>
TUAI PADI ANTARA MASAK, ESOK JANGAN LAYU-LAYUAN, INTAI KAMI ANTARA NAMPAK, ESOK JANGAN RINDU-RINDUAN...

Thursday, March 8, 2012

Catatan Untuk Angah

Angah dimasukkan ke PICU, HKL kali yang kedua

Angah  semasa koma di  Wad PICU, HKL
Angah setelah dipindahkan ke KK6


Danial di Wad Pediatrik, Hospital Ampang

       Angah, catatan ini Umi tulis sejak empat tahun yang lepas, sejak Angah mula jatuh sakit pada tahun 2008, tetapi Umi sekadar menulisnya di dalam diari Umi. Umi pernah memberitahu Angah tentang catatan ini. Dek dihambat kesibukan, Umi hampir terlupa tentang catatan ini.  Masa berlalu, tetapi pada suatu hari, semasa Angah membaca blog Umi, Angah bertanya kepada Umi tentang catatan ini dan meminta untuk membacanya.  Pada saat itulah Umi teringat semula akan catatan ini.  Umi memberitahu Angah bahawa Umi akan menyunting catatan ini terlebih dahulu sebelum menerbitkannya di dada Kristal Bening, dan akhirnya, pada hari ini, Umi mempersembahkan sebuah catatan yang telus untuk tatapan Angah  dan untuk mereka yang pernah menyelami pahit getir Umi sepanjang Angah jatuh sakit. Hayatilah.....

           Angah anak kedua Umi dan Ku, dan sebab itulah Angah diberi gelaran Angah, iaitu anak tengah dalam 5 orang adik-beradik.  Antara 5 orang anak Umi, Angahlah yang paling lasak dan selalu ditimpa musibah.  Semasa Angah kecil, air milo panas yang baru sahaja Umi bancuh tertumpah ke atas kepala Angah kerana Angah menarik mug yang berisi milo panas itu, yang Umi letakkan di atas meja. Habis muka Angah kemerahan. Angah menjerit dan menangis kesakitan.  Jantung Umi hampir luruh. Lemah kaki tangan Umi melihat keadaan Angah.  Umi cepat-cepat menyiram seluruh kepala dan badan Angah dengan air paip.  Umi terbayang muka Angah melecur, tetapi nasib baik kulit muka Angah tidak melecur.  Alhamdulillah. Umi tidak dapat memaafkan diri Umi jika muka Angah cacat akibat peristiwa itu.  Semuanya kerana kelalaian Umi. 
    
        Dalam satu peristiwa lain, Umi membawa Angah dan Along ke tempat perlawanan hoki di sekolah lama Umi di Bukit Mertajam.  Ku juga menemani Umi di situ, sambil menjaga Angah dan Along.  Waktu itu, Angah baru sahaja boleh berjalan dan berlari.  Melihat padang yang luas, Angah begitu seronok berlari, tiba-tiba Angah jatuh tersembam di atas tangga pondok di tepi padang.  Bucu tangga yang diperbuat daripada simen terkena kening kiri Angah menyebabkan kening kiri Angah luka terbelah dan darah keluar dengan banyaknya.  Rakan setugas Umi menahan darah yang keluar dari luka di kening Angah dengan sapu tangannya, lalu Umi dan Ku membawa Angah ke klinik berdekatan.  Doktor terpaksa menjahit kening Angah beberapa jarum.  Angah menjerit, menangis dan meronta kerana terlalu sakit.  Doktor tidak membius Angah kerana memang begitu prosedurnya. Parut di kening kiri Angah kekal hingga hari ini.

         Semasa tinggal di Bukit Mertajam iaitu di Taman Guar Perahu, pernah Angah memanjat peti sejuk satu pintu yang terbuka.  Entah apa yang Angah cari.  Tiba-tiba peti sejuk jatuh dan menimpa Angah.  Umi sangat terkejut dan panik.  Tiba-tiba Angah merangkak keluar dari peti sejuk yang terbalik.  Alhamdulillah, nasib baik Angah tidak cedera. Umi yang hendak marah akhirnya ketawa, lalu menelefon Ku di KL.  Angah juga pernah memanjat TV menyebabkan TV jatuh terbalik tetapi nasib baik juga tidak tertimpa atas Angah.

          Satu peristiwa lain juga berkaitan dengan air panas. Semasa kita sekeluarga bercuti dan bermalam di rumah Umi Long sewaktu Umi Long masih tinggal di Shah Alam.  Pada malam itu, Angah bergaduh dengan Along kerana hendak tidur dekat Umi. Akhirnya Along mengalah. Lebih kurang pukul 12.00 malam, Umi bangun untuk membancuh susu  Baby.  Dalam keadaan bilik yang samar-samar, tanpa membuka lampu, Umi membancuh susu di dalam bilik.  Semasa Umi hendak menuangkan air panas dari flask kecil ke dalam botol susu, entah macam mana air panas yang baru saja diisi ke dalam flask itu tidak masuk ke dalam botol, tetapi tertumpah ke atas perut Angah yang sedang tidur tidak berbaju di atas toto dekat Umi.  Angah mengerang kesakitan.  Umi menjerit. Ku terjaga dan membuka lampu.  Umi melihat dengan jelas kulit perut Angah mengecut dengan cepat.  Umi tergamam dan badan Umi menggigil dan lemah melihat keadaan Angah. Umi menyuruh Ku menyiram tempat  terkena air panas itu dengan air paip kerana Umi pernah melihat iklan di TV yang mengajar orang ramai supaya menyiram tempat melecur dangan air paip. Ku cepat-cepat mendukung Angah ke bilik air dan menyiram tempat terkena air panas itu dengan air paip, kemudian Umi mengejutkan Umi Long dan Ayah Long.  Ku bersama Ayah Long membawa Angah ke klinik 24 jam. Umi menangis sesal kerana sangat cuai.  Umi tidak dapat membayangkan jika Angah cacat disebabkan kecuaian Umi. Jika perkara itu terjadi, Umi tidak dapat memaafkan diri Umi.  Umi Long menenangkan Umi. Sebahagian besar sebelah atas badan Angah melecur.  Selepas luka melecur kering, Umi merawat Angah dengan meletakkan gel  gamat di seluruh kawasan melecur setiap hari tiga kali sehari.  Alhamdullillah, akhirnya luka melecur di badan Angah sembuh dengan cepat dan tiada langsung kesan parut di badan Angah.    

       Seingat Umi, Angah pernah sekali masuk wad selama beberapa hari bersama Danial akibat demam denggi beberapa tahun lepas di Hospital Besar Kota Bharu. Pada waktu itu, Kak Yani juga dimasukkan ke wad kerana turut mengalami demam denggi yang agak kritikal.  Kemudian Angah juga pernah di tahan di wad kecemasan Hospital Ampang beberapa jam untuk diberi ”drip” akibat demam panas.

      Kini Umi menerima satu lagi ujian dalam hidup Umi, tetapi ujian yang terbesar dan terhebat.  Angah juga mangsanya.  Walau apapun, Umi pasrah dan redha.

Selasa (7 April 2008)

        Tengah hari itu selepas pulang dari sekolah, Angah mula mengadu sakit kepala.  Umi menyentuh dahi Angah dengan belakang tapak tangan Umi.  Dahi dan badan Angah terasa sangat panas.  Angah demam. Umi menyuruh Angah menelan dua biji panadol. Umi mula berasa risau. Setelah dua hari demam, iaitu pada hari Rabu malam Khamis, barulah Ku membawa Angah berjumpa doktor di klinik swasta (Klinik Makmoor) setelah Umi desak. Doktor cuma memberi ubat batuk, ubat demam (panadol) dan antibiotik kepada Angah. Demam Angah tak kebah-kebah juga. Angah tidak ada selera makan.  Angah kerap ke tandas.  Angah muntah-muntah dan cirit-birit. Umi menyuruh Angah meletakkan towel basah di kepala Angah. Siang hari Umi tetap ke sekolah dan Ku pergi bekerja.  Tinggallah Angah seorang diri di rumah.  Kesian Angah.  Sebenarnya Umi agak sibuk pada  minggu itu kerana Majlis Tadarus Al-Quran akan berlangsung pada hari Sabtu.   Umi ditugaskan untuk menulis teks ucapan, jadi Umi tidak memberi tumpuan kepada Angah. Pada waktu malam, Angah tidak dapat tidur.  Sekejap Angah tidur di dalam bilik, kemudian Angah keluar dan tidur di ruang tamu kemudian Angah masuk ke dalam bilik semula.  Begitulah keadaan Angah sepanjang malam. Angah kelihatan gelisah. Panas badan Angah tidak berkurang langsung.  Umi sangat risau tapi Umi agak sibuk untuk fikir sangat tentang Angah, lagi pun Umi fikir Angah sudah besar, jadi tidak perlulah Umi merawat Angah seperti  budak kecil / baby.


Sabtu (12 April 2008)

          Hari itu semasa menonton persembahan penutup acara Majlis Tadarus Al-Quran di Dewan Ibnu Khaldun, cikgu Noriah (emak Aiman) bertanya tentang Angah.  Dia memberitahu Umi bahawa Aiman bercerita kepadanya yang Angah sudah seminggu tidak hadir ke sekolah. Umi mengeyakan.  Cikgu Noriah menasihati Umi supaya membawa Angah untuk ‘check’ darah di hospital, takut-takut Angah kena demam denggi kerana  pada waktu itu musim demam denggi berleluasa. Sebelum ini Umi tidak terfikir pun untuk membawa Angah ke hospital untuk “check” darah Angah.  Nasib baik cikgu Noriah menasihati Umi. Setelah Ku pulang dari kerja, Umi meminta Ku membawa Angah untuk “check” darah di hospital Ampang. Pada pukul 9.00 malam, Umi dan Ku membawa Angah ke Unit Kecemasan Hospital Ampang. Keadaan Angah sangat lemah.  Setelah selesai “check” darah, Umi, Ku dan Angah terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan keputusan darah Angah. Semasa menunggu, Angah kelihatan gelisah. Umi bertanya sebab Angah kelihatan gelisah. Angah menjawab bahawa Angah  kesejukan. Oleh sebab pesakit terlalu ramai dan tempoh menunggu terlalu lama, doktor menasihatkan Ku agar membawa balik Angah terlebih dahulu. Kalau ada apa-apa masalah, mereka akan menelefon Ku. Jadi Ku, Umi dan Angah serta Baby pulang dulu ke rumah.  Pada pukul 11.00 malam, doktor menelefon Ku.  Mereka memberitahu  Ku bahawa platelet darah Angah ialah 80. Doktor mengesyaki Angah mengidap demam denggi, jadi Angah terpaksa ditahan di wad.  Ku membawa Angah ke hospital. Umi tidak ikut ke hospital sebab Umi terpaksa menemani Along, Danial, Kakak dan Baby di rumah.  Malam ini Ku akan menemani Angah di wad.  Umi menyiapkan beberapa helai baju untuk Angah.  Sebelum Angah pergi, Umi memeluk dan mencium Angah.

Hari Pertama : Hospital Ampang (13 April 2008 : Ahad)
   
               Hari ini Umi, Along, Danial, Kakak dan Baby melawat Angah pada pukul 3.00 petang.  Sebelum bertolak ke hospital, Umi, Along, Danial, Kakak dan Baby sebenarnya makan kenduri di rumah jiran di hadapan rumah yang mengadakan majlis pertunangan anak mereka.  Setelah sampai di wad, Umi memeluk dan mencium Angah. Umi bertanya kepada Angah sama ada Angah suka atau tidak tinggal di wad.  Angah jawab kalau demam, Angah suka duduk di wad. Angah kelihatan agak lemah dan mula bercakap  yang bukan-bukan (meracau). Angah tanya Umi, bila kereta yang Angah beli akan dapat.  Umi tanya, Angah beli kereta apa. Angah jawab bahawa Angah beli kereta Jepun. Sah, Angah meracau. Suhu badan Angah tinggi. Angah menggigil kesejukan.  Angah bertanya kepada Umi adakah terdapat ubat yang boleh menghilangkan rasa sejuk. Tapak tangan dan tapak kaki Angah putih pucat macam mayat. Kuku Angah kebiruan.  Doktor berjumpa dengan Umi dan berbincang tentang keadaan Angah.  Doktor bertanya kepada Umi sama ada Umi tahu atau tidak bahawa keadaan Angah agak tenat. Umi terkejut mendengar kata-kata doktor. Umi macam tidak percaya akan penjelasan doktor bahawa keadaan Angah agak tenat kerana baru semalam Angah masuk wad. Umi berasa sangat risau. Waktu petang, Ayah Chik, Cik Err dan anak-anak datang melawat Angah.  Ayah Chik meminta Angah membaca surah-surah lazim yang pendek. Angah boleh membacanya dengan baik dan lancar. Ayah Chik membacakan  doa untuk Angah dan menenangkan Angah.  Setelah agak lama di wad, Ayah Chik sekeluarga minta diri untuk pulang. Umi menemani Angah sampai malam. Angah kerap masuk bilik air. Angah cirit- birit. Umi memimpin Angah ke bilik air kerana Umi risau dan takut Angah akan jatuh jika dibiarkan ke bilik air bersendirian. Beberapa orang jururawat datang ke katil Angah untuk memasukkan macam-macam tiub di badan Angah Angah.   Angah menangis dan meronta-ronta.  Umi memujuk Angah agar Angah tenang dan Umi juga meminta Angah membaca ayat Qursy. Akhirnya Angah diam dan tidak meronta apabila jururawat mencucuk tangan Angah untuk memasukkan tiub ”drip” dan ubat. Pada waktu malam, Angah dibawa ke bilik ultra sound untuk discan, tetapi keputusan ultra sound tidak menunjukkan apa-apa masalah. Malam itu, Angah semakin kuat meracau. Ku datang untuk menemani Angah di wad. Umi berasa sedih dan tidak sampai hati untuk meninggalkan Angah, tetapi Umi terpaksa pulang bersama Along, Danial, Kakak dan Baby.


