Aireen Husna termenung setelah
membaca screenshot whassapp yang
dihantar oleh Fahmi sebentar tadi. Dia
tidak sanggup mengulang baca ayat-ayat yang ditulis oleh Sheila yang memaki
hamunnya. Pedih hatinya. Apa salahnya
terhadap Sheila sehingga benci benar Sheila kepadanya? Apa salah ibunya kepada Sheila hingga Sheila
sanggup menjaja cerita bahawa ibunya memfitnahnya? Dia tidak pernah mengganggu
hidup Sheila apatah lagi memetik nama Sheila dan mengumpat Sheila di hadapan
pelajar. Bukan sahaja Sheila, nama
guru-guru lain pun tidak pernah disebut di dalam kelas oleh Aireen Husna,
apatah lagi mengumpat mereka di hadapan pelajar. Sudah banyak screenshot yang
dihantar oleh Fahmi yang memaparkan kata-kata Sheila yang mengutuk dirinya.
“Cikgu, saya minta maaf sebab
menceritakan hal ini kepada cikgu. Saya bukan nak melaga-lagakan cikgu dengan
cikgu Sheila, tapi saya dah tak tahan mendengar cikgu Sheila mengumpat dan
mengutuk cikgu dan cikgu-cikgu lain di depan kami,” ujar Fahmi dalam nada kesal.
“Tak apa Fahmi, cikgu faham niat awak,
malah cikgu bersyukur awak menceritakan hal ini kepada cikgu. Cikgu betul-betul
tak sangka. Sekarang baru cikgu kenal cikgu Sheila sesungguhnya. Bila masa dia
mengumpat cikgu?” Tanya Aireen Husna
pula.
“Kadang-kadang semasa pdpc, semasa
kami keluar dengannya minum-minum di mamak dan di dalam kereta.” jawab Fahmi penuh jujur. Kadang-kadang pelajar yang mengadu pasal cikgu dan cikgu-cikgu lain
kepadanya terlebih dahulu,” tambah Fahmi lagi.
“Cikgu rasa cikgu perlu bersemuka
dengan cikgu Sheila. Cikgu nak tanya apa masalahnya yang dia tak puas hati
dengan cikgu.”
“Ok jugak tu cikgu, tapi cikgu
janganlah bagitahu dia bahawa saya yang ceritakan semua ni, sebab dia dah mula
syak saya dan tekan-tekan saya.”
“Yalah, cikgu faham. Fahmi jangan
risau ya.”
Aireen Husna akhirnya menelefon
ibunya dan bercerita tentang perkara tersebut. Ibu Aireen Husna mengeluh panjang dan
meminta Aireen Husna tidak mempedulikan Sheila, namun hati Aireen Husna tidak tenang selagi
tidak bersemuka dengan Sheila. Namun begitu, ibu Aireen Husna bercerita
segala-galanya tentang kisah lalu Sheila kepada Aireen Husna. Aireen Husna juga meminta
pendapat kawan-kawannya dan ramai antara mereka mencadangkan agar Aireen Husna bersemuka
dengan Sheila untuk menyelesaikan masalah tersebut dan membersihkan
namanya.
Semalam Aireen Husna mengambil cuti
rehat kerana menghantar anaknya mendaftar di UITM. Hari ini pun dia sepatutnya masih bercuti
kerana dia memohon cuti selama dua hari, namun dia membatalkan cutinya pada
hari ini untuk bersemuka dengan Shiela. Pagi itu Aireen Husna melihat Sheila di
mejanya. Ramai guru lain juga masih berada di dalam bilik guru pada waktu itu. Aireen Husna berfikir-fikir sendiri bahawa inilah
masanya yang sesuai untuk dia bersemuka dengan Shiela. Jika bukan sekarang,
mungkin susah untuk dia mencari masa lain yang sesuai kerana Sheila jarang
berada di dalam bilik guru sejak akhir-akhir ini.
