Mulut Zalia becok bercerita kepada para rombongan dari SMK Taman Tasik, Ampang, Selangor. Senyum tidak lekang dari bibir nipis itu. Terkadang dia ketawa, kemudian membulatkan mata, mencemekkan bibirnya, kemudian ketawa lagi sambil bercerita penuh semangat kepada para rombongan yang kelihatan begitu asyik mendengar patah-patah kata yang keluar dari mulutnya. Tubuh sederhana itu bebas bergerak, mempamerkan gaya dan aksi sewaktu bercerita kepada para rombongan. Ceritanya disambut tepukan gemuruh oleh para rombongan. Kegembiraan terpancar pada wajah mulus dan bersih itu melalui sinar mata dan keikhlasan senyumannya. Ternyata, dia kelihatan bahagia dengan tugasnya ketika itu.
”Ya adik-adik, inilah antara aktiviti yang kami pertontonkan kepada para tetamu apabila mereka datang melawat orang-orang asli di kampung ini. Di bangsal inilah orang-orang asli di kampung ini melakukan aktiviti pada waktu pagi setiap hari seperti membuat kraftangan, belajar membaca, menulis, mengira dan sebagainya. Ya, di sinilah, saya sebagai guru mereka, mengajar mereka tentang semua perkara. Ramai antara mereka ialah saudara baharu, jadi saya juga harus mengajar mereka tentang Islam,” ujar Zalia panjang lebar.
”Mereka ini pemalu ya, cikgu-cikgu dan adik-adik,” Zalia bercerita lagi. Ketika dia sedang rancak bercerita, seorang pelancong barat mendekatinya dan menyerahkan sebuah beg plastik yang sarat dengan makanan ringan, sebagai sumbangan ikhlas daripadanya kepada orang-orang asli di kampung itu.
”Thank you, thank you so much,” ucap Zalia berkali-kali.
“I will give it to them”. Sungguh, dia begitu terharu dengan sumbangan itu. Kemudian Zalia meneruskan ceritanya.
”Baiklah, sekarang saya akan menceritakan tentang upacara sambutan orang-orang asli di sini. Mereka akan menyambut kedatangan tetamu dengan satu upacara tarian yang dipanggil tarian xxx. Ok, ini ialah baju yang dibuat daripada sejenis kulit pokok, dipakai khusus oleh orang perempuan semasa menari, manakala yang putih ini pula baju yang dibuat daripada kulit pokok ipoh, yang dipakai khusus oleh orang lelaki. Pokok ipoh ini merupakan pokok beracun ya adik-adik, tetapi kulit kayunya yang dijadikan baju ini tidak lagi beracun.” Lancar Zalia memberi penerangan. Senyuman tidak lekang dari wajah manisnya.
”Siapa ya mahu mencuba, haaa..adik di depan ni, mari ya," Zalia memanggil pelajar di hadapannya.
Mastura, pelajar tingkatan enam, bingkas bangun memberi respon yang baik, lalu memakai baju kulit kayu khusus untuk perempuan diiringi tepukan daripada ahli rombongan yang lain, kemudian Aiman, pelajar tingkatan tiga pula, memakai baju kulit khusus untuk lelaki.
”Baiklah, sekarang kita menari sama-sama, yuk Mek dan Siti, kita nyanyi sama-sama.” Maka mereka pun menari bersama-sama sebuah tarian orang asli khusus untuk menyambut dan meraikan tetamu.
Mastura dan Aiman turut menari mengikut langkah tari Mek dan Siti manakala Zalia menyanyi sambil bertepuk tangan bersama-sama ahli rombongan yang lain. Suasana dalam pondok itu begitu mengujakan walaupun udara dalam pondok kecil beratap rumbia itu semakin membahang. Setelah itu, Zalia meneruskan penerangannya lagi. Sebelum rombongan keluar dari pondok kecil itu, mereka diberi penerangan ringkas oleh Zalia tentang kraftangan yang dihasilkan oleh masyarakat orang asli di situ.
”Cikgu-cikgu bolehlah menderma sambil membeli barang kraf tangan ini jika berhajat,” ujar Zalia lembut.