Hari ke-2 : Hospital Ampang / Wad Pediatrik HKL (14 April 2008 : Isnin)

         Pagi-pagi lagi Umi datang seorang diri ke wad Angah untuk bertukar syif dengan Ku dan menemani Angah di wad. Ku pulang ke rumah untuk membersihkan diri. Along, Danial dan Kakak ke sekolah manakala Baby ke nursery. Umi  tidak ke sekolah dan mengambil cuti untuk menemani Angah di wad. Setibanya Umi di wad,  Umi terkejut apabila ibu-ibu kepada anak-anak di katil  dalam bilik yang sama dengan Angah menceritakan bahawa Angah meracau hingga melompat turun dari katil. Angah mencabut semua wayar di tangan Angah hingga keluar darah meleleh-leleh tapi Ku tidak sedar, malah tidur dengan lena sekali. Akhirnya Ku terjaga apabila keadaan riuh rendah.  Jururawat juga bercerita kepada Umi bahawa mereka sendiri berasa seram apabila melihat keadaan Angah yang meracau seperti orang kena sampuk. Mereka juga bercerita bahawa Angah menyebut semua nama rakan-rakan sekolah Angah dan meracau bahawa Umi selalu memarahi Angah. Hati Umi pilu sepilu-pilunya mendengar cerita daripada mereka. Doktor berjumpa dengan Umi dan memberitahu Umi bahawa keadaan Angah sangat kritikal dan harus dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) di HKL dengan segera. Menurut doktor, tiada Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) di Hospital Ampang. Umi berasa sangat risau mendengar penjelasan doktor tentang penyakit Angah.  Menurut doktor lagi, Angah mengidap demam denggi paling kritikal. Kata doktor, hati Angah sudah bengkak  dan sebab itulah Angah asyik mengadu sakit perut.  Jiran-jiran sebelah-menyebelah katil Angah menasihati Umi agar membuat ”air tawar” untuk Angah.  Fikiran Umi buntu sebab Umi tidak mengenali sesiapa pun untuk membuat ”air tawar”. Tiba-tiba Umi teringat akan Tn Haji Nasaruddin.  Umi menelefon beliau dan meminta jasa baik beliau untuk datang menjenguk Angah. Tuan Haji Nasaruddin datang bersendirian.  Setibanya di wad, Umi menceritakan keadaan Angah kepada beliau seperti yang dilaporkan oleh doktor. Tuan Haji Nasarudin cuba menenangkan Umi. Beliau mengusap-ngusap kepala Angah dan membuat air tawar untuk Angah. Kebetulan pada hari itu rombongan VIP polis datang melawat dan memberi sumbangan kepada kanak-kanak di wad pediatrik sempena Hari Polis. Kebetulan mereka ke wad 4B dan mereka melawat Angah tetapi Angah sedang tidur pada waktu itu. Mereka menjenguk Angah yang penuh dengan wayar di tangan dan badan. Mereka kelihatan bersimpati dengan keadaan Angah.  Oleh sebab pada waktu itu Tuan Haji berada di sisi katil Angah, para pegawai polis itu berandaian bahawa Tuan Haji Nasaruddin ialah datuk Angah.  Tuan Haji Nasaruddin hanya mengangguk sambil tersenyum sumbing. Mereka memberikan Angah sebuah paper bag yang berisi teddy bear, towel dan makanan ringan. Tidak lama kemudian Ku datang dan Umi memperkenalkan Tuan Haji Nasaruddin kepada Ku.
     
            Doktor memberitahu Umi bahawa mereka sudah pun menguruskan pemindahan Angah ke PICU HKL dengan ambulance. Pada tengah hari itu, Angah dihantar ke HKL menaiki ambulance.  Umi menemani Angah di dalam ambulance manakala Ku memandu kereta ke HKL. Angah masih diberi ”drip” dan bantuan oksigen. Ambulance dipandu dengan sangat laju menyebabkan keadaan Angah  dan Umi terhuyung-hayang. Di dalam ambulance Angah meracau lagi.  Angah menunjukkan jari ke bahagian belakang ambulance sambil meracau bahawa terdapat anjing  yang sangat besar di dalam ambulance itu dan Angah kelihatan ketakutan.  Pilu hati Umi melihat keadaan Angah. Umi berusaha memujuk dan menenangkan Angah. Setibanya di perkarangan Wad Pediatrik HKL dan sebelum masuk ke wad, Angah dibawa ke bilik  ultra sound sekali oleh jururawat untuk discan. Keputusan masih normal. Kemudian di Wad Pediatrik HKL, Angah dimasukkan ke HDW (High Depency Ward).  Beberapa orang doktor memantau keadaan Angah. Angah semakin kuat meracau tetapi  Angah masih boleh membaca ayat Qursi apabila diminta berbuat demikian.
          
          Pada petang itu, Ayah Chik datang seorang diri melawat Angah.   Ayah Chik memujuk dan menenangkan Angah.  Setelah Angah kelihatan agak tenang, Umi, Ku dan Ayah Chik keluar dari HWD dan meninggalkan Angah bersama jururawat.  Semasa berbual-bual di luar wad, terdengar bunyi bising dari dalam wad.  Umi, Ku dan Ayah Chik bergegas ke dalam wad.  Rupa-rupanya Angah mengamuk dan cuba melompat turun dari katil. Apabila jururawat cuba menenangkan Angah, Angah menendang jururawat tersebut menyebabkan jururawat tersebut menjerit. Umi memeluk Angah dan cuba menenangkan Angah. Angah sudah tidak kenal akan Ku dan Ayah Chik. Angah cuma kenal Umi sahaja dan memanggil-manggil Umi. Setelah waktu melawat  tamat, Ayah Chik pun pulang. Umi memberitahu Ku bahawa Umi mahu menemani Angah di wad pada malam itu. Ku pulang ke rumah untuk menguruskan Along, Danial, Kakak dan Baby. 

          Pada waktu malam, Angah meracau lagi.  Angah minta hendak ke bilik air sebab Angah hendak buang air besar, tetapi jururawat tidak membenarkan kerana badan Angah berselirat dengan wayar. Umi menyuruh Angah berak  saja di dalam bekas besi di atas katil tetapi Angah tidak mahu.  Angah merayu kepada Umi untuk ke tandas.  Angah merungut dan mengatakan  bahawa berdosa kalau orang melihat aurat Angah. Umi terfikir sendiri, dalam keadaan Angah begitu pun, Angah masih boleh membezakan aurat dan dosa. Angah bercakap sendiri, seolah-olah sedang bercakap dengan Ku. Angah  meminta Ku memberhentikan kereta di R&R, sebab Angah mahu ke tandas.  Umi memujuk Angah supaya berak saja di dalam bekas.  Oleh sebab Angah terus merengek dan bising, akhirnya jururawat menyuruh Umi memakaikan diapers kepada Angah, tetapi Umi tidak menyediakan diapers untuk Angah.  Jadi, jururawat meminjamkan kepada Angah  dua keping diapers pesakit lain dan meminta Umi mengganti semula diapers tersebut.   Setelah Umi memakaikan Angah diapers, Angah pun berak dalam diapers. Angah terus meracau  dan berhalusinasi. Angah menangis sambil meracau bahawa Kakak mengurung Angah di dalam kotak dan tidak membenarkan Angah keluar dari kotak. Umi sedih dan risau melihat keadaan Angah, sambil memujuk dan menenangkan Angah. Umi memberitahu Angah bahawa Kakak tiada di situ.  Angah juga membuat aksi sedang menunggang kuda. Doktor Cina gelakkan Angah. Umi berasa sangat sedih dan geram akan doktor tersebut.  Sampai hati dia gelakkan Angah. Apabila  Angah semakin kuat meracau, bising-bising  dan hendak melompat turun dari katil, doktor Cina tersebut menyuntik Angah dengan ubat penenang. Tidak lama kemudian, Angah mula diam dan akhirnya tertidur. Setelah itu barulah Umi pergi menunaikan solat. Setelah selesai solat, Umi duduk di sisi Angah, mengusap Angah sambil memandang Angah yang sedang tidur dengan nyenyak dengan hati yang hiba. Jururawat menasihati Umi agar pergi tidur dan berehat di Wad 6 kerana mereka menyediakan katil untuk Umi. Mereka juga menasihati Umi agar tidak risau dengan keadaan Angah kerana mereka ada untuk memantau keadaan Angah semasa Umi berehat dan tidur.  Akhirnya Umi pergi tidur di wad 6 kerana terlalu letih.

Hari ke-3 : HDW Pediatrik HKL (15 April 2008 : Selasa)

       Pagi itu, Umi terlewat bangun kerana terlalu letih. Setelah membersihkan diri, Umi terus ke wad Angah.  Hati Umi bimbang jika Angah sudah sedar dan memanggil-manggil Umi serta meracau lagi.  Memang benar telahan Umi, Angah sedang merengek-rengek  dan meronta-ronta sambil memanggil Umi. Hampir menitis air mata Umi melihat keadaan Angah. Umi sangat menyesal kerana meninggalkan Angah sendirian di wad semalam.  Umi terus memeluk dan menenangkan Angah.  Jururawat memberitahu Umi bahawa Angah sudah terjaga sejak pukul 5.00 pagi dan terus meracau semula sejak terjaga dari tidur sambil memanggil nama Umi.      
         
           Lebih kurang pukul 9.00 pagi, Doktor Shiela datang untuk memantau keadaan Angah. Dr. Sheila memaklumkan keadaan Angah kepada Umi.  Dr. Sheila menjelaskan bahawa keadaan Angah sangat kritikal dan tenat.  Dr. Sheila memberitahu Umi bahawa Angah terpaksa dimasukkan ke ICU.  Beliau  juga menjelaskan prosedur yang akan dilakukan oleh mereka terhadap Angah. Mereka akan menghentikan pernafasan Angah secara normal, sebaliknya mereka akan memberi oksigen dan  bantuan pernafasan kepada Angah melalui alat sokongan pernafasan. Salur oksigen akan dimasukkan ke dalam mulut Angah.  Maknanya, Angah tidak boleh bernafas sendiri.  Mereka akan  mengalirkan oksigen ke dalam otak Angah kerana otak Angah kekurangan oksigen.  Kata Dr. Sheila, sebab utama Angah meracau adalah kerana otak Angah kekurangan oksigen. Mereka bimbang kuman akan masuk ke dalam otak Angah dan menjejaskan fungsi otak Angah jika prosedur tersebut tidak dilakukan dengan cepat. Umi  hanya mampu mengalirkan air mata apabila mendengar penjelasan Dr. Sheila. Kata Dr. Sheila lagi, lebih baik Angah dimasukkan ke ICU kerana di situ Angah akan dirawat secara intensif dan  akan dijaga dengan rapi oleh seorang jururawat.  Dalam ICU, seorang jururawat hanya akan menjaga seorang pesakit.  Doktor Sheila meminta Umi banyak bersabar  dan berdoa banyak-banyak. Doktor Sheila  juga menenangkan Umi dan memberitahu Umi bahawa beliau sangat memahami perasaan Umi yang amat risau akan keadaan Angah, kerana beliau juga seorang ibu. Menurut Dr. Sheila lagi,  prosedur yang akan dilakukan oleh mereka terhadap Angah adalah  untuk kebaikan Angah semata-mata. Mereka mahu merawat Angah dengan segera. Mereka tidak mahu keadaaan Angah  menjadi lebih teruk jika rawatan dilewatkan. Mereka juga mahu Angah kembali pulih seperti sediakala.  Sepanjang Dr. Sheila berbincang dengan Umi, air mata Umi tidak henti-henti mengalir. Akhirnya Umi mengangguk dan bersetuju dengan keputusan doktor. Umi pasrah.  Umi menyerahkan segala-galanya kepada Allah dan memohon kepada Allah agar memudahkan urusan para doktor dalam usaha merawat Angah. Setelah Dr. Sheila beredar, Umi menangis semahu-mahunya.  Setelah tangisan Umi agak reda, Umi menelefon Atuk dan Nenek lalu menceritakan keadaan Angah dan menjelaskan prosedur yang akan dilakukan kepada Angah sama seperti yang diterangkan oleh Dr. Sheila. Atuk dan Nenek sangat sedih apabila mendengar perkhabaran tentang keadaan Angah dan meminta Umi agar banyak bersabar dan banyak berdoa serta melakukan sembahyang hajat. Keluarga di kampung juga akan turut melakukan sembahyang hajat untuk Angah. Kemudian Umi menelefon Ku dan menceritakan keadaan Angah. 

