TUAI PADI ANTARA MASAK, ESOK JANGAN LAYU-LAYUAN, INTAI KAMI ANTARA NAMPAK, ESOK JANGAN RINDU-RINDUAN...
Showing posts with label My Bicara. Show all posts
Showing posts with label My Bicara. Show all posts

Wednesday, October 18, 2023

Throwback : Samseng Jalanankah?

 


Bismillah...

Pagi itu April 2022 (saya lupa tarikh yang tepat), setelah beberapa minggu saya berpindah balik ke Kota Bharu, saya memandu seperti biasa ke sekolah. Setiap hari, saya keluar dari rumah seawal 6.15 pagi untuk ke sekolah saya di SMK Machang.  Selama beberapa minggu itu, saya memang terbiasa bergerak awal ke sekolah kerana risau jalan jem jika terlewat, padahal saya sampai ke sekolah lebih kurang jam 6.50 -6.55 pagi.  Pagi tu saya terlewat sedikit menyebabkan saya memandu agak laju dan memotong beberapa buah kereta di sepanjang jalan Ketereh - Kuala Krai. Saya sedar ada ketikanya saya memotong secara berbahaya. 

Sepanjang pemanduan saya, tiba-tiba ada sebuah kereta berwarna putih memotong kereta saya secara berbahaya juga dan menghalang kereta saya dengan cara memandu terlalu perlahan di hadapan saya. Saya berasa hairan dan cuba memotong kereta tersebut kembali tetapi pemandu kereta itu memandu ke tengah  jalan dan cuba menghalang kereta saya daripada memotong keretanya. Saya agak panik dengan keadaan tersebut.  Kereta di belakang saya mula membunyikan hon dan cuba memotong kereta saya dan kereta putih tersebut. Kereta putih itu membenarkan kereta-kereta di belakang saya memotong kami tapi apabila saya  cuba memotong kereta putih itu sekali lagi, kereta itu bergerak ke tengah dan terus bergerak perlahan. Saya semakin panik  dan takut. Dalam fikiran saya, saya tertanya-tanya, apakah pemandu kereta itu samseng jalanan. 

Tiba-tiba pemandu kereta putih tersebut memberi isyarat tangan supaya saya memberhentikan kereta saya di bahu jalan. Oleh sebab saya terlalu takut, saya terpaksa akur. Saya pun memberhentikan kereta saya di bahu jalan dan pemandu kereta itu juga memberhentikan keretanya di hadapan kereta saya. Dalam keadaan saya yang sangat takut, seorang lelaki dalam usia 40-an dengan wajah yang bengis dan berambut panjang mencecah bahu keluar dari kereta itu sambil melihat-lihat belakang keretanya kemudian dia berjalan ke arah kereta saya. Saya berasa sangat takut jika lelaki itu mahu merompak saya. Kebetulan pada waktu itu, keadaan masih gelap. Tidak ada sesiapa pun di situ untuk saya meminta tolong. Lelaki itu terus mengetuk tingkap kereta saya bertalu-talu dan menyuruh saya menurunkan cermin tingkap kereta saya dengan nada suara yang tinggi.  Saya mula menangis sambil menurunkan cermin kereta. Saya sangat-sangat panik dan takut. Tidak pernah dalam hidup saya menghadapi keadaan seperti itu.

      "Akak  sedarke akak potong kereta saya tadi secara berbahaya?" Tanya lelaki itu dengan suara yang agak tinggi dan kasar.

      " Maaf. dik akak tak perasan", jawab saya sambil menangis.

      "Mana boleh tak perasan. Kereta saya kemek kerana berlanggar dan bergesel dengan kereta akak", sambungnya lagi.

      "Maafkan akak Dik. Adik bagi no hp adik, nanti akak bayar. Maaf sangat-sangat Dik."

       Tiba-tiba suara lelaki itu sedikit kendur.

      "Akak nak pergi mana ni bawa kereta laju-lau dan memotong secara berbahaya ni.?"   

      "Maafkan akak dik, akak nak pergi sekolah di SMK Machang. Akak dah lewat ni." Saya masih menangis. 

      "Akak minta maaf sangat-sangat Dik. Adik bagi no hp adik. Akak janji akan bayar kerosakan kereta adik."

      "Tak apalah kak, saya maafkan akak dan akak tak payah bayar-apa-apa sebab saya tengok kereta saya tu taklah teruk pun. Tapi saya nasihatkan akak, jangan buat macam ni lagi. Bahaya kak. Dalam kereta  saya tu ada anak saya, kalau accident, macam mana? Suara lelaki itu semakin lembut tapi masih bernada tegas.

   "Maafkan akak Dik, akak tahu akak salah. Bagi je no hp adik, akak akan bayar." Saya masih menangis.

    "Tak apa, saya dah maafkan akak.  Dah, akak jangan nangis. Sekarang akak boleh gerak pergi sekolah. Bawak kereta hati-hati."  

     "Terima kasih Dik. Maafkan akak."    Saya mengesat air mata dan menghidupkan kereta dan lelaki itu mengangguk sambil beredar ke keretanya. Saya menunggu dia bergerak dahulu dan saya mengikutnya dari belakang. Kereta lelaki itu akhirnya membelok ke satu lorong dan hilang dari pandangan saya.

Sepanjang pemanduan saya ke sekolah, saya mengucap syukur yang tak terhingga kepada Allah kerana tiada apa-apa yang buruk berlaku kepada saya.  Dalam pada itu, saya juga menyesal kerana memandu laju serta memotong secara berbahaya. Saya berjanji pada diri saya sendiri bahawa, mulai hari itu, saya tidak akan memotong mana-mana kereta lagi. Biarlah saya terlewat ke sekolah daripada menempuh pengalaman yang menakutkan itu sekali lagi.

Setelah sampai di sekolah, saya keluar dari kereta dan memeriksa kereta saya. Saya berasa pelik kerana tiada kesan kemek atau calar pun pada bahagian bumper dan sekeliling kereta saya. Saya mula berfikir, macam mana lelaki tersebut mengatakan bahawa kereta saya melanggar keretanya semasa saya memotong keretanya, sedangkan saya tidak berasa apa-apa perlanggaran pun, malah tiada apa-apa kesan kemek atau calar pun pada kereta saya. Tak apalah, yang penting saya selamat.

Pengajaran yang saya dapat daripada peristiwa tersebut adalah... jika berlaku apa-apa masalah di jalan raya dan kita sedar memang kita yang bersalah, jangan bersikap ego atau berlagak sombong.  Mintalah maaf berkali-kali dengan wajah yang kesal  kepada pihak yang satu lagi, nescaya lembutlah  hatinya untuk memaafkan kita dan mungkin kita tak perlu bayar apa-apa. Insya-Allah.



Sunday, July 28, 2019

Forgive & Forget


Bismillah....

Dalam kehidupan kita, kita sentiasa diuji dengan pelbagai ujian. Antaranya, kita diuji oleh orang-orang di sekililing kita.  Kita mungkin dikhianati, difitnah, dicerca dan macam-macam lagi. Kesannya, hati kita terluka. Apabila kita cuba mencari penyelesaian, ramai orang di sekeling kita akan menasihati kita agar kita memaafkan orang yang bermasalah dengan kita itu dan melupakan apa-apa sahaja yang pernah dilakukannya kepada kita.. Kata mereka, 'forgive and forget'. Sungguh, memang mudah untuk mengatakannya, namun tidak semudah itu untuk  mengotakannya kerana kita manusia yang lemah dan banyak kekurangan.

Ramai yang berkata, sedangkan Nabi memaafkan umatnya, inikan pula kita. Ya, kita boleh sahaja memaafkan, namun untuk melupakan sesuatu yang telah menyakiti hati kita, kita memerlukan masa. Tidak bermaksud untuk terus berdendam, tetapi biarlah masa yang menentukannya, sampai bila kesakitan itu bisa menghilang kerana hanya masa yang boleh menyembuhkan luka di hati. 'Only time can heal the pain'.  

