TUAI PADI ANTARA MASAK, ESOK JANGAN LAYU-LAYUAN, INTAI KAMI ANTARA NAMPAK, ESOK JANGAN RINDU-RINDUAN...

Tuesday, May 29, 2012

Jannah...


             
             Air mata Jannah deras mengalir.  Badannya terhinjut-hinjut  menahan esak.  Cikgu Humaira juga menangis.  Suasana dalam bilik sebesar sepertiga  sebuah bilik darjah itu sepi.  Yang kedengaran hanya bunyi kipas  siling yang ligat berpusing.  Jannah menyeka air matanya sambil memandang Cikgu Humaira yang sedang termenung, membuang pandangan ke luar tingkap  bercermin neko.  Jannah sedikit resah dengan diam cikgu Humaira.  Dia tidak pernah marahkan Cikgu Humaira, sebaliknya dia kesal dan marah akan dirinya sendiri.  Jannah sebenarnya malu untuk berkisah tentang dirinya kepada Cikgu Humaira, membuka pekong di dada sendiri, tetapi dia terpaksa  melakukannya, walaupun dia sangat yakin bahawa  Cikgu Humaira akan memarahinya setelah mendengar kebenaran dari mulutnya.  Dia tidak mampu lagi untuk menyimpan segalanya sendiri.  Hidupnya tidak akan tenang selagi dia tidak meluahkannya kepada seseorang.  Dia tidak nampak calon yang lebih sesuai  selain Cikgu Humaira untuk mendengar kisahnya, bukan rakan baiknya apatah lagi ibunya sendiri.  Bukan dia tidak mempercayai ibunya, tetapi sesungguhnya dia tidak sanggup menghancurkan hati ibu kesayangannya jika ibunya mengetahui kebenaran tentang anak gadisnya ini.  Jannah sangat yakin bahawa Cikgu Humaira seorang yang amanah dan boleh dipercayai.  Cikgu Humaira bersifat keibuan, banyak menasihatinya dan rakan-rakannya di dalam kelas sewaktu mengajar, dan kerana itulah hatinya terpikat kepada Cikgu Humaira dan kerana itu jugalah Cikgu Humaira menjadi pilihannya untuk menjadi pendengar kisahnya. 

              Cikgu Humaira kembali duduk di kerusi di hadapan Jannah. Cikgu Humaira memandang tepat ke wajah Jannah.  Jannah tidak sanggup bertentang mata dengan Cikgu Humaira.  Dia menundukkan kepalanya. Sesekali dia menyapu air matanya dengan sapu tangan  kecil dalam genggamannya. 
       
            “Kenapa boleh jadi macam ni, Jannah?  Awak dah tak ingat dosakah Jannah?     Cikgu tak sangka begini jauh tindakan awak.  Lebih cikgu tak sangka sebab pada cikgu awak   seorang pelajar yang  lembut, pendiam dan bersopan santun.  Cikgu sangat kesal Jannah.  Kalau perkara ini berlaku kepada Wati, cikgu tak begitu terkejut sangat sebab dia memang sosial.”  Cikgu Humaira masih sebak.
            
        “Cikgu, saya minta maaf, cikgu.”  Jannah masih mengongoi seperti seorang anak kecil, memohon pengertian daripada Cikgu Humaira.
                       
          “Bukan kepada cikgu awak harus minta maaf,  tapi kepada Tuhan, Jannah.  Awak wajib minta ampun kepada Allah.” 

       Jannah mengangguk  dan masih juga menangis.  Cikgu Humaira mamandang tepat ke wajah polos di hadapannya.  
                     
            “Dah berapa kali awak terlanjur, Jannah?
            
            “Beberapa kali, cikgu”
            
            “Sekarang, masih buat lagi?”
            
            "Masih cikgu…”
            
         Jujur gadis itu menjawab. Terlalu jujur. Cikgu Humaira sebak lagi. Terasa hendak luruh jantungnya mendengar pengakuan jujur Jannah.
   
