TUAI PADI ANTARA MASAK, ESOK JANGAN LAYU-LAYUAN, INTAI KAMI ANTARA NAMPAK, ESOK JANGAN RINDU-RINDUAN...

Tuesday, April 23, 2013

Muhasabah Diri...Kenapa Tidak Cemerlang?

         
               
             Coretan ini saya tujukan kepada anak-anak didik saya di SMK Taman Tasik, khususnya pelajar-pelajar BM saya.

     Sebagai guru yang telah mengajar hampir 20 tahun lamanya, saya sudah menghadapi pelbagai jenis dan ragam pelajar.  Pelajar yang tidak cemerlang selalunya lebih ramai  daripada pelajar yang cemerlang.  Jika anda tergolong dalam golongan pelajar cemerlang, alhamdulillah, tetapi jika anda tergolong dalam golongan pelajar tidak cemerlang, anda sepatutnya memuhasabah diri  dan bertanya kepada diri sendiri, "kenapa aku tidak cemerlang?"

          Syarat asas untuk menjadi insan cemerlang ialah 'disiplin diri'.  Jika anda tidak mampu mendisiplinkan diri anda sendiri, jangan bermimpi untuk menjadi insan cemerlang!  Saya yakin anda pernah bercita-cita untuk menjadi pelajar cemerlang, tetapi anda tidak pernah berusaha ke arah itu.  Jika anda tidak mampu mematuhi peraturan sekolah, iaitu datang tepat pada waktunya, selalu ponteng sekolah atau kelas, suka menangguhkan kerja, tidak menyiapkan tugasan atau latihan yang diberikan guru, tidak fokus pada pengajaran guru di dalam kelas dan sebagainya, bagaimana anda hendak cemerlang?   Cuba anda lihat pelajar-pelajar cemerlang yang anda kenal, adakah sikap mereka seperti anda?  Pelajar cemerlang selalunya sangat berdisiplin dalam hidup mereka.  Mereka merupakan golongan manusia yang menepati masa, mematuhi peraturan sekolah, tidak pernah ponteng sekolah atau kelas tanpa sebab, tidak menangguhkan kerja, selalu menyiapkan tugasan atau latihan yang diberikan oleh guru serta sentiasa fokus pada pengajaran guru di dalam kelas!

         Dalam konteks ini, sikap berkait rapat dengan disiplin diri dan merupakan faktor utama sebagai penentu kejayaan selain bertawakal dan berdoa kepada-Nya. Sikap positif  akan membuahkan kecemerlangan, manakala sikap malas dan tidak menjadikan kegagalan lalu sebagai pengajaran (tidak insaf)  akan menjuruskan diri kepada kegagalan  untuk selama-lamanya.  Pernah anda mendengar dan membaca pengakuan pelajar-pelajar cemerlang tentang tips mereka untuk tampil cemerlang?  Kesemua mereka menyatakan bahawa fokus pada pengajaran guru di dalam kelas ialah kunci utama untuk berjaya.  Jadi kenapa anda tidak meneladani mereka?   Jika anda benar-benar mahu menjadi pelajar cemerlang, berusahalah untuk mengubah sikap anda. Tiada siapa yang mampu mengubah takdir anda, kecuali diri anda sendiri. Berilah peluang kepada diri anda untuk mengecapi kecemerlangan seperti orang lain. Insya-Allah, dengan izin-Nya, anda pasti boleh!

No comments:

Post a Comment