Memaafkan juga tidak bermakna kita akan bersikap seperti tiada apa-apa pernah berlaku.  Jarakkanlah diri kita dengan mereka sebagai tanda kita berwaspada agar pisang tidak berbuah dua kali, supaya kelemahan kita tidak dijadikan modal oleh mereka untuk mencerca kita sekali lagi pada masa akan datang. Berhati-hatilah agar kita tidak disakiti lagi untuk sekian kalinya.

Adab Kita


Bismillah...

Selagi kita bernama manusia, hidup kita memang terikat dengan adab. Adab kita  dipengaruhi oleh akal kita, manakala akal kita ditentukan oleh iman kita. Orang yang berakal dan beriman semestinya beradab. Namun begitu, orang yang banyak ilmu pengetahuan pun tidak semestinya berakal dan beriman jika adabnya ' ke laut.'  Dalam kehidupan seharian, kita di kelilingi oleh pelbagai jenis manusia yang mempunyai hubungan yang rapat dengan kita. Oleh itu, kita diwajibkan menjaga adab kita dengan orang -orang di sekliling kita.

Antaranya, adab berguru, hormatilah guru. Jangan sesekali biadap dengan mereka yang merupakan sumber ilmu kepada kita  dan mendidik kita di sekolah.  Namun begitu, guru juga janganlah berlagak' dewa'. Bercakaplah secara berhemah dan menggunakan bahasa yang sopan dengan para pelajar. Jangan menggunakan bahasa yang kasar, menengking dan meninggi suara dengan pelajar, kononnya  pelajar sudah maklum akan perangai kita. Siapa tahu,  dalam hati kecil mereka tersemat benci dan dendam yang berpanjangan.

Adab berteman, hormatilah teman. Usah mencerca dan memaki hamun teman di belakang mereka. Usah menyindir teman di hadapan mereka. Bercakaplah secara berhemah juga dengan teman-teman. Bergurau biar ada batasnya, jangan sampai mengaibkan teman. Jaga adab kita jangan sampai kita dipulaukan teman-teman dek sikap kita.

Saya menulis bukan kerana diri saya sempurna.  Saya juga banyak khilaf dengan pelajar-pelajar saya dan teman-teman saya. Segala yang saya tulis adalah atas kesedaran  diri saya sendiri dan sebagai peringatan untuk diri saya sendiri.  Jika bermanfaat kepada para pembaca, saya bersyukur. Nasihat yang baik kita kongsi-kongsikan, semoga Allah merahmati kita semua.



Thursday, April 18, 2019

Alahai Cikgu...




Bismillah...

Pada 10 April 2019 yang lepas, saya ada membuat posting ini dalam group Kami Guru Malaysia.


Salam. Saya guru biasa, bukanlah baik sangat tapi saya nak memberi pendapat. Setiap hari ada sahaja post atau status yang tak puas hati dengan tugas-tugas cikgu di sekolah, contohnya pasal kelas tambahan, pasal relief dan lain-lain. Cikgu-cikgu memberi pendapat hingga kadang-kadang terlihat ketidakikhlasan cikgu-cikgu melalui komen-komen cikgu. Pada pendapat saya, kita sendiri yang memilih bidang ini sebagai kerjaya kita, tiada sesiapa yang memaksa (atau mungkin ibu bapa cikgu-cikgu memaksa), jadi kenapa sikit-sikit kita nak merungut dengan tugas-tugas tambahan dan tugas-tugas sampingan kita di sekolah? Bagitahu kepada anak-anak kita yang nak jadi cikgu, betapa beratnya kerja cikgu ni supaya anak-anak kita tak merungut macam kita nanti. Allah itu maha mengetahui, maha penyayang dan maha adil. Kalau kita tak berkira dan kita ikhlas dalam.pekerjaan kita, pahalalah ganjarannya dan saham yang besar di akhirat kita akan dapat. Kalau kita mengajar anak-anak orang dengan ikhlas, insya-Allah orang pun akan mengajar anak-anak kita dengan ikhlas. Wallahhualam...

Berdasarkan posting saya itu, saya mendapat 1.1K like dan menerima 600 komen. 80% daripada komen tersebut mengecam saya kononnya saya acah-acah baik, siapa saya untuk mempertikaikan keikhlasan mereka dan sebagainya.  Ada juga yang seronok sangat saya dikecam kerana posting saya itu.  Saya hanya tersenyum membaca komen-komen kecaman tersebut.  Sesungguhnya saya tiada masalah pun dikecam oleh manusia atau warga guru  dalam group itu hanya kerana saya memberi pendapat dan nasihat.  Sedangkan ustaz dan alim-ulama pun dikecam oleh netizen kerana menegur masyarakat ke arah kebaikan, apatah lagi saya.  Saya berlapang dada menerima kecaman tersebut. Respon saya hanyalah..."Kasihannya mereka..."  

Thursday, July 5, 2018

Maafkan Umi, Sayang


Bismillah...

Susulan kisah kematian baby Adam yang tragis yang tular di facebook, saya terbaca satu posting tentang tanda-tanda penderaan di pusat jagaan kanak-kanak.  Antaranya ialah anak menangis dan meronta kerana enggan ke pusat jagaan.  Allahu, anak bongsu saya pernah mengalaminya sewaktu dia berumur 4 tahun.  Sewaktu anak bongsu saya berumur 1-3 tahun, saya menggunakan khidmat pembantu rumah untuk menjaga anak-anak saya di rumah.  Pembantu rumah saya pada ketika itu bernama Yani dan merupakan seorang wanita Indonesia berumur dalam lingkungan 27 tahun dan mempunyai seorang anak perempuan yang berumur 6 tahun.   Alhamdulillah, pembantu rumah saya ini sangat baik, berperwatakan lembut dan bersifat penyayang terhadap anak-anak saya, mungkin kerana dia sendiri merupakan seorang ibu.  Pembantu rumah saya ini telah bekerja selama tiga tahun di rumah saya dan berjanji akan menyambung khidmatnya lagi di rumah saya.  Saya berasa senang hati mendengar pengakuannya dan mengalu-alukannya, lebih-lebih lagi anak-anak  juga memang menyayanginya.

Kita sebagai manusia hanya mampu merancang, namun Allah jua yang menentukannya.  Sebelum sempat saya memperbaharui permit Yani untuk tahun keempat, pembantu rumah saya  menerima khabar buruk dari kampung bahawa suaminya sedang sakit tenat dan sedang terlantar di hospital.  Keluarganya meminta dia pulang untuk menemui dan menjaga suaminya. Yani menjadi serba salah kerana dia telah berjanji dengan saya untuk meneruskan khidmatnya di rumah saya.  Dalam masa yang sama, dia menangis sepanjang masa mengenangkan suaminya.  Saya seorang majikan yang masih berhati perut.  Saya faham keadaannya lalu saya memujuknya agar pulang sahaja ke kampung walaupun hati saya sendiri sangat berat untuk melepaskannya, anak-anak saya apatah lagi.  Mereka menangis kerana tidak mahu berpisah dengan Yani.  Dalam keadaan serba salah, Yani akhirnya pulang juga ke pangkuan suami dan keluarganya.

Sejak itu juga, saya tidak lagi menggunakan khidmat pembantu rumah  kerana anak-anak saya sudah besar dan saya mahu mendidik mereka berdikari. Saya juga sebenarnya takut jika tidak mendapat pembantu rumah sebaik Yani. Sebelum saya menggunakan khidmat Yani, saya telah menggunakan khidmat beberapa orang pembantu rumah warga asing tanpa permit yang datang ke rumah saya pada waktu pagi dan pulang pada waktu petang serta khidmat seorang pembantu rumah berlesen dari Medan, namun dia hanya bekerja dengan saya selama empat bulan.  Saya terpaksa menghantarnya pulang kerana tidak tahan akan sikap dan perangainya terhadap saya dan anak-anak saya.  Saya sudah serik untuk menggunakan khidmat pembantu rumah  selepasnya.  Walaupun begitu, saya bersyukur kerana Allah telah menghantar Yani kepada kami.

