11 September 2014 - 24 Oktober 2014. Sudah dua tahun waktu berlalu, namun setiap kali musim haji tiba, rindu menggamit. Segala rasa bersatu dalam hati. Rasa sebak, hiba dan sayu menggigit-gigit tangkai hati tatkala mendengar lambaian baitullah "Labbaikallah hummalabaik, labbaikala syari kalakalabaik, innalhamda, walnikmata lakawalmukh, laasyarikalah." Hingga kini, saya masih mengenang buku catatan saya yang tertinggal di bawah bantal di bilik hotel Al-Haram, Madinah. Catatan terperinci tentang kembara menuju Illahi sepanjang saya dan suami berada di tanah haram Mekah al-Mukkaramah dan Madinah al-Munawwarah selama 44 hari tidak ditakdirkan untuk diterjemahkan di dada Kristal Bening. Mungkin ada hikmah yang tidak terjangkau oleh minda saya dek kejahilan diri sendiri. Niat saya adalah untuk berkongsi pengalaman saya sepanjang berada di sana dengan para pembaca. Hanya sekadar itu.
Sebelum saya berangkat ke tanah suci, saya telah pun berfikir tentang tajuk tulisan saya itu. Setelah berfikir-fikir dan mendapat tajuk yang sesuai, saya siap-siap menulisnya di draf blog saya, dengan harapan, apabila saya pulang kelak, saya akan terus sahaja memindahkan catatan tersebut di dada Kristal Bening. Sayang seribu kali sayang, saya hanya mampu merancang, namun Allah jua yang menentukannya. Sesungguhnya, Allahlah sebaik-baik perancang. Saya teramat sedih, namun redha. Sejak pulang dari mengerjakan haji, sudahlah saya kesedihan, ditambah pula dengan keadaan kesihatan saya yang merosot. Saya menghidapi batuk yang agak kronik rentetan batuk yang saya hidapi semasa berada di Madinah. Keadaan kesihatan saya semakin merosot. Batuk saya semakin kronik dan berlanjutan agak lama menyebabkan saya menanggung kesakitan yang amat sangat di bahagian tepi kanan dan kiri dada saya. Saya menangis setiap kali saya batuk kerana saya tidak mampu menahan kesakitan yang luar biasa itu. Hal ini menyebabkan saya terpaksa berulang-alik ke hospital Ampang untuk rawatan dan 'check' darah. Doktor bimbang jika saya menghidapi penyakit berjangkit dari Mekah dan Madinah. Kondisi saya itu menyebabkan saya malas berfikir apatah lagi menulis pada waktu itu.
Pada hari ini (28 Ogos 2016), tiba-tiba sahaja terdetik di hati saya untuk cuba menulis semua pengalaman saya mengerjakan haji pada dua tahun lepas seadanya, berdasarkan gambar-gambar yang saya ambil mengikut rentetan tarikh kejadian. Syukurlah saya telah melabelkan semua gambar saya itu dengan tarikh sebaik sahaja saya memindahkan gambar-gambar tersebut dari smart phone saya ke laptop. Saya akan cuba menulis apa-apa sahaja yang mampu saya ingat, namun mungkin tidak terperinci seperti yang pernah saya catat di dalam buku catatan saya. Selebihnya, biarlah gambar-gambar sahaja yang berbicara.
