TUAI PADI ANTARA MASAK, ESOK JANGAN LAYU-LAYUAN, INTAI KAMI ANTARA NAMPAK, ESOK JANGAN RINDU-RINDUAN...

Tuesday, November 2, 2010

Wadah Seorang Guru...

                


     
      Wadah ini ialah cetusan hati seorang insan yang bernama guru, sekali gus mewakili naluri golongan guru yang menabur bakti di sekolah indah nan tercinta ini.  Wadah ini bukan madah pujangga yang tersohor, bukan juga bahasa puitis seorang pengkarya hebat tetapi sekadar catatan yang penuh tulus yang berpijak pada realiti, bertujuan berkongsi fikiran dan mentafsir yang tersirat melangkaui pengalaman yang telah ditempuhi sepanjang tahun 2010.   

                                                                            Catatan (i)

                                                 
             Ingin saya tekankan di sini bahawa tanggungjawab setiap pelajar ialah belajar, dengan sepenuh jiwa dan raga. Walau bagaimanapun, pelajar digalakkan untuk bergiat aktif dalam aktiviti kokurikulum yang disertai. Institusi sekolah merupakan tempat untuk mendidik dan melatih pelajar  menjadi insan yang berguna kepada keluarga, masyarakat, agama, bangsa dan negara kelak. Di peringkat sekolah, pelajar boleh memberikan sumbangan  dalam bentuk perkhidmatan seperti menjadi Pengawas Sekolah,  Pengawas Pusat Sumber, Pengawas Koperasi, Pengawas Sukan, berkhidmat dalam Skuad Jebat, Sidang Redaksi dan sebagainya.  Setiap pelajar harus mempunyai ‘rasa kepunyaan'  atau "the sense of belonging" terhadap sekolah. Berkhidmat kepada sekolah dengan penuh keihklasan tanpa memikirkan upah atau ganjaran.  Setiap pelajar seharusnya menanyakan soalan ‘apakah sumbangan aku  kepada sekolah?’  dan bukannya ‘apakah sumbangan sekolah kepada aku?’

            Pelajar bermasalah di sekolah terdiri daripada dua golongan.  Golongan pertama yang datang dari kelas-kelas lemah dan melawan guru  secara terang-terangan, manakala golongan kedua ialah golongan pelajar  cemerlang yang   berasa diri mereka betul, hebat dan penegak keadilan, tetapi dalam masa yang sama,  bertindak dengan cara yang paling tidak bermaruah,  keji serta sanggup menyusahkan semua orang, bak kata pepatah, dihujani kering, dijemur basah. Lebih mengecewakan, mereka ini langsung tidak pernah mempunyai perasaan bersalah kerana telah menyusahkan banyak pihak.   Prinsip 'matlamat menghalalkan cara' menjadi pegangan.  Mereka inilah yang akan menjadi pemimpin penjenayah kolar putih pada masa akan datang. Gerangan siapakah yang bersalah?  Adakah salah ibu mengandung?  Atau salah asuhan? Atau  telah gagal sistem pendidikan kita pada hari ini?   Renung-renungkanlah…

             Izharnya, apa-apa yang berlaku telah pun berlalu, menjadi  iktibar kepada saya supaya lebih berhati-hati pada masa hadapan, agar pisang tidak  berbuah dua kali… dan  yang pastinya…gar-gar kata gelegar, rasuk juga yang menahannya.


                                                                           Catatan (ii)


             Guru ibarat lilin, membakar diri menerangi kegelapan. Itulah kias ibarat yang sering kedengaran dan disinonimkan dengan  tugas dan tanggungjawab seorang insan yang bergelar guru. Tugas guru amat mulia,  seiring  dan senada dengan niat yang paling suci dan ikhlas yang tersemat di kalbu mereka. Segala ilmu dicurahkan tanpa syarat. Memberikan  yang terbaik kepada anak-anak didik  demi kecemerlangan mereka, jauh sekali untuk menyusahkan mereka.  Sewajarnya jugalah pelajar menerima ilmu daripada guru dengan hati yang terbuka dan ikhlas tanpa sebarang rungutan demi kecemerlangan diri.

           Apa-apa jua tindakan atau perbuatan yang dilakukan tanpa keikhlasan hanya  mengundang lelah, dan pastinya tidak akan membuahkan hasil kerana tidak diredhai oleh-Nya, begitu juga dengan 'aktiviti belajar'. Jika seseorang pelajar menerima tanggungjawab dan amanah guru tanpa berbelah bahagi, nescaya, kejayaan bakal menjadi miliknya, sebaliknya sekiranya pelajar belajar tanpa keikhlasan dan mulut sentiasa merungut, nescaya sia-sia sajalah segala usaha  yang telah dibuat, bak kata pepatah,  arang habis, besi binasa, apatah lagi berbicara sesedap kata, menunding jari kepada guru sebagai musabab diri terkepung dengan "stress", walhal diri sendiri tidak bijak merancang dan menguruskan masa dengan baik.....Wahai anak didikku, janganlah bersikap seperti 'bangau oh bangau.'..... menyalahkan orang lain  dan persekitaran kerana tiada keupayaan diri sendiri.....Percayalah....hanya azam, tekad, usaha gigih dan keikhlasan diri serta tawakal yang mampu menjana kecemerlangan dirimu.....bukan  yang lain....!!!

             Akhir kalam, catatan yang tersurat ini bukan bertujuan untuk mencela atau menempelak, jauh sekali bernada sinis, tetapi sekadar menyampaikan pesan kepada yang berhak, agar dirimu tidak tersasar dari landasan, dalam usaha  menebas belukar cabaran dan meniti batas kecekalan demi menawan puncak kecemerlangan.....wallahhualam....


Salam keikhlasan,
Pemilik Kalam....’10
    




No comments:

Post a Comment