Setelah kepulangan Yani ke kampungnya, saya menghantar anak bongsu saya yang berumur 4 tahun ke pusat jagaan kanak-kanak berdekatan dengan rumah saya. Anak-anak saya yang lain berumur 14, 12, 10 dan 7 tahun.  Mereka  menguruskan diri sendiri di rumah semasa saya bekerja. Anak saya yang sulong menguruskan adik-adiknya terutamanya yang berumur 7 tahun. Selama beberapa bulan saya menghantar anak bongsu saya ke pusat jagaan kanak-kanak itu, tidak ada apa-apa masalah yang berlaku. Segalanya berjalan lancar.  Dia mudah membiasakan diri di pusat jagaan itu walaupun dia menangis juga pada minggu pertama saya menghantarnya ke situ.  Pada saya, itu merupakan perkara biasa bagi mana-mana kanak-kanak sekali pun.

Beberapa  bulan kemudian, anak bongsu saya mula menunjukkan perubahan tingkah laku yang sangat merisaukan saya.  Dia mula menangis dan meronta kerana enggan ke pusat jagaan itu.  Dia akan bersembunyi di bawah katil apabila saya mahu menghantarnya pada setiap pagi. Saya terpaksa menariknya keluar dari bawah katil. Jika saya berjaya membawanya masuk ke dalam kereta, dia akan duduk di bawah kerusi hadapan di dalam kereta dan akan memegang tali pinggang keledar seerat-eratnya kerana enggan keluar dari kereta sambil menangis  semahu-mahunya.  Jika suami saya mahu menghantarnya dengan motorsikal pula, dia tidak mahu naik ke atas motosikal.  Begitulah keadaannya selama beberapa minggu.  Setiap hari pasti ada sahaja drama air mata olehnya. Saya dan suami sangat risau akan tingkah lakunya namun kami terlalu naif untuk memahami perubahan tingkah lakunya. Saya selalu juga memujuk dan bertanya kepadanya sebab dia menangis dan tidak mahu ke pusat jagaan itu, namun dia hanya diam membisu menyebabkan saya selalu juga memarahinya dan beranggapan dia mengada-ngada. Allahu, kejamnya saya dan suami. Apabila keadaan itu berlanjutan, saya semakin risau.  

Pada suatu hari, semasa saya sedang menonton tv bersama anak bongsu saya itu, dia tanpa sengaja  bercerita kepada saya bahawa dia selalu dipukul oleh kakak X di pusat jagaan itu.  Ya Allah, berderau darah saya mendengar pengakuan anak bongsu saya itu.  Saya sangat terkejut tetapi dalam masa yang sama, saya terfikir, adakah anak saya sengaja mereka-reka cerita itu kerana dia tidak mahu ke pusat jagaan itu?  Hati saya berdetik, masakan anak kecil itu berbohong.  Saya mula menyoalnya lebih lanjut dan memujuknya dengan lembut agar dia menceritakan segala-galanya kepada saya. Menurut anak saya lagi, X selalu memarahinya jika dia tidak mahu tidur pada waktu tengah hari dan jika  dia masih tidak tidur dan berbisik-bisik dengan kawannya, X akan menampar pipinya berkali-kali. Rambut panjangnya juga selalu ditarik-tarik, kepalanya ditujah-tujah dan punggungnya selalu dicubit dan dipukul.  Ya Allah, panas hati saya mendengar pengakuan anak bongsu saya itu.  Walaupun begitu, tiada kesan lebam pada badan anak saya itu yang saya lihat semasa saya memandikannya setiap hari. Saya memberitahu hal itu kepada suami saya.  Melalui penceritaan anak saya, saya akhirnya dapat mengenal pasti pengasuh itu.  Dia merupakan pengasuh baharu di pusat jagaan itu dan merupakan remaja lepasan SPM dan baru berumur dalam lingkungan 18-19 tahun pada ketika itu. Selama ini semasa saya menghantar anak saya, dialah yang menyambut anak saya.  Rupa-rupanya selama ini dia hanya berlakon di hadapan saya dengan cara memperlihatkan sifat penyayangnya terhadap anak saya. Dia akan memeluk dan mengusap-ngusap rambut anak saya di hadapan saya.

Keesokan harinya, saya pergi ke pusat jagaan itu dan bertemu dengan X lalu menyoal siasatnya.  Dia tidak mengaku akan perbuatannya.  Saya juga menyoal siasat tukang masak di situ tetapi dia juga bersubahat dan menafikan  bahawa X mendera anak saya.  Saya akhirnya menelefon pemilik pusat jagaan tersebut dan menceritakan segala-galanya  yang diceritakan oleh anak saya.  Alangkah geramnya  hati saya apabila  pemilik pusat jagaan itu menuduh anak saya mereka-reka cerita dan mengatakan saya terlalu memanjakan anak saya.  Saya mengugut untuk mengeluarkan anak saya dari tempat itu dan dia mengalu-alukannya.  Panas hati saya mengenangkan sikapnya tetapi saya lebih bodoh dan kejam kerana masih menghantar anak saya di situ.  Sebenarnya saya tiada pilihan lain.  Saya pernah bercadang untuk menghantar anak saya ke satu lagi pusat jagaan kanak-kanak berdekatan dengan rumah saya  tetapi pusat jagaan itu terlalu padat dan persekitarannya agak kotor.  Jadi, dengan hati yang berat saya terpaksa juga terus menghantar anak saya ke pusat jagaan kanak-kanak yang lama.

Rakan sekerja saya ada memberitahu saya bahawa anaknya yang transit di situ selalu juga bercerita kepadanya bahawa ada seorang pengasuh di situ yang bermuka-muka.  Di hadapan ibu bapa, dia menunjukkan sikap penyayang tetapi di belakang ibu bapa, dia akan sentiasa menengking, memukul dan mencubit kanak-kanak di situ dan orang itu ialah X.  Berdasarkan cerita rakan sekerja saya itu, saya bertambah yakin bahawa anak saya berkata benar.

Beberapa minggu selepas itu, semasa saya menghantar anak saya  di situ, berlaku sedikit kekecohan di pusat itu.  Saya akhirnya berjaya mendapat berita bahawa X sudah dihalau oleh pemilik pusat jagaan itu pada malam tadi.  Rupa-rupanya beberapa orang ibu bapa kanak-kanak lain datang menyerbu dan menyerang X di hadapan pemilik pusat jagaan itu sendiri kerana mendera anak-anak mereka.  Sah, anak saya berkata benar dan kanak-kanak lain juga turut didera oleh X! Selepas pulang dari kerja, saya berpeluang bertemu dengan tukang masak di pusat jagaan tersebut. Dia bercerita kepada saya tentang perangai dan sikap panas baran X. Saya bertanya kepadanya, kenapa dahulu semasa saya bertanya kepadanya, dia menafikan segala tindakan X? Dia sekadar menjawab bahawa dia terpaksa berbuat demikian kerana dia sendiri takut akan X. Allahhuakhbar, sampai hatinya bersubahat dengan X! Sejak X diberhentikan dan dihalau serta merta oleh pemilik pusat jagaan itu, anak saya kembali ceria dan mahu ke pusat jagaan tersebut tanpa dipaksa-paksa.  Tempat X digantikan oleh pengasuh baharu yang lebih baik.

Anak bongsu saya itu kini sudah di tingkatan dua. Walaupun peristiwa itu sudah lama berlaku, saya masih rasa bersalah.  Kejamnya saya kerana saya masih tergamak menghantar anak saya ke pusat jagaan itu pada waktu itu walaupun saya tahu anak saya telah didera fizikal dan emosi. Namun begitu, syukurlah anak saya tidak mengalami trauma yang berpanjangan.  Maafkan Umi, Sayang... atas kekhilafan dan kebodohan diri Umi dahulu.








Di Syurgalah Tempatmu Wahai Adam Rayqal





Bismillah...

