Assalamualaikum
semua pembaca budiman. Sudah lama benar
rasanya saya tidak menulis di dada Kristal Bening. Sejak pulang dari menunaikan ibadah haji pada tahun lepas,
rasa malas untuk menulis menguasai diri. Malas menulis dan malas berfikir.
Ada dua tulisan saya tentang pengalaman saya menunaikan haji dan
pengalaman saya terlibat dengan banjir pada tahun lepas telah saya tulis
separuh namun akhirnya disimpan sahaja sebagai ‘draf’. Harap-harapnya saya
mempunyai kekuatan untuk menyudahkannya dan mengeposnya nanti, insya-Allah.
Dalam
entri saya kali ini, saya ingin berkongsi ilmu dengan para pembaca tentang makna
‘mencintai kerana Allah’. Semalam saya telah mendengar
rakaman saudari Heliza Helmi yang mewawancara Dr. Muhaya tentang tajuk “ Tidak happy
dengan suami.” Banyak input baharu yang
saya dapat daripada penerangan Dr. Muhaya yang telah menginsafkan saya. Menurut beliau, isteri-isteri yang sentiasa berasa
sedih kerana suami mereka tidak pernah menghargai pergorbanan, kesetiaan dan kasih
sayang mereka ialah isteri-isteri yang tidak mencintai suami mereka kerana
Allah. Mereka mengharapkan penghargaan
daripada suami dan apabila suami tidak memberi penghargaan itu, mereka berasa
sedih dan kecewa sedangkan mereka telah melakukan yang terbaik untuk suami dan
anak-anak. Sebenarnya mereka lupa atau tidak sedar bahawa Allah tetap ada untuk
mereka. Walaupun suami tidak menghargai
isteri, namun Allah tahu dan Allah menghargai isteri tadi dengan memberikan pahala dan ganjaran-ganjaran yang besar kepada
mereka kerana isteri tersebut taat dan menunaikan tanggungjawabnya dengan
sempurna terhadap suami dan keluarganya.
Jadi cukuplah kita yakin akan Allah dan mencintai suami kerana Allah. Situasi yang sama juga berlaku kepada ibu
bapa. Ramai ibu bapa yang kecewa akan
anak-anak mereka kerana anak-anak mereka tidak mengingati, menghormati dan
menghargai mereka setelah mereka tua. Kesannya,
mereka akan berasa jauh hati terhadap anak-anak.
Menurut Dr. Muhaya lagi, orang yang sentiasa
mengharapkan penghargaan manusia / orang lain apabila melakukan sesuatu ialah orang yang
tidak yakin akan Allah, sentiasa berasa tidak puas hati dan tidak ikhlas apabila melakukan sesuatu atau menyayangi
seseorang. Dalam situasi isteri, sayangi
dan cintailah suami kerana Allah iaitu taat kepada suami dan sempurnakan segala
tanggungjawab terhadap suami dengan ikhlas.
Jika suami tidak menghargai isteri, itu ialah urusannya dengan
Allah. Pasti Allah akan membalas
perbuatan suami itu kelak. Manakala dalam situasi ibu bapa, sayangi anak-anak kerana Allah iaitu mencintai dan mendidik mereka menjadi
anak-anak yang soleh dan solehah. Jika
anak-anak menyakiti hati ibu bapa
setelah mereka dewasa, jangan mendendami mereka, sebaliknya berserah sahaja kepada Allah,
pasti Allah akan memberi balasan yang setimpal kepada anak-anak derhaka. Yang penting kita sebagai ibu bapa telah menjalankan
tanggungjawab kita untuk mendidik anak-anak dengan sempurna.
Pada
saya, situasi yang sama berlaku dalam pekerjaan kita. Sempurnakan segala tugasan yang diamanahkan
kepada kita oleh majikan dengan ikhlas kerana Allah. Tidak perlu kita mengharapkan penghargaan orang
lain kerana jika kita tidak dihargai oleh majikan, pasti kita kecewa dan sudah
semestinya pekerjaan kita itu menjadi tidak ikhlas. Berserahlah kepada Allah kerana Allah maha
mengetahui dan pasti Allah akan memberi ganjaran kepada kita di akhirat kelak.
Akhir kalam, ayuhlah kita memuhasabah diri. Cintailah keluarga kita kerana Allah kerana ia pasti membuatkan kita sentiasa ceria, tenang dan redha.
Apa pendapat anda?
Akhir kalam, ayuhlah kita memuhasabah diri. Cintailah keluarga kita kerana Allah kerana ia pasti membuatkan kita sentiasa ceria, tenang dan redha.
Apa pendapat anda?
No comments:
Post a Comment