        Lebih kurang pukul 10.00 pagi, Angah dibawa masuk ke bilik 9, wad ICU. Doktor tidak membenarkan Umi melihat Angah sehinga selesai prosedur rawatan kepada Angah.  Lebih kurang pukul 2.00 petang, barulah Umi dibenarkan masuk melihat Angah.  Umi sedih dan menangis apabila melihat keadaan Angah.  Angah sudah tidak sedarkan diri dan badan Angah berselirat dengan wayar. Angah bernafas melalui bantuan alat sokongan pernafasan. Lebih kurang pukul 4.00 petang, doktor memaklumkan keadaan Angah kepada Umi. Doktor menjelaskan bahawa mereka mengesyaki usus Angah mengalami  kebocoron (something liking dalam perut Angah), mungkin usus Angah bocor akibat jangkitan kuman, jadi perut Angah mesti dibedah. Dr. Jeya menjelaskan prosedur yang akan dilakukan semasa pembedahan nanti.  Mereka akan mengeluarkan usus Angah, meneliti setiap inci usus Angah, mencucinya dan jika ada kebocoran, mereka akan memotong dan membuang usus di bahagian yang bocor, kemudian mereka akan meletakkan antibiotik dan meletakkan semula usus Angah di tempat asal.

          Petang itu, Ustaz Azani, Cikgu Faizul dan Cikgu Jamaluddin serta Cikgu Pasupathy datang melawat Angah. Ayah Zah dan Cik Na juga datang melawat Angah. Sebenarnya Atuk, Nenek, Umi Long dan Ayah Mae telah sepakat untuk datang ke KL untuk melawat Angah. Selepas Maghrib, Nenek, Atuk, Umi Long dan Ayah Mae serta Ahmad tiba di Wad Pediatrik, HKL bersama Ayah Chik. Lebih kurang pukul 10.00 malam, pembedahan dijalankan.  Pembedahan berlangsung selama lebih kurang dua jam. Setelah selesai pembedahan, Dr. Yusuf (abang cikgu Siti Hajar) memberitahu Umi bahawa tiada apa-apa kebocoran dalam perut Angah kecuali sedikit radang pada usus Angah. Menurut beliau, usus Angah  telah dibersihkan. Alang-alang perut Angah dibedah, mereka juga telah membuang apendix  di dalam perut Angah.  Angah kini diberi bantuan pernafasan dan ubat tidur.

Hari ke-4 : ICU Wad Pediatrik HKL (16 April 2008 : Rabu)

     Pagi itu  doktor datang berjumpa Umi  dan memberitahu Umi bahawa keadaan Angah sangat lemah, jadi mereka membuat keputusan untuk tidak membenarkan Angah sedar.  Angah akan terus diberi bantuan pernafasan melalui alat sokongan pernafasan sebanyak 30-40% dan ubat tidur (sedatif) =2.0 ml.  Pukul 9.00 pagi, Datuk Mahmud dan team surgeon (kumpulan doktor yang membuat pembedahan ke atas Angah) memantau keadaan Angah.  Kelihatan Datuk Mahmud marah-marah seperti tidak puas hati tentang sesuatu.  Umi berasa sangat risau melihat keadaan itu. Dr. Yusoff memberitahu Umi bahawa kes Angah sangat “complicated” dan merupakan kes yang pertama seumpama itu yang dirujuk ke HKL.

        Petang itu, Ku menelefon Umi. Ku kata, menurut doktor, dalam darah Angah terdapat kuman kepialu (thypord) berdasarkan ujian darah dari Hospital Ampang.  Kondisi Angah kini masih kritikal tetapi stabil. Malam itu selepas melawat Angah, Umi Long dan Ayah Mae pulang ke Kota Baharu menaiki bas ekspress. Umi Long mengambil cuti selama dua hari untuk datang melawat Angah di HKL. Semasa Umi menemani Angah, Umi menatap wajah Angah dan Umi mengusap tubuh Angah. Umi berasa sangat sayu dan hiba melihat keadaan Angah yang terlantar di atas katil dan tidak sedarkan diri.  Umi juga berasa sangat bersalah kerana memarahi Angah pada minggu lepas.  Puncanya hanya kerana Angah termuntah di meja makan.  Paling Umi kesal apabila Umi menyuruh  Angah membersihkan sendiri muntah Angah.  Sebenarnya Umi marah sangat sebab Umi terlalu letih dan penat. Dalam keadaan terhuyung-hayang, Angah  mengemop lantai sambil dibantu oleh Along. Kejamnya Umi!!! Malam itu Umi pulang ke rumah bersama Atuk dan Nenek, manakala Ku menemani Angah di wad.

Hari ke-5 : ICU Wad Pediatrik HKL (17 April 2008 : Khamis)

       Pagi ini setelah Umi datang melawat Angah, doktor berjumpa  dengan Umi untuk berbincang tentang keadaan Angah.  Menurut doktor, kondisi Angah tiada perubahan. Mengikut doktor lagi, buah pingang Angah telah mengalami sedikit kerosakan tetapi insya-Allah boleh sembuh.  Angah telah disahkan mengidap demam kepialu.  Umi menyuruh Ku memberitahu saudara-mara Ku tentang keadaan Angah, kerana Umi takut kalau apa-apa terjadi kepada Angah, sekurang-kurangnya semua saudara mara telah dimaklumkan.

         Pukul 9.00 malam, doktor menerangkan bahawa kondisi Angah tiada perubahan juga. Mereka cuba untuk tidak memberikan ubat tidur (sedative) kepada Angah, tetapi bacaan BP Angah pula turun. Paru-paru Angah juga sudah terkena jangkitan kuman kepialu.  Paras bilurubbin dalam hati manusia normal ialah 17 tapi paras bilurubbin dalam hati Angah ialah 75. Nenek dan Atuk datang melawat Angah.  Selain itu, Pakcik Ramli dan Makcik Yan (ayah dan emak Amirul) juga datang melawat Angah.


Hari ke-6 : ICU Wad Pediatrik HKL (18 April 2008 : Jumaat)

         Angah masih diberi bantuan pernafasan menggunakan alat sokongan pernafasan.  Pukul 10.00 pagi, ada sedikit perkembangan positif pada diri Angah.  Oleh itu, doktor menghentikan ubat sedative (ubat tidur) kepada Angah untuk membantu BP Angah. Pukul 4.00 petang, bacaan  BP Angah kembali normal. Doktor menyuruh Umi selalu bercakap dengan Angah  dan memberi semangat kepada Angah walaupun Angah tidak sedarkan diri, kerana menurut doktor, Angah sebenarnya boleh mendengar. Umi bercakap dengan Angah, memberi semangat dan kata-kata perangsang . Umi tidak menyangka air mata Angah mengalir di hujung mata Angah. Pada waktu petang, Cikgu Engku Faridah datang sendirian melawat Angah. Beliau membawakan “air tawar” untuk Angah.  Malangnya doktor tidak membenarkan Angah diberi apa-apa minuman pun, jadi Umi menyapu seluruh badan Angah dengan air tawar itu.  Cikgu Engku juga menasihati Umi agar menjaga kesihatan Umi dan makan mengikut masa agar Umi tidak jatuh sakit.  Terima kasih Engku kerana begitu mengambil berat akan keadaan Angah dan Umi. Setelah lama menemani Umi, Cikgu Engku pun pulang.

        Pukul 4.30 petang, kondisi Angah agak kritikal tetapi stabil.  Umi terasa seperti Angah menggerakkan sedikit jari Angah semasa Umi menggengam tangan Angah, atau mungkin Umi sahaja yang berperasaan begitu. Entahlah. Doktor kata, jika hal itu benar, Angah telah memberikan respond yang baik. Doktor Sheila menjelaskan bahawa berdasarkan ujian darah, didapati Angah telah diserang oleh tiga jenis kuman berbahaya serentak. Kuman-kuman tersebutlah yang menyebabkan Angah jatuh sakit.  Menurut beliau lagi, biasanya seseorang jatuh sakit akibat satu jangkitan kuman sahaja tetapi Angah diserang oleh tiga jenis kuman sekaligus.

  1. Kuman kepialu a.k.a salmonella sepsis
  2. Kuman pembawaan tikus (dari air kencing tikus a.k.a entrocolitis)
  3. Kuman laptospirosis

         Doktor bertanya dan mengusul daripada Umi sama ada Angah pernah mandi air sungai dalam masa terdekat.  Umi mengeyakan.  Umi, Along, Angah, Danial, Kakak, Baby  dan kak Yani (pembantu rumah) memang pergi berkelah dan mandi air Sungai Congkak bersama Cik Su dan suaminya, tetapi perkelahan itu telah berlaku sebulan yang lalu.  Menurut doktor, kuman entrocolitis mungkin masuk ke dalam badan Angah tetapi diam (tidak aktif) di dalam badan  Angah. Apabila Angah demam dan antibodi Angah lemah, barulah kuman tersebut menyerang organ dalaman Angah. Kebetulan pula terdapat tiga kuman sekaligus menyerang organ dalaman Angah  menyebabkan keadaan Angah begitu tenat dalam masa beberapa hari sahaja. Doktor juga berkata bahawa Angah mungkin tidak dapat diselamatkan jika Umi tidak cepat membawa Angah ke hospital.


        Selepas waktu sekolah, Cikgu Layalina, Cikgu Nurul Khalbee, Cikgu Nasywah dan Cikgu Hartini datang melawat Angah untuk kali kedua. Thanks guys for your supporting. Pada waktu petang, Makcik Salmi, iaitu emak Faizal kawan Angah (jiran depan rumah), datang melawat Angah. Makcik Salmi menangis melihat keadaan Angah yang sedang terbaring kaku di atas katil.

       Setelah Angah dimasukkan banyak darah, platelet dan komponen darah yang lain, barulah kuku dan tapak kaki Angah kembali memerah.  Umi sangat gembira melihat perubahan positif pada diri Angah.


Hari ke-7 : ICU Wad Pediatrik HKL (19 April 2008 : Sabtu)

BP = Normal
Hb = 10.2
Platelet = 78.8
Sedatif = 4.0 ml
Oksigen= 40
Heart Beat = 98

        Hari ini doktor menambah platelet lagi ke dalam badan Angah sebanyak 120 ml.  Mata Angah tidak tertutup rapat dan terbuka separuh sejak hari pertama Angah tidak sedarkan diri. Mata Angah kelihatan  kering dan merah. Untuk mengelakkan mata Angah dijangkiti kuman, doktor memplaster mata Angah dengan selotep. Doktor menyuruh Umi memakaikan Angah stoking sebab kaki Angah terasa amat sejuk. Menurut  doktor, dalam badan Angah terdapat pendarahan lama, buktinya apabila doktor menyedut kahak Angah menggunakan tiub, terdapat darah lama (sustain blood).  Umi mengambil gambar Angah yang sedang terbaring kaku, tetapi jururawat memarahi Umi kerana katanya, sampai hati Umi mengambil gambar Angah dalam keadaan Angah begitu.  Umi bukannya hendak buat apapun dengan gambar Angah. Umi cuma hendak Along dan adik-adik  melihat keadaan Angah kerana sudah lama mereka tidak melihat Angah. Tanpa pengetahuan jurarawat, Umi terus mengambil gambar Angah secara senyap-senyap.

        Semasa Umi menemani Angah, tiba-tiba Angah kelihatan cuba bergerak dan “melawan mesin pernafasan” (menurut penerangan doktor).  Umi terkejut melihat keadaan Angah.  Jururawat juga bergegas melaraskan mesin pernafasan. Pengarah Unit Pediatrik HKL, Dr. Hussin memberitahu Umi bahawa terdapat juga sedikit darah dalam air kencing Angah, mungkin disebabkan G6PD. Doktor juga menambah komponen darah yang lain ke dalam badan Angah. Dr. Suzana pula mengatakan  bahawa insya-Allah Angah boleh sembuh tetapi mungkin akan mengambil masa yang agak lama juga untuk pulih sepenuhnya. Menurut Dr. Hussin pula,  Angah sekarang belum melepasi tahap kritikal.
              
        Pada waktu petang, kawan-kawan Angah datang ke  hospital bersama-sama Pakcik Ramli  untuk melawat Angah tetapi mereka tidak dibenarkan masuk oleh doktor kerana dikhuatiri akan lebih memudaratkan keadaan Angah. Pakcik Ramli membawakan air bacaan Yassin untuk Angah.  Terima kasih Abang Ramli. Doktor menjelaskan kepada Umi agar mengehadkan jumlah pelawat demi kesihatan dan kebaikan Angah.  Angah sepatutnya tidak boleh menerima kunjungan ramai  pelawat kerana dikhuatiri para pelawat membawa jangkitan lain kepada Angah. Para pelawat juga harus memahami keadaan Angah yang tenat. Keadaan Angah yang sedang tenat bukan untuk dipamerkan. Umi memahami maksud penjelasan doktor tetapi dalam masa yang sama, Umi tidak sampai hati untuk melarang kawan-kawan Umi dan kawan-kawan Angah melawat Angah secara dekat. Umi tahu dan amat faham bahawa kawan-kawan Umi dan kawan-kawan Angah yang datang melawat dan ingin melihat Angah secara dekat kerana mereka sangat mengambil berat keadaan diri Angah. Umi dalam dilema.  Selain Pakcik Ramli dan kawan-kawan Angah, Cikgu Masnani juga datang melawat Angah bersama suaminya. Terima kasih Nani.