        “Ya Allah Jannah, kenapa awak jadi macam ni Jannah?  Awak tak takut dosakah Jannah? Apa guna awak menangis di depan cikgu seolah-olah awak menyesal tetapi sebenarnya awak masih lagi bergelumang dengan dosa, Jannah?
                
          Cikgu Humaira berasa kesal, kecewa dan jengkel.  Semua perasaan itu bersatu dalam hatinya. Kalau Jannah itu anaknya sendiri, mahu sahaja dikerjakan Jannah separuh mati.    Kasihan  wanita yang menjadi ibunya kerana tidak tahu anaknya sedang bergelumang dengan dosa. 
            
          “Cikgu, saya dah cuba, tapi saya tak mampu menolak kemahuannya.  Saya benar-benar cintakan dia cikgu”.
        
     “Jannah, awak cintakan lelaki keparat tu sampai sanggup korbankan maruah awak sendiri?  Awak ingat dia cintakan awak?” Suara Cikgu Humaira mula meninggi. Dia terasa hendak muntah mendengar penjelasan Jannah.  Dia tidak mampu untuk mengasihani pelajarnya ini.  Dia tidak boleh berkompromi dalam hal yang bersangkut paut dengan dosa ini. 
         
         Sindiran Cikgu Humaira membuatkan  Jannah semakin kuat teresak.  Habis hujung tudungnya basah dengan air mata.    Tiba-tiba Cikgu Humaira mengeluh.  Dia beristighfar beberapa kali.  Dia tidak sepatutnya terus menghukum Jannah dengan kata-kata yang pedas.  Gadis ini harus disedarkan dengan cara yang berhemah. Cikgu Humaira memegang  bahu Jannah yang masih teresak-esak.  Gadis itu duduk di kerusi di hadapannya hingga lutut mereka bertemu. 

       “Jannah, awak yakinkah budak lelaki tu cintakan awak?”  Suara Cikgu Humaira kembali lembut. 
          
            “Dia memang sangat cintakan saya, cikgu, jadi saya tak mampu menolak kemahuannya.  Dia janji dia akan berkahwin dengan saya.  Saya pernah cuba nak putuskan hubungan dengannya tapi dia ugut nak bunuh diri, cikgu, sebab dia kata hanya sayalah sahaja yang dia ada dalam hidupnya.”

             "Ya Allah, Jannah, kenapalah awak ni bodoh sangat Jannah. Budak  tu sebenarnya tak cintakan awak pun Jannah.  Awak ni pun bukannya cantik sangat sampai dia tergila-gilakan awak.  Sebenarnya dia hanya nak ambil kesempatan ke atas awak.  Dia bohong nak berkahwin dengan awak.  Dia kata dia cintakan awak sebab dia boleh dapat tubuh awak dengan percuma tanpa keluarkan  duit satu sen pun.  Dia bukan suami awak, jadi dia tak perlu tanggung nafkah awak, tak perlu beri duit kepada awak.  Bila-bila masa dia nak tubuh awak, awak akan beri dengan percuma, jadi sebab tu dia sayang nak lepaskan awak.  Tadi awak kata dia kerja kuli sajakan? Selalu tak cukup duitkan?Jadi macam mana dia nak kahwin dengan awak sedangkan  dia tak ada duit.  Kalau betul dia ugut nak bunuh diri kalau awak tinggalkan dia, biarkan dia bunuh diri.  Pergi matilah orang macam tu."  Begitu beremosi Cikgu Humaira berkhutbah.  Jannah terdiam.
              
          "Jannah, dia tu bukanlah  bodoh sangat sampai nak bunuh diri kalau awak tinggalkan dia.  Dia cuma gertak awak supaya awak tak tinggalkan dia.  Awak sebenarnya yang bodoh sebab terlalu percayakan lelaki macam dia."      
                        
           “Tak cikgu, saya yakin dia cintakan saya.  Pernah dulu saya bagitahu nak putus tapi dia asyik call dan msg saya, kemudian menangis dan merayu agar jangan tinggalkan dirinya.”

            Cikgu Humaira terkejut mendengar jawapan Jannah.  Nampaknya gadis ini masih beria-ria mempertahankan lelaki itu.  Dah termakan ubat guna-gunakah budak ni? Tanya Cikgu Humaira sendiri dalam hati.
                           
