TUAI PADI ANTARA MASAK, ESOK JANGAN LAYU-LAYUAN, INTAI KAMI ANTARA NAMPAK, ESOK JANGAN RINDU-RINDUAN...

Monday, April 29, 2013

Meraikan Perbezaan Fahaman Politik....

Assalamualaikum....

                Pilihan raya Umum ke-13 akan berlangsung beberapa hari sahaja lagi.  Parti-parti politik semakin kuat berkempen.  Setiap parti menguar-uarkan manifesto parti masing-masing.  Semua itu merupakan fenomena biasa menjelang pilihan raya, namun sayang seribu kali sayang, budaya tidak sihat semasa berkempen semakin berleluasa dan menjadi-jadi di Malaysia.   Budaya tidak sihat yang saya maksudkan di atas ialah budaya keji-mengeji, kutuk-mengutuk dan saling membuka aib orang lain.  Para penyokong fanatik mana-mana parti politik akan mengutuk penyokong parti lawan.  Inikah yang dikatakan negara demokrasi?  Sesiapa pun yang disokong, itu ialah hak individu tersebut.  Saya berasa kesal akan sikap segelintir rakan-rakan. Mereka akan mengutuk rakan-rakan yang menyokong parti yang berlawanan dengan sindiran-sindiran tajam, siap dengan mempamerkan mimek muka yang menjengkelkan, kononnya parti yang disokonglah yang paling benar. Kenapa mesti begitu?  Bukankah negara kita negara demokrasi?  Jadi, raikanlah perbezaan fahaman politik yang dipegang oleh setiap individu.  

            Saya bukanlah seorang ahli politik atau penyokong fanatik mana-mana parti politik.  Saya hanyalah seorang insan kecil yang begitu naif tentang politik, sandiwaranya, juga tipu dayanya, namun saya memerhati dan menilai dalam diam.  Saya akan memilih individu yang mempunyai ciri-ciri pemimpin seperti yang dituntut oleh Islam, namun tidak perlu saya menghebahkan siapa atau parti politik mana yang saya sokong dan akan saya undi kerana bagi saya, undi saya adalah rahsia. Yang penting, saya menunaikan tanggungjawab saya sebagai seorang warganegara yang bertanggungjawab, memilih pemimpin yang saya fikir layak untuk menjadi pemerintah.  Saya pernah terbaca  satu tulisan  oleh seorang penulis bahawa mereka yang merahsiakan undi mereka sebenarnya pengecut, dan  selalunya mereka ini merupakan kakitangan kerajaan.  Dalam satu tulisan lain pula, penulisnya menyatakan bahawa mereka yang tidak berani menyatakan sokongan kepada mana-mana parti politik secara terbuka juga dianggap pengecut.  Terpulanglan kepada  kedua-dua penulis tersebut untuk membuat andaian.  Saya tetap dengan pendirian saya untuk tidak menghebahkan parti politik pilihan saya.  Walaupun begitu, saya menghormati pilihan orang-orang yang ada di sekeliling saya kerana itu merupakan hak mereka untuk menyokong sesiapa sahaja.  Ayuh, raikanlah perbezaan fahaman politik yang wujud di negara kita kerana negara kita ialah negara demokrasi. 

           

No comments:

Post a Comment