TUAI PADI ANTARA MASAK, ESOK JANGAN LAYU-LAYUAN, INTAI KAMI ANTARA NAMPAK, ESOK JANGAN RINDU-RINDUAN...

Wednesday, June 1, 2011

Cinta Siber....

              
          Hatinya sayu, pilu, paling tepat dia sedih sebenarnya.  Sudah beberapa kali dia mengirim pesanan kepada Hisham, bercerita itu dan ini, semuanya tentang keadaannya di sini,  tapi balasan daripada Hisham hanya sebaris. Kenapa?  Sibuk benarkah lelaki itu, sehingga tiada masa langsung untuknya.  Kenapa berubah benar lelaki itu kini?  Fasha mahu melupakan lelaki itu. Biarlah dia mengundurkan diri jika benar sudah tiada lagi cinta lelaki itu untuknya, tapi dia tak mampu melupakan lelaki yang telah mencuri hatinya itu. Fasha menatap telefon  bimbitnya, mengharap agar muncul pesanan untuknya, namun dia hampa, dan fikirannya jauh menerawang.

              Perkenalan dan hubungan yang terjalin melalui laman sosial facebook benar-benar tidak dijangka berterusan menjadi hubungan cinta.  Mereka tidak pernah bersua tetapi hati mereka telah berpadu dan bersatu.  Fasha tidak tahu bagaimana dia boleh jatuh cinta pada lelaki itu. Cinta siber? Entahlah, mungkin juga.  Yang  pastiya, dia terlalu merindui lelaki itu walau tidak pernah bersua. Mulanya kehadiran Hisham sebagai rakan facebooknya tidak begitu diendahkan.  Tanpa disedarinya, status-satus Hisham mula mencuri perhatiannya, lalu dia  mula mengikuti status-status Hisham setiap hari. Lama-kelamaan dia jatuh hati pada status-status Hisham yang begitu puitis dan membekas di hatinya.  Dia kagum benar akan bait-bait ayat Hisham yang penuh makna  dan dalam maksudnya. Hisham bijak bermain dengan kata-kata.  Apabila melihat ramai yang memberi komen balas terhadap status Hisham itu terdiri daripada rakan-rakan wanita, Fasha mula membuat andaian sendiri, lelaki ini ramai peminatnya. Gambar profil si empunya diri yang tertera di layar skrin mula ditatapnya secara dekat. Hmmm kacak juga. Fasha  tersenyum sendiri. Diteliti maklumat diri Hisham.  Status : Bujang, Tarikh Lahir : 15 Januari 1983,  Pekerjaan :  Pensyarah.  Lalu   Fasha cuba memberanikan diri memberi komen  terhadap status-status Hisham, dan komennya dibalas penuh sopan. Bermula dengan berbalas-balas komen, akhirnya mereka berbalas cinta tetapi hingga saat dan ketika ini, setelah hampir setahun perhubungan rahsia mereka, mereka tidak pernah bertemu walaupun sekali kerana Hisham berada di Singapura dan dia sendiri, di Malaysia.   Dia sendiri pernah meminta Hisham datang ke Malaysia untuk bertemu, tapi macam-macam alasan yang diberikan oleh Hisham.  Belum masanya, terlalu sibuk dan sebagainya. Walaupun mereka jauh dan tidak pernah bertemu, Fasha merasakan Hisham dekat di hatinya, sentiasa di sisinya dan kerana itulah Fasha cuba untuk tetap setia akan cintanya terhadap Hisham dan dia sendiri yakin Hisham benar-benar jujur dan sangat mencintainya.  Dia sebenarnya cuba menolak Hisham tetapi semakin dia menolak, semakin dia merindui lelaki itu.  Hisham sendiri yang merayu cintanya, kerana menurut Hisham, Fashalah  satu-satunya gadis yang  dicintainya. Setelah mendengar segala pengakuan Hisyam, apa dayanya untuk menolak cinta Hisham, kerana dia sendiri membutuhkan cinta Hisham, tetapi apakah nasibnya?  Hanya sebagai kekasih siber?  Hatinya bertambah sayu.  Akaun Facebook milik Hisham sudah lama tidak dikemas kini oleh si empunya diri. Beberapa pesanan yang dikirim oleh Fasha ke 'inbox' Hisham juga tidak dibalas.  Ke mana Hisham? Atau  adakah dia mendapat kecelakaan?  Simpang malaikat 44.  Fasha tidak rela pujaan hatinya itu mendapat kecelakaan. Ya Allah, selamatkanlah Hisham, doanya di dalam hati.

