TUAI PADI ANTARA MASAK, ESOK JANGAN LAYU-LAYUAN, INTAI KAMI ANTARA NAMPAK, ESOK JANGAN RINDU-RINDUAN...

Wednesday, October 18, 2023

Throwback : Samseng Jalanankah?

 


Bismillah...

Pagi itu April 2022 (saya lupa tarikh yang tepat), setelah beberapa minggu saya berpindah balik ke Kota Bharu, saya memandu seperti biasa ke sekolah. Setiap hari, saya keluar dari rumah seawal 6.15 pagi untuk ke sekolah saya di SMK Machang.  Selama beberapa minggu itu, saya memang terbiasa bergerak awal ke sekolah kerana risau jalan jem jika terlewat, padahal saya sampai ke sekolah lebih kurang jam 6.50 -6.55 pagi.  Pagi tu saya terlewat sedikit menyebabkan saya memandu agak laju dan memotong beberapa buah kereta di sepanjang jalan Ketereh - Kuala Krai. Saya sedar ada ketikanya saya memotong secara berbahaya. 

Sepanjang pemanduan saya, tiba-tiba ada sebuah kereta berwarna putih memotong kereta saya secara berbahaya juga dan menghalang kereta saya dengan cara memandu terlalu perlahan di hadapan saya. Saya berasa hairan dan cuba memotong kereta tersebut kembali tetapi pemandu kereta itu memandu ke tengah  jalan dan cuba menghalang kereta saya daripada memotong keretanya. Saya agak panik dengan keadaan tersebut.  Kereta di belakang saya mula membunyikan hon dan cuba memotong kereta saya dan kereta putih tersebut. Kereta putih itu membenarkan kereta-kereta di belakang saya memotong kami tapi apabila saya  cuba memotong kereta putih itu sekali lagi, kereta itu bergerak ke tengah dan terus bergerak perlahan. Saya semakin panik  dan takut. Dalam fikiran saya, saya tertanya-tanya, apakah pemandu kereta itu samseng jalanan. 

Tiba-tiba pemandu kereta putih tersebut memberi isyarat tangan supaya saya memberhentikan kereta saya di bahu jalan. Oleh sebab saya terlalu takut, saya terpaksa akur. Saya pun memberhentikan kereta saya di bahu jalan dan pemandu kereta itu juga memberhentikan keretanya di hadapan kereta saya. Dalam keadaan saya yang sangat takut, seorang lelaki dalam usia 40-an dengan wajah yang bengis dan berambut panjang mencecah bahu keluar dari kereta itu sambil melihat-lihat belakang keretanya kemudian dia berjalan ke arah kereta saya. Saya berasa sangat takut jika lelaki itu mahu merompak saya. Kebetulan pada waktu itu, keadaan masih gelap. Tidak ada sesiapa pun di situ untuk saya meminta tolong. Lelaki itu terus mengetuk tingkap kereta saya bertalu-talu dan menyuruh saya menurunkan cermin tingkap kereta saya dengan nada suara yang tinggi.  Saya mula menangis sambil menurunkan cermin kereta. Saya sangat-sangat panik dan takut. Tidak pernah dalam hidup saya menghadapi keadaan seperti itu.

      "Akak  sedarke akak potong kereta saya tadi secara berbahaya?" Tanya lelaki itu dengan suara yang agak tinggi dan kasar.

      " Maaf. dik akak tak perasan", jawab saya sambil menangis.

      "Mana boleh tak perasan. Kereta saya kemek kerana berlanggar dan bergesel dengan kereta akak", sambungnya lagi.

      "Maafkan akak Dik. Adik bagi no hp adik, nanti akak bayar. Maaf sangat-sangat Dik."

       Tiba-tiba suara lelaki itu sedikit kendur.

      "Akak nak pergi mana ni bawa kereta laju-lau dan memotong secara berbahaya ni.?"   

      "Maafkan akak dik, akak nak pergi sekolah di SMK Machang. Akak dah lewat ni." Saya masih menangis. 

      "Akak minta maaf sangat-sangat Dik. Adik bagi no hp adik. Akak janji akan bayar kerosakan kereta adik."

      "Tak apalah kak, saya maafkan akak dan akak tak payah bayar-apa-apa sebab saya tengok kereta saya tu taklah teruk pun. Tapi saya nasihatkan akak, jangan buat macam ni lagi. Bahaya kak. Dalam kereta  saya tu ada anak saya, kalau accident, macam mana? Suara lelaki itu semakin lembut tapi masih bernada tegas.

   "Maafkan akak Dik, akak tahu akak salah. Bagi je no hp adik, akak akan bayar." Saya masih menangis.

    "Tak apa, saya dah maafkan akak.  Dah, akak jangan nangis. Sekarang akak boleh gerak pergi sekolah. Bawak kereta hati-hati."  

     "Terima kasih Dik. Maafkan akak."    Saya mengesat air mata dan menghidupkan kereta dan lelaki itu mengangguk sambil beredar ke keretanya. Saya menunggu dia bergerak dahulu dan saya mengikutnya dari belakang. Kereta lelaki itu akhirnya membelok ke satu lorong dan hilang dari pandangan saya.

Sepanjang pemanduan saya ke sekolah, saya mengucap syukur yang tak terhingga kepada Allah kerana tiada apa-apa yang buruk berlaku kepada saya.  Dalam pada itu, saya juga menyesal kerana memandu laju serta memotong secara berbahaya. Saya berjanji pada diri saya sendiri bahawa, mulai hari itu, saya tidak akan memotong mana-mana kereta lagi. Biarlah saya terlewat ke sekolah daripada menempuh pengalaman yang menakutkan itu sekali lagi.

Setelah sampai di sekolah, saya keluar dari kereta dan memeriksa kereta saya. Saya berasa pelik kerana tiada kesan kemek atau calar pun pada bahagian bumper dan sekeliling kereta saya. Saya mula berfikir, macam mana lelaki tersebut mengatakan bahawa kereta saya melanggar keretanya semasa saya memotong keretanya, sedangkan saya tidak berasa apa-apa perlanggaran pun, malah tiada apa-apa kesan kemek atau calar pun pada kereta saya. Tak apalah, yang penting saya selamat.

Pengajaran yang saya dapat daripada peristiwa tersebut adalah... jika berlaku apa-apa masalah di jalan raya dan kita sedar memang kita yang bersalah, jangan bersikap ego atau berlagak sombong.  Mintalah maaf berkali-kali dengan wajah yang kesal  kepada pihak yang satu lagi, nescaya lembutlah  hatinya untuk memaafkan kita dan mungkin kita tak perlu bayar apa-apa. Insya-Allah.



No comments:

Post a Comment