TUAI PADI ANTARA MASAK, ESOK JANGAN LAYU-LAYUAN, INTAI KAMI ANTARA NAMPAK, ESOK JANGAN RINDU-RINDUAN...

Thursday, December 29, 2016

Susahnya Menjaga Ikhlas


Bismillah...


         Saya pernah mendengar satu kuliah subuh yang bertajuk "Susahnya Menjaga Ikhlas" oleh Ustaz Hafiz (IKSIM).  Menurut beliau, ramai dalam kalangan kita sentiasa merungut semasa melakukan kerja seharian kita, bersedekah atau sebagainya.  Apa-apa sahaja perbuatan kita yang kita lakukan kemudian kita rungutkan, maka hilanglah segala keikhlasan tersebut, maka sia-sialah juga pekerjaan kita itu kerana tiada pahala yang kita peroleh.  Suka saya mengaitkan situasi tersebut dengan pekerjaan guru kerana saya sendiri seorang guru.  Ada guru-guru yang merungut dan membebel apabila diberi tugasan atau tanggungjawab dalam sesuatu program atau majlis. 

      Ada juga guru-guru yang merungut dan membebel apabila menerima jadual 'relief' atau ganti.  Mereka siap mempertikaikan kenapa guru yang tidak hadir itu 'tidak hadir' dan mereka pula yang terpaksa menggantikan guru tersebut.  Dek terpaksa, mereka masuk juga ke kelas ganti atau melakukan juga kerja yang diamanahkan, tetapi mulut mereka bising merungut dan membebel. Di sinilah wujud perbuatan sia-sia kerana mereka melakukan kerja tersebut tanpa keikhlasan. Pahala tercicir, dosa pula yang dapat. Pada saya, kenapa guru yang sama tidak hadir setiap minggu dan kenapa begitu senang mereka mengambil 'mc', pasti ada sebab musababnya.  Kalaupun guru tersebut menipu, itu urusan mereka dengan Allah.  Biar Allah sahaja yang menghukum mereka nanti. Kita yang menerima 'relief' seharusnya masuk sahaja ke kelas ganti kerana itu tanggungjawab kita.  

      Keadaan yang sama apabila kita membantu  orang atau bersedekah.  Andai kata kita melakukannya tanpa sifat ikhlas dan redha, maka sia-sialah sahaja kebaikan kita itu. Contohnya, apabila kita membantu atau memberikan sesuatu kepada seseorang dan orang itu tidak mengucapkan ucapan terima kasih kepada kita sebagai balasannya, maka terdetiklah di dalam hati kita ayat sebegini. "Sombongnya dia, dah dibantu atau diberi sesuatu, langsung tak ucap terima kasih."  Dalam keadaan ini, pemberian atau pertolongan kita sudah dianggap tidak ikhlas, maka sia-sia sahajalah pertolongan atau pemberian kita itu. 

     Akhir kalam, jagalah hati dan mulut kita agar segala perbuatan kita tidak sia-sia di sisi Allah.  Andai kata terkeluar juga dari mulut kita rungutan atau bebelan tanpa kita sedari, cepat-cepatlah beristighfar. Semoga kita sentiasa menjaga niat dan keikhlasan kita agar kita memperoleh pahala dalam setiap perbuatan atau pekerjaan kita.  Segala yang saya kongsikan ini diharap dapat menjadi pengajaran kepada saya dan para pembaca sekelian agar kita sama-sama sentiasa memuhasabah diri kita.

No comments:

Post a Comment