          “Bertaubatlah Jannah.  Awak tak takutke kalau awak mengandung anak luar nikah, anak zina?
                          
          “Insya-Allah, saya tak akan mengandung cikgu sebab dia pakai kondom."

        “Astagfirullahhalazim…Jannah, awak ni nak bertaubat ke tidak ? Siap pakai kondom lagi.   Jannah, kalau Tuhan kata  jadi, maka jadilah. Kalau Tuhan nak bagi awak mengandung, pasti  akan ada sebabnya, kondom tu bocor ke, tak sempat nak pakai dah terpancutke dan macam-macam lagi.  Dengar sini Jannah, kalau ditakdirkan awak mengandung, awak akhirnya akan melahirkan anak zina.  Awak tentu malu dan tak mahu keluarga awak tahu awak mengandungkan?  Jadi sebelum bayi tu lahir, awak pun berpakat dengan budak lelaki  tu untuk gugurkan janin tu, dan awak telah melakukan satu lagi dosa besar iaitu membunuh.  Awak  tak tak takut dosakah Jannah?”
                      
              “Sebab saya takutlah saya jumpa dan beritahu hal ini kepada cikgu.  Saya nak minta nasihat cikgu.  Saya nak bertaubat.”
              
               “Kalau awak nak bertaubat, awak kena tinggalkan
dulu perbuatan awak ni Jannah.  Tinggalkan budak  lelaki tu, kemudian awak buat taubat nasuha, minta ampun daripada Allah dan awak berjanji awak tak akan ulangi lagi dosa ini.  Menangislah dalam sujud awak sebagaimana awak menangis di pangkuan cikgu, Jannah.”  
                          
          “Tapi saya asyik teringakan dia cikgu, lagi pun  macam mana saya nak putuskan hubungan dengan dia, dia pasti akan call dan msg saya.” 
         
            Cikgu Humaira mengeluh.  Air matanya sendiri sudah kering.  Dia kesal dengan gadis itu, terlalu banyak beralasan.
               
          “Jannah, awak ni betulke nak bertaubat.  Kenapa masih lagi fikirkan jantan tak guna tu?  Kalau dia msg awak, kalau dia call awak, jangan balas dan jangan jawab.  Kalau dia cari awak di rumah, jangan jumpa!”   
                                 
             “Pasti dia akan sedih cikgu kalau saya putuskan hubungan dengannya.” 
                                
           “Sudahlah Jannah.  Yang awak kesian sangat dengan dia kenapa?  Awak sebenarnya yang tak sanggup  tinggalkan diakan?  Awak nak buktikan apa?  Nak buktikan bahawa awak setia?  Sudahlah Jannah, cikgu tak nak dengar apa-apa alasan  lagi daripada awak.  Kalau awak takutkan Allah dan benar-benar nak bertaubat, lupakan jantan tu.  Tolonglah Jannah, cikgu merayu kepada awak.”
                                
             Mata Jannah masih basah.  Dia termenung seketika.
                           
                    "Mak awak dah tahu pasal ni Jannah?
                   
                    “Belum, cikgu.”
                   
                  “Mak awak kena tahu.  Awak kena beritahu mak awak.  Kalau awak takut, biar cikgu pergi rumah awak dan jumpa mak awak.”
                           
         “Tolonglah cikgu, saya merayu kepada cikgu, jangan bertahu mak saya atau pun kepada sesiapa pun juga.  Saya amanahkan cikgu.  Saya tak nak hati mak saya hancur jika dia tahu keadaan diri saya.”
             
            "Jannah, sepatutnya awak fikir risikonya sebelum awak terlibat dengan dosa besar ni.  Baiklah Jannah, cikgu janji cikgu tak akan ceritakan hal awak ni kepada sesiapa pun,  tapi cikgu kesal Jannah. Cikgu merayu kepada awak, bertaubatlah dengan taubat nasuha, Jannah.   Cikgu boleh marahkan awak, nasihatkan awak, tapi hanya awak  sendiri yang boleh mengubah diri awak.  Lupakan lelaki itu.  Awak akan menempuh peperiksaan besar tak lama lagi, Jannah.  Tumpukan perhatian awak pada pelajaran."
 