Aireen Husna bangun dari kerusinya
sambil membaca beberapa potong doa agar dirinya tenang, tidak menggelabah dan
tidak beremosi apabila bercakap dengan Sheila.
Jika dibandingkan dirinya dengan Sheila, Aireen Husna mengakui Sheila
memang lebih ‘cool’ dan lebih pandai bercakap daripada dirinya. Jadi Aireen Husna harus betul-betul tenang
agar dia tidak beremosi semasa bercakap dengan Shiela. Tanpa membuang masa,
Aireen Husna terus berjalan ke meja Shiela. Ketika itu Sheila sedang duduk
sambil menatap telefon bimbitnya. Aireen Husna berdiri di sebelah meja Sheila.
“Sheila, kak Aireen nak bercakap dengan
Sheila,” tiba-tiba sahaja suara Aireen Husna kedengaran bergetar walaupun dia telah sedaya upaya cuba
menahan suaranya dan emosinya. Dia tidak mampu tersenyum kepada Sheila.
“Ada apa kak?” tanya Sheila ramah
sambil tersenyum kepada Aireen Husna.
“Eh, pandainya dia ni berlakon,”
bisik Aireen Husna di dalam hati.
“Akak nak tanya Sheila, kenapa Sheila
mengutuk akak macam-macam depan pelajar dan tuduh akak dan emak akak fitnah
Sheila?”
Reaksi Sheila masih tenang. “Akak,
bila masa saya kutuk akak dan fitnah akak?” Tanya Sheila kembali.
“Akak ada bukti,” tegas sahaja suara
Aireen Husna.
“Mana buktinya?” Tanya Sheila lagi.
“Adalah. Pelajar-pelajar bercerita
kepada akak sebab mereka dah tak tahan mendengar Sheila mengumpat akak dan
cikgu-cikgu lain depan pelajar.”
“Mungkin mereka fitnah saya kak.
Depan akak mereka cerita lain, belakang akak mereka cerita lain.”
“Tak apalah, yang penting akak nak
tanya Sheila beberapa perkara. Sheila menjaja cerita kepada pelajar-pelajar
kononnya emak akak fitnah Sheila. Apa yang emak akak fitnah Sheila?"
“Emak akak fitnah saya, kata saya
sombong. Cikgu Tahir yang bagitahu emak saya bahawa emak akak kata saya sombong
menyebabkan saya tak dapat gelaran Tokoh Kanak-kanak semasa darjah enam dulu.
Gelaran tokoh tu dapat kat Raisya. Emak saya menangis dua hari. Saya sangat
terkesan dengan perkara ini hingga sekarang,” jelas Sheila. "Raisya tu tak pernah
dapat nombor satu. Dia hanya pandai main bola jaring sahaja,” tambah Sheila
lagi penuh yakin.
Aireen Husna tergaman seketika. “Kesiannya
budak ni, “ getus Aireen Husna di dalam hati.
“Sheila, Sheila kena belajar terima
hakikat bahawa itu bukan rezeki Sheila. Sheila kena muhasabah diri dan fikir kenapa
Sheila tak layak. Emak akak bukan fitnah Sheila tetapi emak akak bagi
pandangannya terhadap Sheila. Semua cikgu diminta beri pandangan. Takkanlah
cikgu Tahir sebagai HEM begitu bodoh nak tukar keputusan hanya kerana pandangan
emak akak. Siapalah emak akak nak
pengaruhi cikgu Tahir. Untuk dipilih menjadi Tokoh Kanak-kanak, banyak kriteria
yang dinilai, antaranya dari segi kurikulum, kokurikulum, adab dan sahsiah.
Mungkin Raisya tak pernah dapat nombor satu di dalam kelas tetapi sahsiah dan
adabnya lebih baik daripada Sheila. Raisya dapat 98 markah manakala Sheila dapat
90 markah.”