         Sebelum Fasha membuka pintu keretanya untuk ke pejabat pagi itu, Datin Rohana menegur lembut.

       ”Fasha, macam mana hal yang  Mama dan Papa bincang dengan Fasha malam tadi? Setuju ke tak?” Langkah Fasha mati seketika.  Dia tidak jadi masuk ke dalam kereta.  Fasha memandang mamanya.

      "Nantilah Ma, berilah Fasha masa untuk fikirkannya ya,” Fasha menapak ke arah Datin Rohana dan menyalaminya lalu mengucup kedua-dua belah pipi mamanya itu.

       ”Sayang Mama,” ujar Fasha sambil memuncungkan mulutnya.
  
      ”Sayang baby Mama jugak,” balas Datin Rohana sambil membalas kucupan Fasha lalu tertawa kecil. Mesra benar  hubungan dua beranak itu.      

       ”Fasha pergi dulu ya Ma...”

     ”Hati-hati memandu, banyakkan zikir,” pesan Datin Rohana..

     ”Yes mem,” Fasha membalas sambil menggayakan tabik hormat kepada Mamanya.

               Sepanjang perjalanannya ke pejabat, Fasha sempat mengirim  pesanan kepada Hisham untuk yang ke entah berapa kalinya.  Sudah tidak terkira banyaknya pesanan yang dikirim kepada Hisham, tetapi satu pun tidak dibalas. Tiba-tiba signal pesanan masuk kedengaran.  Fasha cepat-cepat membuka telefon bimbitnya dengan sebelah tangannya, sementara sebelah tangannya lagi memegang stereng kereta.  Hampa, kiriman msg dari Celcom.  Setelah sampai di pejabatnya, Fasha menghempaskan punggungnya di kerusi empuk tetamu di biliknya. Hatinya terasa sebal dan kesal.  Terasa mahu sahaja dia menangis di situ. Dia terlalu rindukan Hisham. Dia juga mahu membincangkan hal yang penting dengan Hisham,  tentang lamaran anak Tan Sri Tajuddin yang baru pulang dari Jordan, Dr. Ameer, rakan sepermainannya sewaktu kecil. Dia juga pernah berbalas-balas pesanan dan e-mail dengan Ameer, tetapi dia tak pernah menyangka, Ameer menyimpan perasaan terhadapnya.  Kolotnya lelaki itu kerana tidak pernah berterus terang dengannya, nama saja belajar di luar negara dan bergelar doktor, tapi pengecut dalam soal cinta, bebel Fasha dalam hati.  Bukan dia tidak suka pada Ameer, suka.  Ameer juga kacak, santun, bergaya tetapi sukanya pada Ameer hanya suka seorang kawan terhadap kawannya.  Dia tidak pernah mencintai Ameer, tapi kata Mama, cinta boleh dipupuk, sayang akan datang sendiri dan kasih akan tumbuh bila dah jadi suami isteri.  Hmmm, Mama dan Papa memang pakar dalam bab-bab macam ni.  Apa tidaknya, mereka juga dulu tak pernah bercinta tapi..nah, lihatlah, hidup mereka sangat bahagia dikurniakan enam orang cahaya mata dan Fasha, puteri bongsu yang manja.    

                        ***********************

          Setelah sebulan Hisham menyepi tanpa khabar berita, dan setelah bengkak-bengkak mata Fasha kerana menangis mengenangkan teganya Hisham meninggalkannya tanpa sebarang khabar berita, akhirnya Fasha nekad.  Dia yakin, Hisham telah membuang dia dari hatinya. Sampai hati Hisyam. Fasha akhirnya pasrah dengan jodohnya.  Bukan dia tidak ada pilihan lain selain Ameer, ramai juga pemuda yang cuba memikatnya tetapi hatinya tertutup rapat. Dia cantik lagi bergaya, malah sopan dengan imej bertudung.  Dia juga terpelajar, seorang eksekutif di sebuah syarikat ternama di Kuala Lumpur, jadi bukan masalah baginya jika mahu memikat lelaki korporat di luar sana tetapi hatinya dan cintanya hanya untuk Hisyam.  Dia sendiri tidak tahu kenapa dia boleh terjebak dengan cinta siber dengan Hisham, yang tidak pernah ditemuinya seumur hidup itu. Apabila Datin Rohana bertanya sebab matanya bengkak-bengak, Fasha mula beralasan macam-macam hingga si ibu terpaksa mempercayainya, walaupun tidak sepenuh hati.  
       