Pada malam terakhir saya menginap di hotel al-Haram, saya sudah siap berkemas. Buku catatan saya itu, saya letakkan di bawah bantal saya, dengan harapan, saya akan menulis catatan yang terakhir pada pagi esoknya semasa dalam perjalanan ke lapangan terbang Madinah. Saya sudah biasa dengan cara saya itu sejak hari pertama menginap di hotel Qasr al-Janadriyah, Mekah. Biasanya saya akan menulis pada waktu malam sebelum saya tidur. Keesokan paginya, setelah mandi dan bersiap-siap, kami mendapat arahan agar semua jemaah yang akan pulang pada tarikh 24 Oktober berkumpul di lobi hotel. Sebelum keluar dari bilik, saya berdiri di muka pintu dan memandang sekeliling ruang bilik itu dan mengucapkan salam dan ucapan selamat tinggal. Setelah itu, saya keluar dari bilik tanpa menoleh lagi. Di lobi, kami menyerahkan kunci bilik di kaunter serahan kunci, lalu saya dan suami menaiki bas yang sudah siap sedia menunggu di luar hotel. Kami menunggu agak lama di dalam bas kerana proses penyerahan pasport jemaah haji dilakukan di dalam bas. Hampir satu jam kami menunggu di dalam bas sementara menunggu proses tersebut selesai. Akhirnya semua jemaah haji menerima pasport masing-masing. Setelah itu, semua bas bergerak serentak menuju ke lapangan terbang Madinah.
Di lapangan terbang Madinah, kami melalui semua protokol untuk berlepas tanpa sebarang masalah. Semuanya berjalan lancar dan setelah beberapa lama menunggu, akhirnya kami menaiki Boeing Saudi Air dengan perasaan gembira tetapi sayu. Hati gembira kerana kami akan pulang ke pangkuan keluarga tercinta di tanah air, manakala rasa sayu kerana kami terpaksa pulang dan meninggalkan bumi Mekah dan Madinah. Entah bila pula kami akan ke sini lagi untuk menyahut lambaian kaabah. Di dalam pesawat, kami mencari-cari nombor kerusi kami. Rupa-rupanya, nombor kerusi dan kedudukan kami pada waktu itu sama seperti nombor kerusi dan kedudukan kami semasa datang dahulu. Rupa-rupanya juga, penumpang di sekeliing kami merupakan 'roomate' kami selama berada di Mekah dan Madinah. Kami benar-benar tidak perasan akan perkara itu dahulu. Setengah jam kemudian, kapal terbang mula bergerak dan berlepas.
Beberapa minit kemudian, tiba-tiba saya teringat akan buku catatan saya. Jantung saya bagaikan terhenti apabila teringat bahawa buku itu tertinggal di bawah bantal di bilik hotel al-Haram. Saya terjerit kecil menyebut nama Allah dan memberitahu suami saya tentangnya. Mata saya mula berkolam tetapi saya berusaha untuk menahan tangis walaupun pada hakikatnya, saya sudah pun menangis di dalam hati. Hancur luluh hati saya mengenangkan buku catatan saya itu. Terasa sia-sia segala usaha saya mencatat segala aktiviti kami sepanjang 44 hari di bumi Mekah dan Madinah. Saya benar-benar kesal akan kecuaian diri saya. Saya asyik bertanya sendiri, kenapalah saya tidak memeriksa bawah bantal saya sebelum keluar dari bilik. tadi, dan kenapa juga saya boleh lupa tentang buku catatan saya itu? Soalan kenapa, kenapa dan kenapa terus menghantui diri saya pada waktu itu. Suami saya cuba menenangkan saya tetapi saya tetap kecewa. Buku catatan itu terlalu berharga buat saya. Ia mengandungi catatan yang sangat terperinci yang tidak mungkin saya dapat mengingatinya. Segala aktiviit yang saya catat lengkap dengan tarikh dan masa. Tiada apa-apa pun yang boleh menenangkan saya pada saat itu. Akhirnya menitis juga air mata saya kerana terlalu sedih. Hanya Allah yang maha mengetahui betapa sedih dan kecewanya saya pada ketika itu. Walaupun saya sangat sedih dan kecewa, saya redha akan segala yang telah berlaku. Pasti ada hikmah di sebaliknya, saya cuba memujuk hati sendiri.
