TUAI PADI ANTARA MASAK, ESOK JANGAN LAYU-LAYUAN, INTAI KAMI ANTARA NAMPAK, ESOK JANGAN RINDU-RINDUAN...

Friday, May 20, 2016

Hadiah Dari Hati 3 : Ahmad Zamzari bin Ismail



             Pada awal pagi 16 Mei 2016 yang lepas,  saya menerima berpuluh-puluh whassap daripada bekas pelajar -pelajar saya, termasuklah daripada Zamani, bekas pelajar High School Bukit Mertajam (STBM), Seberang Prai, Pulai Pinang.  Dia mengucapkan Selamat Hari Guru kepada saya, dan pada tengah harinya, dia menelefon saya, tetapi saya tidak menjawabnya kerana saya berada di dalam dewan kerana meraikan sambutan Hari Guru peringkat sekolah, tambahan pula suasana yang bising pasti akan menganggu perbualan kami jika saya menjawab panggilannya pada ketika itu.  Jadi, saya biarkan sahaja deringan itu berhenti sendiri.  Saya berkira-kira untuk menelefonnya semula pada petang nanti. Walau bagaimanapun, saya terlupa. 

          Pada keesokkan harinya, saya  menelefon Zamani sebanyak dua kali, namun panggilan saya tidak dijawabnya. Tak apalah, mungkin dia juga sibuk.  Selepas beberapa  jam kemudian, dia menelefon saya semula.  Kali ini saya berjaya bercakap dengannya.  Sebenarnya saya tidak cam dan tidak ingat rupa bekas pelajar saya ini, namun, setelah mendengar suaranya, saya terasa suara itu seperti biasa pada telinga saya.  Saya cuba mengingati rupanya sedaya upaya saya, dan akhirnya saya berjaya.  Ya, dialah Ahmad Zamzari bin Ismail, bekas pelajar saya yang saya ajar pada tahun 1998-1999, 17 tahun yang lepas di STBM.  Saya guru bahasa Melayunya semasa dia di tingkatan 6 Rendah dan 6 Atas. Beliau tergelak apabila saya memanggilnya Zamani.  Entah macam mana saya boleh menyimpan nombor telefonnya dengan nama Zamani sewaktu dia menghubungi saya pada tahun lepas.  

         Kami berbual pendek.  Zamzari akhirnya meminta untuk berjumpa dengan saya, kerana katanya, itu hajatnya sejak dahulu.  Kebetulan beliau akan datang ke Kuala Lumpur pada petang itu atas urusan kerja.  Beliau kini tinggal di Puchong dan menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan, ceritanya kepada saya semasa kami berbual.  Oleh sebab beliau kedengaran bersungguh-sungguh mahu berjumpa saya, saya memberi 'lampu hijau', namun saya harus meminta keizinan suami saya terlebih dahulu.  Alhamdulillah, suami saya memahami dan mengizinkannya.  

           Pada petang itu, seperti yang dijanjikan, kami berjumpa.  Pertemuan antara seorang guru dengan bekas pelajarnya.  Pada pertemuan itu, beliau menghadiahi saya seutas jam tangan.  Terharunya saya, namun gembira. Hadiah sempena hari guru katanya, dan dari hatinya yang tulus ikhlas. Terima kasih, Zamzari.  Ingatannya terhadap saya membuatkan saya sangat terharu. Walaupun sudah 17 tahun kami berpisah setelah dia menamatkan STPMnya, beliau masih mengenang saya sebagai guru yang sentiasa memberi semangat dan dorongan kepadanya, dan juga merupakan antara guru kesayangannya selain rakan guru saya dari sekolah yang sama, iaitu Pn. Sarah dan Pn. Monalisa.  Alhamdulillah, dan terima kasih sekali lagi, Zamzari, atas ingatan yang berkekalan. 

           Ahmad Zamzari bin Ismail, 36 tahun, kini seorang ahli perniagaan yang berjaya.  Saya berasa sungguh bangga akan dirinya. Dalam pertemuan itu, beliau bercerita segala-galanya kepada saya, tentang keluarganya, isterinya, anak-anaknya dan juga tentang pengalaman hidupnya dari mula beliau belajar untuk hidup  sehinggalah dia berjaya kini. Segala pengalaman dan susah payah yang dihadapinya selama ini berjaya mematangkan dan mendewasakannya. Kini dia mempunyai empayar perniagaannya sendiri. Tahniah, Zamzari.  Sungguh, saya kekaguman tatkala mendengar semua ceritanya, lebih-lebih lagi cerita tentang perniagaannya.  Satu hal yang membuatkan saya berasa terharu, walaupun beliau sudah berjaya dalam hidup, namun beliau tidak pernah melupakan guru-gurunya, malah sangat berusaha untuk  menghubungi mereka, seterusnya berjumpa dengan mereka, semata-mata untuk mengucapkan terima kasih kepada guru-gurunya yang telah mendidiknya dahulu. 

          Saya sangat bersyukur kepada Allah kerana ramai bekas pelajar saya masih mengenang saya hingga kini, selalu menghubungi saya dan selalu bertanya khabar saya. Saya juga sangat terharu kerana didikan saya selama ini sedikit sebanyak terkesan di hati mereka,  sekali gus mampu mempengaruhi tindakan yang diambil dalam hidup mereka, dan akhirnya berjaya dalam hidup, di dunia dan di akhirat, insya-Allah. 

             Ahmad Zamzari bin Ismail dan juga semua bekas pelajar cikgu yang lain, Ierwan Ismail, Rozeini Din, Azizi Mohamad, Hafifi Azri, Ridhwan, dan lain-lain, cikgu doakan awak semua berjaya dan bahagia dengan kehidupan awak sekarang.  Terima kasih atas ingatan yang berkekalan dan doa yang tulus ikhlas daripada awak semua untuk cikgu. Zamzari, terima kasih sekali lagi kerana sanggup datang jumpa cikgu, belanja cikgu dan beri hadiah yang sangat istimewa kepada cikgu.  Hanya Allah yang mampu membalas kebaikan awak, insya-Allah.




No comments:

Post a Comment