             “Saya tak pasti saya boleh tumpukan perhatian saya pada pelajaran kalau saya putuskan hubungan dengannya.  Selama ni kalau saya nak belajar dengan tenang, saya akan ke rumah sewanya dan saya akan belajar ditemani olehnya.  Dia sangat baik terhadap saya cikgu, tapi saya berjanji saya akan berusaha melupakannya.” 
  
             “Macam mana awak  boleh kenal dengan budak lelaki tu, Jannah?”

            “Dia sebenarnya sepupu saya, tapi dia telah dihalau oleh keluarga Pak Ngah saya kerana dituduh mencuri,  tapi saya yakin dia tak mencuri.  Mak saya pun tak sukakan dia.”
    
          “Ya Allah Jannah, kenapa awak ni tak boleh berfikir?  Kalau dah mak bapak dia sendiri dah halau dia dan mak awak pun tak suka dia, awak masih kata dia baik?  Mereka lebih kenal anak mereka Jannah. Ibu bapa tak akan halau anak sendiri kalau perbuatannya tak begitu teruk, tapi nampaknya dia memang buat kerja tak senonoh hingga ibu bapa dia sanggup halau dia, dan awak kononnya sebagai penyelamat dialah?  Penyelamat konon, maruah sendiri sanggup digadai.  Atau awak sendiri pun suka dan seronok melakukan perbuatan terkutuk tu Jannah?”  Cikgu Humaira berasa panas hati apabila Jannah masih terus-menerus membela budak lelaki itu.
          
          Jannah terdiam,  Dia hanya mampu menadah telinga mendengar sindiran Cikgu Humaira.  Memang pedih kata-kata yang terhambur keluar dari mulut Cikgu Humaira, tapi semua yang dikatakan oleh Cikgu Humaira memang betul.  Kenapa hatinya begitu rapuh dengan pujuk rayu Azri?  Kenapa dia begitu lemah apabila berhadapan dengan Azri?  Kenapa dia tidak mampu menolak bila bertentang mata dengan Azri?  Ya Allah, ya Tuhanku, ampunilah aku.
                                 
         “Sudahlah Jannah.  Tak guna awak menangis lagi.   Awak pergilah masuk ke kelas.  Kesat air mata awak.  Dengarlah nasihat seorang guru ini Jannah.  Tolong lupakan lelaki tu, dan awak bertaubatlah.  Awak menangislah dalam sujud awak seperti mana awak menangis di hadapan cikgu.  Hanya awak yang boleh bantu diri awak.  Cikgu  hanya boleh  marah dan menasihati awak.  Cikgu tak mampu berbuat lebih daripada itu,  dan selalulah baca al-Quran untuk menenangkan hati awak.  Kalau dia msg atau call, jangan sesekali balas atau jawab.  Lama-lama nanti dia pun tak larat nak kacau awak.  Dia cuma takut kehilangan  awak sebab dia tak akan dapat barang percuma lagi.  Kalau nak melanggan pelacur pun, sekurang-kurangya dia kena bayar juga, tapi dengan awak dia dapat percuma.  Dia tak rugi dan tak luak apa-apa pun Jannah. “  
                             
             “Baiklah cikgu.  Saya berjanji saya akan lupakannya dan tumpukan perhatian saya pada pelajaran.  Saya akan dengar nasihat cikgu.  Terima kasih cikgu sebab sudi mendengar kisah saya.  Saya hanya ceritakan hal ini kepada cikgu seorang sahaja sebab saya percayakan cikgu.  Saya tak  ada tempat lain nak mengadu.” 
                             
           Cikgu Humaira berdiri dan memeluk Jannah yang juga sedang berdiri.  “Cikgu pun minta maaf sebab marahkan awak.  Terus terang cikgu katakan, cikgu memang kesal dengan awak tapi cikgu harap awak benar-benar berubah dan bertaubat.”
                  
     “Saya janji saya akan berubah dan bertaubat.  Doakanlah saya cikgu.”
               