Risau dan takut.  Begitulah perasaan saya ketika mula terbaca berita tentang kehilangan baby Adam dari rumah pengasuh di facebook.  Hanya doa yang mampu dipanjatkan agar baby Adam dijumpai dengan selamat oleh ibu bapanya. Namun  begitu,  pagi tadi apabila saya terbaca berita terbaharu bahawa baby Adam dilarikan oleh lelaki yang tidak dikenali, saya hanya mampu beristighfar berkali-kali dan terfikir-fikir bagaimana si kecil itu diculik dari rumah pengasuh.  Di sekolah, barulah saya mengetahui cerita sebenar bahawa baby Adam dijumpai kaku oleh pihak polis di dalam sebuah beg pakaian dan disejukbekukan oleh pengasuhnya sendiri di dalam peti sejuk. Rupa-rupanya pengasuhnya membuat laporan palsu tentang kehilangan baby Adam. Hati saya terasa bagai dihiris-hiris walaupun baby Adam bukan sesiapa dengan saya. Hanya air mata dan doa mengiringi arwah. Sedih dan pilu bertambah apabila melihat gambar-gambar jenazah baby Adam dalam pelukan ibu bapanya.  Hancur luluh hati si ibu dan bapa hanya Allah jua yang maha mengetahui. Ada andaian dibuat bahawa baby Adam mati akibat tersedak susu dan si pengasuh panik lalu menyembunyikan arwah di dalam peti sejuk.  Terbaharu, hasil bedah siasat membuktikan bahawa baby Adam mati akibat hentakan kuat di kepala dan menyebabkan tempurung kepalanya retak.  Allahu, kejamnya kamu wahai pengasuh baby Adam.  Semoga kamu mendapat hukuman yang setimpal di dunia dan di akhirat.

Kisah baby Adam menjadi tular di facebook dan banyaklah status dimuat naik oleh netizen. Ramai yang bersimpati dan ramai juga yang mengecam si ibu kerana sanggup meninggalkan baby Adam di rumah pengasuh dan lebih mementingkan kerjaya.  Ramai juga yang memuat naik status bahawa mereka berbangga menjadi suri rumah dan menolak tawaran kerja yang bagus demi menjaga anak  dengan tangan sendiri dan melihat anak membesar di depan mata kerana tidak sanggup anak mereka menjadi mangsa seperti baby Adam. Status mereka bersifat angkuh dan takbur. Saya sendiri sedih membaca status  mereka.  

Wahai netizen, tidakkah kamu tahu bahawa ajal maut itu di tangan Allah?  Cara kematian baby Adam hanyalah asbab kematiannya.  Jangan sesekali berfikir bahawa si ibu dengan senang hati meningalkan anak di tangan orang yang tidak dikenali.  Mereka tiada pilihan. Si ibu tidak bersalah. Tidak mungkin mereka mahu menyusahkan ibu bapa mereka untuk menjaga anak-anak mereka.  Di tempat kerja pula, mana mungkin mereka membawa anak sesuka hati.  Begitu jugalah dengan keadaan saya semasa anak-anak masih kecil.  Di tempat kerja, hati sentiasa risau mengenangkan anak-anak. Sebab itulah sehabis waktu bekerja, saya terus pulang untuk mengambil anak di pusat jagaan kanak-kanak.

Ada netizen yang mengatakan bahawa mereka  hanya memberikan pendapat mereka sendiri berkaitan hal ini.  Betul, anda memberikan pendapat tetapi janganlah terlalu lancang menulis hingga boleh melukakan hati ibu mangsa atau mereka yang bekerja dan terpaksa meninggalkan  anak-anak di bawah jagaan pengasuh.  Status mereka ini juga memperlihatkan seolah-olah mereka mampu mengawal takdir.  Ketahuilah wahai netizen, ada juga anak-anak yang meninggal dunia di bawah jagaan ibu bapa mereka sendiri. Itulah yang dinamakan takdir. 

Kalau hati kita hancur dengan cara kematian baby Adam. hati ibu bapa baby Adam tentunya lebih hancur.  Cukup-cukuplah memuat naik status yang kurang cerdik.  Diam dan mendoakan itu lebih baik.  Takziah kepada ibu bapa dan keluarga baby Adam.  Damailah kamu di syurga, wahai baby Adam.

Friday, May 11, 2018

Malaysia Memilih : PRU 14 2018




Assalamualaikum..

Pada 9 Mei 2018 bersamaan hari Rabu, rakyat Malaysia telah menjalankan tanggungjawab sebagai warganegara apabila mereka beramai-ramai keluar mengundi bagi memilih kerajaan baharu yang akan memerintah Malaysia dalam tempoh 5 tahun akan datang. 10 Mei 2018  merupakan hari bersejarah bagi Malaysia kerana sebuah kerajaan baharu  iaitu Pakatan Harapan telah dibentuk setelah berjaya menyingkirkan kerajaan lama yang telah memerintah negara selama 61 tahun. Tsunami rakyat telah muncul dan menumbangkan kerajaan Barisan Nasional yang korup.  Kesengsaraan rakyat, penindasan, kemiskinan dan ketamakan para pemimpin Barisan Nasional serta ketidakpedulian mereka  terhadap nasib rakyat menyebabkan rakyat nekad untuk menumbangkan mereka.  Proses peralihan kuasa telah pun berjalan malam tadi dalam keadaan yang sangat aman.  Tahniah kepada rakyat Malaysia kerana sentiasa menjaga keamanan dan keharmonian negara.  Tahniah juga kepada kerajaan Barisan Nasional kerana akur dan menghormati keputusan rakyat.  Terima kasih juga atas khidmat dan bakti sebelum ini.

Terlakar juga dalam sejarah apabila keputusan PRU 14 sangat lambat diumumkan oleh SPR dengan pelbagai alasan yang tidak masuk akal.  Keputusan sepenuhnya hanya diumumkan sehingga jam 3.00 pagi.  Sungguh, hari ini dalam sejarah!  Menjadi sejarah juga apabila Tun Mahathir bin Mohamed, 93 tahun menjadi Perdana Menteri Malaysia kali kedua serta merupakan PM yang tertua di dunia.  Tahniah Tun!  Semoga Tun dan team kabinet baharu dapat  memulihkan negara seperti yang diharapkan oleh rakyat.

Proses angkat sumpah Tun Mahathir untuk menjadi PM Malaysia di hadapan YDPA mengalami sedikit kelewatan oleh sebab-sebab yang munasabah.  Alangkah sedihnya hati ini apabila membaca komen-komen penghinaan terhadap YDPA oleh manusia-manusia yang tidak cerdik, konon-kononnya YDPA sengaja melambat-lambatkan proses tersebut kerana bersekongkol dengan DS Najib dan tidak mahu melantik Tun sebagai PM.  Keji dan dangkal sungguh pemikiran mereka.  Hanya rakyat yang cerdik yang bisa memahami protokol pelantikan tersebut.  

CnP :

"Negara tercinta sudah tidak diperintah BN lagi.  Seperti kita merdeka sekali lagi.  Buat Kelantan, masih damai Serambi Mekahnya.  Buat Terengganu, moga bersinar Darul Imannya.  Saya syukuri semua ini.  Ya, buat PH yang mengasak lalu menang bergaya.  Tahniah kalian semuanya.  Buat BN yang direhatkan rakyat, terima kasih atas bakti yang baik sebelum ini.

Sungguh, menuju hari ini, PRU kali ini  paling emosi dan menguji.  Hakikatnya banyak hati tercalar tercarik rasa.  Ada ukhwah yang retak, persaudaraan yang dingin dan akhlak yang runtuh berkeping-keping dek perjuangan membangunkan negara.  Lalu, selepas hari ini, marilah kita pilih mencantumkan kembali.  Rawat dan baiki. Jaga kata-kata kita semua. Walaupun tidak mudah, namun kita cuba.  Ramadhan pun sudah hampir benar.  Kita mahu masuk ke madrasahnya dengan hati yang lapang dan sejahtera.  Atas segalanya, teruskan perjuangan dan perjalanan.  Fastabiqul khairat.  Kita hanya mahukan redha Allah pada helaan nafas yang berbaki.  Suhanallah"

(Saya tertarik dengan bait-bait yat yang digunakan oleh penulis, sebab itulah saya menyalinnya). 

