Ketiga-tiga nama ini tidak begitu melekat dalam ingatan saya kecuali nama Ridzuan Abu Bakar kerana beliau dan saya sering juga bertegur sapa di facebook lama dahulu. Akan tetapi, sejak tiga hari lepas sejak saya menerima pelawaan saudara Mohammad Salleh untuk menjadi rakan fb beliau dan beliau menegur saya melalui aplikasi messenger, barulah memori silam saya dengan mereka menerjah kembali dalam minda saya. Allahu akhbar, rupa-rupanya mereka juga bekas pelajar saya (batch 2000-2001) di Sekolah Tinggi Bukit Mertajam dahulu. Ramai lagi bekas pelajar saya dari sekolah yang sama dengan mereka yang masih berhubung dengan saya melalui fb sehingga sekarang, tetapi di sini saya ingin membuka semula lembaran nostalgia bersama-sama Mohammad Salleh, Ridzuan dan Mahyudin. Saya akui, dek peningkatan umur yang hampir mencecah separuh abad pada tahun hadapan, memori saya semakin sempit. Semuanya ingat-ingat lupa tetapi jika diperhangat, memori itu kembali muncul sedikit demi sedikit sehinggalah saya ingat semula segala-galanya.
Semasa saya dapat berpindah dari Bukit Mertajam ke Ampang pada tahun 2001, saya dan suami tidak meminta bantuan sesiapa pun untuk mengangkat barang-barang kami. Kami hanya mengharapkan pemandu lori dan kelindan lori sahaja. Namun begitu, Allah maha penyayang, Dia menghantar tiga orang pelajar lelaki saya untuk membantu kami. Mereka bertiga menawarkan diri untuk membantu kami mengangkat barang-barang dari dalam rumah ke dalam lori. Sangkaan saya, setakat itu sahajalah mereka membantu kami, tetapi demi Allah, saya sangat terkejut apabila mereka mengatakan bahawa mereka mahu mengikut kami ke Ampang. Apabila saya bertanya adakah ibu bapa mereka mengetahui rancangan mereka itu, mereka menjelaskan bahawa ibu bapa mereka sudah pun memberi keizinan. Saya dan suami berfikir sejenak, mereka nak naik apa ke Ampang? Kereta Proton Saga kami penuh dengan anak-anak. Seperti memahami kegusaran kami, mereka bertiga menjelaskan bahawa mereka boleh sahaja menaiki lori. Saya dan suami hanya berpandangan sesama sendiri. Merka bertiga hanya tersenyum ikhlas. Akhirnya mereka bertiga duduk di bahagian belakang lori, duduk di atas kotak-kotak barang kami. Allahu, kasihannya mereka. Akhirnya kami bertolak ke Ampang.
Kami sampai di rumah sewa saya di Hulu Langat pada lewat petang. Pada ketika itu bulan Ramadan. Kami hanya berbuka puasa dengan membeli makanan di bazar Ramadan. Pada malam itu mereka bertiga tidur di rumah baharu kami. Keesokan harinya, saya dan suami tidak sempat untuk membawa mereka berjalan-jalan di Kuala Lumpur kerana kami kepenatan, jadi suami hanya memberi duit kepada mereka dan meminta mereka pergi berjalan-jalan di Kuala Lumpur bertiga. Seharian mereka ronda-ronda di Kuala Lumpur di bulan Ramadan. Harap-harap mereka seronok. Sebelum waktu berbuka, mereka pulang ke rumah saya dan selepas berbuka, suami saya menghantar mereka ke stesen bas kerana pada malam itu juga mereka akan bertolak balik ke Bukit Mertajam. Kami akhirnya berpisah di situ.
Masa berlalu. Kenangan itu semakin kabur dari memori ingatan saya, namun Alhamdullilah, kini saya mengingatinya kembali setelah bersembang dengan Mohammad Salleh melalui aplikasi messenger. Beberapa tahun dahulu, saya juga pernah bersembang dengan Wan tentang kenangan ini. Saya hanya belum berkesempatan bersembang dengan Mahyudin. Mereka bertiga kini sudah berusia 37 tahun. Alhamdulillah, mereka kini sudah menjadi orang berjaya dan punya keluarga bahagia. Wan seorang guru di Sabah, Mohammad Salleh, pegawai polis di Ipoh dan Mahyudin, pegawai di Kementerian Penerangan. Saya bahagia dan terharu apabila mengetahui mereka sangat menyayangi saya. Menurut Mohammad Salleh lagi, mereka sanggup mengikut saya ke Ampang kerana mereka sayang akan saya. Katanya lagi, menaiki lori merupakan suatu pengalaman yang menyeronokkan bagi mereka tetapi dalam masa yang sama, mereka sedih kerana guru 'feberet' mereka berpindah. Alahai, saya pun sangat sedih dan berat hati untuk berpindah ke Ampang, namun demi keluarga saya turutkan..
Kepada Ridzuan, Mohammad Salleh dan Mahyudin, cikgu mengucapkan ribuan terima kasih kepada kalian bertiga. Hanya Allah yang mampu membalas jasa baik kalian bertiga kerana sanggup bersusah payah untuk cikgu dan keluarga cikgu. Ikhlas dan sucinya hati kalian, membantu cikgu tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Bertuahnya ibu bapa kalian kerana melahirkan anak-anak sebaik kalian. Cikgu juga mohon maaf andai ada kekurangan layanan kami terhadap kalian semasa kalian bertiga berada di rumah cikgu dahulu.. Kepada bekas pelajar-pelajar cikgu yang lain, andai ada momen-momen indah yang pernah kita lalui bersama-sama namun tidak terungkap atau tertulis oleh cikgu di dada Kristal Bening, cikgu mohon maaf. Mungkin masanya akan tiba jua nanti, insyaAllah.
Buat cikgu yg kami kasih, apalah Sangat pertolongan kami kalo nak dbandingkan dengan isikan Dan ilmu yg cikgu curahkan kepada kami. Apatah lagi antara kami bertiga sayalah yg paling nakal...degil selalu kerja sekolah tak buat..suruh org buat la....tp cikgu tetap sabar mendidik kami. Terima kasih cikgu sabar didik kami terutama saya yg degil ni....jasa cikgu akan saya kenang hingga akhir hayat saya.
ReplyDeleteYg ikhlas; m salleh@pak leh.
Terima kasih Salleh
Deleteterima kasih cikgu..kenangan yg kami tak akan lupakan..tima kasih cikgu kerna bersabar dgn kerenah kami yg 3 suku ni..
ReplyDeletealahamdulillah..
ReplyDeleteTerbaik sahabat2 ku.
ReplyDelete