolah), tetapi dalam masa yang sama, mereka merupakan guru disiplin yang akan mendenda pelajar yang merokok. Ada guru yang ponteng kelas, tetapi dalam masa yang sama, mereka mengambil tindakan terhadap pelajar yang ponteng kelas atau sekolah. Ada guru yang selalu lewat ke kelas, tetapi dalam masa yang sama, mereka marahkan pelajar yang datang lewat ke kelas atau sekolah. Ada guru yang berbahasa kesat dan kasar dengan pelajar atau di media sosial tetapi dalam masa yang sama, mereka seorang kaunselor. Begitulah realitinya. Terdapat pelbagai jenis guru di sekolah. Jadi bagaimana kita hendak mendidik pelajar-pelajar kita menjadi orang yang baik sedangkan kita sendiri menunjukkan contoh yang tidak baik kepada mereka, bak kata pepatah, guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari.
Agak melucukan, apabila ada sebilangan guru yang meluahkan perasaan kesal kerana tidak dihargai oleh pelajar-pelajar mereka pada hari guru. Pelajar mereka tidak mengucapkan selamat hari guru dan sebagainya. Kenapa mesti bersedih atau kesal? Cuba tanya diri kita sendiri, pernahkan kita mengajar mereka dengan nilai-nilai positif seperti yang kita mahukan di dalam kelas? Tugas seorang pendidik bukan setakat mengajar subjek yang diamanahkan, tetapi juga membentuk sahsiah murid-muridnya. Kalau kita ingin diri kita diingati, dihargai dan diraikan, belajarlah menjadi seorang pendidik yang sebenar-benarnya. Berbahasa dan bertingkah lakulah dengan baik dan sopan, semoga kita dikenang kerana nilai positif yang terserlah dalam diri kita, tidak kiralah semasa kita berada di dalam kelas atau di luar kelas.
Apa-apa yang saya kongsikan dengan pembaca dalam entri saya pada kali ini, bukan bermaksud saya seorang guru yang sempurna, hebat atau bagus. Saya membuat pemerhatian berdasarkan pengalaman di sekolah sendiri, cerita daripada rakan-rakan guru dari sekolah lain, cerita-cerita dari media sosial dan rungutan daripada ibu bapa yang pernah saya kenal, lalu saya membuat rumusan saya sendiri. Saya juga sebenarnya tidak terlepas daripada kekhilafan dalam usaha menjadi seorang pendidik yang sebenar-benarnya pendidik, tetapi saya cuba untuk sentiasa memuhasabah diri saya dan berusaha untuk memperbaik kelemahan saya, insya-Allah.
Akhir kalam, sebenarnya yang menjadi titik tolak permasalahan...ialah diri kita sendiri. Apa pendapat anda?
No comments:
Post a Comment