***********************
Saya dan suami mula mendaftar haji pada tahun 2000 dan dalam jangkaan semasa pendaftaran, giliran kami adalah pada tahun 2009. Tepat seperti yang dijangka, kami benar-benar mendapat tawaran untuk menunaikan haji pada tahun 2009. Namun begitu, pada waktu itu, hati saya terasa berat untuk menerima tawaran tersebut walaupun simpanan saya sudah mencukupi, sementelah pula, suami belum bersedia dari segi mental dan kewangan. Hati saya terasa berat kerana saya berasa risau akan anak-anak yang masih kecil, siapa yang akan menjaga mereka nanti? Saya juga berasa takut andai perkara yang tidak baik berlaku kepada saya semasa di sana nanti kerana saya banyak mendengar cerita yang pelik-pelik tentang jemaah haji di sana. Saya dan suami akhirnya membuat keputusan untuk menolak tawaran tersebut, namun tidak memaklumkannya kepada pihak Tabung Haji.
Pada tahun 2010, saya tidak mendapat apa-apa berita dari Tabung Haji. Pada tahun itu juga saya berpindah ke rumah sewa yang baharu di kawasan kejiranan yang sama. Masa berlalu. Pada tahun 2011, tiba-tiba hati saya terasa sayu yang tidak tertahan apabila tiba musim haji. Hati saya terasa rindu untuk menjejakkan kaki ke bumi Mekah dan melihat kaabah. Saya berasa hairan kerana tidak menerima tawaran pada tahun itu. Saya pergi ke Tabung Haji cawangan Ampang untuk bertanya tentang giliran saya menunaikan haji. Petugas yang bertugas menyatakan bahawa pada tahun 2010, saya tidak memaklumkan balasan kepada mereka menyebabkan mereka menganggap saya dan suami menolak tawaran tersebut. Saya menjelaskan bahawa saya tidak menerima apa-apa tawaran pun pada tahun 2010, tetapi setelah mereka melihat di dalam sistem, memang benar mereka telah menghantar surat tawaran kepada saya dan suami tetapi tiada balasan daripada kami sama ada kami menangguh atau menolak, jadi mereka beranggapan kami menolak tawaran tersebut. Setelah berfikir-fikir, akhirnya barulah saya teringat bahawa pada akhir tahun 2010 kami berpindah rumah, dan mungkin surat tersebut telah dihantar ke rumah lama kami. Petugas itu memberitahu saya bahawa, sejak tahun 2010, jika calon haji menolak tawaran, mereka tidak akan ditawarkan lagi untuk menunaikan haji pada tahun berikutnya. Jika mereka hendak pergi menunaikan haji, mereka harus membuat rayuan.
Saya berbincang dengan suami tentang tarikh kami akan menunaikan
haji. Saya memohon kepada suami agar
pergi pada tahun 2012 tetapi suami saya keberatan. Dia hanya bersetuju untuk pergi menunaikan
haji pada tahun 2014. Saya terpaksa akur
walaupun hati saya berasa tidak tertahan lagi untuk menunaikan haji. Pada tahun
2012 dan 2013, setiap kali tiba musim haji, saya tidak mampu menahan rasa sayu, sebak,
hiba dan rindu untuk ke tanah suci bagi mengerjakan haji. Saya juga akan berasa cemburu apabila mendengar
khabar ada orang atau rakan yang akan menunaikan haji pada tahun tersebut. Saya sendiri berasa hairan, kenapa dahulu
(tahun 2009 dan tahun-tahun sebelumnya) saya berasa amat takut apabila
berbicara tentang haji tetapi tiba-tiba sahaja
pada tahun 2011, perasaan rindu untuk ke sana datang membuak-buak. Mungkinkah ini yang dikatakan sebagai ‘sampai
seru’? Entahlah, saya sendiri tidak
pasti.
Pada awal Disember 2013,
saya memujuk suami agar bersetuju membuat rayuan menunaikan haji pada tahun
2014 kerana dia sudah berjanji kepada saya dahulu (2011). Suami akhirnya
bersetuju. Setelah itu, saya menulis surat rayuan dan menghantar sendiri surat itu ke ibu
pejabat Tabung Haji Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur ditemani anak
sulong saya. Di sana, saya diberitahu
oleh pegawai yang bertugas bahawa peluang rayuan saya diterima adalah sangat
tinggi kerana saya dikira sebagai calon menangguh. Saya memanjatkan kesyukuran kepada Allah dan
saya benar-benar gembira.