            “Jangan berjanji kepada cikgu, Jannah, berjanjilah kepada Allah dan diri sendiri.”

       Jannah menggangguk lemah.  Dia kemudiannya menyalami dan mencium tangan Cikgu Humaira, lalu meminta izin untuk masuk ke kelas.  Cikgu Humaira hanya menggangguk dan memandang Jannah berlalu keluar dari biliknya dengan perasaan  kesal dan hiba.
                                         
           Cikgu Humaira tidak dapat meneruskan perhatiannya pada skrin komputer di hadapannya.  Fikirannya jauh melayang.  Dia sedang  memikirkan nasib ibu Jannah. Kasihan wanita itu kerana tidak tahu keadaan anak gadisnya sendiri.    Tiba-tiba dia teringat akan dua orang puterinya yang sedang meningkat remaja. Ya Allah, Engkau lindungilah anak-anakku daripada melakukan maksiat dan kemungkaran.  Engkau peliharalah mereka daripada tipu daya   syaitan.  Ya Allah, ampunilah Jannah, Ya Allah, kasihanilah dia. Bukalah pintu hatinya untuk bertaubat kepada-Mu, ya Allah.                                                                         

          Beberapa minggu sebelum peperiksaan besar bermula, Cikgu Humaira bertanya Jannah  keadaan dirinya, tetapi Jannah  sekadar  tersenyum sambil menjawab ringkas. 
                
          “Lupakanlah  segalanya  yang telah saya ceritakan kepada cikgu.” 
                 
           Cikgu Humaria terkedu mendengar jawapan Jannah.  Apa maksud gadis itu?  Adakah Jannah bermaksud dia tidak mahu Cikgu Humaira campur tangan lagi dalam masalahnya? Atau apa sebenarnya maksud kata-kata Jannah?  Cikgu Humaira mengeluh.  Dia tidak mahu memaksa Jannah menceritakan apa-apa lagi.   Mungkin Jannah sudah benar-benar berubah dan bertaubat,  dan sudah melupakan segala yang berlaku dalam hidupnya.  Kalau begitu, syukurlah.   Cikgu Humaira tidak pernah berniat untuk menjaga tepi kain Jannnah.  Dia tidak pernah memaksa Jannah menceritakan apa-apa. Dahulu pun Jannah sendiri yang datang kepadanya dan mengadu kisah hidupnya kepadanya, jadi kalau sekarang Jannah tidak mahu lagi bercerita apa-apa, dia tidak kisah.  Itu hak Jannah.  Dia hanya mahu yang terbaik untuk pelajarnya itu.

                 *************************************************
      Semuanya berjalan dengan lancar dan sempurna. Setelah rombongan pihak lelaki pulang, Jannah masuk ke dalam biliknya untuk berehat.  Dia sebenarnya mahu membantu ibunya dan emak-emak saudaranya berkemas tapi ditegah oleh mereka.  Mereka menyuruh Jannah berehat sahaja, kerana majlis itu merupakan majlis meraikan Jannah, kata mereka.  Jannah akur.   Jannah duduk di birai katilnya sambil memerhatikan hantaran yang tersusun di suatu sudut bilik tidurnya.  Hatinya lega dan gembira.  Jannah  merenung cincin di jari manisnya.  Kini dia sudah berpunya.  Bakal menjadi milik Fahrin yang sah dalam jangka masa tiga bulan akan datang.  Tiba-tiba juga Jannah teringatkan Cikgu Humaira.  Apa khabar Cikgu Humaira?  Hatinya seperti disentap-sentap untuk bertemu dengan Cikgu Humaira. Kali terakhir dia berjumpa dengan Cikgu Humaira ialah dua tahun yang lalu.  Wajah keibuan Cikgu Humaira terbayang-bayang di mindanya.  Ya, esok dia akan ke sekolah lamanya untuk bertemu dengan Cikgu Humaira.  Banyak yang hendak dikisahkannya kepada Cikgu Humaira, tentang dirinya kini dan tentang Fahrin.  Jannah berasa tidak sabar untuk menunggu esok hari.   
                        