Sunday, May 14, 2017

Hadiah Hari Lahir 3 : Jambangan Misteri




Bersama dengan Pn. Maimon, Cikgu Zaiton dan staf bukan guru


Bismillah...

         Pada setiap tahun, saya akan mengadakan satu jamuan kecil di bilik guru tingkatan enam bagi meraikan sambutan hari lahir saya yang jatuh pada 5 Mac bersama  dengan rakan-rakan guru. Pada hari tersebut, saya telah membuat tiga biji kek coklat moist dan sebiji cheese cake.  Saya menempah roti jala, bee hun goreng, kuih talam dan kuih koci untuk majlis itu. Sebiji kek coklat mosit dan sebiji cheese cake untuk rakan-rakan guru di bilik guru tingkatan enam, sebiji kek coklat moist untuk staf di pejabat dan para pentadbir serta sebiji kek coklat moist khusus untuk pelajar-pelajar saya, U6SS1 berserta roti jala dan bee hun goreng.


        Seperti tahun-tahun sebelum ini, saya sentiasa dikejutkan dengan 'surprised birthday cake' oleh pelajar-pelajar saya, padahal saya yang ingin mengejutkan mereka dengan kek saya dan makanan yang lain.  Thanks guys, Cikgu betul-betul terkejut apabila Afif yang konon-kononnya mahu ke tandas, tiba-tiba muncul di pintu kelas dengan sebiji kek dan nyanyian 'Happy Birthday' daripada seluruh kelas. Cikgu tergamam seketika.  Pandai awak semua berlakon ya. Love you all so much, guys! Sehari sebelum tarikh tersebut, beberapa orang bekas pelajar saya (ex Sidang Redaksi 2016) iaitu Faisal, Anwar, Hidayah, Tasya, WNS, Loshene, Shanta, Thashvinia dan Nur Fazreen Ezaty) turut mengejutkan saya dengan 'surprised birthday cake' pada jamuan akhir sidang redaksi yang diadakan di Restoran Thai Steam Boat di Ampang Waterfront.  Thanks guys! 





Surprised Birthday Cake di Restoran Thai Steam Boat




Surprised Birthday Cake oleh pelajar-pelajar U6SS1 2017













Pelajar-pelajar saya yang sporting







Saya dan Eka dengan hadiah misteri


Kad  ucapan daripada pelajar misteri


          Pada hari itu, tanpa diduga, saya menerima jambangan besar coklat ferero rochelle, sebiji belon dan jambangan  kecil coklat keping.  Saya benar-benar terkejut dengan hadiah misteri itu.  Hadiah itu dihantar oleh bekas pelajar saya, Eka (ex L6SS1 STPM 2014). Beliau menjalankan bisness penghantaran jambangan coklat. Jambangan kecil coklat keping itu daripada beliau sendiri.  Saya bertanya kepada Eka, siapakah gerangan oang yang menghadiahkan hadiah itu kepada saya. Eka meminta maaf daripada saya kerana tidak dapat memberitahu saya kerana dia sudah berjanji  dengan orang tersebut bahawa perkara itu adalah rahsia.  Eka hanya menjelaskan bahawa orang itu ialah pelajar saya pada tahun lepas (ex U6SS1 2016).  Bersama-sama jambangan besar ferore rochelle itu, terselit sekeping kad yang bertaip kemas.  Siapa pemberinya tidak dinyatakan.  Setelah saya membaca isi kandungan kad itu, saya yakin pelajar tesebut ialah bekas pelajar saya pada tahun lepas, seperti yang dinyatakan oleh Eka.  Saya tidak dapat berfikir siapakah gerangan pelajar saya itu, lalu saya memujuk Eka supaya berterus terang.  Sekali lagi Eka meminta maaf kerana dia sudah pun berjanji dengan orang tersebut bahawa perkara itu adalah rahsia.  Saya akhirnya akur dengan prisip yang dipegang oleh Eka dan memuji Eka kerana teguh menyimpan rahsia pelanggannya.  

       Setelah pulang ke rumah, saya 'menwhassap' setiap bekas pelajar saya, bertanya tentang hadiah misteri itu, namun seorang pun tidak mengaku yang merekalah yang memberi hadiah tersebut kepada saya dengan alasan,  manalah mereka mampu untuk memberi hadiah semahal itu kepada saya.  Saya jadi bingung memikirkannya dan hadiah misteri itu masih menjadi teka-teka dalam hidup saya hingga kini.  Adik-beradik saya dan beberapa orang rakan saya berpendapat bahawa jambangan itu daripada suami saya. Saya menolak pendapat mereka kerana saya kenal suami saya.  Tambahan pula, isi kandungan kad itu berkisah tentang saya dan pelajar saya.  Jadi mustahil suami saya tahu cerita yang berlaku di dalam kelas saya pada tahun lepas. Walau siapa pun pemberi hadiah misteri itu, cikgu mengucapkan jutaan terima kasih kepada pemberinya.  Cikgu sangat gembira menerimanya dan sangat menghargainya. Terima kasih sekali lagi.

Thursday, May 4, 2017

Cikgu Vs Pendidik

         


      Malam itu, sebelum tidur, jari-jemari mengescroll status rakan-rakan di "newsfeed"...dan tiba-tiba mata tertangkap satu posting dari seorang bekas pelajar. Sungguh emosional bunyi statusnya dan agak kasar bahasanya.  Oleh sebab saya mengenali dirinya sejak dulu  (walaupun mungkin terbatas dari luaran sahaja), hati berasa kesal.   Kenapa mesti berbahasa kasar begitu?  Beliau seorang guru malah pernah berguru dengan saya selama dua tahun.  Sangat tidak molek seorang guru berbahasa kasar dalam khalayak / media sosial. Apa pun alasannya,  niat tidak menghalalkan cara. Paling penting, beliau seorang guru dan menjadi ikutan anak-anak muridnya. Tentu sahaja ramai anak-anak muridnya menjadi rakan fbnya.  Saya sebagai guru bahasa Melayu, yang pernah mengajarnya tentang ilmu sosiolinguistk, iaitu tentang budaya berbahasa dalam kalangan masyarakat Malaysia, sudah pasti saya terpanggil untuk menegurnya demi menjalankan tanggungjawab sosial.





Saya melakukannya dengan mengirim pesanan di ruangan mesengger (private message) agar hal ini menjadi rahsia antara kami berdua sahaja.  Saya akhirnya mengambil keputusan untuk memasukkannya dalam entri saya  ini untuk memberi pengajaran kepada orang lain.  Saya rasa saya tidak mengaibkan beliau  kerana saya hanya meletakkan keratan tulisannnya sahaja tanpa  namanya.





Beberapa minit kemudian, beliau membalas  pesanan saya.



Diikuti postingnya di facebook. Wah, marah betul beliau terhadap saya! 


       Tak apalah, saya tak marah  dan tak berkecil hati pun.  Saya menganggap beliau masih tidak matang kerana tidak dapat mengawal emosi dan amarahnya apabila ditegur.  Sekali lagi saya ingin tegaskan di sini, apa pun alasannya, niat tidak menghalalkan cara. Apakah beliau fikir semua orang yang terbaca postingnya akan bertanya sebab beliau berbahasa kasar begitu?  Mungkin ada, tetapi sekadar seorang dua sahaja.  Pada yang lain, apa sebabnya tidak penting bagi mereka (who cares?) tetapi posting beliau itu mencerminkan dirinya. 

        Sebagai guru, kita harus menunjukkan nilai yang positif sepanjang masa kerana kita membawa imej seorang pendidik, mendidik anak bangsa menjadi manusia yang cemerlang di dunia dan di akhirat.  Sebagai pendidik, tugas mendidik bukan hanya di dalam kelas, tetapi juga di luar kelas. Tingkah laku kita dan tutur kata kita akan memberi impak besar kepada anak-anak murid kita.  Kita menjadi idola kepada anak-anak murid kita.  Nak tahu kenapa generasi Y kini semakin bersikap kurang ajar dan biadap dari segi tingkah laku dan tutur kata?  Jawabnya, selain faktor media massa, pengaruh rakan sebaya dan kurang didikan agama, kita sendiri sebagai guru menunjukkan contoh yang tidak baik kepada mereka. 