“Kalau dulu emak akak kata Sheila
sombong, memang betullah dan ia bukan fitnah sebab sekarang pun ramai cikgu
sekolah ini berpendapat yang sama dengan emak akak. Dulu Sheila suka menjeling dan memasamkan muka bila ditegur oleh guru-guru. Sekarang pun sama. Perangai Sheila tak pernah
berubah dari dulu sampai sekarang. Sheila perasan bahawa Sheilalah paling
bagus, paling hebat dan paling betul. Pada Sheila, semua orang tak bagus, semua
orang tak betul, semua orang buruk dan hati busuk. Adab Sheila ke laut. Sheila
tak pandai menghormati orang, tak pernah nak mengalah dengan orang hatta dengan pentadbir sekali
pun. Sheila bermasalah dengan ramai pengetua dan YDP PIBG. Sheila juga
bermasalah dengan ramai cikgu.”
“Lagi satu, emak Sheila seorang
ustazah, takkanlah dia tak ajar Sheila tentang konsep redha kepada Sheila dan
dia sendiri tak boleh redha hingga menangis
dua hari. Sheila sendiri pun pelajar
sekolah agama, pun tak belajar konsep redha?”
Sheila hanya terdiam mendengar hujah
Aireen Husna.
“Sheila fitnah ayah dan emak akak, kononnya
ayah dan emak akak nak jodohkan adik akak dengan abang Sheila. Mungkin kerana emak dan ayah Sheila tak
bersetuju, maka hubungan keluarga kita renggang, padahal emak dan ayah akak tak
pernah langsung terfikir nak berbesan dengan mak ayah Sheila. Emak dan ayah
akak tak pernah nak tentukan jodoh anak-anak mereka, lagi pun adik akak masih
kecil lagi pada waktu itu.”
“Sheila juga fitnah kononnya ayah dan
emak akak pilih menantu yang ada gelaran sahaja, hakikatnya suami akak sorang
sahaja yang ada gelaran Engku, itu pun kebetulan sahaja,” Aireen Husna semakin
lancar berhujah. Dia juga sudah mampu
mengawal emosinya.
“Mana ada saya kata semua tu,” Sheila cuba mempertahankan dirinya.
“Sheila, kalau Sheila tak jaja fitnah
ni, pelajar-pelajar tak tahu. Mereka tak
kenal pun keluarga kita. Mereka tak lahir pun lagi waktu dulu. Jadi macam mana
mereka boleh bagitahu akak.”
Sheila hanya membisu.
“Apa tujuan Sheila bercerita pasal
family akak kepada pelajar?”
“Saya terluka dengan apa yang terjadi
dan saya sangat terkesan. Saya sekadar bercerita sahaja kak. Sekadar luahan
perasaan sahaja kot.”
“Tapi cerita tu tak betul dan dah
jadi fitnah. Akak tak pernah bercerita pasal family Sheila kepada sesiapa pun.
Apa perasaan Sheila kalau akak bercerita
pasal family Sheila kepada orang lain? Tentu Sheila sakit hatikan?”
Sheila bungkam.
Sheila bungkam.
“Sheila juga jaja cerita kepada pelajar bahawa akak fitnah Sheila. Apa yang akak fitnah Sheila?”
“Status whassapp akak. Dulu saya tak
faham, tetapi rupa-rupanya akak tujukan status tu kepada saya. Saya terkesan
dan sedih sangat dengan tuduhan akak. Kononnya saya meraih sokongan dan mahu
dijulang sebagai guru terhebat dan lain-lain. Mana ada anugerah guru macam tu,”
jelas Sheila panjang lebar.
Semulia-mulia pekerjaan ialah guru.
