NKRA : Malaysia - Indonesia
Lawatan
Penandaarasan ke Arah Pendidikan Berkualiti Merentas Sempadan
Tarikh
: 11-14 Februari 2013
Anjuran
: SMK Taman Tasik, Ampang, Selangor
Peserta Rombongan :
Pn. Tukinah bt Sadi, Pn. Maznah bt Sanuddin, Pn. Saedah bt Sahran, Pn. Nur’Azah bt Hj. Abdul Kadir, Pn. Noriah bt Dollah,
Pn. Rohimah bt Idris, Pn. Sukhainah bt Kamson, Pn. Suryati bt Basra dan suami serta 3 orang anak, En. Jamaluddin bin Othman dan isteri, YM. Engku Faridah bt Engku
Ibrahim, Cik Nur Akmal bt Jusoh, Cik Seri Norlaili bt Kamaruddin, Cik Rahmatul Salbiah bt Ghazali, Pn. Hanilah bt Ramli, Pn. Cik Harleeda
bt Mohd Rosli, Pn. Zaiton bt Johari dan suami, Cik Siti Sarah bt Othman, Pn. Norzalina
bt Tarmizi , Pn. Nuraneez bt Ismail, Pn.
Junaidah bt Mohamad, serta Pn. Norzuraidah
bt Md Nor dan dua orang anak.
Isnin (11 Feb 2013)
Peserta rombongan berkumpul di
LCCT seawal jam 5 pagi di hadapan Restoran Mc Donald. Setelah semuanya berkumpul, kami bersarapan di restoran sekitar. Pukul 6.30
pagi, kami ‘check-in’.
Kapal terbang berlepas dari LCCT
pada pukul 7.00 pagi. Kami sampai di
Lapangan Terbang Bandara Soekarno-Hatta,
Jakarta tepat pada pukul 9.00 pagi waktu Malaysia tetapi pukul 8.00 pagi waktu
Indonesia. Waktu Kuala Lumpur lebih
cepat satu jam berbanding waktu di Indonesia.
Di sana, kami disambut oleh Pak Akur Sudianto dan isteri, Ibu Rani serta anak lelakinya, Sena. Saya, Pn. Noriah, Pn. Cik NurKhaleeda dan Pn. Suryati sempat membeli simkad Indonesia di sebuah outlet simkad terlebih dahulu untuk memudahkan kami menghubungi keluarga di Malaysia. Dari lapangan terbang, kami menaiki bas persiaran Pinky pada pukul 9.18 pagi menuju ke Bandung.
Di sana, kami disambut oleh Pak Akur Sudianto dan isteri, Ibu Rani serta anak lelakinya, Sena. Saya, Pn. Noriah, Pn. Cik NurKhaleeda dan Pn. Suryati sempat membeli simkad Indonesia di sebuah outlet simkad terlebih dahulu untuk memudahkan kami menghubungi keluarga di Malaysia. Dari lapangan terbang, kami menaiki bas persiaran Pinky pada pukul 9.18 pagi menuju ke Bandung.
Sebaik mendarat di Lapangan terbang Soekarno-Hatta |
Bergambar kenangan di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta |
Menunggu bas persiaran |
Lapar sangat dah... |
Andi mengedarkan donut |
Dalam bas persiaran Pinky |
Perjalanan ke Bandung mengambil
masa selama lebih kurang 3-4 jam, namun perjalanan kami tergendala lebih kurang
setengah jam kerana tayar bas yang kami naiki pancit akibat terlanggar kerikil
tumpul di lebuh raya. Pada mulanya kami semua tidak turun dari bas kerana
berasa keadaan tidak selamat jika berbuat demikian, namun akhirnya kami turun
juga dari bas kerana pemandu bas mahu menukar tayar. Jika kami masih berada di dalam bas, mana
mungkin tayar dijek. Saya merupakan
orang yang kedua yang turun dari bas selepas Pn. Tukinah kerana saya mahu mengambil gambar situasi
tersebut. Ternyata, jalan raya menjadi
jem (macet) disebabkan bas kami. Kami
berdiri beramai-ramai di atas pembahagi jalan, malah sempat berfoto-foto penuh
gaya. Akhirnya tayar bas yang pancit
dapat ditukar dengan jayanya.
Pemandangan Jakarta sepanjang perjalanan ke Bandung |
Tayar bas pecah akibat terlanggar kerikil tumpul |
Posing, jangan tak posing...jangan hilang 'bontot' sudah... |
Pak Akur Sudianto |
Tak habis-habis main game...aiya... |
Setelah itu, kami meneruskan perjalanan. Kami berhenti sekejap di sebuah perhentian untuk ke tandas, sambil membeli jajan (makanan ringan). Pak Anto membelikan kami tauhu goreng. Bersama tauhu goreng itu diletakkan cili padi hijau. Itulah makanan Indonesia yang pertama yang kami makan di sana selain keropok jagung yang kami beli di gerai yang sama yang menjual tauhu goreng. Walaupun tauhunya kosong, namun rasanya enak, terutamanya apabila dikunyah bersama cili padi hijau. Aduhh, pedas... namun enak. Setelah itu kami meneruskan perjalanan semula.
Tauhu brsama cili padi...enakkkk |
Di sepanjang perrjalanan, kami membaca tulisan di papan-papan iklan dan papan-papan tanda lebuh raya . Perkataan-perkataanyang tertera begitu asing bagi kami menyebabkan kami tergelak tatkala membaca tulisan-tulisan tersebut. Tidak dapat dinafikan, rakyat Indonesia yang pertama kali ke Malaysia juga pasti tergelak membaca tulisan di papan-papan iklan dan papan-papan tanda lebuh raya di Malaysia. Semuanya kerana tidak biasa dengan perkara yang baru dilihat atau didengar.