Sementara menunggu hidangan makan tengahari siap, guru-guru dan para pelajar bersiar-siar ke kawasan perkampungan orang asli Kuala Gandah, melihat-lihat rumah kayu dan rumah batu yang tersusun di itu. Zalia turut menemani mereka sambil menjawab soalan-soalan yang diajukan. Rumah-rumah kayu, kepunyaan orang-orang asli yang beragama Islam manakala rumah-rumah batu, milik orang-orang asli yang beragama Kristian.
"Kenapa begitu?" Tanya salah seorang ahli rombongan. Zalia tersenyum pahit.
"Itulah yang sedihnya cikgu. Yayasan Kristian banyak beri dana dan mereka benar-benar menjaga kebajikan orang-orang asli Kristian di sini, tapi orang-orang asli Islam terbiar, tiada dana langsung. Saya bimbang wang yang ditabur oleh mereka akan mempegaruhi saudara baharu Islam di sini kerana pegangan agama mereka tidaklah sekuat mana pun."
"Ohhh..," terdengar keluhan yang maha berat daripada beberapa orang guru, kecewa dengan senario yang berlaku.
”Cikgu mengajar di sini, siapa yang bayar gaji cikgu?” Salah seorang guru bertanya, inginkan kepastian kerana dia tidak begitu jelas dengan penerangan Zalia di dalam pondok tadi.
”Oh, JAKIM yang bayar gaji saya” jawab Zalia ramah. Apabila berhadapan dengannya secara dekat begitu, wajah lembut wanita berusia 48 tahun itu begitu mengagumkan. Langsung tiada garis kedut di bawah matanya. Kulitnya cerah dan tegang. Awet muda, berbanding usianya. Punya lima orang anak, seorang doktor, seorang jurutera dan yang lain masih bersekolah.
”Apa rahsia cikgu ya, nampak muda sangat?” Guru yang berbaju biru bertanya. Kagum benar dia akan wajah lembut Zalia.
Zalia tersipu-sipu. ”Tak ada apalah. Semuanya daripada hati. Bahagia dengan apa yang kita lakukan,” ujar Zalia diiringi ketawa kecil. Ketawanya juga sopan, menampakkan barisan gigi putih yang cantik.
”Dahulu saya bekerja dengan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli, tetapi saya berhenti kerana saya kecewa. Saya suka meminta peruntukan yang dijanjikan kepada orang asli tetapi hampa. Apabila mereka melihat muka saya, mereka jadi meluat, dan mereka kata, Puan, peruntukan untuk orang asli tak ada, Puan faham tak? Saya sangat kecewa. Sebenarnya kerajaan tak salah, kerajaan dah bagi jaminan dan peruntukan berjuta-juta ringgit kepada Jabatan Hal Ehwal Orang Asli tetapi mereka yang menguruskan wang tersebut tidak amanah, menyebabkan wang tersebut tidak sampai ke saluran yang sepatutnya. Oleh sebab terlalu kecewa, saya berhenti dan memohon kerja di JAKIM. Alhamdulillah saya masih di sini, membantu saudara baharu. Sepuluh tahun saya bersama mereka. Daripada tiada apa-apa, akhirnya adalah sesuatu. Cikgu-cikgu, mereka ini sangat-sangat pemalu. Hati mereka sangat baik. Mereka sayangkan anugerah Allah. Mereka tak suka tempat mereka diterokai kerana mereka dijadikan bahan tontonan. Dulu kalau ada pelawat, mereka akan lari masuk ke dalam hutan, tapi sejak saya bersama mereka, saya ajar mereka semuanya, segalanya. Saya ajar mereka membaca dan mengira sehingga mereka betul-betul boleh membaca dan mengira. Saya gunakan bahasa mereka dan juga bahasa Melayu, campur-campur cikgu. Dulu saya pergi dari satu rumah ke satu rumah mengajar mereka. Saya rentas sungai dan daki bukit kecil untuk sampai ke rumah mereka, tapi akhirnya saya terfikir, sampai bila saya larat begitu, dan akhirnya kami bersama-sama bina pondok beratap rumbia itu sebagai pusat aktiviti orang-orang asli di sini, tempat mereka belajar, mengaji, belajar solat, buat kraftangan, dan sebagainya. Pernah seorang YB memerhatikan saya mengajar orang-orang asli di sini dan dia menyatakan kekagumannya akan apa yang saya lakukan terhadap orang-orang asli di sini, dan alhamdulillah, beliau turut menyumbang," panjang lebar Zalia bercerita.