            Jannah mengetuk pintu bilik Cikgu Humaira.  Cikgu Humaira yang sedang tekun mengadap komputer agak terkejut melihat susuk tubuh di depan pintu biliknya.
                       
              “Assalamualaikum cikgu.” 
             
             “Waalaikumsalam, Jannah? Ehh..masuklah.”  Cikgu Humaira  benar-benar terkejut menerima kehadiran Jannah.  Dia tidak menduga bahawa Jannah masih sudi datang ke sekolah dan menemuinya.  Cikgu Humaira merenung wajah polos itu seketika. 
                          
          “Kenapa cikgu tengok saya macam tu?  Cikgu sihat?  Cikgu sibukke?”    Bertalu-talu soalan terpacul dari mulut Jannah.  Cikgu Humaira tersenyum.  Jannah menyalami dan mencium tangan Cikgu Humaira kemudian mereka berpelukan. Cikgu Humaira menjemput Jannah duduk di kerusi di hadapannya.
           
            “Cikgu pandang awak macam tu sebab dah lama cikgu tak jumpa awak.  Awak semakin cantik dan kelihatan berseri-seri.  Cikgu sihat, macam biasa saja.  Cikgu taklah sibuk, cuma buat kerja-kerja biasa seorang guru.”
                          
                Jannah tersenyum memandang Cikgu Humaira. 
               
               "Awak pula apa khabar?  Buat apa sekarang?”

              "Saya rindu sangat pada cikgu.  Saya khabar baik dan sekarang sedang belajar di Institut Pendidikan Guru Raja Melewar, Negeri Sembilan.”
                       
            “Ohh, bakal cikgu juga nampaknya.  Tahniah Jannah.  Semoga awak menjadi seorang guru yang berdedikasi kelak.   Tak tahu pula cikgu awak masuk maktab perguruan.  Yalah selepas awak ambil STPM dulu, langsung awak tak datang jumpa cikgu.  Masa ambil result pun awak tak datang jumpa cikgu.”
           
            “Entahlah cikgu, masa tu saya malu nak jumpa cikgu.   Saya belum bersedia pada masa itu.”

             Tiba-tiba mata Cikgu Humaira terpandang inai di jari Jannah.  “Ehh, awak dah kahwinke Jannah?”

            “Belum cikgu.  Saya baru saja bertunang semalam.  Tiga bulan lagi  Insya-Allah kami akan disatukan sebagai suami isteri yang sah.“  Ada nada gembira pada suara Jannah pada pendengaran Cikgu Humaira.   

           “Alhamdulillah dan tahniah, Jannah.  Cikgu tumpang gembira.”   
   
           “Siapa tunang awak tu, Jannah?  Tiba-tiba terpacul pertanyaan itu dari mulut Cikgu Humaira. 
     
                “Tentu sahaja bukan Azri, cikgu.  Azri dah lama berkubur dari hati saya.  Nama tunang saya ni Fahrin.  Kami sama-sama belajar di IPG Raja Melewar.”
                  
                   “Baguslah Jannah.”
       
               “Terima kasih cikgu kerana banyak menasihati saya dulu.  Selepas cikgu menasihati saya, saya telah memutuskan hubungan dengan Azri.  Saya nekad dengan keputusan saya.  Saya juga telah bertaubat atas keterlanjuran saya dulu. Semoga Allah menerima taubat saya. Selepas itu saya tumpukan perhatian pada pelajaran dan akhirnya saya diterima masuk ke IPG Raja Melewar.  Saya bersyukur kerana dipertemukan dengan Fahrin.  Dia seorang lelaki yang baik, cikgu.  Dia tidak pernah mengambil kesempatan ke atas saya.  Dia banyak mengubah hidup dan pemikiran saya.  Bulan lepas dia berterus terang dengan saya tentang hasratnya untuk melamar saya sebagai isterinya.  Saya telah menceritakan semua kisah silam saya kepadanya agar dia tahu siapa saya sebelum ini agar dia tidak menyesal dan tidak rasa ditipu.   Ternyata dia seorang lelaki yang beriman dan budiman.  Dia memberitahu saya bahawa siapa saya sebelum ini  tidak penting baginya, tetapi siapa saya setelah menjadi isterinya, itu penting baginya.  Katanya lagi, semua orang mempunyai kisah silam yang tersendiri, jadi tidak patut kita menghakimi seseorang itu atas kisah silamnya.  Cikgu, Allah telah memakbulkan doa saya agar diberi jodoh yang baik dan beriman.”  
       