Sekeji-keji guru ialah guru yang mengumpat dan memburuk-burukkan rakan sejawatan
di hadapan pelajar demi meraih sokongan dan mahu dijulang sebagai guru
terhebat, terbaik, paling pandai mengajar an paling caring. Adake guru macam
tu? Ada…
“Ya, status tu memang akak tujukan
kepada Sheila sebab itulah sikap Sheila yang sebenar. Memanglah tak ada
anugerah guru macam tu. Itu sindiran sahaja. Sheila selalu mengumpat akak dan
cikgu-cikgu lain waktu pdpc dan semasa keluar dengan pelajar. Sheila libatkan
pelajar dan pengaruhi pelajar sejak tahun lepas. Akak ada bukti. Kalau pelajar
mengumpat guru sesama mereka, akak tak kisah sangat sebab mereka tak cukup akal
tapi bila ada cikgu yang sama-sama mengumpat, itu memang salah. Akak sekali pun
tak pernah petik nama Sheila atau nama cikgu-cikgu lain depan pelajar, dan tak
pernah kacau hidup Sheila. Kalau pelajar mengadu apa-apa pun pasal akak dan
cikgu-cikgu lain, Sheila tak perlu masuk campur. Itu masalah kami dengan
pelajar. Sheila komplen cara cikgu lain mengajar. Untuk pengetahuan Sheila,
lain cikgu, lain cara pengajarannya. Pelajar mengadu kepada Sheila pasal akak
marahkan mereka, konon akak selalu sentap. Sheila tokok tambah mengutuk akak.
Bila Sheila buat macam tu, pelajar akan kata Sheilalah guru terbaik, terhebat,
paling caring dan lain-lain.”
“Tapi pelajar yang mengadu dulu,”
Sheila sekali lagi cuba mempertahankan diri.
“Kalau pelajar mengadu sekali pun, Sheila
tak perlu layan. Akak marahkan mereka bersebab. Mereka tak siapkan latihan,
ponteng kelas dan lain-lain. Pelajar pun pernah mengadu kepada akak pasal
cikgu-cikgu lain tetapi akak tak pernah layan. Akak kata, kalau awak ada
masalah dengan cikgu tu, selesaikan
dengan cikgu tu, jangan nak jaja dan buat cerita dengan akak. Pelajar
bermasalah dan kena marah sebab sikap mereka tetapi mereka akan salahkan guru. Mereka
akan cuba mencari perhatian daripada cikgu lain dengan memburukkan cikgu yang
mengajar.”
“Akak tegur atau marahkan pelajar
akak, yang Sheila sibuk dan sakit hati kenapa? Siap kata akak sengal dan nak
sembur akak.”
Sheila terpinga-pinga sambil cuba
mengingati sesuatu.
“Akak bagitahu pelajar akak
jangan kutuk orang yang nak sambung
belajar walaupun berjaya dalam bisnes. Itupun sampai kepada Sheila.”
“Itu sebab Hamli yang mengadu kepada
saya yang dia terasa dengan kata-kata akak dan tak boleh nak fokus belajar, dan
saya suruh dia jumpa akak.”
“Habis tu kenapa buat andaian
terlebih dahulu sebelum tanya akak? Akak tanya Hamli, adakah dia pernah kutuk
orang yang nak sambung belajar? Dia jawab tak pernah, jadi kenapa dia nak
terasa? Sebenarnya kawan akak orang bisnes juga kutuk akak bila akak kata akak nak
buat phd. Jadi akak bagi peringatan kepada pelajar akak supaya tak buat macam
tu.”
“Saya tak tahu pun pasal tu,” Sheila
cuba membela diri.
“Kalau tak tahu, jangan buat andaian dan kutuk akak terlebih dahulu sebelum
bertanya. Sheila bercakap kasar dan maki hamun akak dan cikgu-cikgu lain depan
pelajar, lepas tu bajet suci konon jadi mangsa.”
“Sheila juga marahkan pelajar-pelajar
dan bagi amaran jangan follow cikgu yang
suka perli-perli tetapi sebenarnya Sheila yang selalu perli-perli orang
lain dalam status Sheila terlebih dahulu. Sheila juga fitnah konon kami block
pelajar-pelajar. Akak tak pernah block sesiapa pun.”
“Tapi kak Halimah block
pelajar-pelajar dia,” Sheila sekali lagi mempertahankan dirinya.