Nada Zalia tiba-tiba berubah. Beberapa ahli rombongan yang masih setia mendengar ceritanya melongo.
”Tapi sayang, kita kekurangan dana, hampir tiada dana langsung untuk meningkatkan taraf hidup mereka.” Rendah saja nada suara Zalia. Matanya berkaca. Guru-guru yang berada di sekeliling Zalia turut merasakan sesuatu. Rasa kasihan, kesal dan marah mula bersatu di dalam dada mereka. Kasihan akan nasib masyarakat orang asli di Kuala Gandah dan rasa kesal dan marah terhadap mereka yang tidak amanah menjalankan tanggungjawab. Dana yang diperuntukkan oleh kerajaan khusus untuk masyarakat orang asli masuk ke dalam poket mereka sendiri dan menjadi darah daging mereka, dan mereka pula membesarkan anak-anak mereka dengan duit haram itu tanpa ada sedikit pun perasaan bersalah, nauzubillah. Guru perempuan berbaju biru berkaca mata besar itu benar-benar kesal dan geram. Simpatinya melimpah-ruah. Hanya Allah yang akan membalasnya, getusnya di dalam hati.
" Cikgu orang mana, orang dekat-dekat sinike? tanya salah seorang guru yang sejak tadi hanya asyik mendengar.
Zalia ketawa kecil. " Taklah, saya orang Kuantan, jauh dari sini."
"Ohh, jadi cikgu berulang-alik setiap hari ke sini?"
"Tak, saya tinggal di kuartes pegawai di sini, untungnya kerana suami saya pegawai Perhilitan di sini." Guru yang bertanya tadi menganguk-angguk tanda faham. Kemudian Zalia meneruskan ceritanya.
"Cikgu-cikgu, apa yang termampu saya lakukan hanyalah memberi anak-anak orang asli di sini pelajaran setinggi yang termampu digapai oleh mereka. Yang penting, mereka boleh membaca, menulis dan mengira, dan selepas itu saya akan daftarkan nama mereka di Jabatan Sumber dan Manusia bagi memungkinkan mereka mendapat pekerjaan. Ada beberapa orang bekas anak murid saya yang bekerja di Elephant Santuary sekarang.” Girang Zalia menyambung cerita sambil menyebut nama beberapa orang pemuda asli yang pernah menjadi anak muridnya di pondok beratap rumbia itu.
Sesungguhnya Zalia benar-benar bahagia dan puas kerana pemuda-pemuda asli itu kini mampu berdikari, dan hasratnya kini, mahu melahirkan lebih ramai Ameng, Baji, Dali, Abu, Mamat dan Bidin. Itulah cita-citanya dan harapannya sebelum dia menutup rapat matanya untuk selama-lamanya, tetapi dia juga risau, siapakah yang akan menyambung usaha murninya nanti jika kudratnya tidak kuat lagi, dan siapa yang akan meneruskan kerja amalnya jika dia sudah tidak ada lagi nanti? Ahh, biarlah dia serahkan segala urusan itu kepada Yang Maha Berkuasa kerana Dia Maha Mengetahui. Zalia pasrah.
Terima kasih. adakah ini cerita benar? Kalau benar? Bagaimana saya boleh berjumpa dengan puan zalia? kerana sy betul-betul berminat pada orang asli che wong kuala gandah
ReplyDeleteAnaeeim, terima kasih kerana sudi membaca cerpen saya ini. Cerpen ini merupakan sebuah kisah benar. Anda boleh berjumpa dengan Pn. Zalia dengan mengunjungi Perkampungan Orang Asli di Elephant Santuary, Kuala Gandah.
ReplyDelete