TUAI PADI ANTARA MASAK, ESOK JANGAN LAYU-LAYUAN, INTAI KAMI ANTARA NAMPAK, ESOK JANGAN RINDU-RINDUAN...

Wednesday, August 7, 2019

Bukan Aku Tak Cinta


Ratna nekad. Hatinya sudah bulat. Dia sudah membuat solat istikarah.  Dia harus membuat keputusan demi kebahagiaan dirinya sendiri. Biarlah semua orang menuduh dia mementingkan diri sendiri. Biarlah Mama, Papa dan adik-beradiknya marahkannya. Biarlah saudara-maranya memandang serong terhadapnya. Biarlah seluruh dunia juga menentangnya. Biarlah...biarlah. Kenapa dia harus memikirkan hati dan perasaan orang lain sedangkan hatinya dan perasaannya sendiri diabaikan. Dia tidak mampu bertahan lagi. Dia tidak mampu lagi untuk meneruskan perkahwinannya dengan Nazri. Bukan kerana dia tidak lagi mencintai Nazri, tidak...Dia masih mencintai Nazri. Nazri tersangat baik.  Lelaki itu tidak pernah meninggikan suara kepadanya apatah lagi memarahinya. Lelaki itu tidak pernah menjentiknya apatah lagi memukulnya.

 Nazri sangat mecintai dan menyayanginya. Namun begitu, cinta dan kasih sayang sahaja tidak cukup untuk mempertahankan perkahwinan mereka. Sampai bila dia harus sentiasa berkorban? Sampai bila dia harus menanggung keluarga?   Sampai bila dia harus menjerut perasaannya sendiri? Selama ini, dialah yang membuat segala keputusan dan Nazri hanya mengeyakan dan menurut sahaja. Dia tidak mahu begitu. Dia mahu Nazri yang membuat keputusan dan dia yang mengeyakannya dan menurut sahaja. Dia mahu Nazri yang memimpinnya bukan dia yang memimpin. Dia mahu Nazri yang bekerja menyara keluarga, bukannya dia. Cukuplah dia memberi peluang kepada Nazri untuk berubah dan menjadi seorang suami yang bertanggungjawab, tetapi Nazri berubah untuk seketika sahaja. . 

                             "Sampai hati Ratna nak berpisah dengan Abang," rintih Nazri.. 
                              "Ratna dah tak sayang dan cintakan Abangke? soal Nazri lagi.
                             "Kalau sebab anak, kita boleh ambil anak angkat," rayu Nazri.

Ratna hanya menyepi. Dia sudah banyak kali berbincang tentang masalah mereka tetapi Nazri seperti buat-buat tidak faham, menyoal dan terus menyoal seoalah-olah dia pula yang bersalah.

                             "Ratna ni dah kenapa?  Mama dan Papa malu dengan perangai Ratna. Nazri tu menantu yang baik.  Takkanlah perkara remeh-temeh macam tu tak boleh bawa berbincang? Jangan jadi isteri derhaka, Ratna. Ratna tak maluke jadi janda?" Masih terngiang-ngiang soalan-soalan dan  esakan Mama tempoh hari apabila dia menyatakan keputusannya untuk berpisah dengan Nazri kepada Mama dan Papa.

                              Biarlah semua orang menentang keputusannya, namun dia nekad. Ratna sudah memikirkan baik buruknya. Dia tidak takut menjadi janda. Dia boleh hidup tanpa Nazri. Dia boleh menyara hidupnya sendiri kerana dia bekerja. Dia sudah ada rumah dan kereta. Nazri yang harus belajar berdikari. Akhirnya Ratna dan Nazri bercerai dengan talak satu. Nazri redha dan terpaksa mengalah dengan kehendak Ratna. Dia tidak mahu Ratna menjadi isteri derhaka. Walaupun sudah berpisah, mereka berjanji untuk terus bersahabat dan tidak bermusuh.
                          
