TUAI PADI ANTARA MASAK, ESOK JANGAN LAYU-LAYUAN, INTAI KAMI ANTARA NAMPAK, ESOK JANGAN RINDU-RINDUAN...

Thursday, April 25, 2013

Hijrah....


Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh...


               Definisi 'hijrah' dari segi etimologi bermaksud 'berpindah dari suatu tempat ke suatu tempat yang lain', manakala definisi 'hijrah' dari segi agama bermaksud 'berubah daripada sesuatu yang tidak baik kepada yang baik, dan daripada sesuatu yang baik kepada yang lebih baik.' Penghijrahan  diri amat dituntut dalam Islam dalam usaha menjadi insan yang lebih sempurna daripada sebelumnya,  Saya sedar bahawa tiada manusia yang sempurna di dunia ini tetapi kita harus berusaha ke arah itu.  Penghijrahan yang tulus dan ikhlas akan berlaku bukan atas desakan atau pengaruh sesiapa, tetapi ia terjadi kerana terbit rasa insaf dalam diri seseorang.  Penghijrahan yang terjadi akibat desakan atau pengaruh mana-mana pihak tidak akan kekal lama. Beruntunglah sesiapa sahaja andai menerima hidayah daripada-Nya untuk berhijrah dalam usia yang masih muda.  Saya sendiri telah melihat beberapa orang bekas pelajar  saya yang telah berhijrah dalam usia yang masih muda.  Sebaik melangkah kaki keluar dari alam persekolahan, mereka terlibat dengan dakwah sihat hingga diberi hidayah untuk berhijrah.   Tersentuh hati saya melihat perubahan mereka.  Alhamdulillah, berbahagialah kedua-dua ibu bapa mereka kerana dikurniakan zuriat seperti mereka yang akan membawa mereka ke syurga, insya-Allah.

                 Penghijrahan boleh berlaku dalam pelbagai sudut.  Antaranya penghijrahan pemikiran, kepercayaan, akhlak dan tingkah laku, pakaian (penampilan) serta cara hidup.  Saya sendiri kini dalam proses berhijrah. Saya berazam untuk menjadi saya yang lebih baik daripada sebelum ini.  Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa saya yang lepas.  

                   Dari sudut fahaman politik pula, dahulu saya begitu angkuh kerana tidak mahu 'ambil tahu' tentang politik kerana bagi saya, politik itu kotor. Walau apapun,  saya tetap mengundi, dan undi saya adalah rahsia.  Pada saya, sesiapa jua atau mana-mana pihak sekalipun yang menjadi pemerintah, pasti mempunyai agenda politik kotor masing-masing.  Hasil pembacaan saya, kini saya mula sedar bahawa menjadi tanggungjawab setiap warganegara untuk menentukan pemerintah. Berdosa seseorang itu andai memberi hak kepada pihak yang tidak layak untuk menjadi pemerintah.  Jika pun tiada parti politik yang benar- benar bagus, tapi pasti ada yang lebih bagus daripada yang satu lagi.  Jadi, wajib bagi dirinya memilih parti yang lebih bagus itu.  Penghijrahan pemikiran dan kepercayaan saya kini menyakinkan saya tentang siapa yang patut saya pilih untuk menjadi pemerintah. Sesiapa pun yang akan saya pilih nanti, undi saya tetap rahsia.







No comments:

Post a Comment