“Itu cikgu Halimah, bukan akak. Jangan buat kesimpulan
pukul rata sahaja. Kalau ada cikgu block
pelajar mereka sekali pun, kenapa
Sheila nak sibuk? Sheila block akak dan
cikgu-cikgu lain, kami tak heran pun, tak kisah pun. Kami pun tak hingin nak tahu pasal Sheila.”
“Pasal akak suruh Fahmi cakap kepada
pelajar, siapa rindu cikgu, datanglah
rumah cikgu. Sheila siap kata akak bangang. Apa masalah Sheila? Pelajar
datang rumah akak pun Sheila sakit hati.
Kenapa? Semasa akak buat majlis hari raya tempoh hari, suka hati akaklah
nak ajak sesiapa pun dan pukul berapa baru nak jemput pun. Akak ajak pelajar-pelajar
akak berperingkat-peringkat sebab risau makanan tak cukup. Mana yang boleh
datang, datanglah, yang tak boleh datang, tak mengapa, akak tak paksa pun.
Pelajar-pelajar 2014, 2015, 2016, 2017 ada pun yang datang pada waktu malam.”
“Sheila maki hamun akak kata pergi
mampos dan tak perlukan kawan macam
kami, kononnya kami ni toksid. Sheilalah yang toksid sebenarnya. Sekali Sheila tak perlukan kami, sepuluh kali
kami tak perlukan kawan macam Sheila yang hipokrit.”
"Ok, tak apa," sinis sahaja jawapan Sheila.
"Ok, tak apa," sinis sahaja jawapan Sheila.
“Selama ni kami sokong bisnes Sheila, kami beli barang-barang daripada Sheila tetapi Sheila perlekehkan kami kononnya hati kami penuh dengki, hati kami busuk tidak
seperti orang-orang dalam bisnes Sheila yang saling menyokong antara satu sama lain.” Sheila terdiam. Wajahnya berkerut.
“Akak ajar pelajar-pelajar akak
bercakap bahasa sopan tetapi Sheila bercakap
dengan pelajar-pelajar bahasa kasar dan maki hamun. Sheila marah dan perli
budak-pelajar yang tak nak keluar dengan Sheila.”
“Tapi saya bergurau sahaja,” jelas
Sheila masih mempertahan dirinya.
“Bagi Sheila, semuanya bergurau.
Sheila tak ingat dan lupa apa yang Sheila dah buat kepada orang tetapi bila
orang buat kepada Sheila, Sheila ingat dan sakit hati. Kalau Sheila ada hati
dan perasaan, kami pun sama. Sheila yang mulakan dulu semua ni.”
“Fahmike yang bagitahu akak semua ni?
“
“Ya, dia yang bagitahu, tetapi tak
perlulah Sheila nak serang dia, suruh dia bersumpah dengan nama Allah bagai.
Dia bagitahu semua ni kepada akak sebab dia sendiri dah tak tahan mendengar
Sheila mengumpat akak dan cikgu-cikgu lain.”
“Tak, saya tak akan serang dia dan
tak akan marahkan dia, tetapi kenapa dia tak tegur saya?”
“Sheila, Fahmi tu siapa? Sheila siapa? Fahmi tu pelajar, Sheila tu guru, apa hak dia untuk menegur Sheila? Orang lain
tegur Sheila pun Sheila marah dan tak boleh terima, apatah lagi kalau pelajar
nak tegur Sheila.”
“Kenapa akak tak tegur saya dulu
sebelum cuti hari raya?”
“Masa tu akak belum ada kekuatan dan
tak nak libatkan Fahmi. Kesimpulannya, Sheila ada penyakit hati dan tak layak
jadi cikgu. Berhentilah cepat-cepat jadi cikgu dan fokus sajalah pada bisnes Sheila.”
