Assalamualaikum...
Setiap orang pasti mengharapkan kesempurnaan dalam hidup mereka. Semua orang pasti mengimpikan sebuah keluarga sakinah dan mawardah, iaitu memiliki suami atau isteri yang soleh dan solehah serta anak-anak yang soleh dan solehah juga. Setiap orang juga mahu berjaya dalam hidup, hidup senang, kaya, mahu suami atau isteri yang kacak atau cantik jelita, mahu pasangan yang romatis dan penyayang, mahu anak-anak yang comel, bjiak, dan pintar. Pendek kata, kita mahu semua yang terbaik dalam hidup kita, namun hakikatnya tidak sebegitu. Banyak kekurangan yang kita terima tidak seperti yang kita impikan. Kesempurnaan bukan sahaja diukur dari segi fizikal tetapi juga dari segi rohani.
Apabila kita melihat di sekeliling kita, dalam hati selalu merintih. Kenapa hidup kita tidak seperti mereka? Kenapa suami atau isteri kita tidak seperti suami atau isteri mereka? Kenapa anak-anak kita tidak seperti anak-anak mereka? Kita kadang-kala terlalu banyak merintih akibat kecewa akan suami, isteri, dan anak-anak kita sendiri. Pernahkah kita muhasabah diri sendiri? Pernahkah kita terfikir bahawa ketidaksempurnaan mereka itu disebabkan oleh diri kita sendiri? Mungkin kita sendiri tidaklah begitu sempurna untuk memiliki suami, isteri atau anak-anak yang sempurna. Jadi belajarlah untuk mendidik hati agar redha akan suami, isteri atau anak-anak yang kita miliki. Mungkin ketidaksempurnaan itu merupakan ujian-Nya kepada kita untuk memperbaik kelemahan dan kekurangan diri sendiri sebelum bertindak memperbaik ketidaksempurnaan suami, isteri atau anak-anak kita.
Berusahalah untuk memperbaik setiap kekurangan ahli keluarga kita dengan nasihat dan kata-kata yang lembut, yang bisa menyentuh hati mereka, dan bukannya dengan kata-kata yang pedas dan menyakitkan. Namun begitu, jika kita sendiri tidak mampu mengubah ketidaksempurnaan itu dengan kata-kata atau nasihat, maka banyakkanlah merintih dan menangis di dalam sujud. Mohonlah agar orang-orang yang kita sayang diberi hidayah oleh-Nya untuk berubah ke arah yang lebih baik.
Kesimpulannya, usah terlalu mengharap segala-galanya sempurna, takut nanti kita sendiri yang akan kecewa. Tiada yang sempurna kecuali Dia. Didiklah hati untuk selalu redha dan menerima apa adanya.
No comments:
Post a Comment