Hari ke-8 : ICU Wad Pediatrik HKL (20 April 2008 : Ahad)

Bp= Normal
Hb= 10.3
Platelet= 98
Sedatif (ubat tidur) = 2.0 ml
Bantuan Pernafasan = 100
Heart Beat = 136

         Pukul 9 pagi Umi sampai Wad Pediatrik HKL.  Umi berjumpa Ku di luar wad seperti biasa, sebelum Ku bertolak ke tempat kerja. Selepas bersalam dengan Ku, Umi masuk ke wad ICU.  Sebaik saja sampai ke dalam wad ICU, Umi melihat ramai doktor di bilik Angah sedang mengelilingi Angah.  Beberapa orang jururawat pula sedang bergegas menolak sebuah mesin.  Melihat keadaan itu, Umi menjadi cemas. Umi mahu masuk ke dalam bilik Angah.  Dr. Hussin yang berada di dalam bilik Angah melihat Umi lalu keluar mendapatkan Umi. Doktor Hussin tidak membenarkan Umi masuk kerana pada waktu itu keadaan Angah sangat kritikal dan tenat. Pada pukul 6.00 pagi tadi, jururawat telah mengesan  masalah paru-paru Angah. Paru-paru Angah tidak berfungsi dan mengecut. Kini para doktor sedang berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan nyawa Angah. Doktor cuba menenangkan Umi dan meminta Umi berserah dan redha sahaja jika apa-apa berlaku kepada Angah.  Umi juga diminta agar banyak berdoa  agar Angah dapat diselamatkan.  Umi terkedu mendengar penjelasan doktor. Badan Umi terasa lemah.  Air mata Umi mula berderai.  Umi menelefon Ku dan Atuk serta Nenek, memberitahu keadaan Angah sambil menangis.  Umi tidak mampu untuk membayangkan jika Umi terpaksa kehilangan Angah, tetapi jika itu yang berlaku, Umi “terpaksa” redha. Umi mula terbayang bagaimana hidup Umi nanti tanpa Angah.  Ya Allah, selamatkanlah Angah, panjangkanlah umur Angah.  Berilah kesempatan kepada Umi untuk terus bersama Angah lagi.  Permudahkanlah urusan para doktor dalam usaha menyelamatkan nyawa Angah. Amin..Amin..Ya Rabbal Alamin… Ku yang tidak sempat sampai ke tempat kerja, segera berpatah balik ke hospital sebaik sahaja menerima panggilan daripada Umi.  Tidak lama kemudian, Ku sampai dan mendapatkan Umi. Umi menangis sambil menceritakan keadaan Angah.  Ku memujuk dan menyabarkan Umi.  Umi dan Ku menunggu di luar wad ICU dengan resah  dan cemas.  Akhirnya, pada pukul 12 tengah hari, Dr. Hussin keluar dari bilik Angah dan mendapatkan Umi dan Ku. Dr. Hussin mengucapkan syukur kerana Angah dapat diselamatkan.  Umi menangis kegembiraan dan mengucapkan syukur tidak putus-putus kepada Allah. Umi dan Ku juga mengucapkan ucapan terima kasih kepada Dr. Hussin dan para doktor yang bertungkus-lumus menyelamatkan nyawa Angah.

         Menurut Dr. Hussin, pukul 6.00 – 11.00 pagi merupakan saat paling genting bagi Angah tapi alhamdulillah Angah dapat  bertahan. Dr. Hussin menjelaskan bahawa kondisi Angah merosot pada hari ini.  Paru-paru Angah ada masalah serius, dan mungkin hal itu  memberi kesan kepada otak Angah. Ya Allah, selamatkan Angah, dengan kekuasaan-Mu, sembuhkanlah penyakit Angah, pulihkanlah paru-parunya.  Ya Allah, aku tidak sanggup kehilangannya. Dr. Noriza pula menjelaskan bahawa Angah mendapat asma yang teruk (masalah pernafasan /spazem) akibat jangkitan kuman.  Sekarang pernafasan Angah lebih baik sedikit setelah diberi ubat dan bantuan mesin. Dr. Noriza kata, paru-paru Angat mengecut.  Kalau tadi paru-paru Angah tidak kembang semula, Angah mungkin tidak dapat diselamatkan. Angah, Angah mesti kuat. Umi yakin sangat Angah boleh sembuh walaupun para doktor kata Angah sangat tenat, tetapi kekuasaan Allah mampu mengatasi segala-galanya.

      Pukul 11.45 pagi tadi, pc02 dalam paru-paru Angah 44.5 (bacaan normal = 30-40). Spazem sudah pecah, syukur Alhamdulillah.  Keadaan paru-paru Angah bertambah baik, begitu juga dengan buah pinggang Angah. Umi, Ku, Atuk, Nenek dan semua orang tidak putus-putus mendoakan kesihatan Angah. Terima kasih semuanya. Sehingga hari ini, Umi rasa sakit Angah ini merupakan ujian terbesar daripada Allah untuk Umi. Mungkin Umi banyak dosa dan Allah menguji Umi melalui Angah.  Waktu petang, Pakcik Roslan dan Makcik Salmi (ayah dan emak Faizal) datang melawat Angah  untuk kali kedua.

        Pukul 2.30 pm,Pco2 =24,0ksigen = 60, Platelet =132. Pukul 4.30 petang, Angah demam semula. Pukul 6.00 petang, Atuk, Nenek, Along dan adik-adik datang melawat Angah. Semasa Umi menemani Angah seorang diri, Umi sempat menulis sebuah sajak untuk Angah, selain membacakan Angah surah Yassin dan al-Quran kepada Angah.



Hari ke-9 : ICU Wad Pediatrik HKL (21 April 2008 : Isnin)

        Umi sampai di wad Angah pukul 10.00 pagi, bertukar shif dengan Ku. Umi dari sekolah. Umi terpaksa pergi ke sekolah kerana cuti Umi sudah habis. Umi  tidak ada cuti lagi untuk menjaga Angah, tetapi nasib baiklah Pn. Zaini merupakan seorang pengetua yang sangat bertimbang rasa dan memahami keadaan Umi.  Beliau  membenarkan Umi ke hospital untuk menemani Angah pada setiap hari, tetapi Umi harus datang ke sekolah terlebih dahulu dan “punch masuk”. Selepas itu, barulah Umi boleh pergi ke hospital. Begitulah Umi setiap hari.  Umi sangat beruntung kerana kawan-kawan Umi begitu baik dengan Umi dan bersedia untuk ‘relief’ / ganti kelas Umi sewaktu Umi ke hospital setiap hari.  Walaupun pada hakikatnya Angah belum sedarkan diri dan dijaga dengan rapi oleh seorang jururawat di ICU, Umi tidak sanggup untuk berjauhan dengan Angah, kerana jika apa-apa berlaku kepada Angah sewaktu Umi tiada di sisi Angah, Umi tidak akan dapat memaafkan diri Umi.

        Apabila Umi sampai, doktor berjumpa dengan Umi dan memberitahu Umi bahawa keadan Angah semakin baik. Angah sudah sedar dan membuka mata tetapi keadaan Angah masih terlalu lemah.  Jururawat memberitahu Umi bahawa Angah memanggil Umi sebaik sahaja Angah sedar. Umi mendapatkan Angah, memeluk dan mencium Angah bertalu-talu.  Umi sungguh gembira kerana Angah sudah sedar.  Syukur Alhamdulillah, Ya Allah. Angah sudah boleh “respond”. Umi menyuruh Angah mengangguk atau menggeleng atau menggenggam tangan Umi apabila Umi bertanya. Lalu Umi menanyakan soalan kepada Angah dan Angah menggangguk-angguk. Syukur Alhamdulillah. Menurut doktor, mereka akan cuba menghentikan bantuan pernafasan kepada Angah hari ini. Mata Angah sudah kurang merah, syukur Alhamdulillah. Jururawat meminta Umi keluar sekejap kerana mereka akan menyedut kahak dalam paru-paru Angah menggunakan tiub.  Selepas itu, Umi masuk semula ke bilik Angah.  Jururawat memberitahu Umi bahawa Angah memanggil Umi tadi. Selepas Umi mengelap badan Angah, Umi memotong kuku kaki Angah. Kaki Angah bengkak. Akhirnya bantuan pernafasan kepada Angah dihentikan. Doktor menyuruh Angah mengangkat kaki, tangan dan menggenggam tangan. Angah sudah boleh bernafas sendiri. Angah memanggil Umi dengan kuat. Alhamdulillah, Angah sudah boleh bercakap. Angah minta hendak minum air tetapi jururawat tidak membenarkan.  Menurut jururawat, Angah tidak boleh minum lagi kerana dikhuatiri Angah  akan tersedak.

         Banyak tiub sudah ditanggalkan dari badan Angah, syukur Alhamdulillah. Semasa jururawat membersihkan badan Angah, badan Angah terdedah. Angah mengadu kesejukan. Keadaan Angah masih lemah. Angah memberitahu Umi bahawa Angah hendak balik ke rumah. Umi memujuk Angah agar bersabar kerana Angah belum sembuh. Belum masanya untuk pulang ke rumah, sayangku. Ayah Su dan abangnya datang melawat Angah tetapi pada waktu itu Angah sedang tidur. Jika keadaan Angah semakin baik malam nanti, kemungkinan besar, esok Angah akan dipindahkan ke wad biasa. Apabila jururawat cuba mengalih kedudukan Angah dan memegang kaki Angah, Angah mengadu sakit. En Saadon dan isteri datang melawat  Angah pada petang itu. Pada waktu malam pula, Atuk, Nenek, Ku, Along dan adik-adik datang melawat Angah.  Malam itu, Umi dan Ku balik ke rumah.  Tinggallah Angah seorang diri di bilik 9 PICU ditemani jururawat sahaja. Sebenarnya Ku mahu menemani Angah seperti malam-malam sebelumnya, tetapi jururawat memberi jaminan bahawa Angah sudah bertambah baik dan tidak perlu ditemani lagi.  Dengan berat hati, Umi dan Ku meninggalkan Angah sendirian.

Hari ke-10 : ICU Wad Pediatrik HKL (22 April 2008 : Selasa)

       Setelah Umi sampai di bilik Angah pada pukul 10.30 pagi, doktor memberitahu Umi bahawa Angah akan dipindahkan ke HDW hari ini. Angah akan dipindahkan ke HDW kerana keadaan Angah masih memerlukan pengawasan rapi, walaupun tidak serapi di ICU. Doktor juga membenarkan Angah minum air kosong hari ini. Itulah kali pertama Angah minum sejak dimasukkan ke wad Pediatrik HKL. Angah hendak buang air, tetapi tidak boleh. Angah mengadu sakit dan pedih di salur kencing, tempat tiub dimasukkan.  Sepanjang Angah tidak sedarkan diri sebelum ini, Angah kencing melalui tiub.  Tiub tersebut masih tidak ditanggalkan.  Doktor meminta Angah bersabar kerana doktor masih mahu memantau air kencing Angah disebabkan air kencing Angah masih keruh. Selepas itu barulah tiub kencing ditanggalkan dari badan Angah.  Angah meminta Umi duduk di sebelah Angah. Angah menangis dan tidak membenarkan Umi meninggalkan Angah. Pukul 12.30 tengah hari, Angah mengadu sakit kepala. Angah meminta Umi memicit kepala Angah. Umi menyapu minyak angin cap kapak di dahi Angah sambil memicit kepala Angah. Tidak lama kemudian, doktor memberitahu Umi bahawa Angah terpaksa dipindahkan ke wad KK6 kerana HDW penuh dengan pesakit. Pada pukul  1.00 petang, Pakcik Ramli, Makcik Yan (ayah dan emak Amirul) datang melawat Angah. Pn. Siti Lijah, Pn. Saedah dan Pn. Maznah juga datang melawat Angah. Pn. Siti memberi RM 50 kiriman Pengetua, manakala beliau sendiri memberi RM50.  Terima kasih kakak-kakak semua.

        Pukul 2.00 petang, Angah dipindahkan ke KK6. Angah mengerang, mengadu sakit perut. Angah berak hitam dan cair sebanyak dua kali.   Umi membersihkan najis Angah buat pertama kali kerana semasa di ICU, jururawat yang membersihkan najis Angah. Umi meminta sarung tangan/glove daripada jururawat tetapi jururawat tidak bagi.  Lalu tanpa glove, Umi membersihkan najis Angah setelah menutup tirai di sekeliling katil Angah. Umi berasa sangat risau melihat keadaan Angah yang tidak henti-henti mengerang. Umi melaporkan keadaan Angah kepada doktor.  Doktor bedah datang untuk memeriksa keadaan Angah. Rupa-rupanya pundi kencing Angah bengkak kerana Angah tidak boleh kencing sendiri.  Hal ini demikian kerana pundi kencing Angah sudah 8 hari berehat menyebabkan pundi kencing “lupa cara hendak kencing”. Jadi doktor memasukkan semula tiub ke dalam salur kencing Angah, kemudian keluar air kencing yang banyak. Barulah Angah berasa lega dan dapat tidur. Doktor akan ajar semula pundi kencing Angah supaya berfungsi semula dengan cara “clam”/kepit tiub kencing 4 jam sekali, kemudian lepas. Syukur Alhamdulillah. Doktor kata Angah memang rasa sakit sangat sebab pundi kencing Angah bengkak.

