TUAI PADI ANTARA MASAK, ESOK JANGAN LAYU-LAYUAN, INTAI KAMI ANTARA NAMPAK, ESOK JANGAN RINDU-RINDUAN...

Tuesday, March 29, 2011

Sembang-sembang @ Kristal Bening : Kenapa Saya Menulis...

            

      Hari ini saya mahu berbicara tentang minat saya dalam bidang penulisan.  Saya suka dan minat menulis, tetapi saya bukanlah seorang  penulis tersohor yang telah banyak menulis novel atau cerpen... Saya suka  dan minat menulis mungkin juga kerana saya ialah seorang guru bahasa Melayu, maka saya suka berbahasa dan bermain dengan kata-kata yang indah lagi puitis. Kenapa baru kini saya menulis, dalam usia yang agak terlewat, barangkali? Pada saya, tiada istilah terlewat, mungkin cuma keadaan yang tidak mengizinkan, ditambah dengan pelbagai kekangan yang wujud. 

        Minat saya dalam bidang penulisan bermula sejak saya menginjak usia remaja, iaitu sejak saya mula pandai membaca novel cinta yang digemari oleh rata-rata gadis seusia saya pada waktu itu. Dari situ, saya cuba menulis dalam diari. Beberapa buah cerpen dan sebuah novel yang tidak pernah siap telah saya tulis dalam diari  semasa saya di sekolah menengah.  Semuanya tersimpan rapi untuk tatapan saya sendiri sahaja. Saya tidak mempunyai kekuatan untuk memberi rakan-rakan saya membacanya kerana saya malu...malu yang tak bertempat.  Masa berlalu... akhirnya saya berjaya menjejakkan kaki ke menara gading.  Di situlah saya mula mengenal cinta  dan pernah menganyam mimpi indah dan di situ  juga saya  pernah patah hati. Kisah cinta pertama saya yang agak tragis menjadikan saya seorang penulis diari yang setia. Setiap hari saya menulis diari, mencurahkan segala rasa yang hadir...kisah suka dan duka cinta pertama saya yang tidak kesampaian, yang putus di tengah jalan kerana tiada jodoh...itulah kesimpulan rasional yang saya telah saya buat setelah  saya mampu menerima hakikat.   Diarilah tempat saya menulis semua kisah saya sejujurnya sehinggalah saya bertemu pula dengan cinta kedua saya ..diari jugalah teman setia saya.  Sebenarnya bukanlah kisah cinta saya yang ingin saya tulis di sini, tetapi tentang  pengalaman dan kisah cinta saya yang menjadikan saya seorang penulis diari tegar.  Sehingga kini saya masih menyimpan rapi empat buah diari tebal yang mengandungi kisah suka duka percintaan saya dahulu.


         Kini saya cuba menulis semula.... mungkin kerana hanya  baru kini saya mempunyai ruang dan kesempatan untuk mengembangkan minat dan bakat saya dalam bidang ini. Kini idea saya juga datang mencurah-mencurah....semua itu anugerah Illahi.... alhamdulillah. Mungkin juga seiring dengan usia saya yang semakin bertambah, maka pengalaman hidup saya juga semakin banyak. Kini, apa-apa yang saya lihat dan dengar apatah lagi mengalaminya sendiri, menjadi sumber penulisan saya. Kemahiran saya menggunakan bahasa yang lebih indah dan puitis juga semakin terserlah. Semuanya bermula apabila saya mula menerima tanggungjawab sebagai Guru Penyelaras Majalah di sekolah saya (SMK Taman Tasik, Ampang) pada tahun 2008.  Laman sosial facebook juga menjadi pencetus minat saya untuk kembali menulis. Saya mula berkenalan dengan laman sosial facebook apabila seorang rakan sekerja saya membantu saya membuka akaun facebook untuk saya.  Diam tak diam, sudah setahun lima bulan saya menyertai dunia maya ini, dengan niat pertama sekadar suka-suka, akhirnya terjumpa sahabat lama dan bertemu sahabat baharu, dan dari situ, kami mengimbas kenangan  dan kisah lama serta saya mula menulis pengalaman dan cerita baharu…kisah indah, cerita luka, ceritera cinta…semua dan segala-galanya bermula di sini…dunia maya facebook…Di laman facebook, saya mula berjinak-jinak menulis  di status dan saya semakin seronok apabila status-status saya mendapat komen balas  daripada sahabat- sahabat fb saya.

         Melalui laman sosial facebook juga, saya telah bertemu dengan seorang sahabat baharu yang banyak memberi  dorongan dan menyuntik semangat kepada saya untuk menulis kerana beliau juga seorang penulis. Selepas beberapa lama menulis status di facebook, saya mula terfikir untuk mencipta blog saya sendiri, agar saya dapat menulis tanpa batasan. Dan akhirnya...wujudlah Kristal Bening.... di sini, ada segala-galanya ...Kristal Bening...tempat saya mencurahkan segala rasa yang saya alami, gelanggang  untuk saya berkarya, menasihati dan menegur dengan cara saya sendiri.  Mungkin tidak ramai yang memahami mesej saya...tidak mengapa...hanya yang mengalami akan memahami mesej yang cuba saya sampaikan. Saya kira mesej saya lebih cepat disampaikan melalui puisi, dan kerana itulah saya menulis puisi yang sarat dengan mesej. Semoga apa-apa sahaja  tulisan saya dapat dimanfaatkan oleh mereka yang membacanya.

         Saya juga bercita-cita menerbitkan  sebuah antologi  serta menulis dan menerbitkan novel saya sendiri pada suatu hari nanti...semuanya masih dalam perancangan.  Saya kini pada tahap mengumpulkan bahan untuk penulisan novel sulung saya...Insya Allah...cuma kekangan masa yang menjadi masalah saya sekarang, tetapi  saya kira itu bukannya alasan yang baik untuk saya menangguhkan penulisan novel sulung saya itu.  Mungkin pada suatu hari nanti saya juga berpeluang dan mempunyai ruang untuk menulis buku tentang diri saya pula, yang mungkin  akan saya berikan judul...”Kembara Seorang Guru". Di dalamnya, saya mahu mengabadikan segala rasa serta pengalaman manis dan pahit saya sebagai seorang guru sejak pertama kali saya bergelar guru. Semuanya tentang yang benar sahaja.

        Saya mula berangan-angan untuk menulis buku tentang diri saya apabila dengan tidak sengaja saya menonton rancangan Selamat Pagi Malaysia di TV1 pada suatu pagi di rumah ibu saya di WCY.  Tetamu yang diundang ialah seorang nama besar tetapi saya sudah lupa akan nama beliau.  Beliau menulis buku tentang diri beliau yang berjudul ”Kembaraku”.. Menurut beliau, sesiapa saja  boleh dan harus menulis tentang dirinya sendiri, hatta seorang penggali kubur pun, kerana seorang penggali kubur itu mempunyai kemahiran atau ilmu dalam pekerjaannya yang harus dikongsi dengan orang lain, dan sejak itu semangat saya untuk menulis buku tentang diri saya sendiri begitu membuak-buak. Banyak yang hendak saya lakukan dan saya harap semua cita-cita saya itu akan terealisasi. Insya Allah...


No comments:

Post a Comment