                             Sejak berpisah dengan Nazri dan dalam tempoh edah, Ratna hanya pergi bekerja. Balik dari bekerja, dia hanya mengurung diri di dalam rumah.  Setiap malam Ratna menangis sendiri. Dia rindu akan Nazri dan berasa sangat sepi. Ratna tidak menafikan bahawa dia masih mencintai Nazri tetapi bukan bermaksud dia mahu kembali kepada Nazri.  Cukuplah lapan tahun mereka melayari bahtera perkahwinan, dan cukuplah juga dia yang menyara kehidupan mereka berdua selama ini.

                                                               *************************

Selepas enam bulan berpisah dengan Nazri, Ratna  mula berjinak-jinak dengan hobi baharu iaitu mendaki bukit.  Dia mula terjebak dengan aktiviti mencabar itu apabila Hanis, rakan sepejabatnya mengajaknya menemaninya mendaki bukit Broga pada suatu hari. Walaupun kepenatan, Ratna berasa seronok kerana fikIrannya terasa lapang dan hatinya berasa tenang apabila berjaya menawan puncak Broga.  Sejak itu,  Ratna akan mendaki bukit setiap minggu jika berkelapangan.  Sudah banyak puncak bukit berjaya ditawannya. 

Suatu hari, Ratna dan Hanis  mendaki bukit Broga untuk kali kelima. Semasa berada di puncak, Ratna berehat di atas sebuah batu besar sambil menikmati pemandangan indah dan angin sepoi-sepoi bahasa di puncak Broga. Hanis hilang entah ke mana. Mungkin Hanis  berada di sekitar puncak itu sahaja, detik hati Ratna apabila dia tidak melihat kelibat Hanis.  Di sebelah batu besar itu, kelihatan seorang lelaki sedang duduk berehat sambil menikmati pemandangan yang sama. Ratna menoleh ke arah lelaki itu.  Dia seperti pernah melihat lelaki itu tetapi dia tidak ingat di mana.  Ratna cuba memerah otak.  Tiba-tiba Ratna tersenyum setelah dia teringat sesuatu.  Ya, lelaki itu juga pendaki sepertinya.  Dia pernah terserempak dengan lelaki itu semasa sedang mendaki bukit Broga pada minggu lepas. Lelaki itu tiba-tiba menoleh juga ke arah Ratna.  Ratna tidak sempat mengalihkan pandangannya. Mata mereka bertentangan dan akhirnya mereka saling berbalas senyuman. Lelaki itu berdiri dan mula mendekati Ratna sambil memberi salam. Perlahan sahaja Ratna menjawab salam lelaki itu.  Entah kenapa hatinya tiba-tiba berdebar.

                 "Boleh saya duduk di sini?" Tanya lelaki itu.  Ratna sekadar mengangguk dan tersenyum. Ratna mengamati paras lelaki itu secara dekat. Usia lelaki itu mungkin dalam lingkuangan 40-an. Raut wajahnya agak kacak dan tinggi orangnya. Tubuhnya sasa mungkin kerana dia sentiasa beriadah dan mendaki bukit, Ratna berkira-kira sendiri. Lelaki itu duduk di sebelah Ratna tetapi  menjaga jaraknya dengan Ratna.