        Semasa Ku datang pukul 7.00 petang,  Angah berak sekali lagi. Umi mencuci najis Angah dibantu Ku. Ku masih geli-geleman untuk mencuci punggung Angah.  Pukul 8.00 malam, Angah mengadu sakit perut lagi. Doktor pakar meminta pakar bedah datang sekali lagi untuk memeriksa  perut Angah.   Setelah memeriksa perut Angah, doktor memberi ubat penahan sakit kepada Angah dan memberitahu Umi bahawa mereka akan buat x-ray dan ultra sound kepada Angah sekali lagi pada malam ini. Jururawat memasukkan ubat penahan sakit melalui  dubur Angah. Pada pukul 12.30 malam, nadi Angah lemah, oksigen juga kurang, manakala bacaan BP sangat tinggi walaupun diperiksa berulang kali. Doktor menjelaskan bahawa keadaan Angah yang sakit sangat menyebabkan bacaan BP Angah tinggi. Angah tiba-tiba muntah hijau semasa menelan panadol.




Hari ke-11 : Wad KK6 HKL (23 April 2008 : Rabu)

        Hari ini Umi mengambil mc. Hari ini Angah dapat tidur lena sebab Angah diberi bantuan oksigen. Angah cirit-birit dua kali. Angah kelihatan sangat letih. Angah mula minta air dan hendak makan kerana Angah berasa sangat lapar tetapi doktor meminta Angah berpuasa (tidak boleh makan) kerana perut Angah masih sakit dan usus belum berfungsi sepenuhnya.  Angah menangis kelaparan.

      Pukul 6.00 petang, doktor masih tidak membenarkan Angah makan  kerana menurut doktor, muntah hijau menandakan usus tidak berfungsi sempurna, jadi kalau Angah makan, perut Angah akan lebih sakit. Doktor memujuk Angah agar bersabar sampai pagi esok. Sekarang Angah menangis lagi sebab kelaparan. Umi sedih sangat melihat keadaan Angah.  Macam manalah budak berumur 12 tahun seperti Angah mampu menahan lapar begitu lama.  Sudah 11 hari Angah tidak makan.  Umi tidak sampai hati mendengar tangisan dan rengekan Angah.  Umi hanya mampu memujuk Angah, mengusap badan Angah, menyapu air mata Angah dan berdoa agar Allah memendekkan penderitaan Angah serta menyembuhkan penyakit Angah secepat mungkin agar Angah dapat menikmati kehidupan seperti kanak-kanak sihat yang lain. Umi sendiri tidak mampu menahan air mata Umi daripada keluar apabila melihat keadaan Angah. Jika boleh, biarlah Umi sahaja menggantikan tempat Angah, tetapi semua itu tidak mungkin berlaku. Selama ini Angah hanya bertahan dengan air yang dimasukkan ke dalam badan Angah melalui “drip”. Sabarlah sayangku, Angah. Pukul 7.00 petang, Ku, Atuk, Nenek, Along, dan adik-adik datang melawat Angah.


Hari ke-12 : Wad KK6 HKL (24 April 2008 : Khamis)

        Umi sudah tidak tahan mendengar Angah mengerang kesakitan. Apabila sakit perut Angah agak reda sedikit, Angah bermain game di handphone Umi. Dr. Shamimi memberitahu Umi bahawa perut Angah mula berbunyi.   Itu merupakan tanda tindak balas yang mula berlaku dalam perut Angah, berbanding semalam tiada apa-apa bunyi.  Ada perubahan yang baik, kata Dr. Shamini.

         Hari ini “heart beat” Angah sangat rendah=39-42, memang kesan serangan kuman kepialu. Dr.Jeya memberi morfem (ubat tahan sakit) kepada Angah.  Penggunaannya sudah dilaraskan/diset. Jika Angah berasa sakit, Angah akan tekan punat pada tiub dan secara otomatik, morfem akan masuk ke dalam badan Angah melalui tiub ke salur darah Angah. Selesai masalah sakit, Angah menangis lagi. Apabila Umi bertanya, Angah mengadu lapar dan haus yang teramat. Dr. Jeya memantau kondisi Angah. Malangnya, Angah masih tidak dibenarkan makan dan minum sebab usus Angah masih luka. Umi bertanya kepada doktor, bagaimana  Angah boleh bertahan kalau tidak makan atau minum.  Doktor menjelaskan bahawa Angah boleh bertahan kerana dalam “drip” Angah, terdapat garam mineral yang cukup untuk Angah, cuma Angah tidak dapat menahan rasa lapar dan haus sahaja. Pilunya hati Umi mendengar penjelasan doktor.

       Petang itu, Nenek dan Atuk datang melawat Angah sambil membawa berita sedih. Mata Nenek tidak ada harapan untuk sembuh. Mungkin Nenek tidak boleh melihat lagi, tetapi itu semua ramalan doktor. Allah maha berkuasa. Ya Allah , sembuhkanlah mata Nenek agar Nenek boleh melihat hingga akhir hayat Nenek. Umi sangat susah hati apabila memikirkan keadaan Angah dan Nenek. Ayah Faizal datang melawat Angah, begitu juga Ayah Long.

        Esok doktor akan mengambil cecair dari perut Angah.  Doktor akan buat “taping” iaitu menebuk sedikt perut Angah dengan jarum kemudian menyedut cecair dari usus Angah. Angah mengadu sakit-sakit badan, lenguh kaki dan minta diurut. Semasa Umi hendak mengurut kaki Angah, Umi baru tersedar bahawa tumit kaki kanan Angah melepuh kerana  Angah terlalu lama berbaring. Doktor menyuruh Umi mengalih-alih kedudukan badan Angah kerana dibimbangi belakang badan Angah juga akan melepuh jika kedudukan badan Angah kekal berbaring dalam posisi yang sama sahaja. Doktor memberikan Umi bola-bola air kecil berbentuk donut untuk diletakkan di bawah siku dan tumit Angah untuk mengelakkan siku dan tumit Angah melepuh lebih teruk.

Hari ke-13 : Wad KK6 HKL (25 April 2008 : Jumaat)

        Bacaan BP Angah tinggi disebabkan Angah menanggung kesakitan. Keadaan Angah yang sakit perut dan meracau merupakan komplikasi awal demam kepialu, kerana kuman kepialu menyerang otak Angah, manakala “heart beat” Angah rendah kerana kuman menyerang  jantung Angah.  Kuman kepialu mengganas dalam badan Angah.  Begitulah penjelasan doktor. Hancur luluh hati Umi apabila mendengar penjelasan doktor tentang kesan dan akibat yang terpaksa Angah tanggung.  Mampukah Angah bertahan dan menanggung penderitaan itu?  Ya Allah, sembuhkanlah Angah, pendekkanlah penderitaannya.  Hanya kepada-Mu aku memohon, ya Allah. Hari ini, banyak kali doktor cuba mengambil darah Angah dari salur darah di lengan Angah tetapi gagal. Seluruh lengan Angah sudah kena cucuk dan lebam. Angah menangis kesakitan setiap kali lengan Angah dicucuk.  Umi hanya mampu menyabarkan Angah tetapi air mata Umi turut mengalir melihat keadaan  Anggah yang kesakitan. Berkerut muka Angah menahan sakit. Setelah beberapa cubaan tetap gagal, akhirnya Umi turut merungut kerana tidak tahan melihat keadaan Angah diperlakukan begitu oleh jururawat.  Umi mengadu kepada Dr. Amir yang ketika itu berada di kaunter jururawat.  Akhirnya, Dr. Amir mengambil darah Angah.  Alhamdulillah, akhirnya cubaan Dr. Amir berjaya. Terima kasih, Dr. Amir kerana begitu lembut melayan Angah, tidak seperti jururawat yang agak kasar memperlakukan Angah.

       Pada waktu petang, Dr. Kamarul memantau kondisi Angah. Menurut beliau, minggu ini merupakan minggu ke-3 bagi Angah sejak diserang demam kepialu, jadi Angah masih menghadapi komplikasi demam kepialu. Kondisi Angah belum bebas atau melepasi tahap kritikal. Sekarang hempedu Angah pula membengkak. Sebentar lagi doktor akan melakukan “taping” lagi iaitu, mengambil cecair dari perut Angah melalui ultra sound.  Kalau cecair itu memang air hempedu, maknanya hempedu Angah sudah bocor, maka Angah terpaksa dibedah sekali lagi untuk menampal hempedu bagi menghalang air hempedu meracuni semua organ lain dalam badan Angah. Jika terdapat  kebocoran yang serius, doktor akan memotong sedikit usus Angah yang bocor. Kuman salmonella juga menyebabkan keadaan Angah semakin kritikal.

         Pagi ini “heart beat” Angah naik sedikit iaitu 60. Walau bagaimanapun, bacaan BP Angah masih tinggi. Angah dibawa ke bilik ultra sound untuk dilakukan proses  “taping”. Pukul 11.15 pagi, Angah selesai menjalani  ultra sound dan “taping”. Angah minta hendak minum ais sirap bandung, tetapi Angah tidak dibenarkan minum.  Sabarlah sayang.  Akhirnya Angah tertidur dalam tangisan dan kehausan. Pukul 2.30 petang, keputusan “taping” diperoleh. Doktor memberitahu Umi bahawa cecair dalam perut Angah itu bukan air hempedu. Nasib baik hempedu tidak pecah walaupun bengkak, tetapi doktor masih memantau keadaan Angah sepanjang malam. Usus Angah pun masih dalam keadaan baik. Bacaan BP Angah ialah 146/96.

         Pada pukul 5.00 petang, Angah menangis lagi kerana Angah berasa sakit di salur kencing.  Angah tidak boleh kencing sendiri. Tiub salur kencing telah ditanggalkan supaya Angah boleh kencing sendiri tetapi Angah masih tidak boleh kencing juga. Angah terus bising hendak kencing di tandas tetapi Umi memujuk Angah agar bersabar. Sayang, macam mana Angah hendak berjalan ke tandas, sedangkan wayar masih berselirat di tangan Angah. Angah masih merengek hendak ke tandas menyebabkan Umi jadi hilang sabar. Umi memarahi Angah sebab tidak mahu mendengar cakap Umi, tetapi akhirnya Umi menyesal. Umi sebenarnya tidak tahan mendengar tangisan dan rengekan Angah.  Maafkan Umi, sayang. Jururawat pula lembab dan bengap. Walaupun Angah sudah menangis kesakitan agak lama, semuanya buat tidak kisah. Apabila Umi menggesa, mereka menjawab bahawa mereka sedang mencari tiub untuk dipasangkan di salur kencing Angah. Kalau diikutkan hati Umi yang panas, mahu saja Umi menengking mereka kerana lambat bertindak.  Akhirnya, mereka menjumpai tiub tersebut setelah setengah jam mencari sambil berbual-bual.  Setelah memasangkannya  di salur kencing Angah, barulah Angah boleh kencing. Setelah itu Angah tertidur akibat keletihan.

       Dr. Kamarul meminta jururawat menukar ubat penahan sakit yang diberikan kepada Angah, kerana menurut beliau, morfem menyebabkan Angah lebih sakit, tetapi menurut Dr. Jeya, keputusan Dr. Kamarul tidak masuk akal langsung, kerana Angah sudah kurang sakit sejak menggunakan morfem. Umi bersetuju dengan pendapat Dr. Jeya.  Jadi Dr. Jeya mengarahkan jururawat meneruskan morfem kepada Angah. Umi mengeluh, setiap doktor pun bercanggah pendapat dan keputusan. Kalau ada 10 orang doktor yang memantau kondisi Angah, maka 10 pendapat yang berbezalah yang akan muncul. Yang sakit dan  yang menjadi mangsanya ialah pesakit, iaitu Angah. Tak faham betul Umi…

       Pukul 7.00 petang, Atuk, Nenek, Ku, Along, Ahmad dan Kakak dan Baby datang melawat Angah.  Malam ini Ku akan menemani Angah. Pukul 12.00 tengah malam, Umi menelefon Ku, bertanya tentang Angah. Menurut Ku, Angah baru sahaja selesai menjalani x-ray. Dalam paru-paru Angah terkumpul banyak air, dan sebab itulah paru-paru Angah tidak aktif dan kerana itu juga, Angah sesak nafas.

Hari ke-14 : ICU Wad  Pediatrik HKL (26 April 2008 : Sabtu)

       Pada pukul 2.30 pagi, Ku mengirim mesej kepada Umi dan memberitahu Umi bahawa Angah dimasukkan semula ke ICU kerana doktor hendak mengeluarkan cecair dari paru-paru Angah. Doktor telah menebuk satu lubang kecil di bawah ketiak kiri Angah untuk memasukkan “test tiub” ke dalam paru-paru Angah. Melalui test tiub itu, cecair dari paru-paru Angah dikeluarkan. Doktor telah mengeluarkan “darah hidup” (darah  merah yang pekat) dari paru-paru Angah.
     