Akhirnya kami
sampai juga di destinasi iaitu di Pusat Pengembangan dan Pemberdayaan Pendidik
dan Tenaga Kependidikan, Sains (Sameo Regional Center), Bandung pada pukul 2.30
petang waktu Indonesia.
Di situ, kami diberi bilik
berkongsi dua orang. Saya berkongsi
bilik dengan Pn. Aneez. Malang sekali,
bilik yang kami dapat masih kotor, lalu kami diminta untuk bersabar dan
menunggu bilik kami dibersihkan terlebih dahulu, sementara yang lain sudah pun
masuk ke bilik masing-masing dan berehat seketika. Setelah itu kami diminta turun ke dewan
makan untuk makan tengah hari. Oleh
sebab kami semua sudah terlalu lapar, maka kami makan dengan begitu
berselera. Masakannya boleh tahan juga,
enak.
Setelah selesai makan tengah tengah
hari, kami masuk ke bilik masing-masing untuk mandi dan berehat. Atas inisiatif Pn. Suryati, saya dan Aneez memilih
untuk berpindah ke bilik lain kerana kami sudah terganggu oleh pemandangan
pertama yang kami lihat di dalam bilik tersebut. Bilik pertama kami tadi akan diberikan kepada
Pn. Zaiton dan suaminya. Pn. Zaiton dan
suaminya sampai di situ bersama suami Pn. Suryati dan anak-anak pada lewat
malam (tidak datang bersama-sama kami kerana masalah tiket). Pada pukul 4.30
petang, kami semua berkumpul di ruang lobi sebelum membuat lawatan dan tinjauan
di pusat tersebut. Di ruang tamu pusat
itu, kami diberikan taklimat tentang sejarah dan fungsi Pusat Pengembangan dan
Pemberdayaan Pendidik dan Tenaga Kependidikan, Sains itu oleh Ibu Danti. Kami juga dibawa melawat ke sebuah makmal
kimia di situ. Berdasarkan pandangan
peribadi saya, ternyata, makmal kimia SMK Taman Tasik jauh lebih cantik dan
lengkap daripada makmal kimia di situ.
Bergambar kenangan di Semeo Regional Center |
Ibu Danti sedang m,emberikan kalimat |
Makmal Kimia |
Makmal kimia |
Setelah selesai lawatan iaitu
pada pukul 4.30 petang, kami terus
bertolak ke Cihampelas untuk membeli-belah. Di sana, kami diberi waktu sehingga pukul
7.00 malam untuk membeli-belah dan seharusnya berkumpul semula di tempat kami
turun dari bas. Kami mula berpecah
mengikut kumpulan dan haluan masing-masing.
Saya bersama anak-anak mengikut Pn. Nur Azah dan beberapa orang yang
lain, singgah dari satu kedai ke satu kedai yang lain. Langkah kami agak sukar kerana laluannya
sesak dan terlalu ramai orang di situ, tambahan pula waktu itu hujan
renyai. Saya membeli t-shirt dan
barang-barang cenderamata yang lain.
Pekan Cihampelas sangat padat dan jalan rayanya ‘macet’. Di sepanjang langkah kami, kami diekori oleh
ramai penjaja yang menjual pelbagai jenis barangan cenderamata. Kami diekori begitu rapat, dirayu-rayu agar
membeli jualan mereka dan menyebut “beli bu, buat pecah telur”. Mereka tidak
akan beredar dari sisi kami sehingalah kami membeli jualan mereka, tetapi
kemudiannya datang lagi penjaja yang lainpula.
Kami sebenarnya agak rimas dan takut dengan keadaan itu kerana situasi
begitu tidak wujud di Malaysia.
Setelah selesai membeli,
kami terus beredar agar tidak lagi diekori.
Tiba-tiba hujan turun agak lebat, dan pada ketika itu juga kelihatan
anak-anak kecil entah dari mana datangnya, membawa payung untuk memayungi
sesiapa sahaja yang sudi. Saya dan
anak-anak menolak untuk dipayungi. Mereka
akan beredar dan mencari orang lain pula.
Saya membeli tiga helai t-shirt, beberapa jenis key chain, beberapa
papan fridge-magnet dan beg-beg kecil untuk dibawa pulang. Setelah itu saya dan anak-anak kembali ke
tempat berkumpul. Di situ, saya melihat
Pn. Rohimah dipayungi oleh seorang kanak-kanak kecil. Apabila ditanya berapa upahnya, si kecil
menjawab seikhlas hati sahaja. Semasa Pn. Rohimah mengeluarkan beberapa
keping duit syiling Indonesia, si kecil itu ketawa, mungkin syiling itu tidak
berharga kerana nilainya berapalah sangat.
Tiba-tiba sahaja datang sekumpulan anak-anak kecil lain yang membawa
payung menyerbu Pn. Rohimah. Pn. Rohimah
terus beredar ketakutan tanpa sempat membayar upah si kecil tadi. Sementara menunggu teman-teman yang lain,
saya berjalan bersama anak-anak di kompleks beli-belah yang lebih moden. Di situ tiada penjaja yang mengekori kami,
mungkin juga penjaja dilarang berjaja di situ.
Setelah penat berjalan dan kaki sudah terasa sakit, saya kembali ke tempat menunggu sambil duduk-duduk di bangku, menunggu teman-teman yang lain. Akhirnya seorang demi seorang teman muncul dan berkumpul di situ. Tepat pukul 7.00 malam seperti yang dijanjikan, bas datang untuk membawa kami pulang ke tempat penginapan. Kami menaiki bas sambil menunggu beberapa orang lagi teman iaitu Pn. Sedah, Pn. Maznah dan Engku Faridah. Setelah agak lama menunggu, mereka masih tidak muncul. Akhirnya gerakan mencari mereka dibuat. Tn. Haji Jamaluddin dan pemandu bas cuba mencari mereka bertiga di kawasan sekitar. Lebih kurang 15 minit kemudian, mereka berjaya ditemui. Rupa-rupanya mereka masih asyik membeli-belah hingga tidak sedar akan waktu yang berlalu. Setelah semuanya ada, bas pun bertolak pulang.