       Pada hemat saya, ramai yang boleh menjadi cikgu tetapi tidak ramai yang boleh menjadi pendidik. Ramai cikgu di sekolah, tetapi berapa kerat sahaja yang sebenar-benarnya pendidik? Ramai cikgu lelaki yang merokok di sekolah (kebanyakan sekolah), tetapi dalam masa yang sama, mereka merupakan guru disiplin yang akan mendenda pelajar yang merokok. Ada guru yang ponteng kelas, tetapi dalam masa yang sama, mereka mengambil tindakan terhadap pelajar yang ponteng kelas atau sekolah. Ada guru yang selalu lewat ke kelas, tetapi dalam masa yang sama, mereka marahkan pelajar yang datang lewat ke kelas atau sekolah. Ada guru yang berbahasa kesat dan kasar dengan pelajar atau di media sosial tetapi dalam masa yang sama, mereka seorang kaunselor. Begitulah realitinya. Terdapat pelbagai jenis guru di sekolah.  Jadi bagaimana kita hendak mendidik pelajar-pelajar kita menjadi orang yang baik sedangkan kita sendiri menunjukkan contoh yang tidak baik kepada mereka, bak kata pepatah, guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari.

      Agak melucukan, apabila ada sebilangan guru yang meluahkan perasaan kesal kerana tidak dihargai oleh pelajar-pelajar mereka pada hari guru.  Pelajar mereka tidak mengucapkan selamat hari guru dan sebagainya. Kenapa mesti bersedih atau kesal?  Cuba tanya diri kita sendiri, pernahkan kita mengajar mereka dengan nilai-nilai positif seperti yang kita mahukan di dalam kelas?  Tugas seorang pendidik bukan setakat mengajar subjek yang diamanahkan, tetapi juga membentuk sahsiah murid-muridnya.   Kalau kita ingin diri kita diingati, dihargai dan diraikan, belajarlah menjadi seorang pendidik yang sebenar-benarnya. Berbahasa dan bertingkah lakulah dengan baik dan sopan, semoga kita dikenang kerana nilai positif yang terserlah dalam diri kita, tidak kiralah semasa kita berada di dalam kelas atau di luar kelas.

     Apa-apa yang saya kongsikan dengan pembaca dalam entri saya pada kali ini, bukan bermaksud saya seorang guru yang sempurna, hebat atau bagus.  Saya membuat pemerhatian berdasarkan pengalaman di sekolah sendiri,  cerita daripada rakan-rakan guru dari sekolah lain, cerita-cerita dari media sosial dan  rungutan daripada ibu bapa  yang pernah saya kenal, lalu saya membuat rumusan saya sendiri.  Saya juga sebenarnya tidak terlepas daripada kekhilafan dalam usaha menjadi seorang pendidik yang sebenar-benarnya pendidik, tetapi saya cuba untuk sentiasa memuhasabah diri saya dan berusaha untuk memperbaik kelemahan saya, insya-Allah.  

Akhir kalam, sebenarnya yang menjadi titik tolak permasalahan...ialah diri kita sendiri.  Apa pendapat anda? 

Thursday, December 29, 2016

Susahnya Menjaga Ikhlas


Bismillah...


         Saya pernah mendengar satu kuliah subuh yang bertajuk "Susahnya Menjaga Ikhlas" oleh Ustaz Hafiz (IKSIM).  Menurut beliau, ramai dalam kalangan kita sentiasa merungut semasa melakukan kerja seharian kita, bersedekah atau sebagainya.  Apa-apa sahaja perbuatan kita yang kita lakukan kemudian kita rungutkan, maka hilanglah segala keikhlasan tersebut, maka sia-sialah juga pekerjaan kita itu kerana tiada pahala yang kita peroleh.  Suka saya mengaitkan situasi tersebut dengan pekerjaan guru kerana saya sendiri seorang guru.  Ada guru-guru yang merungut dan membebel apabila diberi tugasan atau tanggungjawab dalam sesuatu program atau majlis. 

      Ada juga guru-guru yang merungut dan membebel apabila menerima jadual 'relief' atau ganti.  Mereka siap mempertikaikan kenapa guru yang tidak hadir itu 'tidak hadir' dan mereka pula yang terpaksa menggantikan guru tersebut.  Dek terpaksa, mereka masuk juga ke kelas ganti atau melakukan juga kerja yang diamanahkan, tetapi mulut mereka bising merungut dan membebel. Di sinilah wujud perbuatan sia-sia kerana mereka melakukan kerja tersebut tanpa keikhlasan. Pahala tercicir, dosa pula yang dapat. Pada saya, kenapa guru yang sama tidak hadir setiap minggu dan kenapa begitu senang mereka mengambil 'mc', pasti ada sebab musababnya.  Kalaupun guru tersebut menipu, itu urusan mereka dengan Allah.  Biar Allah sahaja yang menghukum mereka nanti. Kita yang menerima 'relief' seharusnya masuk sahaja ke kelas ganti kerana itu tanggungjawab kita.  

      Keadaan yang sama apabila kita membantu  orang atau bersedekah.  Andai kata kita melakukannya tanpa sifat ikhlas dan redha, maka sia-sialah sahaja kebaikan kita itu. Contohnya, apabila kita membantu atau memberikan sesuatu kepada seseorang dan orang itu tidak mengucapkan ucapan terima kasih kepada kita sebagai balasannya, maka terdetiklah di dalam hati kita ayat sebegini. "Sombongnya dia, dah dibantu atau diberi sesuatu, langsung tak ucap terima kasih."  Dalam keadaan ini, pemberian atau pertolongan kita sudah dianggap tidak ikhlas, maka sia-sia sahajalah pertolongan atau pemberian kita itu. 

     Akhir kalam, jagalah hati dan mulut kita agar segala perbuatan kita tidak sia-sia di sisi Allah.  Andai kata terkeluar juga dari mulut kita rungutan atau bebelan tanpa kita sedari, cepat-cepatlah beristighfar. Semoga kita sentiasa menjaga niat dan keikhlasan kita agar kita memperoleh pahala dalam setiap perbuatan atau pekerjaan kita.  Segala yang saya kongsikan ini diharap dapat menjadi pengajaran kepada saya dan para pembaca sekelian agar kita sama-sama sentiasa memuhasabah diri kita.

Saturday, December 17, 2016

Guru Oh Guru



Bismillah..

Semalam saya sempat berbual-bual dengan kakak sepupu saya semasa melawat bapa saudara kami.  Banyak yang kami bualkan, maklumlah sudah lama tidak bertemu.  Berjumpa sekali-sekala pasti ada sahaja isu yang kami bualkan. Antaranya tentang peranan dan tanggungjawab seorang guru.  Sebenarnya saya sendiri sudah lupa bagaimana isu itu boleh dibangkitkan oleh kakak sepupu saya itu. 

“Sorry to say, I memang tak respect guru sekarang.  Sikap mereka tidak memperlihatkan sikap seorang guru yang sejati.  Suka melabel anak-anak murid mereka dengan label negatif dan menyebarkannya pula kepada guru-guru atau pelajar-pelajar lain dari mulut ke mulut dan bercakap tentang pelajar itu beberapa lama. As their mother and the child themselve what do you think they will feel?“

“Tak semua guru macam tu, " saya mencelah.

“Yes, tak semua, mungkin sebilangan kecil sahaja tetapi unfortunately, anak I  berdepan dengan guru-guru sebegitu.” 

Saya hanya mengangguk, membiarkan sahaja beliau meneruskan ceritanya, meluahkan perasaannya yang terbuku terhadap guru-guru kepada anaknya.  Mungkin anaknya mengalami pengalaman pahit semasa di sekolah.

