TUAI PADI ANTARA MASAK, ESOK JANGAN LAYU-LAYUAN, INTAI KAMI ANTARA NAMPAK, ESOK JANGAN RINDU-RINDUAN...

Wednesday, April 13, 2011

Insan Seni dan Karya Seni....

         
        Madah puitis merupakan ekspresi jiwa atau penzahiran perasaan yang lahir dari hati yang tersentuh dengan persekitaran, seterusnya membangkitkan emosi gembira, atau bahagia, seronok, hampa, kecewa, sedih dan sebagainya, bergantung pada persekitaran, menggunakan ungkapan atau bahasa puitis lagi indah,  agar mampu meninggalkan  kesan yang mendalam di sebalik maksud yang tersirat.
        
         Penggunaan elemen-elemen  atau ciri-ciri sastera dalam bahasa puitis seperti metafora, hiperbola, personifikasi dan sebagainya mampu menyerlahkan lagi  kepuitisan sesuatu bahasa itu.
         
         Penggunaan bahasa puitis mampu memberikan makna yang besar kepada sesuatu yang kecil serta mengubah sesuatu yang buruk kepada yang indah dan sebaliknya.
       
        Pengkarya seni (penulisan) ialah insan seni yang memiliki jiwa yang halus, dan memiliki pandangan serta pendengaran yang tajam.  Mereka mampu mengolah segala yang dilihat dan didengar kepada sesuatu yang indah dibaca, menggunakan bahasa puitis yang sarat dengan makna tersirat.  Insan seni mengagumi segala keindahan ciptaan tuhan melalui eksploitasi bahasa dan juga dengan cara memanipulasi alam.
       
        Apabila manusia dilahirkan dengan pelbagai perbezaan, itulah kebesaran Allah swt. Perbezaan-perbezaan itulah yang mewarnai bumi ciptaan-Nya. Insan seni yang berjiwa halus ternyata berbeza dengan insan lain.  Mereka hidup dalam dua dunia yang berbeza....dunia realiti dan dunia imaginasi.  Dalam dunia realiti, mereka ialah manusia biasa tetapi dalam dunia imaginasi, mereka mungkin pendukung pelbagai watak utama dalam kisah masyarakat, atau hanya sebagai orang kedua, atau sebagai orang ketiga iaitu pelapor atau penglipurlara bagi sesebuah kisah masyarakat. Wujudnya insan-insan seni dalam kelompok manusia inilah yang  memeriahkan lagi pentas dunia.

(Tulisan ini merupakan pandangan saya sendiri...tidak memetik daripada mana-mana sumber)   

No comments:

Post a Comment