Setelah penat berjalan dan kaki sudah terasa sakit, saya kembali ke tempat menunggu sambil duduk-duduk di bangku, menunggu teman-teman yang lain. Akhirnya seorang demi seorang teman muncul dan berkumpul di situ. Tepat pukul 7.00 malam seperti yang dijanjikan, bas datang untuk membawa kami pulang ke tempat penginapan. Kami menaiki bas sambil menunggu beberapa orang lagi teman iaitu Pn. Sedah, Pn. Maznah dan Engku Faridah. Setelah agak lama menunggu, mereka masih tidak muncul. Akhirnya gerakan mencari mereka dibuat. Tn. Haji Jamaluddin dan pemandu bas cuba mencari mereka bertiga di kawasan sekitar. Lebih kurang 15 minit kemudian, mereka berjaya ditemui. Rupa-rupanya mereka masih asyik membeli-belah hingga tidak sedar akan waktu yang berlalu. Setelah semuanya ada, bas pun bertolak pulang.
Menunggu... |
Paling lambat... |
Di sepanjang jalan pulang ke tempat penginapan, kami membaca papan-papan tanda kedai. Antaranya ialah Pusat Pakaian ABG. Pak Anto menerangkan bahawa ABG membawa maksud Anak Baru Gede (anak remaja). Kami sampai di tempat penginapan pada pukul 9.00 malam. Kami terus ke dewan makan untuk makan malam sebelum naik ke bilik masing-masing untuk solat dan istirehat.
Selasa (12 Feb 2013)
Kami berkumpul di dalam bas
seawal jam 5.30 pagi tetapi tidak dapat bertolak segera kerana menunggu bekalan
makanan untuk sarapan pagi siap. Setelah
bekalan siap, tepat jam 6.00 pagi, kami bertolak ke Gunung Tangkuban Perahu,
kira-kira satu jam perjalanan dari tempat penginapan kami. Jalan menuju ke Gunung Tangkuban Perahu agak
berliku kerana kami sedang menaiki gunung.
Banyak rumah kampung di sepanjang jalan.
Kelihatan penjaja-penjaja berjaja di tepi jalan sambil mengandar jualan
mereka di bahu. Keadaannya sama seperti
dalam filem-filem Melayu era 60-an dahulu yang boleh ditonton melalui
filem-filem P. Ramlee. Anak-anak sekolah juga kelihatannya baru keluar dari
rumah, berjalan kaki ke sekolah. Kami
bersarapan di dalam bas. Menu sarapan
kami ialah tempe goreng, ayam goreng, sayur goreng dan keropok goreng. Tempenya enak sekali, masinnya cukup dan
gebu. Nasi dan lauk serta sayur diletakkan di dalam kotak yang mempunyai
sekatan-sekatannya. Berbeza keadaannya
di Malaysia, bekalan selalunya diletakkan di dalam bekas polistrin putih. Pada pandangan peribadi saya, bekalan yang
dimasukkan di dalam kotak lebih praktikal kerana nasi dan lauk tidak bercampur,
jadi nasi tidak cepat basi.
Kami sampai di kaki gunung
Tangkuban Perahu pada pukul 7.00 pagi.
Kawasannya masih ditutup kepada pelancong. Kawasan itu dibuka pada pukul 8.00 pagi. Bas berhenti di hadapan palang besi. Kami masih di dalam bas sambil menunggu
palang besi dibuka. Bayaran masuk ke
kawasan itu ialah 50 ribu rupiah untuk pelancong dari luar, tetapi kami diberi
diskaun sebanyak 10% hasil perbincangan Pak Anto dengan penjaga di pondok jaga,
jadi kami hanya perlu membayar 45 ribu rupiah sahaja seorang. Bayaran untuk naik tut-tut (van) sampai ke puncak pula ialah 5 ribu rupiah
seorang.
Di luar bas, cuaca agak dingin dan nyaman. Saya dan Aneez duduk di bahagian hadapan sekali, di belakang pembantu pemandu. Sambil menunggu, saya berbual-bual dengan kedua-dua pemandu bas itu. Iaitu Andi dan Khairi. Mereka berasal dari daerah Bandung juga, tidak pernah ke Malaysia dan sudah berkeluarga. Saya juga bertanya kepada mereka tentang isu orang Indonesia yang berada di Malaysia yang tidak suka atau marah jika dipanggil Indon. Saya bertanya kepada mereka apa bezanya istilah Indo dengan Indon. Mereka mengatakan bahawa itulah kali pertama mereka mendengar tentang hal itu. Menurut mereka,istilah Indo atau Indon sama sahaja, tiada maksud yang tidak baik, cuma berbeza sebutan mengikut daerah. Menurut mereka lagi, orang Indonesia di Indonesia tidak kisah pun jika dipanggil Indon. “Ngak apa-apa, Bu, ngak ada maksud yang tidak baik, sama saja,” kata mereka. Hmm...jadi kenapa ya orang Indonesia di Malaysia marah sangat jika dipanggil Indon? Pelikkan?