“Seorang guru sejati bukan setakat seorang guru yang melakukan tugasnya setakat yang dibayar gajinya.  Guru itu bukan setakat mengajar apa yang ada dalam silibus, tetapi seharusnya memahami pelajar-pelajarnya,  mengambil berat, mencari penyelesaian kepada pelajar-pelajarnya yang bermasalah dalam pelajaran, beri motivasi dan lain-lain.  Kalau macam tu, barulah guru-guru wajar dijulang dan dikenang, ini tidak, guru entah apa-apa, setakat mengajar di dalam kelas  menghabiskan silibus but doing nothing more,  tapi sibuk nak suruh mereka dikenang dan dijulang, patutke?”

Saya hanya tersenyum pahit.  Saya tidak mahu terus berhujah dengannya kerana beliau belum habis bercerita.

“I as a banker, also do more than what I was paid. I buat semua tugas-tugas I sebagai banker, then kalau ada customer I ada masalah, I cuba bantu dan cari penyelesaian untuk mereka.  That is what I mean  you do your work more than what you were paid."

“My daughter, kat sekolah dia agak teruk dalam beberapa subjek.  I jumpa salah seorang gurunya untuk berbincang.  Then guru dia cakap, she did not do some homework, plus tak beri attention dalam kelas.  I cakap depan anak I, you tak boleh buat macam ni, bla bla bla bla… infront of her teacher and  I never blamed her teacher.  You know what, keesokan harinya, that teacher bagitahu satu kelas bahawa emak Fazlina datang serang cikgu itu di sekolah, dan bagitahu juga kepada guru-guru lain.   Apa ni? Kenapa  buat fitnah macam tu? Anak I stressed dan malu. I pergi sekolah dan bincang dengan cikgu tu elok-elok tapi dia buat fitnah.  I sendiri  give all my effort to teach her at home dan tanya pasal kerja sekolah dan pastikan dia buat semua kerja sekolahnya. At last,  I hantar dia tuisyen, barulah anak I score!  So what do you think her teachers do at school? You sepatutnya mengajar bukan untuk habiskan silibus  semata-mata, tapi patut ajar juga bagaimana nak jawab soalan peperiksaan!

"Akak, kita tak boleh nak salahkan cikgu seratus peratus. Macam pelajar I, ada segelintirnya, ajarlah macam mana pun, masih tak faham-faham, tak nak usaha lebih, malas, puas membebel bagi motivasi, ada juga yang tak buat kerja kursus dengan sempurna, jadi macam mana nak lulus atau "score"?  Sebab itulah kat sekolah, ada pelajar cemerlang, sederhana dan lemah."


"Itu I faham, tapi kes anak I ni, I sebagai parent, I tak lepas tangan.  I gave all my effort to teach her, pantau dia  dan sebagainya.  Jadi kalau you betul-betul bagus,  takkanlah pelajar you tak boleh score?  Tapi  kenapa bila hantar ke pusat tuisyen, dia boleh score pulak?  Nampak sangat kat sekolah you tak mengajar macam mana nak kuasai format soalan.  Apabila pelajar ada masalah, tak cuba untuk tanya dan bantu selesaikan masalah, atau reflek balik cara you mengajar, sebaliknya terus melabelkan pelajar itu malas, degil, tak beri perhatian dan sebagainya.  Shame on you, teachers!  Opps sorry, I don’t mean you, Zu. I know you are a good teacher.  I tengok fb you, I tahu macam mana akrabnya you dengan pelajar-pelajar you, and they really love you."

Saya sekadar tersenyum.  Belum sempat saya memberikan ulasan dan pandangan saya, perbualan kami terhenti kerana seorang lagi sepupu kami tiba-tiba mencelah bertanya tentang perkara lain.  Setelah itu, perbualan kami putus di situ sahaja apabila kami beralih pula ke topik lain bersama-sama saudara-mara yang lain.

Sebagai  seorang guru, saya ada pendapat saya sendiri berkaitan isu ini.  Sepanjang pengalaman saya menjadi guru selama 22 tahun, pelbagai jenis guru telah saya jumpa.  Memang saya akui, ada benar juga luahan perasaan kakak sepupu saya itu.  Memang tidak dinafikan, wujud guru-guru seperti yang dinyatakan oleh beliau.  Ramai juga yang bersikap sebagai “bukan guru sejati”, contohnya guru ponteng kelas, masuk ke kelas lambat, mengajar ala kadar, tidak menguasai ilmu dan kandungan subjek yang diajar, tiada kemahiran mengajar (menyebabkan pelajar berasa bosan dan tidak minat hingga pelajar ponteng kelas), berbahasa kasar dengan pelajar dan sebagainya.  Itu suatu realiti yang harus diakui.  


Dari segi lain, ada juga guru yang bagus, menguasai ilmu dan kandungan subjek yang diajar,  mempunyai kemahiran mengajar tetapi ramai juga pelajarnya tidak cemerlang.  Hal ini disebabkan faktor pelajar yang sememangnya malas, tidak berminat untuk belajar, dan sebagainya, tetapi kenapa mereka bersikap demikian? Mungkin juga kerana tiada galakan dan pemantauan daripada  ibu bapa, pelajar memang lemah dan tidak mampu menguasai subjek yang dipelajari atau guru tidak cukup hebat  dan bagus untuk menarik minat pelajar agar meminati subjek yang diajarnya?  Segalanya mungkin, jadi fikir-fikirkanlah wahai guru dan ibu bapa.  Tidak perlu kita saling menyalahkan satu sama lain, sebaliknya sama-samalah kita berusaha mengambil tindakan yang sewajarnya untuk membantu anak-anak dan pelajar-pelajar kita.

Akhir kalam, berdasarkan rungutan kakak sepupu saya itu, saya  turut memuhasabah diri saya dan membuat refleksi terhadap pengajaran saya.  Saya guru yang macam mana?  Mungkin saya sendiri banyak kelemahan, dan hanya pelajar-pelajar  saya yang boleh menilai saya.  Apa pendapat anda?






Saturday, December 10, 2016

Apa Dah Jadi? Kalau Sejarah Kita Lupakan...






Apa Dah Jadi kepada Filipina?

Dahulunya Manila diperintah oleh Raja Sulaiman.  Mindanao diperintah oleh Sultan Muhammad Kabungsuwan.  Sekarang Filipina sudah jadi negara Kristian, di samping pulahan agama lain di dalamnya.

Apa Dah Jadi kepada Vietnam?

Dahulu namanya kerajaan Melayu Islam Champa (Panduranga, Kauthara, Vijaya, Inderapura dan Simhampura).  Sekarang dah jadi negara Buddha. Orang Malaysia tidak tahu pun Vietnam dahulu tu kerajaan Melayu Islam.

Apa Dah Jadi kepada Thailand?

Sebahagiannya dahulu ialah wilayah Islam dan tempat lahir ulamak Islan Nusantara.  Sekarang sudah jadi negara Buddha.  Orang Melayu sudah tidak pandai cakap Melayu dan tidak tahu tulisan Jawi. Budak sekolah rendah Melayu dah percaya bahawa Kedah dan Kelantan adalah asal Thailand dan dijajah oleh Malaysia.

Apa Dah Jadi kepada Singapura?

Dahulunya diberi nama Temasek, tempat berdagang pelbagai rumpun Melayu, tempat berlabuh  Sultan-sultan Riau Lingga.  Sekarang?  Anak-anak kita di Johor pun tidak tahu Singapura merupakan negeri Melayu Islam dahulunya.

Apa dah jadi? Kalau sejarah kita lupakan...

Sumber : Dr. Nazri Ismail SV (IKSIM)

Saturday, November 19, 2016

UPSR 2016



Bismillah...


Pada hari Khamis bersamaan 17 November 2016, keputusan UPSR 2016 diumumkan. Daripada 440,000 calon yang menduduki UPSR pada tahun ini dengan format baharu, hanya 4,896 (1.1 %) calon yang mendapat semua A dalam semua mata pelajaran (6A) berbanding dengan UPSR 2014, calon 460,000, 5A = 36,304 calon manakala UPSR 2015, calon 443,000, 5A = 38,344 calon.