Pada 26 Januari 2014, saya dan suami mendaftar kursus haji di
Masjid Ubudiah di belakang rumah kami.
Kursus tersebut dikendalikan oleh Ustaz Sapawi. Pada awal April 2014, saya mendapat jawapan daripada Tabung Haji yang mengatakan bahawa rayuan kami telah diluluskan. Surat tawaran akan menyusul kemudian. Alhamdulillah, saya sangat gembira dan
memanjatkan kesyukuran kepada Allah atas limpahan rezeki-Nya. Akhirnya pada akhir April 2014, kami menerima
surat tawaran bertulis daripada Tabung Haji.
Tarikh penerbangan kami adalah pada 10 September 2014 pada jam 9.30 malam waktu Malaysia dan kami
harus berkumpul di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya. Kami
akan berlepas ke Mekah dengan KT 35 pesawat Saudi Air dan akan mendarat di Lapangan Terbang Jeddah. Tarikh kepulangan kami adalah pada 25 Oktober
2014 jam 3.00 petang waktu Madinah dan dijangka akan sampai di KLIA Sepang pada jam 5.20 pagi. Kami
akan berlepas pulang juga dengan pesawat Saudi Air dari Madinah. Penerbangan kami dengan KT35 merupakan penerbangan yang pertama ke Mekah (penerbangan KT34 merupakan penerbangan yang terakhir ke Madinah). Kami akan memasuki Mekah terlebih dahulu dan akan berniat ihram di miqat Qarnul Manazil. Kami akan melakukan Haji Tamattuk.
10 September 2014 - di Kelana Jaya
Saya dan suami serta anak-anak bertolak ke Kelana Jaya pada jam 5 petang. Adik saya, Md Khairul Dathran dan keluarganya mengiringi kami ke Kelana Jaya. Saya, suami dan anak-anak perempuan saya menaiki Exora, manakala anak sulong saya memandu Waja ditemani anak kedua dan ketiga saya. Semasa pulang daripada menghantar saya dan suami, anak sulong saya memandu Exora manakala anak kedua saya memandu Waja.
Setelah tiba masanya untuk semua jemaah haji memasuki dewan untuk mendengar taklimat oleh para petugas Tabung Hjai, kami bersalam-salaman dan bepeluk-pelukan dengan anak-anak dan adik beradik saya dan suami. Hati terasa sangat sayu untuk meninggalkan anak-anak saya, namun saya cekalkan hati saya. Kami mula beredarsambil melambai-lambai kepada anak-anak dan adik beradik.
11 September 2014 - Lapangan Terbang Jeddah
11 September 2014 - malam - Umrah fardu
12 September 2014
13 September 2014
16 September 2014
17 September 2014
19 September 2014
20 September 2014
21 September 2014
22 September 2014
23 September 2014
24 September 2014
25 September 2014
26 September 2014
27 September 2014
28 September 2104
29 September 2014
30 September 2014
1 Oktober 2014
2 Oktober 2014
3 Oktober 2014
3 Oktober 2014 - malam
4 Oktober 2014
5 Oktober 2014
6 Oktober 2014
7 Oktober 2014
8 Oktober 2014
9 Oktober 2014
12 Oktober 2014
13 Oktober 2014
14 Oktober 2014
15 Oktober 2014 - Bertolak ke Madinah -8-9 jam perjalanan dengan menaiki bas. Mula bertolak selepas solat zohor.
16 Oktober 2014 - Subuh
17 Oktober 2014 - Lawatan
Pulang semula ke Madinah
18 Oktober 2014
19 Oktober 2014
20 Oktober 2014
23 Oktober 2014
24 Oktober 2014 - berangkat pulang ke Malaysia
25 Oktober 2014 - Sampai di KLIA 1.00 pagi
No comments:
Post a Comment