Selepas meluahkan segala yang terbuku
di hatinya, Aireen Husna berlalu dan naik ke kelasnya. Dia meninggalkan Sheila
yang sedang terpinga-pinga. Di kelas, Aireen Husna tidak dapat menumpukan
perhatiannya kepada pelajar. Dia meminta pelajar-pelajarnya menyiapkan latihan
yang diberinya semalam. Setelah itu Aireen Husna turun semula ke bilik guru
kerana dia belum selesai bercakap dengan Sheila. Semasa dia masuk ke bilik guru, tiada guru
lain di dalam bilik guru selain dia dan Sheila. Kelihatan Sheila sedang menatap
telefon bimbitnya sambil mengesat air matanya.
Aireen Husna menuju ke meja Sheila, menarik kerusi dan duduk rapat di
hadapan Sheila hingga lutut mereka bertemu.
Sheila hanya menundukkan wajahnya.
Dia tidak mampu memandang wajah Aireen Husna. Dia tak henti-henti menyapu air
matanya yang deras mengalir.
“Akak, saya minta maaf banyak-banyak.
Saya sedar saya bersalah. Saya mengaku
semua yang akak bagitahu tadi silap saya setelah saya baca semula whassap saya
dengan Fahmi. Saya sedih dan terkesan sangat bila akak kata saya tak layak jadi
guru. Saya rasa diri saya ni hina sangat kak. Akak jangan risau, saya akan
keluar dari sekolah ini. Saya akan ambil
cuti tanpa gaji dan minta pindah. Kalau tak dapat pindah sekali pun, saya akan
terus ambil cuti tanpa gaji.” Sheila merintih
sambil mengesat air matanya lagi.
“Terima kasih akak sebab tegur saya.
Sampaikan mohon maaf saya kepada emak akak ya.”
“Yalah, insya-Allah akak akan
sampaikan tetapi Sheila kena bersihkan nama akak dengan pelajar-pelajar, pasal
keluarga akak, pasal emak akak. Sheila tahu tak keluarga akak banyak bantu
keluarga Sheila dulu?”
“Ya kak, saya tahu. Saya akan
bersihkan nama akak dan semua cikgu lain.
Saya akan buat satu persatu. Banyak sangat buruk saya ni. Saya berasa
sangat-sangat hina. Saya dah sedar semua tu. Tak tahu nak pergi ke mana dah. Akak cakaplah apa yang akak nak cakap lagi. Puaskanlah
hati akak. Saya boleh terima apa-apa sahaja sekarang. Saya tahu saya salah.”
Sheila menangis semahunya.
“Akak bukan nak puaskan hati akak
tapi akak nak bagi Sheila sedar apa yang Sheila mengata akak, sebab selama ni
Sheila ingat orang mengata Sheila tetapi Sheila tak ingat apa yang Sheila buat
kepada orang lain.”
“Ya kak, saya salah kak. Saya minta
maaf. Tahun depan saya akan pastikan saya
dah tak ganggu semua guru lagi. Maaf kak sebab banyak susahkan hidup akak. Insya-Allah saya akan cuba pergi jauh-jauh
lepas ni, supaya saya boleh mulakan hidup baharu. Semoga Allah cepatkan saya
keluar dari sekolah ini. Akak tolong doakan
ya,” Sheila masih menangis.
“Akak maafkan Sheila. Insya-Allah
akak doakan. Akak pun sebenarnya bangga Melayu kita berjaya dalam bisnes tetapi
Sheila kena berubah.”
“Ya akak. Terima kasih.”
Sepanjang perbualan mereka, Aireen
Husna memegang erat tangan Sheila. Selepas itu Sheila dan Aireen Husna
sama-sama berdiri. Sheila memeluk Aireen Husna sambil menangis dan memohon maaf
lagi. Aireen Husna membalas pelukan Sheila dan
memaafkan Sheila setulusnya. Hatinya turut tersentuh dengan tangisan
penyesalan Sheila. Semoga Sheila
benar-benar insaf dan berubah serta mengotakan kata-katanya, doa Aireen Husna
di dalam hatinya.
No comments:
Post a Comment