                " Cik sorang je ke? Tanya lelaki itu lagi memulakan perbualan.
                " Taklah, saya berdua dengan kawan. Entah ke mana dia pergi. Tadi ada je," lancar sahaja Ratna menjawab.
                " Ooo, baguslah kalau berteman. Bahaya juga kalau seorang diri."
                " Pertama kali ke sini?" Tanya lelaki itu lagi.
                " Taklah, ini kali kelima," balas Ratna ringkas.
                " Oh ya ke..tak pernah nampak pula cik sebelum ni."
                "Tapi saya pernah nampak encik sebelum ni."
                 " Oh ya ke. Kenapa tak tegur?"
                 "Eh, tak kenal, macam mana nak tegur."
                  Lelaki itu tertawa kecil.  "Sekarang dah kenalkan?"
                  "Kenal gitu-gitu jelah," balas Ratna sambil tersenyum. 
                  " Ok, nama saya Hafiz. Nama cik?"
                  "Nama saya Ratna."
                   "Tinggal kat mana?"
                   'Saya tinggal di Ampang. Encik Hafiz tinggal di mana?" Giliran Ratna pula bertanya.
                 "Saya tinggal di Kajang saja. Hampir setiap minggu saya ke sini. Saya suka tempat ni. Udaranya nyaman dan fikiran saya tenang bila berada di puncak ni."
                   " Samalah dengan saya. Encik Hafiz sorang je ke?"
                   "Ya, saya sorang je. Tak ada siapa pun sudi nak temankan saya," balas Hafiz sambil cuba berseloroh.
                    Ratna hanya tersenyum. Tiba-tiba muncul Hanis di depan mereka. 
                  "En. Hafiz, kenalkan, ini Hanis, kawan saya. Kami selalu mendaki berdua sahaja." Hafiz dan Hanis saling berbalas senyum. 
                 "Ratna, aku pergi ke sebelah sana ya." Hanis mengenyitkan matanya kepada Ratna dan meminta diri untuk beredar. Hafiz hanya mengangguk dan tersenyum. Ratna membulatkan matanya kepada Hanis namun Hanis sudah pun berlalu.
                   "Tadi saya ingatkan teman cik Ratna lelaki, rupanya perempuan," ujar Hafiz setelah Hanis berlalu.
                  "Saya ni janda," lancar sahaja lidah Ratna berkata-kata membuka rahsia dirinya.  Lebih baik dia jujur sahaja dengan lelaki itu, detik hati Ratna. Tiada apa yang hendak dimalukan. Menjadi janda bukanlah suatu dosa.
                   "Oh, maafkan saya," Hafiz kelihatan sedikit terkejut.
              "Tak apa. Enck Hafiz tak buat salah apa pun." balas Ratna sambil tersenyum. Hafiz memandang Ratna agak lama menyebabkan Ratna berasa tidak selesa. 
                 "Cik Ratna, saya pun nak berterus terang.  Saya juga seorang duda.  Nampaknya kita ni senasib ya," ujar Hafiz sambil tertawa kecil. Ratna turut tertawa. Dia sebenatnya tidak menyangka Hafiz merupakan seorang duda.
                       
                        Ratna dan Hafiz berbual-bual lagi agak lama.  Setelah Hanis kembali, Ratna dan Hanis meminta diri dan turun ke kaki bukit mendahului Hafiz.  Sebelum berpisah, mereka bertukar-tukar nombor telefon. 

                                            ********************************

Sejak pertemuan pertama itu, Ratna dan Hafiz selalu berhubung dan semakin lama, hubungan mereka semakin mesra.  Hafiz seorang duda anak lima. Setelah mendapat restu daripada anak-anaknya, Hafiz akhirnya melamar Ratna untuk menjadi isterinya.  Ratna dengan ikhlas menerima Hafiz kerana dia mendapati ciri-ciri lelaki yang didambakannya ada pada lelaki itu. Hafiz mempunyai perniagaannya sendiri. Hafiz begitu matang berbicara soal kehidupan dan rumahtangga. Sifat kepimpinannya sebagai ketua keluarga sangat terserlah. Ratna melakukan solat istikarah untuk meminta petunjuk daripada Allah. Setelah Ratna benar-benar yakin dan mendapat restu daripada Mama dan Papa serta adik-beradiknya, Ratna dan Hafiz akhirnya berkahwin setelah tiga bulan bercinta.  Perkahwinan mereka diadakan secara ringkas  dan  dihadiri ahli keluarga terdekat sahaja.

Nazri sebenarnya sangat kecewa apabila mendapat berita tentang perkahwinan Ratna dan  Hafiz kerana dia masih mengharapkan Ratna kembali kepadanya. Dia baru sahaja mendapat kerja tetapi sudah agak terlambat.  Namun begitu, dia akhirnya pasrah dan menerima hakikat bahawa Ratna sudah menjadi milik orang lain. Hasil perkogsian hidup Hafiz dan Ratna, mereka akhirnya dikurniakan seorang cahaya mata lelaki yang comel.  Ratna sangat bersyukur kerana akhirnya dia mampu melahirkan zuriatnya sendiri. Hidupnya kini sangat bahagia dengan Hafiz. Semoga jodohnya dengan Hafiz sampai ke syurga, insya- Allah. Terima kasih Allah, bisik Ratna di dalam hati. 
           
                     

                   

           






No comments:

Post a Comment