Kecoh  satu negara. Ramai ibu bapa dan pelajar  menangis kekecewaan.  Mana tidaknya, begitu ramai pelajar dan anak-anak yang menjadi harapan ibu bapa dan sekolah gagal memperoleh semua A. Maka anak-anak pun berlari-larilah kepada ibu bapa sambil menangis tersedu-sedu apabila keputusan diumumkan di sekolah.  Ibu bapa pun turut menangis tersedu-sedu membalas pelukan anak-anak. Sungguh dramatik! Tidak lama kemudian, ramai ibu bapa  mula 'mengupdate' status kekecewaan mereka  di facebook sambil menyalahkan sistem pendidikan terkini , "Kasihan anak-anak,  kasihan guru-guru..." dan bermacam-macam lagi luahan perasaan mereka yang menjadi status di facebook . Aduhai ibu bapa, cukup-cukuplah!  Anak-anak anda dan guru-guru mereka sudah melakukan yang terbaik, cuma nasib tidak berpihak kepada mereka.  Saya sendiri dan pasti anda juga menjadi saksi dan melihat bagaimana tekunnya anak-anak kita belajar dan mengulangkaji pelajaran, bagaimana mereka ke sekolah pada hari cuti dan bagaimana guru-guru berkorban masa dan tenaga mengajar anak-anak kita, Jadi kalau anak-anak kita masih tidak mampu memperoleh semua A, redhalah wahai ibu bapa.

Anak saya antara salah seorang calon harapan di sekolahnya, namun hanya mampu memperoleh 4A 2B.  Saya bersyukur dan sedikit pun tidak berasa sedih, begitu juga anak saya. Saya hairan, mengapa harus bersedih? Redha sahajalah wahai ibu bapa, anak-anak dan guru-guru.  Kita sebagai manusia biasa hanya mampu merancang, namun Allah jua penentunya. Andai masih berduka lara dan tetap menyalahkan mana-mana pihak, sila periksa rukun iman yang keenam anda. Wahai ibu bapa, terimalah apa-apa sahaja keputusan anak-anak dengan hati terbuka.  Pada saya, sebenarnya ibu apa yang lebih terluka, anak-anak ok sahaja, tetapi apabila ibu bapa "over reacted", anak-anak berasa bersalah kerana tidak mampu memenuhi impian ibu bapa yang tinggi melangit.  Bermacam tuduhan dan rungutan dilemparkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia, kononnya sengaja mengubah format sesuka hati dan akhirnya para pelajar yang menjadi mangsa.

Saya juga ada mendengar ramai ibu bapa merungut kerana tidak mampu lagi mengajar anak-anak di rumah kerana soalan-soalan dalam format terkini adalah susah.  Saya termenung sejenak.  Adakah ibu bapa mahu kerajaan mengekalkan format atau silibus pelajaran seperti dahulu agar mereka dapat mengajar sendiri anak-anak di rumah? Wahai ibu bapa, berpijaklah di bumi yang nyata. Sistem pendidikan di negara kita sudah mengalami anjakan paradigma, jadi sukatan atau format lama juga harus diubah agar seiring dengan objektif pendidikan terkini yang mahukan pelajar kita lebih kritis, kreatif dan analitis.  Hal ini sejajar dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang menilai prestasi semasa sistem pendidikan negara dengan mengambil kira pencapaian lampau dan membandingkannya dengan tanda aras antarabangsa bagi melahirkan pelajar yang kritis, kreatif dan analitis. Cuba tanya diri sendiri, kita dahulu bersekolah rendah tahun berapa dan anak-anak kita sekarang di tahun berapa?  Tidak logiklah jika kita mahu sukatan pelajaran anak-anak kita sekarang sama seperti di zaman kita dahulu hanya kerana kita mahu mengajar anak-anak di rumah. Guru-guru di sekolah sudah menerima latihan dan kemahiran yang secukupnya untuk mengajar anak-anak kita. Kalau nak mengajar juga, belajarlah!

Pada saya, kerajaan telah melakukan yang terbaik demi melahirkan pelajar yang berkualiti. Itulah penangan KBAT yang seharusnya kita sokong agar anak-anak kita mampu berfikir di luar kotak. Hentikan "school feed' kerana ia tidak mampu melahirkan generasi masa depan yang berdaya saing. Dengan "range" markah 90-100 = A, pelajar  yang mendapat A itu barulah benar-benar berkualiti. Dahulu terlalu ramai pelajar UPSR yang mendapat 5A, namun apabila mereka ke sekolah menengah, mereka bukanlah pelajar cemerlang, hanya sekadar pelajar biasa-biasa sahaja kerana A mereka tidak berkualiti. Bagaimana saya tahu?  Kerana saya seorang guru.

Mungkin juga ramai ibu bapa yang bersedih kerana bimbang anak-anak mereka tidak dapat memasuki sekolah berasrama penuh (SBP) seperti yang diimpi-impikan.  Usah risau dan  usah bimbang wahai para ibu bapa. Anak-anak anda masih berpeluang ke asrama penuh kerana KPM sudah pun mengeluarkan kenyataan rasmi semalam bahawa pelajar yang mendapat 3A 3B pun masih berpeluang memasuki SBP, namun beberapa kriteria lain akan turut diambil kira.  Jadi nasihat saya, bertenanglah wahai ibu bapa dan anak-anak.  Andai ada rezeki anak-anak anda untuk ke SBP, maka tidak akan ada apa-apa pun yang dapat menghalangnya, insya-Allah.




Tuesday, November 8, 2016

Selasihku Sayang...



Bismillah...


        Entah kenapa malam ini tiba-tiba sahaja saya terjumpa novel ini sewaktu mencari sesuatu di dalam almari lusuh di rumah saya, lalu terdetik pula di hati untuk bercerita tentang novel ini kepada anda, para pembaca yang budiman. Selasihku Sayang, novel cinta klasik yang pernah saya baca sewaktu remaja. Novel setebal 151 muka surat tulisan Alias Ali terbitan  Utusan Melayu Berhad pada tahun 1967 ini merupakan novel yang saya warisi daripada Abah saya, yang dibeli pada harga RM 2.60 pada waktu itu. Hingga kini ia masih tersimpan rapi di dalam almari lusuh di rumah saya.  

Kisah cinta tiga segi yang sungguh tragis mengundang mutiara bening untuk tumpah dan membasahi. Bahasa yang digunakan oleh penulis sungguh indah dan puitis. Keragaman bahasanya memperlihatkan keindahan bahasa masyarakat dahulu kala serta ketajaman fikiran penulisnya. Alangkah bagusnya andai saya dapat menulis seperti beliau. Jalan cerita yang mudah namun mendebarkan hati pembaca untuk mengetahui penamatnya.  Mungkin anda yang pernah membaca novel ini bersetuju dengan saya. Tajuk novel ini juga pernah menjadi judul lagu hit dendangan Allahyarhammah Datin Rafeah Buang dan Allahyarham Datuk Ahmad Jais suatu ketika dahulu. 

Kisah dalam lagu tersebut sememangnya merupakan kisah dari novel  Selasihku Sayang.  Antara bait-bait puitis yang terdapat dalam novel ini yang begitu membekas di hati saya ialah "Air di sungai kadang-kadang keruh warnanya, bulan di langit pun kadang-kadang tidak benderang cahayanya, namun kasihku sentiasa kudus, tiada cacat celanya," Indah bukan?  Pada saya, novel ini tidak jemu untuk diulang baca kerana bahasanya sungguh puitis. Andai anda ingin mengetahui ceritanya, silalah membacanya. 

                                                                             
Kutanam selasih
kutanamkan di hujung halaman
mengenangkan kasih wahai sayang
yang aku tinggalkan

Kusiram selasih
kusiramkan di hujung halaman
mengenangkan kasih wahai sayang
lambang percintaan

Hai Kencana Dewi
kasih yang kurindu
kukenang selalu

Sayang semoga tak kan layu
cinta yang sejati kekal dan abadi

Hai Cendana Dewi
kau tetap kukenang
janganlah kau bimbang

Sayang kau tetap kan pulang
di sisiku sayang membawa harapan