        Sebaik sahaja Umi sampai di ICU, Umi melihat  Angah sedang menangis  kerana doktor hendak mencucuk lengan Angah untuk mengambil darah. Angah memprotes dan menolak tangan doktor.  Doktor memujuk lagi tetapi Angah tetap menolak dan menangis. Akhirnya doktor mengalah dan tidak mahu memaksa Angah.  Mereka menunggu kedatangan Umi agar Umi dapat memujuk Angah.  Setelah Umi memujuk Angah, Angah diam.  Doktor meminta Umi keluar sekejap kerana mereka hendak malakukan proses mengambil darah terhadap Angah.  Umi memujuk Angah dengan memberikan telefon bimbit Umi kepada Angah dan menyuruh Angah menelefon Umi apabila proses mengambil darah selesai. Kemudian Umi beredar keluar dari wad ICU.  Tidak lama kemudian, Angah menelefon Umi dan meminta Umi masuk segera kerana proses mengambil darah sudah selesai.  Umi terus masuk ke wad ICU dan mendapatkan Angah.  Angah kelihatan “moody”. Doktor mengusik Angah dan mengatakan Angah tidak sabar-sabar hendak bersama Umi. Kebetulan Umi terlihat seorang pesakit dalam bilik ICU itu sedang menonton TV bersendirian dan TV itu diletakkan di hadapan katilnya, lalu Umi bertanya kepada jururawat.  Jururawat memberitahu Umi, jika Angah hendak menonton TV, mereka boleh menyediakannya untuk Angah. Setelah mendengar jawapan jururawat, Umi bertanya kepada Angah sama ada Angah hendak menonton TV atau tidak. Angah mengangguk, lalu Umi meminta TV daripada jururawat. Jururawat juga memberikan beberapa keping CD kepada Angah.  Angah memilih untuk menonton filem Harry Porter.

       Doktor memberitahu Umi bahawa platelet Angah ialah 36. Jururawat juga memberitahu Umi bahawa sebanyak 180 ml darah pekat  telah dkeluarkan dari paru-paru Angah semalam, manakala pagi ini sebanyak 200 ml lagi darah pekat dikeluarkan dari paru-paru Angah.
     
       Pada waktu petang, Cikgu Pasupathy, Cikgu Ruwaidi,  Cikgu Hussin, Ustaz Zulkifli, Cikgu Faizul dan Cikgu Firhan datang melawat Angah. Thanks guys. Ayah Chik, Cik Errr dan anak-anak, Atuk dan Nenek  juga datang  melawat Angah. Pada pukul 9.00 malam, Umi dan Ku balik bersama Atuk dan Nenek, meninggalkan Angah sendirian di dalam wad ICU, ditemani oleh jururawat sahaja.  Sebenarnya Umi tidak sampai hati untuk meninggalkan Angah sendirian, tetapi jururawat memberi jaminan bahwa mereka akan sentiasa ada di sisi Angah.

Hari ke-15 : ICU Wad Pediatrik HKL (27 April 2008 : Ahad)

         Pukul 5.00 pagi, Angah menelefon Umi.  Angah bertanya kepada Umi pukul berapa Umi akan datang ke hospital untuk menemani Angah.  Umi menjelaskan bahawa Umi akan ke hospital lebih kurang pada pukul 9 .00 pagi kerana Umi harus ke sekolah terlebih dahulu.  Setelah Umi sampai di ICU, Umi mendapatkan Angah. Angah kelihatan lebih sihat pada hari ini berbanding semalam. Doktor juga memberitahu Umi bahawa kondisi Angah “much better”.  Hari ini platelet  Angah ialah 56.  Pukul 1.00 tengah hari, doktor membenarkan Angah minum air. Angah mula minum air milo kotak. Alhamdulillah. Sebenarnya doktor menyuruh Angah minum air kosong terlebih dahulu sebelum minum air bancuhan lain kerana perut Angah masih belum sembuh sepenuhnya. Pada pukul 2.00 petang, badan Angah masih ditambah platelet sebanyak 100 ml, manakala bacaan HB Angah ialah 9+.  Morfem secara berterusan ditukar kepada automatik.  Jika Angah berasa sakit, Angah hanya perlu menekan punat  pada mesin untuk mengalirkan morfem ke dalam badan Angah.

      Pada waktu petang, ramai yang datang melawat Angah. Atuk, Nenek, Ayah Chik, Cik Err, Cik Da, Ayah Lil dan anak-anak serta Pakcik Ramli (ayah Amirul) melawat Angah. Pada petang itu juga Angah mula makan untuk pertama kali setelah 15 hari tidak makan. Angah makan bubur nasi yang disuap oleh jururawat. Pada malam itu juga, Atuk dan Nenek serta Ahmad pulang ke Wakaf Che Yeh menaiki kapal terbang.  Umi berasa sedih kerana tiada sesiapa lagi di rumah yang akan menemani Along, Danial, Kakak dan Baby sewaktu Umi dan Ku menemani Angah di hospital secara bergilir-gilir.  Pada pukul 10.30 malam, Umi pulang ke rumah. Tidak lama kemudian, Angah menelefon Umi dan meminta Umi datang ke hospital  untuk menemani Angah, dengan alasan Angah sakit.  Umi memujuk Angah supaya bersabar dan menjelaskan kepada Angah bahawa Umi baru sahaja tiba di rumah dan Umi berasa sangat letih untuk kembali ke hospital.  Umi berjanji akan pergi ke hospital  pada awal pagi esok untuk menemani Angah.

Hari ke-16 : ICU Wad Pediatrik HKL (28 April 2008 : Isnin)

        Hari ini apabila Umi pergi ke sekolah, ramai kawan-kawan Umi bertanya tentang Angah.  Hari ini Umi ke hospital selepas waktu sekolah.  Umi terpaksa pergi ke sekolah dan mengajar seperti biasa kerana  sudah banyak hari Umi tidak mengajar.  Kasihan pelajar-pelajar Umi. Mereka juga bertanya tentang khabar Angah. Hari ini Umi sampai ke hospital pada pukul 3.00 petang.  Umi kelewatan sebab jalan ke hospital jam.  Doktor melaporkan keadaan Angah semakin pulih.  Hari ini platelet angah ialah 7.3 manakala HB Angah ialah 14+.  Walau bagaimanapun, masih terdapat “blood stain” dari paru-paru Angah. Doktor masih menambah platelet ke dalam badan Angah. Hari ini Angah makan roti.  Morfem sudah dihentikan.  Doktor cuma memberikan Angah PCM.  Pada pukul 11.00 malam, setelah Umi pulang, Angah menelefon Umi sambil menangis.  Angah meminta Umi menemani Angah.  Umi tidak berdaya untuk menunaikan permintaan Angah kerana Umi terpaksa pergi ke sekolah pada esok hari. Umi cuba menahan hati Umi sambil memujuk Angah.  Sebenarnya Umi tidak sanggup mendengar tangisan Angah , tetapi  apa daya Umi, sayang.  

Hari ke-17 : ICU Wad Pediatrik  HKL (29 April 2008 : Selasa)

       Hari ini Umi sampai ke hospital pada pukul 2.30 petang.  Semasa Umi sampai, Angah sedang berlatih bernafas dibantu oleh pakar fisioterapi. Hari ini Angah sudah boleh bernafas sendiri tanpa bantuan oksigen lagi. Hari ini bacaan platelet Angah ialah 76, HB = 14+ manakala heart beat Angah 79-90. Jururawat memberitahu Umi bahawa pada petang ini Angah akan dipindahkan ke Wad KK6 semula kerana keadaan Angah semakin pulih. Benar, Angah kelihatan semakin sihat.  Syukur Alhamdulillah kepada Allah. Angah juga sudah boleh berjalan ke tandas. Doktor telah menanggalkan “test tiub” dari paru-paru Angah dan menampal/ menjahit lubang yang ditebuk di bawah ketiak kiri Angah kerana paru-paru Angah sudah “clear”.  Pada pukul 4.00 petang, Angah dipindahkan ke Wad KK6. Cikgu Lye Jin San datang sendirian melawat Angah dan membawa buah tangan untuk Angah.  Thanks Lye. Umi sangat terharu kerana semua cikgu SMK Taman Tasik begitu mengambil berat tentang Angah.  Mereka semua banyak memberi sokongan dan semangat kepada Umi.  Sebenarnya, hampir setiap hari cikgu-cikgu lelaki dan cikgu-cikgu perempuan bersama para pelajar mengadakan solat hajat di surau sekolah khusus untuk Angah, memohon Allah menyembuhkan penyakit Angah.  Terima kasih Ya Allah kerana mengurniai Umi kawan-kawan yang baik, prihatin serta selalu mendoakan kesihatan Angah.  Terima kasih juga kawan-kawanku atas keprihatinan kalian dan semangat serta kebaikan kalian kepada diriku sekeluarga. Hanya Allah yang mampu membalas kebaikan kalian.

Hari ke-18 : Wad KK6 HKL (30 April 2008 : Rabu)

       Hari ini Umi sampai di Wad KK6 pada pukul 2.45 petang.  Semasa Umi sampai, Umi agak terkejut apabila melihat Angah bernafas menggunakan bantuan oksigen semula.  Rupa-rupanya Angah diberi bantuan oksigen sejak awal pagi.  Hari ini doktor mengambil darah Angah lagi.  Kondisi Angah agak merosot sedikit pada hari ini.  Pada pukul 3.15 petang, Dr. Harjit memeriksa Angah.  Menurut beliau, Angah kelihatan lebih penat berbanding pagi tadi. Mereka telah melakukan pemeriksaaan x-tray terhadap Angah dan mendapati terkumpul semula cecair di dalam paru-paru Angah. Oleh sebab itu, doktor membuat keputusan untuk menebuk semula dada Angah bagi mengeluarkan cecair dari paru-paru Angah.  Menurut Dr. Harjit, jika mereka tidak melakukannya sekarang, mereka bimbang kondisi Angah akan menjadi lebih teruk seperti sebelumnya, tambahan pula esok tidak ada doktor yang akan bertugas untuk memantau kondisi Angah kerana esok ialah hari cuti umum iaitu cuti Hari Pekerja (1 Mei). Hanya seorang doktor “on call” sahaja yang akan berada di wad itu secara bergilir-gilir. Walau bagaimanapun, Dr. Harjit bimbang doctor “on call” tersebut tidak akan perasan keadaan Angah.

       Pada pukul 4.00 petang, Umi memandikan Angah kerana Angah mengadu  bahawa badan Angah melekit. Umi memandikan Angah, membedakkan Angah, menyapu “lotion” dan mengorek telinga Angah.  Umi juga membersihkan daki di celah-celah jari kaki Angah.  Selepas mandi dan membersihkan badan,  Angah kelihatan lebih segar dan sihat. Pukul 5.00 petang, Angah di bawa ke bilik rawatan untuk proses memasukkan semula “test tiub” ke dalam paru-paru kiri Angah. Doktor tidak membenarkan Umi menemani Angah di bilik rawatan.  Doktor menjelaskan kepada Umi bahawa mereka akan memberikan Angah ubat penahan sakit dan ubat tidur sebelum proses memasukkan semula “test tiub” itu dilakukan. Semasa proses dilakukan, Angah menangis dan meraung kesakitan.  Umi yang berada di luar bilik rawatan dapat mendengar tangisan dan raungan Angah. Pilu hati Umi mendengar tangisan Angah yang sedang menanggung kesakitan apabila lubang asal di bawah ketiak kiri Angah yang sudah dijahit, ditebuk semula. Umi hanya mampu berdoa agar Allah mengurangkan kesakitan yang ditanggung oleh Angah.  Umi berasa hairan kerana Angah terus menangis dan berada dalam keadaan sedar semasa proses dilakukan, sedangkan doktor memberitahu Umi bahawa mereka akan membius Angah  terlebih dahulu agar Angah tidak berasa sakit. Setelah selesai proses menebuk lubang semula di bawah ketiak kiri Angah, Angah dibawa keluar ke katil Angah di Wad KK6. Setelah itu, sebanyak 200 ml darah hidup dikeluarkan dari paru-paru Angah. Walau bagaimanapun, darah itu lebih cair berbanding darah sebelumnya.

       Pada pukul 6.45 petang, Ku, Kakak dan Baby datang melawat Angah.  Pada pukul 8.15 malam, Dr. Shiela memeriksa keadaan Angah.  Dr. Sheila bertanya, adakah Angah berasa lebih lega setelah darah dikeluarkan dari paru-paru Angah. Angah hanya mengangguk sahaja. Sebenarnya Dr. Sheila tidak gembira akan kondisi Angah.   Beliau menerangkan bahawa pihak hospital  Pediatirk HKL telah membentangkan kes Angah kepada pakar-pakar serta merujuk pakar di Hospital  Besar Kota Bharu, memandangkan doktor-doktor di sana lebih arif tentang penyakit demam kepialu.  Menurut mereka, semua komplikasi yang dihadapi oleh Angah memang “matching” dengan komplikasi demam kepialu, kecuali darah yang terkumpul di dalam paru-paru Angah. Memang ada cecair di dalam paru-paru mangsa  demam kepialu tetapi warnanya jernih, bukannya “darah hidup” seperti yang terkumpul di dalam paru-paru Angah. Jadi, kes Angah ni dianggap “complicated” sebab ada darah. Dr. Shiela juga berasa bimbang dan was-was jika terdapat faktor lain yang menjadi penyebabnya, namun, selagi keputusan “speciment” yang didapati dari perut Angah belum diperoleh, beliau tidak berani  untuk berkata apa-apa.