Di luar bas, cuaca agak dingin dan nyaman. Saya dan Aneez duduk di bahagian hadapan sekali, di belakang pembantu pemandu. Sambil menunggu, saya berbual-bual dengan kedua-dua pemandu bas itu. Iaitu Andi dan Khairi. Mereka berasal dari daerah Bandung juga, tidak pernah ke Malaysia dan sudah berkeluarga. Saya juga bertanya kepada mereka tentang isu orang Indonesia yang berada di Malaysia yang tidak suka atau marah jika dipanggil Indon. Saya bertanya kepada mereka apa bezanya istilah Indo dengan Indon. Mereka mengatakan bahawa itulah kali pertama mereka mendengar tentang hal itu. Menurut mereka,istilah Indo atau Indon sama sahaja, tiada maksud yang tidak baik, cuma berbeza sebutan mengikut daerah. Menurut mereka lagi, orang Indonesia di Indonesia tidak kisah pun jika dipanggil Indon. “Ngak apa-apa, Bu, ngak ada maksud yang tidak baik, sama saja,” kata mereka. Hmm...jadi kenapa ya orang Indonesia di Malaysia marah sangat jika dipanggil Indon? Pelikkan?
Tidak lama kemudian, pintu
palang besi dibuka. Bas kami mula
bergerak naik ke tempat van. Di situ kami mula menghidu bau belerang. Setelah sampai, kami turun dari bas. Beberapa orang penjaja sudah menunggu kami di
luar bas, menawarkan kami topeng hidung atau ‘mask’, selendang lepas dan juga
selendang siap pakai. Kami membeli topeng
kerana bau belerang semakin menusuk hidung.
Kami juga rambang mata melihat selendang siap pakai. Semuanya cantik. Harga sekeping topeng hidung ialah 2 ribu
rupiah, manakala harga bagi selendang siap pakai ialah 100 ribu rupiah untuk 4
helai. Harga bergantung pada pandai atau
tidak kita tawar-menawar. Jika pandai
tawar- menawar, maka harganya lebih murah.
Selagi kami tidak membeli, mereka akan terus mengekori kami dan merayu agar kami membeli jualan mereka,
buat pecah telur, kata mereka. Setelah bergambar beberapa kali, kami naik ke
puncak dengan dua buah van.
Kami merupakan kumpulan
pelancong yang pertama yang sampai di puncak pada hari itu. Gerai-gerai di sepanjang jalan belum
dibuka. Di puncak, suhunya lebih dingin
dan bau belerang lebih kuat menusuk hidung kerana kami begitu hampir dengan kawah gunung berapi. Para penjaja berebut-rebut mengekori kami,
merayu kami membeli jualan mereka, sambil berulang kali menyebut, “buat pecah
telur, bu”. Harga yang ditawarkan
berbeza-beza, dari yang semahal-mahalnya menjadi semurah-murahnya jika pandai
tawar-menawar, dengan harapan kami membeli.
Puas kami beralasan dan menolak tetapi mereka tetap cekal merayu dan
memujuk, tidak sedikit pun berputus asa.Jika kami beralasan bahawa kami tidak mempunyai
duit yang cukup, mereka menjawab bahawa mereka menerima duit Malaysia. Ada kalanya kami tidak dapat berjalan dengan
lancar kerana mereka mengelilingi kami.
Walaupun sudah membeli, yang lain pula datang, seakan-akan memaksa kami agar
kami membeli lagi. Kami berasa rimas akan
situasi itu. Ke mana sahaja kami
melangkah, mereka mengekori kami dengan
begitu rapat. Saya membeli dua buah beg
bulu untuk anak perempuan saya. Harganya
ditawar oleh Ibu Rani, jadi saya membeli beg itu dengan harga yang lebih murah
berbanding harga asal yang ditawarkan.
Pemandangan kawah gunung Tangkuban Perahu sangat cantik. Kawah itu masih aktif kerana ia masih mengeluarkan asap. Semakin ke tengah hari, asap semakin tebal. Menurut cerita, dahulu, kerajaan Indonesia membenarkan para pelancong turun ke dalam kawah, namun setelah mendapati asap yang dikeluarkan dari kawah itu beracun, maka sejak itu para pelancong dilarang turun ke dalam kawah. Kami semua bergambar semahu-mahunya di situ, berlatarbelakangkan pemandangan kawah dengan asap yang semakin menebal.
Kawah Gunung Tangkuban Perahu yang semakin banyak mengeluarkan asap sulfur menjelang tengah hari |
Setelah dua jam lebih berada di situ, kami pun berkumpul di dalam van untuk turun ke tempat parkir bas. Sebaik turun dari van, kami terus diekori oleh para penjaja. Mereka mengekori kami sampai ke dalam bas. Di dalam bas, berlaku lagi tawar-menawar. Harga yang ditawarkan menjadi semakin murah. Jadi kepada sesiapa yang membeli di dalam bas sewaktu bas sudah mahu bergerak sangat beruntung, kerana harganya sangat-sangat murah.
Sepanjang perjalanan pulang,
kami mula membandingkan harga barangan yang kami beli. Ada yang membeli dengan harga yang mahal,
sederhana mahal dan sangat murah. Memang
sakit hati rasanya apabila mendapati ada antara teman-teman kami yang membeli
barangan yang sama dengan harga yang jauh lebih murah daripada harga yang kami
beli, namun kami harus redha, dan menganggap itu ialah rezeki para penjaja tadi. Contohnya
untuk tasbih, saya membelitiga utas tasbih panjang dan tiga utastasbih
pendekdengan harga 100 riburupiah, begitu jugadengan Pn. Saedah dan yang
lain-lain, namun Akmal mengadu bahawa
dia membeli 3 utas tasbih panjang dengan harga 130ribu rupiah. Apalagi, kami semua pun gelakkan Akmal. Kesian dia, betul-betul terkena.
Kami sampai di tempat penginapan
pada pukul 11.00 tengah hari. Kami makan
tengah hari pada pukul 11.30 pagi.