          Hari yang ditunggu telah pun tiba.  Fasha bagaikan puteri dari kayangan, berbusana putih mutiara rekaan Ira Fashion, manakala Dr. Ameeer juga segak berbaju Melayu berwarna sedondon. Para hadirin yang terdiri daripada saudara-mara terdekat memenuhi ruang tamu yang agak luas di banglo mewah Datuk Fadhlullah, untuk meraikan Dr. Ameer dan  Fasha di hari pertunangan mereka.  Tiba-tiba telefon bimbit Fasha berdering.  Fasha yang masih sugul bak kena kahwin paksa, membuka telefon bimbitnya.  Berderau darahnya apabila membaca pesanan daripada Hisham, lelaki yang sangat-sangat dirinduinya itu.

        ”Sayang,  sekarang  Sham berada di Malaysia.  Ada acara keluarga  di sini.  My cousin enggage today.  Sham sengaja tak nak beritahu sayang tentang kedatangan Sham ke Malaysia, because its a suprise for you, sayang.  Nanti lepas acara keluarga Sham, kita jumpa ya.  Sham berdebar-debar nak tengok sayang secara live. Nanti Sham call untuk date pertama kita. Love you.  P/s :  Oh ya, sebulan Sham out station ke Indonesia then ke Filippine, ada conference kat Jakarta and Manila.  Sorry ya, I will explain everything later. Miss you crazily…muahhh.“

          Fasha terasa lututnya lembik. Dia terasa hendak pitam.  Nasib baik dia sempat berpaut pada Shima, rakan baiknya.

        “Fasha, are you alright?” Shima bertanya cemas, sambil mengelap peluh di dahi Fasha. Fasha mengangguk lemah.
       
       ”Jom,  keluarga Ameer dan tetamu dah tunggu kat ruang tamu, dah lama mereka menunggu tau,”  ujar Shima lagi.

          Hati Fasha meronta-ronta.  Dia seperti mahu menjerit kepada Mama dan Papa agar majlis pertunangan itu dibatalkan.  Dia rasa bersalah yang amat sangat kepada Hisham.  Kenapa dia tidak setia pada Hisham?  Kenapa dia tidak sabar menunggu Hisham?  Kenapa cintanya begitu rapuh, ditinggalkan sekejap, terus menerima orang lain?  Fasha terasa mahu menangis. Tangga yang dipijaknya terasa lembut benar.

          Setelah Fasha duduk di pelamin khas, ibu Ameer, Puan Sri Zaleha mengambil tempat di depan bakal menantunya itu, bersiap sedia dengan cincin emas putih 16 karat bertahtah berlian berbentuk dua hati yang bakal disarungkan ke jari manis Fasha sebentar sahaja lagi.  Bangga hatinya memandang wajah bakal menantunya yang bagaikan puteri dari kayangan itu. Sopan dan manis sekali. Dalam situasi riuh rendah kedua-dua keluarga  saling mengusik Fasha dan Ameer, Fasha sempat mengerling ke arah Ameer. Segak benar bakal tunangnya itu dan Ameer sempat tersenyum kepadanya.  Mata Fasha mula berkaca, tapi disekanya cepat-cepat agar air mata itu tidak sempat keluar.  Tiba-tiba dia  terpandang seorang lelaki kacak di sebelah Ameer, berbaju Melayu kuning air. Mungkin saudara terdekat Ameer kerana iras wajah mereka hampir sama.  Tiba-tiba hati Fasha berdebar-debar.   Diamatinya lelaki itu lama-lama.  Shima yang berada di sebelah mencuit pinggangnya dan berbisik ke telinganya.

       ”Hish...apalah kau ni Fasha, jaga mata tu, nampak tak sopan langsung.” Teguran Shima berlalu begitu sahaja. Fasha tidak mendengar sebenarnya apa yang diperkatakan oleh Shima. Hampir luruh jantung Fasha melihat lelaki itu. Ya, lelaki itu, lelaki itu ialah Hisham, dan Hisham juga membulatkan matanya melihat Fasha. Oh, alangkah kecilnya dunia ini! Tiba-tiba Fasha jatuh terjelepuk di ribaan Shima dan hadirin mula kecoh.
  

             

1 comment: