TUAI PADI ANTARA MASAK, ESOK JANGAN LAYU-LAYUAN, INTAI KAMI ANTARA NAMPAK, ESOK JANGAN RINDU-RINDUAN...

Sunday, April 1, 2012

Sekadar Renungan...


Assalamualaikum wahai para pembaca budiman. 

               Hari ini saya ingin berbicara tentang kesantunan berbahasa. Kesantunan berbahasa itu perlu untuk mengelakkan salah faham, perasaan tersinggung, menjaga hubungan dan sebagainya. Pada hemat saya, untuk menjadi ibu bapa atau guru yang dihormati  dan disenangi oleh anak- anak atau para pelajar, kita sebagai  ibu bapa atau guru  seharusnya  dapat menyelami hati dan perasaan setiap  anak atau pelajar kita.  Sebagai  ibu bapa atau guru juga, kita wajib menggunakan bahasa yang bersantun terhadap anak-anak dan para pelajar kita, lebih-lebih lagi terhadap mereka yang sudah remaja, kerana mereka cepat tersinggung dengan bahasa yang kita gunakan. Kalau kita sebagai  ibu bapa atau guru tidak mampu menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak atau para pelajar apabila berbahasa, mana mungkin mereka akan menggunakan bahasa yang bersantun seperti yang kita harapkan, maka akan berlakulah situasi bagaimana acuan, begitulah kuihnya dan guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari.

           Terkadang saya berasa amat kesal tatkala mendengar ada guru yang menggunakan bahasa mengejek terhadap pelajarnya. Ada yang menggunakan isu saiz badan untuk memanggil pelajar dengan gelaran yang tidak sepatutnya dalam khalayak.  Apabila ditegur, si guru akan menjawab bahawa dia hanya bergurau dan dengan yakin pula menafikan bahawa pelajar tersebut tersinggung.    

             Setiap manusia yang dilahirkan ke dunia ini, kejadiannya berbeza daripada seseorang dengan seseorang yang lain.  Ada yang cantik, kurang cantik, tidak cantik, langsing, sederhana, gempal, gemuk dan sebagainya. Pendek kata, rupa paras  dan bentuk  badan berbeza daripada seseorang dengan seseorang yang lain.  Sebagai ibu bapa, guru, sahabat dan saudara mara, janganlah menjadikan isu saiz badan    sebagai bahan untuk mendera hati dan perasaan insan di hadapannya, walaupun sekadar gurauan. Jika anda mempunyai hati dan perasaan, mereka yang diejek juga sama seperti anda, punya hati dan perasaan.  

           Saya pernah menerima  sepucuk  surat daripada seorang pelajar saya beberapa tahun yang lepas.  Saya suka sekali memetik beberapa baris ayatnya yang tertulis begini.  

          “Cikgu, terima kasih kerana menerima saya seadanya.  Cikgu merupakan antara guru yang mengajar saya yang tidak pernah mengejek  saya dan tidak pernah memperkatakan  isu bentuk badan saya.  Saya faham, cikgu-cikgu lain yang sering memperkatakan isu bentuk badan saya sebenarnya tidak berniat apa-apa, sekadar bergurau sahaja, namun hati saya tetap terluka”.

             Setelah selesai membaca seluruh isi surat pelajar tersebut, saya termenung.  Betapa di dalam kelas dia kelihatan sungguh ceria dan banyak mulut, namun rupa-rupanya dia tetap tersinggung dengan ejekan yang dilabelkan kepadanya.

           Tidak terkecuali, dalam persahabatan juga berlaku perkara yang sama. Kesantunan berbahasa amat dituntut sewaktu berbicara. Jangan terlalu lancang apabila berkata-kata.  Lihat dahulu dengan siapa kita berbicara, umurnya, pangkatnya dan lain-lain. Dalam situasi yang lain, terkadang kita terpaksa menelan sahaja perkataan rakan-rakan kita yang terlalu sinis, demi menjaga persahabatan.  Amat mendukacitakan apabila mereka terus berbicara sesedap kata, tanpa memikirkan hati dan perasaan kita. Lebih malang, apabila kita tidak mempunyai ruang untuk mempertahankan diri. Jika dibiarkan, perkataan mereka boleh menyebabkan kita makan dalam, tetapi jika ditegur, hubungan pasti menjadi suram.  Jika itu yang berlaku kepada anda, bersabarlah dan berdoalah agar Allah memberi petunjuk kepada mereka, insya-Allah, dan yakinlah bahawa Allah sentiasa bersama orang-orang yang bersabar.    
      

No comments:

Post a Comment