Setelah itu kami masuk ke bilik untuk berkemas. Lebih kurang pukul 1.00 tengah hari, kami
bertolak meninggalkan Semeo Regional Center dan menuju ke Pasar Baru untuk
membeli-belah. Dalam perjalanan, kami
singgah di Kedai Roti Kartika Sari. Kami
semua turun untuk melihat dan membeli apa adanya.
Semasa kami mahu meneruskan perjalanan ke Pasar Baru, seorang pemuda naik ke dalam bas dan menghiburkan kami dengan beberapa buah lagu. Kami terhibur dengan nyanyiannya. Kami memberi duit kepadanya seadanya sebagai upah untuknya. Setelah itu pemuda itu turun dari bas sebelum kami sampai di Pasar Baru.
Pemuda dan gitarnya... |
Kami sampai di Pasar Baru lebih kurang
pada pukul 2.00 petang. Kami diberi masa
selama 3 jam untuk membeli-belah dan harus berkumpul semula pada pukul 5.00
petang. Setelah itu kami semua berpecah
mengikut haluan masing-masing. Saya
bersama anak-anak saya masuk ke mall untuk membeli telekong sembahyang dan kain
pasang bersulam untuk dibawa pulang.
Saya juga membeli beberapa pasang t-shirt berseluar untuk anak-anak
saudara serta sehelai kemeja-t dan seluar tiga suku untuk suami.Setelah itu,
saya dan anak-anak kembali ke tempat berkumpul.
Waktu itu jam baru menunjukkan pukul 4.00 petang. Saya hanya menunggu di kaki lima kerana tidak
larat lagi untuk berjalan. Pada pukul 5.00
petang, seorang demi seorang teman muncul.
Kami terpaksa menunggu lagi sehingga semua teman ada di tempat
berkumpul. Pada pukul 6.00 petang,
barulah semuanya ada dan Pak Anto segera menelefon pemandu bas. Sebaik sahaja bas tiba, kami terus masuk ke
dalam bas dan bersedia untuk bertolak ke destinasi seterusnya iaitu Bogor. Sekali lagi seorang pemuda naik ke bas kami
sambil menyanyikan beberapa buah lagu.
Kami sekali lagi memberi upah kepada pemuda itu. Setelah itu, pemuda itu turun dari bas dan kami
meneruskan perjalanan kami ke Bogor.
Suasana di kaki lima Pasar Baharu... |
Perjalanan kami ke Bogor tersekat-sekat kerana jalan macet (jam). Perjalanan ke Bogor dari Pasar Baru biasanya mengambil masa 3 jam sahaja. Bas bergerak agak perlahan kerana keadaan jalan raya yang sesak. Setiap kali bas berhenti di lampu isyarat, kelihatan anak-anak kecil menyerbu ke setiap kenderaan untuk meminta sedekah. Ada juga yang menjual jajan, koran (surat khabar) dan menyanyi sambil memetik gitar. Pemandangan yang unik dan tidak wujud di Malaysia.
Setelah hampir separuh perjalanan ke Bogor,
bas kami terpaksa berpatah balik kerana berlaku tanah runtuh di hadapan. Pemandu bas terpaksa menggunakan jalan lama
untuk ke Bogor menyebabkan perjalanan semakin jauh. Jalan lama yang digunakan amat teruk
keadaannya. Jalannya berlubang-lubang
dan agak berbukit menyebabkan kami kerap terlambung di dalam bas. Setelah
melalui perjalanan yang mencabar dan meletihkan, akhirnya kami sampai juga di
destinasi, iaitu di Pusat Pendidikan Jasmani dan Bimbingan Kaunseling, Bogor
tepat pukul 12 malam. Setelah menurunkan barang-barang, kami dibawa ke dewan
makan untuk menikmati makan malam. Saya
hanya menjamah dua batang sate Bogor kerana sudah kehilangan selera akibat
terlalu letih dan sakit pinggang. Saya
hanya mahu berehat dan tidur segera.
Setelah semuanya selesai
makan, kami ditempatkan di asrama Melon.
Sebuah bilik berkongsi tiga orang.
Saya berkongsi bilik dengan anak-anak saya di bilik 109. Tiada selimut disediakan untuk kami, malah
pintu bilik air dalam bilik saya itu tidak boleh dikunci. Saya keluar dari bilik dan menuju ke lobi
asrama untuk meminta selimut daripada petugas di situ, namun tiada sesiapa di
lobi asrama. Kebetulan di atas kaunter
lobi asrama itu terdapat tiga helai
cadar, jadi saya terus mengambilnya untuk dijadikan selimut. Setelah itu, saya
dan anak-anak menunaikan solat sebelum tidur.
Entah kenapa saya berasa agak seram berada di dalam bilik tersebut,
namun saya tidak berani untuk memikirkan apa-apa. Saya terus memejamkan mata sambil membaca
segala doa dan ayat-ayat lazim dan akhirnya saya terlena juga.
Rabu (13 Feb 2013)
Saya terjaga pada pukul
4.30 pagi oleh deringan ‘alarm’ dari telefon bimbit saya.
Saya terus bangun dan mandi. Pn.
Rohimah memanggil saya dari luar bilik kerana kami sudah berjanji untuk pergi
menggosok baju di bilik Pn. Tukinah bersama-sama. Saya meminta Pn. Rohimah menunggu sekejap
kerana saya mahu menunaikan solat subuh terlebih dahulu. Usai solat subuh, saya dan Pn. Rohimah
beredar ke bilik Pn. Tukinah untuk menggosok baju batik. Setelah itu, kami kembali ke bilik
masing-masing. Saya mengejutkan
anak-anak. Pada pukul 6 pagi, kami ke dewan
makan untuk bersarapan pagi.