     Setelah keluar dari ICU dan duduk di wad, mula-mula kondisi Angah ok tapi selepas itu bertambah buruk. Sudah dua kali keadaan seperti itu berlaku.Ya Allah, sembuhkanlah penyakit Angah dan permudahkanlah urusan doktor untuk merawat Angah. Angah meminta Umi agar  menyapu minyak angin dan mengurut dada Angah, kerana  Angah berasa sakit dada. Angah mengadu, semakin lama dada Angah semakin sakit. Dr. Shamini datang untuk memeriksa keadaan Angah dan meminta jururawat menjalankan E.C.G ke atas Angah.  Sepanjang malam Angah tidak dapat tidur lena kerana sakit dada. Pukul 4.00 pagi, setelah doktor memberikan Angah “pentedin” (ubat tahan sakit), barulah Angah boleh tidur.

Hari ke-19 : Wad KK6 HKL (1 Mei 2008 : Khamis)

         Pagi ini kondisi Angah semakin baik. Darah yang dikeluarkan dari paru-paru Angah ialah 350 ml. Selepas Umi mengelap badan Angah, menyapu lotion dan membedakkan Angah, Angah makan ais krim Cornetto yang Umi beli dari kedai di luar Wad Pediatrik.  Hari ini darah yang keluar dari paru-paru Angah lebih cair daripada semalam.  Pukul 4.00 petang, Cik Err dan Ayah Chik serta anak-anak datang  melawat Angah sambil membawa Dunkin Donut untuk Angah. Kawan Ku dari Raub serta Cikgu Rokiah, suami dan anaknya (juga kawan Angah), Pakcik Ramli dan Makcik Yan juga datang melawat Angah. Kami semua gembira melihat Angah sudah boleh makan, dan Angah makan dengan berselera sekali, maklumlah, sudah lama Angah tidak makan makanan kegemaran Angah.  Alhamdulillah dan terima kasih,  Ya Allah. 




Hari ke-20 : Wad KK6 HKL (2 Mei 2008 : Jumaat)

         Hari ini Umi sampai di hospital pada pukul 2.00 petang. Angah kelihatan lebih sihat. Dr. Rozita memberitahu Umi bahawa mereka akan “clam” test tiub pada paru-paru Angah dan akan menjalankan x-ray ke atas Angah pada hari Isnin untuk memantau paru-paru Angah. Jika “drain” dalam paru-paru Angah benar-benar sudah kering / tiada,  barulah mereka mengeluarkan “test tiub” dari paru-paru Angah.  Alhamdulillah, hari ini bukan lagi darah yang keluar dari paru-paru Angah, cuma cecair kuning yang jernih. Dr. Rozita menerangkan kepada Umi bahawa mereka akan terus memberikan Angah antibiotik  selama 4 hingga 6 minggu lagi untuk membunuh kuman yang tersembunyi dalam hempedu Angah.
      
       Pagi tadi di sekolah, kumpulan cikgu-cikgu Cina telah memberikan Umi hadiah berupa barangan makanan untuk diberikan kepada Angah, seperti milo, biskut, dan buah-buahan.  Rupa-rupanya mereka telah berpakat mengumpulkan duit untuk membeli hadiah tersebut. Umi betul-betul terharu atas keprihatinan mereka terhadap Angah. Thanks guys. I really appreciate it.


Hari ke-21 : Wad KK6 HKL (3 Mei 2008 : Sabtu)

       Hari ini Atuk menelefon Umi dan bertanya khabar Angah. Dr Harjeet memberitahu Umi bahawa esok mereka akan “clam” test tiub pada paru-paru Angah dan menjalankan x-ray ke atas Angah pada hari Isnin. Alhamdulillah, hari ini tiada langsung “drain” dari paru-paru Angah.

Hari-22 : Wad KK6 HKL (4 Mei 2008 : Ahad)

        Seperti yang telah diberitahu oleh doktor, hari ini mereka “clam” test tiub pada paru-paru Angah. Dr.Izzuddin menanggalkan O2  yang dberikan kepada Angah. Angah kelihatan “much-much better”.  Semasa Umi datang, Angah sedang makan nasi lemak yang dibeli oleh Ku pagi tadi.  Sungguh berselera Angah makan.   Pada waktu petang, Ayah Chik dan Cik Err serta anak-anak datang melawat Angah.  Mereka membawa buku cerita serta KFC untuk Angah. Pada waktu itu juga Atuk menelefon Umi dan bertanya khabar Angah.

Hari ke-23 : Wad KK6 HKL (5 Mei 2008 : Isnin)

        Hari ini Danial dan kakak demam.  Pagi tadi pada pukul 4.30 pagi, Danial bangun dari tidur dan menangis sambil mengadu sakit kepala. Umi berasa risau dan susah hati.  Umi bimbang Danial juga mengidap demam yang sama dengan Angah.  Ku mengambil cuti untuk menjaga Danial dan Kakak di rumah. Hari ini Umi pergi  ke sekolah sekejap. Pukul 8.30  pagi, Umi terus ke hospital untuk melihat Angah.  Selepas mengelap badan Angah, doktor menjalankan x-ray ke atas Angah. Keputusan x-ray ok walaupun tidak 100%.  Doktor membuat keputusan untuk menanggalkan test tiub pada paru-paru Angah kerana bimbang berlaku jangkitan lain sekiranya paru-paru Angah terlalu lama dipasang test tiub, tambahan pula sudah 2 hari tidak ada “drain” dari paru-paru Angah. Angah mengadu sakit belakang dan bahu kiri pula sambil menangis. Ya Allah, macam-macam kesakitan yang Angah rasa dan tanggung.  Sabarlah Angah.  Umi mengurut belakang dan bahu Angah.  Jururawat memberikan Angah PCM untuk mengurangkan rasa sakit belakang dan bahu Angah. Setelah keadaan Angah agak ok, Umi menyuapkan nasi kepada Angah.

        Pada pukul 1.30 petang, Dr. Rozita dan Dr. Shamini menanggalkan test tiub dari paru-paru Angah dalam bilik rawatan. Malam ini Ku tidak dapat menemani Angah kerana Umi dan Ku hendak membawa Danial dan Kakak ke Hospital Ampang untuk pemeriksaan darah.  Pada pukul 6.30 petang, Umi  dan Ku membawa Danial dan Kakak ke Hospital Ampang untuk pemeriksaan darah di Unit Kecemasan. Di kaunter Unit Kecemasan, Umi menceritakan “history” Angah agar pihak hospital cepat-cepat memeriksa Danial dan Kakak.  Hasil ujian darah, Kakak demam biasa manakala Danial terpaksa  ditahan di wad kerana platelet Danial agak rendah. Danial masuk wad kerana ada “history family”, kata doktor yang memeriksa Danial. Semasa Danial dibawa ke wad, beberapa  orang jururawat menegur Danial.  Rupa-rupanya mereka menyangka Danial ialah Angah.  Mereka masih ingat peristiwa Angah melompat dari katil sewaktu malam kedua Angah dirawat di situ. Mereka bertanya khabar Angah.  Alhamdulillah, Angah semakin sihat walaupun masih ditahan di wad.

      Pukul 10.30 malam, Danial di masukkan ke wad, bilik seorang.  Jururawat terus memasang drip kepada Danial.  Umi dan Ku berbincang dengan doktor dan meminta kebenaran untuk memindahkan Danial ke Wad Pediatrik HKL sama dengan wad Angah, tetapi doktor tidak meluluskan permintaan Umi dan Ku kerana  mereka belum mendiagnos dan membuat prosedur terhadap Danial. Jika apa-apa berlaku kepada Danial nanti,  mereka akan didakwa sebagai tidak bertanggungjawab kerana lepas tangan dan membiarkan pesakit  mereka ke hospital lain.  Umi dan Ku terpaksa akur dengan keputusan doktor, kerana memang benarlah penjelasan doktor itu. Setelah lewat malam, Umi dan Ku meninggalkan Danial seorang diri di wad tanpa ditemani. Setelah Umi memeluk, mencium dan menenangkan Danial, Umi, Ku, Kakak dan Baby beredar pulang.  Semasa Umi hendak pulang, jururawat memberikan Danial bantuan oksigen kerana mereka mendapati Danial agak sukar bernafas.  

6 Mei 2008 : Selasa
Angah : Hari ke-24 : Wad KK6 HKL
Danial : Hari Pertama : Wad Pediatrik Hospital Ampang

       Ku menelefon Umi dan memberitahu Umi bahawa hari ini Angah dipindahkan ke katil belakang, jauh dari kuanter jururawat  kerana keadaan Angah semakin sihat. Hari ini Umi tidak boleh menemani Angah di wad kerana Umi mahu menemani Danial. Hanya Ku menemani Angah hari ini.  Dari sekolah, Umi terus ke hospital Ampang untuk menemani Danial. Pukul 6.15 petang, Umi pulang ke rumah sekejap untuk mengambil Kakak dan Baby, kemudian Umi datang semula untuk menyuap nasi kepada Danial. Batuk Danial semakin teruk.  Oleh sebab sehari suntuk Umi tidak melihat Angah,  Umi berasa rindu terhadap Angah. Pada waktu malam, giliran Ku menemani Danial. Umi pulang ke rumah bersama Kakak dan Baby.  Oleh sebab Angah sudah semakin sihat, Ku tidak perlu lagi menemani Angah pada waktu malam.
      
      Dr. Rashidah memberitahu Ku bahawa melalui x-ray, terdapat  “infection” (jangkitan) pada paru-paru Danial, dan sebab itulah batuk Danial agak teruk dan Danial sukar bernafas. Doktor juga telah menjalankan ujian “blood culture” terhadap Danial, tetapi keputusannya sama ada Danial dijangkiti kuman kepialu atau tidak, hanya boleh diketahui dalam masa 3-4 hari.

7 Mei 2008 : Rabu
Angah : Hari ke-25 : Wad KK6 HKL
Danial : Hari ke-2 : Hospital Ampang

        Pukul 10.00 pagi, Umi minta kebenaran daripada Pengetua untuk melawat dan menemani Danial di wad. Semasa Umi sampai di bilik Danial, Umi melihat doktor sedang memberi gas  kepada Danial untuk memecahkan kahak dalam paru-paru Danial. Danial kelihatan lebih sihat hari ini. Batuk Danial juga sudah berkurang.  Pukul 12.30 tengah hari, selepas menyuapkan nasi kepada Danial, Umi pulang sekejap ke rumah untuk mengambil Baby dari nursery, kemudian Umi membawa Baby bersama-sama Umi ke HKL untuk menemani Angah pula hingga waktu malam. Umi tidak membawa Kakak kerana Kakak bersekolah pada sesi petang.  Along akan menguruskan kakak di rumah.  Rupa-rupanya, pada waktu tengah hari selepas waktu sekolah, kawan-kawan Umi iaitu Cikgu Nurul Khalbee, Cikgu Hartini, Cikgu Layalina dan Cikgu Hasnani datang melawat Danial di Hospital Ampang, tetapi pada waktu itu Umi sudah beredar ke HKL untuk menemani Angah.  Walau apapun, terima kasih Nurul, Tini, Nani dan Kak Ina kerana sudi melawat Danial dan begitu mengambil berat akan kesusahan yang dialami oleh Umi.


8 Mei 2008 : Khamis)
Angah : Hari ke-26 : Wad KK6 HKL
Danial : Hari ke-3 : Hospital Ampang

       Hari ini Umi datang menemani Danial pada pukul 10.00 pagi.  Dr. Roshidah memberitahu Umi tentang keputusan ujian darah  Danial. Rota virus +ve dan Mikroplasma juga +ve. Kepialu dan “blood culture” pula negatif. Keputusan “stool” belum diperoleh.  Walau apapun,  Alhamdulillah. “Drip” Danial dihentikan kerana Danial sudah boleh makan dan minum dengan baik.  Seperti semalam, setelah menyuapkan nasi kepada Danial, lebih kurang pukul 1.00 petang, Umi pulang untuk mengambil Baby di nursery, lalu terus ke HKL.

        Sebenarnya  Umi sangat kepenatan kerana terpaksa berulang- alik dari Hospital Ampang, kemudian ke HKL dan pulang semula ke rumah setelah lewat malam untuk beberapa hari.  Walaupun Umi penat, Umi redha demi anak-anak Umi yang Umi kasihi sepenuh hati.  Umi sanggup melakukan lebih daripada itu demi anak-anak Umi. Itulah pengorbanan seorang Umi.  Umi sebenarnya sedih kerana perhatian terhadap Along, Kakak dan Baby seakan terabai, tetapi Umi bersyukur kerana  Along, Kakak dan Baby mampu berdikari dan memahami situasi Umi.  Baby yang  baru berumur 4 tahun tidak merengek dan tidak menangis walaupun Umi pernah meninggalkan Baby lama di nursery dan hanya mengambil Baby setelah hari malam selama beberapa hari.  Kakak juga pandai menguruskan diri sendiri untuk pergi ke sekolah walaupun baru darjah  satu.  Paling membanggakan, Along begitu bertanggungjawab menguruskan Kakak, menghantar dan mengambil Kakak dari sekolah dan menemani Kakak pada waktu malam, walaupun  Along hanya berumur 14 tahun.  Terima kasih Ya Allah, kerana mengurniaiku anak-anak yang baik dan memahami situasiku.   Walaupun begitu, Umi tetap sedih kerana tidak sempat menguruskan Kakak.  Biasanya, selepas memandikan Kakak,   Umi akan mengelap, meletakkan minyak zaitun, menyisir dan mengikat atau mendandan rambut Kakak sebelum Kakak ke sekolah setiap hari, tetapi sejak Angah sakit, rambut Kakak yang panjang tidak lagi terurus.  Nenek pernah mencadangkan kepada Umi agar memotong sahaja rambut Kakak yang panjang kerana rambut Kakak tidak lagi terurus dan sangat kusut.  Nenek kasihan melihat Kakak yang terkial-kial mengelap dan menyisir rambutnya sendiri. Semasa Nenek ada, Neneklah yang menguruskan kakak, tetapi setelah Nenek pulang, kakak terpaksa menguruskan dirinya sendiri. Ku tidak pernah menguruskan rambut kakak dengan alasan tidak pandai. Umi tidak sanggup memotong rambut Kakak kerana sayang  akan rambut Kakak yang panjang dan cantik. Kakak, sabar ya sayang, nanti setelah semuanya kembali normal, Umi akan uruskan Kakak seperti dulu.    