           Cikgu Humaira terpana mendengar patah-patah kata yang keluar dari mulut Jannah.  Sungguh berbeza Jannah yang dahulu dengan Jannah yang ada di hadapannya sekarang.    Jannah yang sedang berada di hadapannya sekarang begitu matang berbicara.   

       “Jannah, awak sedar tak?  Allah sangat sayangkan awak.   Dia tidak pernah mensia-siakan hamba-Nya yang benar-benar insaf dan bertaubat.  Dia telah mempertemukan awak dengan seorang lelaki yang sangat baik yang bakal menjadi suami dan pelindung awak kelak."

             "Ya cikgu, saya sangat bersyukur, dan terima kasih sekali lagi, cikgu." Jannah  mengangguk sambil memandang ke mata Cikgu Humaira. Kelihatan mata Jannah bersinar-sinar, sebagaimana sinar yang diharapkannya yang bakal menyinari hidupnya kelak. Cikgu Humaira terharu memandang  Jannah.  Bukan sahaja bicaranya berbeza, seri wajah juga terpancar pada wajah bujur sirih itu.  Seri keimanan.

           "Maaf cikgu bertanya, Jannah.  Emak awak dah tahu atau belum tentang kisah silam awak?”
      
         “Belum cikgu.  Biarlah hanya cikgu dan Fahrin sahaja yang tahu kisah silam saya.  Saya tak sampai hati nak melukakan hati ibu saya, cikgu.”

         “Yalah Jannah, cikgu faham.”     

       “Cikgu, saya rasa dah lama benar saya menganggu masa cikgu.  Saya nak minta izin untuk beredar dulu, cikgu.”

         “Baiklah Jannah.  Jaga diri awak.  Cikgu doakan awak bahagia selalu.”

        “Terima kasih, cikgu.  Nanti bila tiba hari bahagia saya, saya akan kirim kad jemputan untuk cikgu.  Cikgu jangan tak datang tau.    Kalau cikgu tak datang, saya pasti berasa sedih.  Saya juga nak perkenalkan Fahrin kepada cikgu.”

    “Insya-Allah Jannah, kalau ada umur, cikgu pasti datang.  Cikgu pun teringin sangat nak kenal Fahrin.”        
                               
        Jannah akhirnya menyalami dan mencium tangan Cikgu Humaira.  Cikgu Humaira kemudiannya memeluk Jannah dengan erat. Jannah juga membalas pelukan Cikgu Humaira dengan erat. Berat hatinya untuk melangkah keluar dari bilik Cikgu Humaira. Tiba-tiba Jannah mencium kedua-dua belah pipi cikgu Humaira.  

      "Cikgu, lupa pula saya tadi, rasanya belum terlambat untuk saya ucapkan selamat hari guru kepada cikgu tersayang.  Semoga cikgu dirahmati Allah selalu, dilimpahi rezeki dan kemewahan, bahagia selamanya serta diberi kesihatan baik yang  berpanjangan agar cikgu terus mendidik anak bangsa dengan cemerlang."  

            "Terima kasih Jannah, cikgu sangat terharu." Mata wanita berusia dalam lingkungan 40-an itu mula berkolam.  Dia  benar-benar terharu dengan ucapan ikhlas  daripada bekas pelajarnya itu.  Dia juga benar-benar bahagia melihat kebahagiaan Jannah kini.    

        Cikgu Humaira mengiringi Jannah ke muka pintu biliknya dengan satu perasaan yang  sukar  digambarkan dengan kata-kata…. gembira, bangga, bersyukur, seronok dan semuanya bersatu dalam hatinya.   
         
             “Terima kasih, Allah.”     
                                                             
                                                
                                     
              
                     

    

No comments:

Post a Comment