Pada pukul 7.00 pagi, kami mula bertolak ke SMK Negeri 3 (Sek. Men. Kejuruan) Bogor. Di sepanjang perjalanan, kami melihat pemandangan baharu yang tidak terdapat di Malaysia. Di tepi jalan, terdapat seorang lelaki yang sedang bercakap menggunakan mikrofon duduk di tepi jalan sambil memohon derma daripada para pemandu. Para pemandu yang mahu menderma akan memasukkan wang mereka ke dalam jaring yang dipegang oleh beberapa orang lelaki dan perempuan di tengah jalan. Jaring itu dihulur ke tingkap-tingkap kereta yang sedang bergerak perlahan. Tiada satu kereta pun yang membunyikan hon atau tidak senang akan keadaan itu. Semuanya sudah terbiasa dengan situasi begitu. Jika ada kenderaan yang mahu keluar dari simpang atau mahu membuat ‘u-turn’ dalam kesesakan jalan raya di situ, akan ada seorang lelaki entah dari mana yang akan menahan kereta-kereta yang sedang bergerak untuk memberi laluan kepada kereta tersebut. Semua pemandu akur dan berhenti. Unik sekali situasi tersebut. Pada saya, sekiranya situasi tersebut berlaku di Malaysia, pastinya akan kedengaran hon-hon yang panjang dan bingit yang dibunyikan oleh pemandu yang tidak sabar.
Kami akhirnya sampai di SMK Negeri
3, Bogor pada pukul 8.00 pagi. Dari
pemandangan luar, kawasan sekolah itu amat terbatas. Sewaktu kami sampai, sekumpulan pelajar
sedang bermain bola keranjang. Semua
pelajar berpakaian sukan yang lengkap.
Tiada seorang pun yang terkecuali.
Kelihatan hanya gelanggang bola keranjang itu sahaja yang ada sebagai
tempat bersukan, namun hal itu tidak menghalang mereka untuk bersukan dan
menjalankan aktiviti pendidikan jasmani.
Kedatangan kami disambut oleh Kepala Sekolah (pengetua sekolah) iaitu
Bapak Janasulaiyana dan beberapa orang
guru yang lain. Kami dibawa ke bilik
Kepala Sekolah. Bilik itu agak
luas. Di dalam bilik itu terdapat satu
set ‘setty’dan meja mesyuarat yang boleh menempatkan 20 orang guru dalam
satu-satu masa.Sewaktu Pak Jana mula memberikan taklimat tentang sekolah itu,
barisan pentadbir sekolah itu masuk ke bilik itu itu bersama-sama bagi meraikan
kami. Pak Jana memperkenalkan semua
barisan pentadbir sekolah itu kepada kami, manakala Pn. Tukinah memperkenalkan
ahli rombongan kepada mereka. Bapak Jana
memberikan taklimat yang agak terperinci tentang SMK Negeri 3. Sebenarnya, sekolah itu seakan-akan sekolah
vokasional di Malaysia yang mendidik pelajar dalam kemahiran tertentu dalam
usaha kerajaan menyediakan tenaga kerja yang mahir di pasaran kerja. Pelajar di situ akan dipilih mengikut syarat
yang ditetapkan oleh pasaran kerja.
Perbezaan yang nyata antara sekolah di Indonesia dan di Malaysia ialah, di
Indonesia, hanya gaji guru tetap yang dibayar oleh kerajaan. Gaji guru ganti, penyediaan prasarana dan
perbelanjaan lain semuanya ditanggung sendiri oleh sekolah atas ehsan yuran
pelajar, melalui rundingan Komiter (YDP PIBG) dengan para ibu bapa.Pelajar-pelajar
yang layak belajar di sekolah itu berumur antara 16-21 tahun.
Pak Akur Sudianto memulakan kalimat |
Pn. Tukinah Sadi memperkenalkan para peserta rombongan |
Taklimat oleh Tn. Hj Jamaluddin, wakil peserta rombongan |
Taklimat oleh Kepala Sekolah : Pak Jana |
Barisan pentadbir SMK Negeri 3, Bogor |
Setelah mendengar taklimat
daripada Kepala Sekolah, tiba pula giliran Tn. Haji Jamaluddin bin Othman
memberikan taklimat rigkas tentang pendidikan di Malaysia. Setelah selesai, kami dijemput untuk merasa
cicipan (hidangan) Bogor. Antara menu
cicipan itu ialah air manisan panas, jagung, kacang Bogor, ubi rebus, ubi
keledek dan lain-lain. Semua makanan itu
dipotong kecil-kecil sesuai untuk satu suapan.
Sambil makan dan minum, kami dipersembahkan dengan satu tayangan
multimedia tentang sekolah itu diikuti oleh sesi dialog. Majlis taklimat diakhiri dengan acara
bertukar-tukar cenderamata oleh kedua-dua pihak.
Cicipan Bogor |
Setelah itu, kami dibawa melawat ke setiap unit/ bahagian pengkhususan yang ditawarkan di situ untuk melihat sendiri keadaan di sekolah itu. Kebetulan pada hari itu, para pelajar sedang menduduki ujian hari terakhir. Kami berpeluang melihat dan merasai makanan yang disediakan sendiri oleh para pelajar, melihat hasil jahitan mereka dan macam-macam lagi. Setelah lawatan berakhir, kami bergambar beramai-ramai dengan semua barisan pentadbir sekolah tersebut.
Rasa, jangan tak rasa.... |
Hasil tangan pelajar |
Bergambar bersama chef dari sebuuh hotel terkemuka di Bogor yang menjadi penilai |
Keadaan kantin sekolah yang agak sempit |
Ibu bapa pelajar atau waris dijemput sebagai tetamu untuk merasai hasil tangan anak-anak mereka |
Perpustakaan |
Kooperasi |
Bergambar kenangan bersama pelajar SMK Negeri 3 |
Warna skirt : putih abu-abu |
Aksi 'terlampau' para peserta rombongan... |
Setelah itu, kami meneruskan perjalanan. Sebelum pulang ke tempat penginapan, kami singgah sebentar di outlet barangan kulit di Jalan Tajul. Pak Anto berpesan kepada kami agar pulang segera selepas singgah membeli-belah kerana beliau bimbang kami akan lewat sampai jika jalan macet, sedangkan kami harus berehat kerana pada malam nanti, akan diadakan taklimat dan persembahan oleh pihak Pendidikan Jasmani dan Bimbingan Kaunseling, Bogor, iaitu di tempat penginapan kami. Kami makan tengah hari di tepi outlet barangan kulit yang kami singgah. Di kesempatan itu, saya meminta bantuan pemandu bas iaitu Andi agar membelikan saya ‘adapter’ untuk dipasangkan kepada ‘charger’ hp dan camera saya. Andi kemudiannya menyewa ojek (motor sewa) untuk ke kedai elektrik yang agak jauh dari tempat kami berhenti. Setelah pulang, Andi memberitahu saya bahawa harga ‘adapter’, tersebut ialah 66 ribu rubiah dan sewa ojek ialah 20 ribu, jadi kesemuanya berjumlah 86 ribu rupiah. Saya memberikan Andi 100 ribu rupiah dan saya minta dia menyimpan sahaja baki duit tersebut sebagai upah lelahnya.
Setelah semuanya berkumpul,
kami meneruskan perjalanan pulang. Di
pertengahan jalan, kami singgah lagi di gerai buah-buahan kerana ada antara
kami yang ingin membeli buah avacado, duku dan sebagainya. Kemudian kami meneruskan perjalanan tanpa
singgah di mana-mana lagi. Kami sampai
di tempat penginapan tepat pukul 4 petang.
Kami akhirnya masuk ke bilik masing-masing untuk beristirehat. Selepas solat, saya dan anak-anak mengambil
kesempatan untuk tidur kerana agak kepenatan.
Saya terjaga semula pada pukul 6.30 petang. Seusai solat qasar dan jamak Maghrib serta
Isyak, kami bersiap-siap ke dewan makan untuk makan malam pada pukul 7.00
malam.
Di dewan makan, kami disertai oleh
beberapa orang pegawai Pusat Pendidikan Jasmani dan Bimbingan Kaunseling. Pak Anto sebenarnya merupakan salah seorang
pegawai di situ dan mengkhusus dalam bidang kaunseling. Selesai makan, kami beredar ke dewan untuk
mendengar taklimat. Tepat pukul 8.00 malam, kami dihiburkan dengan satu
persembahan tarian gabungan Sunda dan Bali oleh empat orang penari cantik. Tarian mereka agak memukau. Setelah itu, pengerusi majlis memulakan
acara. Pak Akur Sudianto memulakan sesi
perkenalan diikuti oleh Pn. Tukinah yang memperkenalkan semua ahli rombongan, manakala
taklimat (kalimat) dan perkongsian ilmiah yang bertajuk “Pendekatan Kaunseling Dalam Kepimpinan
Instruksional” telah disampaikan oleh Dr. Muktiono Wospodo dan Dr. Sigit Wibowo. Ada juga sesi dialog antara peserta dengan
kedua-dua penceramah tersebut. Majlis
diakhiri dengan acara bertukar-tukar cenderamata dan sesi bergambar. Tepat
pukul 11.00 malam, acara tamat. Kami
semua kembali ke dewan makan untuk menikmati ayam kampung panggang (maaf, rasanya
tidak seperti ayam panggang Malaysia).
Sesudah itu kami pulang ke bilik masing-masing untuk tidur.
Malam itu saya tidak dapat tidur
dengan lena kerana asyik terjaga oleh bunyi yang pelik. Saya cuba mengamati
bunyi tersebut dan berasa sangat seram.
Setelah diamati betu-betul, rupa-rupanya alat pendingin hawa (AC) di
dalam bilik saya bocor menyebabkan air menitik dengan kuat di atas meja yang
terletak di tepi tingkap. Saya segera
mematikan AC, namun tidak lama kemudian AC terpasang sendiri dan air menitik
lagi. Sebenarnya AC di semua bilik sudah diselaraskan. Walaupun penghuni bilik mematikan alat
tersebut, ia tetap akan terpasang semula secara automatik. Saya terpaksa mematikan AC berkali-kali
kerana tidak dapat tidur akibat terganggu oleh bunyi air AC yang menitik keras
di atas meja.
Khamis (14 Feb 2013)
Setelah bergambar semahunya di sekitar Pusat
Pendidikan Jasmani dan Bimbingan Kaunseling, Bogor, kami bertolak ke Jakarta
pada pukul 9.00 pagi. Mengikut
perancangan malam semalam, kami akan ke
rumah Pak Anto sebelum ke Jakarta untuk menziarahi isteri Pak Anto iaitu Ibu
Rani yang sedang terlantar sakit di rumah (beliau merupakan pesakit kanser),
namun kami tidak jadi berbuat demikian kerana Pak Anto menjelaskan bahawa jalan
ke rumahnya tidak elok, berlubang-lubang, takut nanti kami akan kelewatan
sampai di Jakarta jika jalan macet. Jika
hal itu berlaku, kami pasti ketinggalan kapal terbang. Pak Anto mahu kami terus
ke lapangan terbang setelah singgah di Mangga 2, kemudian terus ke lapangan
terbang seawal mungkin untuk berehat.
Sebelum kami bertolak, Pak Anto membekalkan kami kuih kegemarannya iaitu
kuih Bacang (seakan-akan nasi tumpang Kelantan). Kami juga dibekalkan dengan makanan tengah
hari.
Khairi, saya dan Andi |
Dalam perjalanan ke Jakarta, kami menyaksikan pemandangan yang sama seperti semalam iaitu orang mengutip derma di tengah jalan, anak-anak gembel (jalanan) meminta sedekah, orang berjualan koran (surat khabar) dan jajan (makanan ringan) serta pemuda bermain gitar sambil menyanyi di hentian lampu isyarat. Sepanjang perjalanan ke Jakarta juga, hujan turun agak lebat. Agenda kami untuk melawat masjid ???? dibatalkan kerana khuatir jalan macet dan kami pasti tidak akan sampai ke lapangan terbang seperti yang dijadualkan. Kami juga membatalkan rancangan untuk membeli-belah di Mangga 2 kerana air sungai Jakarta sudah separas jalan raya, malah ada jalan-jalannya yang sudah dilimpahi air.
Banjir kiilat di kota Jakarta... |
Kami khuatir jika Jakarta banjir, pasti kami
akan terkandas di situ dan tidak dapat pulang ke Malaysia. Kami membuat keputusan untuk keluar
secepatnya dari bandar Jakarta sebelum air sungai melimpahi jalan raya. Kami mencari alternatif lain iaitu kami singgah di Cempaka Emas bagi merealisasikan
juga keinginan teman-teman untuk membeli-belah kerana ada sebahagian besar
daripada kami masih mempunyai duit yang banyak.
Kami sampai di Cempaka Emas
pada pukul 11.30 pagi dan diminta berkumpul semula di luar ‘shopping mall’ itu
pada pukul 2.30 petang. Setelah itu kami
berpecah mengikut haluan masing-masing.
Pada awalnya, saya dan anak-anak berjalan mengikut kumpulan Pn. Nur
Azah, Pn. Sukhainah dan Pn. Junaidah. Di sepanjang kedai yang kami lalui, para
‘sale girl’ akan menegur kami dengan ayat, “belanja bu” berkali-kali agar kami
singgah di kedai mereka. Apabila
berinteraksi secara peribadi pula, mereka akan memanggil kami dengan panggilan ‘bunda’...hmm, sedap
kedengaran di telinga. Pn. Nur’Azah, Pn. Sukhainah dan Pn. Junaidah telah membeli
beg bagasi beroda yang sama dengan harga yang agak murah setelah berlaku
tawar-menawar yang lama di sebuah kedai menjual beg, sehingga terbit gelaran ‘bunda
kandung’ dan ‘bunda tiri’ oleh pemuda yang menjual beg tersebut. Panggilan ‘bunda tiri’ khusus untuk Pn.
Junaidah kerana menurut pemuda itu, beliau begitu kejam kerana meminta harga
yang sangat murah semasa proses tawar-menawar itu. Saya dan anak-anak akhirnya
berpecah dari kumpulan Pn. Nur’Azah, Pn. Sukhainah dan Pn. Junaidah kerana saya
dan anak-anak mempunyai tujuan yang lain.
Oleh sebab saya sudah kehabisan duit rupiah, saya hanya mampu membeli
sepasang telekong sembahyang, t/shirt untuk anak-anak lelaki dan makan ‘prosperity
burger’ di Mc Donald. Di situ terdapat
banyak pintu kerana pasar raya itu
sangat besar. Saya dan anak-anak tidak
menjumpai pintu keluar yang sama seperti mana pintu yang kami masuk kerana saya
terlupa untuk melihat nama pintu sebelum kami masuk tadi. Oleh itu, saya dan anak-anak terpaksa
berjalan mengelilingi pasar raya itu demi mencari pintu yang kami masuk tadi,
kerana kami harus berkumpul di situ pada pukul 2.30 petang. Alhamdulillah, akhirnya anak saya menjumpai
pintu itu, lalu kami menunggu teman-teman yang lain di situ. Saya dan anak-anak merupakan orang pertama
yang keluar dari pasar raya itu. Setelah
beberapa lama menunggu, seorang demi seorang teman-teman keluar dan berkumpul
di situ. Akhirnya Andi datang dan
membawa kami ke bas. Setelah semuanya ada, kami meneruskan perjalanan ke
lapangan terbang. Perjalanan mengambil
masa selama satu jam.
Kami tiba di lapangan terbang
Soekarna-Hatta pada pukul 4.00 petang.
Setelah ‘check-in’ bagasi, kami solat qasar dan jamak Zuhur dan Asar di
surau lapangan terbang. Setelah itu kami berkumpul di tepi surau. Saya yang belum makan tengah hari, mula makan
bekalan saya di situ. Ramai teman yang
lain sudah makan di dalam bas. Setelah
solat Maghrib, kami masuk untuk ‘check-in’.
Akhirnya kami menaiki pesawat dan pesawat berlepas tepat jam 8.30 malam
waktu Indonesia. Perjalanan ke Kuala
Lumpur mengambil masa dua jam. Kapal
terbang yang kami naiki akhirnya selamat mendarat di LCCT pada pukul 11.30
malam waktu Malaysia. Setelah mengambil
bagasi masing-masing, kami berpecah.
Saya dan anak-anak dijemput oleh suami ditemani oleh anak-anak saya yang
lain. Saya selamat sampai di rumah pada pukul 1.00 pagi.
Begitulah catatan perjalanan saya dan teman-teman sepanjang empat hari di Indonesia. Pengalaman tersebut banyak memberi kesedaran dan pengajaran kepada kami semua. Kami sangat bersyukur menjadi rakyat Malaysia, bumi bertuah, tanah tumpah darah, negara yang aman, makmur dan mewah. Alhamdulillah, terima kasih Allah.
Salam, maaf ganggu. Boleh saya dapatkan email atau contact number cikgu zue. Saya ingin bertanya berkaitan prosedur lawatan penanda aras ini. Email saya azainsani@gmail.com
ReplyDeleteTerima kasih banyak2 in advance. 😊