Bismillah...
Entah kenapa malam ini tiba-tiba sahaja saya terjumpa novel ini sewaktu mencari sesuatu di dalam almari lusuh di rumah saya, lalu terdetik pula di hati untuk bercerita tentang novel ini kepada anda, para pembaca yang budiman. Selasihku Sayang, novel cinta klasik yang pernah saya baca sewaktu remaja. Novel setebal 151 muka surat tulisan Alias Ali terbitan Utusan Melayu Berhad pada tahun 1967 ini merupakan novel yang saya warisi daripada Abah saya, yang dibeli pada harga RM 2.60 pada waktu itu. Hingga kini ia masih tersimpan rapi di dalam almari lusuh di rumah saya.
Kisah cinta tiga segi yang sungguh tragis mengundang mutiara bening untuk tumpah dan membasahi. Bahasa yang digunakan oleh penulis sungguh indah dan puitis. Keragaman bahasanya memperlihatkan keindahan bahasa masyarakat dahulu kala serta ketajaman fikiran penulisnya. Alangkah bagusnya andai saya dapat menulis seperti beliau. Jalan cerita yang mudah namun mendebarkan hati pembaca untuk mengetahui penamatnya. Mungkin anda yang pernah membaca novel ini bersetuju dengan saya. Tajuk novel ini juga pernah menjadi judul lagu hit dendangan Allahyarhammah Datin Rafeah Buang dan Allahyarham Datuk Ahmad Jais suatu ketika dahulu.
Kisah dalam lagu tersebut sememangnya merupakan kisah dari novel Selasihku Sayang. Antara bait-bait puitis yang terdapat dalam novel ini yang begitu membekas di hati saya ialah "Air di sungai kadang-kadang keruh warnanya, bulan di langit pun kadang-kadang tidak benderang cahayanya, namun kasihku sentiasa kudus, tiada cacat celanya," Indah bukan? Pada saya, novel ini tidak jemu untuk diulang baca kerana bahasanya sungguh puitis. Andai anda ingin mengetahui ceritanya, silalah membacanya.
Kutanam selasih
mengenangkan kasih wahai sayang
yang aku tinggalkan
Kusiram selasih
kusiramkan di hujung halaman
mengenangkan kasih wahai sayang
lambang percintaan
Hai Kencana Dewi
kasih yang kurindu
kukenang selalu
Sayang semoga tak kan layu
cinta yang sejati kekal dan abadi
Hai Cendana Dewi
kau tetap kukenang
janganlah kau bimbang
Sayang kau tetap kan pulang
di sisiku sayang membawa harapan
Assalamualaikum. Saya mencari buku ini sekian lama. Mohon kalau ada senaskhah saya nak beli.
ReplyDeleteMaaf, saya tak jual buku ini. Yang ada hanya untuk simpanan saya.
ReplyDeleteSalam Cikgu Zue. Saya Bahtiar Omar, pensyarah Jabatan Pengajian Melayu di IPG Kampus Dato' Razali Ismail Kuala Terengganu. Saya dan rakan sedang mengumpul versi cerita Selasih Kusayang atau cerita rakyatnya Lubuk Mati Bertiga. Saya berminat untuk berhubung berkaitan isi novel simpanan Cikgu Zue ini.
ReplyDeleteNo tel saya 013 9331306
ReplyDelete