9 Mei 2008 : Jumaat
Angah : Hari ke-27 : Wad KK6 HKL
Danial : Hari ke-4 : Hospital Ampang

       Seperti semalam juga, Umi mmenemani Danial dari pagi. Umi menelefon Angah dan bertanya sama ada Angah sudah boleh “discharge” atau tidak hari ini.  Angah menjelaskan bahawa doktor memberitahu Angah bahawa Angah belum boleh “discharge” hari ini kerana bacaan BP Angah masih tinggi.  Setelah menyuapkan nasi kepada Danial, rutin Umi ialah mengambil Baby di nursery kemudian terus ke HKL untuk menemani Angah pula.  Umi membawa nasi tomata untuk Angah. Umi dan Baby menemani Angah hingga waktu Maghrib.  Selepas solat Maghrib, Umi dan Baby pulang ke rumah.


10 Mei 2008 : Jumaat
Angah : Hari ke-28 : Wad KK6 HKL
Danial : Hari ke-5 : Hospital Ampang

        Hari ini Umi datang menemani Angah pukul 9.30 pagi. Umi akan menemani Danial sebelah petang pula, bertukar masa dengan Angah. Sebenarnya Umi datang pada waktu pagi kerana Umi berharap Angah sudah boleh “discharge” hari ini, jadi Umi bolehlah membawa Angah pulang bersama-sama Umi, seterusnya  Umi dan Angah akan pergi ke hospital Ampang pula untuk menemani Danial, tetapi harapan Umi berkecai.  Angah masih tidak boleh “discharge” kerana  bacaan BP Angah naik semula. Doktor menjelaskan kepada Umi bahawa mereka mahu memantau BP Angah  dan memastikan BP Angah benar-benar ok sebelum Angah dibenarkan pulang.  Umi akur dengan keputusan doktor demi kesihatan dan kebaikan Angah juga. Angah merungut hendak pulang ke rumah kerana Angah berasa sangat bosan berada di wad terlalu lama. Sabarlah Angah. Umi membeli nasi lemak, donat dan teh tarik untuk Angah.

       Selepas solat Zohor, Umi beredar dan terus ke Hosptial Ampang pula, tetapi sebelum itu, Umi singgah di nursery untuk mengambil Baby.  Umi dan Baby menemani Danial hingga waktu Maghrib sehingga Ku datang untuk menemani Danial pada waktu malam.


11 Mei 2008 : Sabtu
Angah : Hari ke-29 : Wad KK6 HKL
Danial : Hari ke-6 : Hospital Ampang

       Pagi ke HKL,  tengah hari ke hospital Ampang.


12 Mei 2008 : Ahad
Angah : Hari ke-30 : Wad KK6 HKL
Danial : Hari ke-7 : Hospital Ampang


        Pagi ke HKL, tengah hari ke hospital Ampang.


13 Mei 2008 : Isnin

      Setelah genap sebulan Angah berada di wad, dan genap seminggu  juga Danial berada di wad, akhirnya hari ini Angah dan Danial sama-sama “discharge”. Alhamdulillah. Walau bagaimanapun, Umi dan Ku harus membawa Angah ke HKL untuk membuat “follow up check up”  bagi memastikan  Angah betul-betul sihat dan bebas daripada semua kuman penyakit. Sekembalinya Angah ke rumah iaitu dalam masa dua minggu, kuku tangan Angah tanggal dan rambut Angah gugur.  Semakin lama semakin banyak rambut Angah gugur sehingga menampakkan kulit kepala Angah.  Umi dan Ku berasa sangat risau melihat keadaan Angah.  Umi dan Ku membawa Angah ke HKL untuk membuat pemeriksaaan.  Umi bertanya kepada doktor sebab kuku Angah tanggal dan rambut Angah gugur. Doktor menjelaskan bahawa semua itu kesan daripada “dose” ubat yang terlalu kuat yang diberikan kepada Angah semasa Angah sakit dahulu. Semua itu merupakan kesan sementara jadi doktor meminta Umi agar tidak bimbang kerana rambut Angah akan tumbuh semula, begitu juga dengan kuku tangan Angah. Apabila Umi mendengar penjelasan doktor, Umi berasa sangat lega.  Memang benar kata doktor, tidak lama kemudian, kuku baru Angah dan rambut Angah tumbuh semula. Rambut Angah yang baru tumbuh lebih halus, ikal dan lebih lebat daripada rambut asal.  Syukur Alhamdulillah.  Semuanya telah kembali kepada keadaan asal.  Terima kasih Ya Allah.


             Sepanjang Angah sakit, hampir setiap hari Umi mengirim mesej tentang keadaan/kondisi Angah kepada Atuk, Nenek, adik-beradik, dan kawan-kawan baik Umi. Mereka juga mengirim mesej kepada Umi sambil memberi semangat kepada Umi dan sentiasa mendoakan kesihatan Angah.  Terima kasih semuanya.  Tanpa kalian, Umi pasti rebah dan patah semangat. Umi tidak kuat untuk menghadapi masalah itu seorang diri. Hanya Allah yang mampu membalas kebaikan kalian terhadap Umi dan Angah.

 Mesej daripada Ayah Chik.

Kita adik-beradik kenalah sama-sama susah dan senang.  Kalau orang lain kita boleh bersimpati, inikan pula darah daging sendiri.  Cuma doa dan kata-kata semangat yang mampu Abang Chik beri.  Ini masa Kak Nik, tak tahu esok lusa terkena kepada Abang Chik  pula...naiyazubillah..harap-harap kita semua sihat dan dilindungi oleh-Nya sentiasa. Insya-Allah.

Sabarlah Kak Nik, ini dugaan daripada Allah.  Kita kena ingat bahawa setiap kesakitan dan musibah itu adalah untuk menghapuskan dosa-dosa kecil kita dan menginsafi segala kesilapan kita dan menunjukkan Allah masih sayang dan ingat kepada kita hamba-Nya, agar kita selalu sabar dan ingat kepada-Nya.  Hatta sahabat pada zaman Rasulullah rungsing jika lama tidak sakit dan tidak mendapat musibah kerana mereka takut Allah telah melupakan mereka.  Wallahhuallam.

Alhamdulillah, marilah sama-sama kita terus berdoa kepada Allah agar Angah benar-benar sembuh dan dapat keluar dari hospital dengan segera.  Sama-samalah kita sujud syukur dan solat sunat taubat kepada-Nya.  Insya-Allah.

Insya-Allah Angah akan selamat dan cepat sembuh. Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim, Ya Malik, Ya Quddus, selamatkan dan sembuhkanlah anak saudaraku Engku Ariff Iskandar dengan segera.  Kau ampunilah dosa-dosa kami dan Kau berilah kekuatan kepadanya serta kesabaran kepada kami hamba-Mu untuk menempuh dugaan-Mu ini, Ya Allah Ya Jabbar, Ya Qahhar, Ya Aziz, Ya Rabbalalamin.  Hanya kepada-Mu Ya Allah kami memohon dan berharap dan hanya Engkaulah Maha berkuasa.  Amin Ya Rabbalalamin.


Mesej Daripada Che Lah

Sabarlah kak Nik.  Insya-Allah bila dah rujuk kepada pakar-pakar ni, ada penawar terbaik. Mereka akan buat yang terbaik dan kita pakat-pakat berdoa.  Tenangkanlah hati Kak Nik untuk memberi kekuatan kepada Angah untuk melawan penyakitnya.

Tak apalah Kak Nik, bila senang kita bersama, begitu juga masa susah, kita akan sama-sama merasainya dengan bermohon agar Angah segera sembuh.  Sekarang ni Kak Nik diuji. Esok lusa entah siapa pula orang yang Allah nak uji,  tapi Allah akan uji orang yang Allah tahu kesabarannya dan sudah tentu Allah sayangkan kita.  Mungkin ini hikmah dan mungkin juga kifarah atas dosa-dosa kita.  Sama-sama juga kita pohon keampunan atas dosa-dosa kita. Percayalah, Allah maha adil dan sayangkan kita.

Kesian kat Angah,  tapi mungkin ada hikmah apa yang berlaku ini.  Ini semua ujian Allah untuk kita semua, agar lebih dekat dengan-Nya dengan tidak putus-putus berdoa.  Ya Allah, Engkau pendekkanlah penderitaan Angah semoga dia cepat sembuh seperti sediakala. Dengan kekuasaan-Mu dan kelebihan-kelebihan kalimah syahadah, Engkau pertemukanlah penawar untuk mengubati penyakit Angah.


Mesej Daripada Umi Long

Apa yang mampu kita lakukan ialah berdoa kepada Allah semoga kita dan Angah diberi kekuatan untuk menghadapi segala dugaan ini dan Angah akan pulih seperti biasa. Amin.

Tidak kenal sorang sahabat jika tiada masalah.  Tidak kenal orang yang berani jika tiada perjuangan.  Tidak kenal orang cekal jika tiada kesusahan.  Tidak kenal orang penyayang jika tiada pengorbanan.


Mesej Daripada Che Su

Kami semua doakan Angah selamat,  Insyaalah.  Kak Nik bersabarlah, Insya-Allah segalanya akan kembali seperti biasa, doa kami sentiasa mengiringi Angah.


Mesej Daripada Che Err

Kak Kik, tadi Ayah Chik foward mesej Kak Nik.  Sabar banyak-banyak ya Kak Nik.  Sebenarnya Allah menjanjikan ganjaan pahala yang amat besar bagi orang yang diberi ujian dan kesakitan.  Kak Nik tergolong dalam umatnya yang sedang diberi ujian yang amat besar dan ganjaran pahala yang menanti.  Yang mampu kita lakukan ialah berdoa dan solat  hajat, dipendekkan masa ujian itu dan dikurniakan kesabaran yang tinggi. Insya-Allah, Angah  akan cepat sembuh. Insya-Allah kami ke sana petang nanti ramai-ramai. Maaf Kak Nik,  Err tidak dapat ikut sama ke sana pada hari bekerja.

Mesej Daripada Untie Loly

Berkali-kali Loly baca sms Zu dan Loly akan lock mesej itu.  Jaga anak baik-baik.  Doa dan terus doa.  Bagitahu Loly perkembangan terkini. Insya-Allah Angah akan cepat sembuh.


Zu kena kuat. Zu kena nampak yang Zu tabah dan kuat, baru dia pun kuat.  Doa banyak-banyak.  Allah maha pengasih.  Yakinlah Allah akan membantu kita.

Kalau ada apa-apa berita, tolong bagitahu Loly.  Loly pun tertunggu-tungu perkembangan Angah. Rasa nak pergi tengok tapi Loly pun masih dalam pantang 37 hari.  Sekarang ni unpaid leave, jadi tak boleh cuti sampai dua bulan.  Cukup 44 hari sudah mula sekolah.

Tak apalah Loly. Loly ambil berat dengan bertanya khabar pun dah lebih daripada cukup.  Loly pun tak sihat. Walau apapun, terima kasih banyak-banyak.


Anak Zu macam anak Loly jugak.  Kalau kawan susah hati, kita sama –sama susah, lagipun sebagai ibu, Loly dapat bayangkan perasaan Zu.

Tiada ada yang dapat Loly tolong kecuali doa.  Semuanya sudah selamat.  Alhamdulillah.


Mesej Daripada Cikgu Normala

Syukur.  Menitis air mata Kak Mala mendengar berita gembira ini.  Semoga Angah dapat menjalani kehidupan biasa secepat mungkin.  Zu berjaya menghadapi ujian Allah dengan sabar. Alhamdulillah.

Mesej Daripada Ayah Tar

Syukur kerana doktor dah tahu punca.  Zu kena banyak bersabar.  Kepialu tidak bahaya, cuma kesannya lama.  Abang Tar dan keluarga doakan agar Angah cepat sembuh dan boleh bersekolah semula.  Zu dan Ziq kena jaga kesihatan sendiri juga.  Zu berdoalah banyak-banyak.  Doa ibu sangat mustajab.  Terima kasih.

Syukurlah.  Abang Tar dan keluarga berasa gembira.  Kak Lah kirim salam.  Angah kena banyak berehat dan makan ubat.

                                                       


Terima kasih kerana sudi membaca entri saya. Jika suka, silalah LIKE.

No comments:

Post a Comment