TUAI PADI ANTARA MASAK, ESOK JANGAN LAYU-LAYUAN, INTAI KAMI ANTARA NAMPAK, ESOK JANGAN RINDU-RINDUAN...

Friday, February 26, 2016

Banjir Kuning 2014



Assalamualaikum...


        Entah bagaimana hendak saya mulakan. Tahun baharu 2015 sudah lima hari menjengah, namun saya masih belum menulis apa-apa sejak September 2014. Banyak perkara yang ada dalam fikiran, namun jari-jemari seakan kaku. Sesungguhnya terlalu banyak tragedi yang mengejutkan dan menyedihkan telah berlaku yang mengisi detik-detik waktu sepanjang tahun 2014 di bumi Malaysia tercinta. Terlalu banyak nyawa yang terkorban dan terlalu banyak air mata yang tertumpah dek menangisi kesan tragedi. 

       Tragedi MH370 pada awal tahun, tragedi MH17 pada pertengahan tahun dan tragedi bah kuning sebagai penutup tirai 2014, seolah-olah menggambarkan bahawa tahun 2014 sebagai tahun bencana.  Walau apapun yang berlaku, kita sebagai orang yang beriman seharusnya menerima semua tragedi ini sebagai ujian daripada-Nya untuk kita semua, untuk menguji tahap keimanan kita, atau sebagai peringatan daripada-Nya agar kita memuhasabah diri dan lebih mendekatkan diri kita kepada-Nya. Insya-Allah, Dia akan menggantikan segala yang hilang dengan gantian yang lebih baik, sama ada di dunia mahupun di akhirat kelak, asal sahaja kita redha, sabar dan tabah. 

       Sebenarnya saya masih trauma, dek terkesan dengan tragedi yang menimpa diri dan keluarga, malah turut menimpa hampir seluruh rakyat pantai timur Malaysia. Menjadi mangsa banjir merupakan pengalaman pertama  kali dalam hidup saya dan keluarga.  Walaupun pahit, ia pasti menjadi pengalaman yang sangat berharga bagi kami. Namun begitu, jika dibandingkan kesan tragedi yang saya hadapi dengan penduduk di kawasan terjejas banjir seperti Kuala Krai dan Gua Musang atau tempat-tempat lain, kesan tragedi yang dihadapi mereka lebih besar dan dahsyat berbanding saya dan keluarga. Mereka hilang segala-galanya dalam sekelip mata.  Mereka kehilangan orang-orang yang tersayang   dan tiada lagi tempat berteduh. Arus deras telah membawa pergi segala kesayangan mereka. Luluh dan sebak hati saya setiap kali mengenang nasib mereka, setiap kali mendengar cerita tentang mereka dan setiap kali menatap gambar-gambar tentang mereka. Saya hanya mampu berdoa untuk mereka dan membantu setakat yang termampu.  Semoga Allah membalas kebaikan kepada semua pihak yang membantu mereka dengan ikhlas, insya-Allah.

        Di sini kisah saya bermula.  Setiap kali cuti hujung tahun menjelang, saya pasti akan pulang ke kampung bersama-sama anak-anak dan suami. Biasanya saya akan pulang terlebih dahulu bersama anak-anak dengan menaiki bas ekspres dan tinggal di kampung selama beberapa hari, dan suami akan pulang kemudian untuk mengambil kami. Pada kali ini saya memohon cuti yang lebih panjang daripada suami, iaitu lebih kurang 12 hari.  Alasannya, saya mahu berehat sepuas-puasnya di kampung, sementelahan pula, sejak pulang dari mengerjakan ibadah haji, saya belum berkesempatan bertemu keluarga di kampung.  

         Pada kali ini, kami sekeluarga pulang ke kampung menaiki kereta.  Semua anak bersama-sama kami kecuali anak lelaki kedua saya, iaitu Angah tidak turut serta kerana dia sedang belajar di UTM. Setelah berada di kampung selama tiga hari, suami akhirnya pulang ke Ampang dengan menaiki bas ekspres.  Kereta ditinggalkan di kampung kerana saya akan pulang ke Ampang pada 25 Disember dengan memandu kereta bergilir-gilir dengan anak sulong saya. Sepanjang berada di kampung, kami anak-beranak lebih bebas ke mana-mana kerana saya menggunakan kereta saya sendiri, berbanding sebelum ini, saya meminjam kereta Abah jika mahu ke mana-mana.

            Seminggu sebelum tarikh saya pulang ke Ampang, hujan mula turun dengan lebat sepanjang masa. Dua hari selepas itu, saya mendengar berita bahawa kawasan Gua Musang dan Kuala Krai telah banjir, namun di Kota Bharu, belum menunjukkan tanda-tanda akan banjir.  Saya mendapat berita bahawa jalan Grik telah runtuh manakala jalan Kuala Krai-Gua Musang ditutup kepada semua jenis kenderaan. Pada 24 Disember, saya bersama anak-anak saya pergi ke Kota Bharu untuk membeli barang bekalan makanan kering di Pasar Siti Khadijah untuk di bawa pulang ke Ampang.  Semasa saya memandu melalui Jalan Bunut Payung, saya dapati paras air sungai di bawah jambatan Bunut Payung sudah tinggi.  Rumah-rumah penduduk di sekitar sungai sudah dinaiki air separas lantai. Setelah selesai membeli barang yang dikehendaki dan menjamu selera di Pasar Khadijah, saya dan anak-anak berjalan kaki ke Tambatan Di Raja di tepi Sungai Kelantan. Rupa-rupanya air sungai telah melimpah ke jalan raya.  Kami menaiki menara tinjau untuk melihat pemandangan  seluruh Sungai Kelatan.  Selepas itu, saya dan anak-anak mengambil peluang untuk mengharung air banjir di sekeliling bulatan Padang Beng, mengulang nostalgia bermain banjir sewaktu kecil-kecil dahulu. Walaupun berasa seronok, namun terselit sedikit perasaan gerun di hati saya apabila memandang arus sungai Kelantan yang sangat deras.  Keadaan di situ seperti pesta.  Ramai orang datang untuk bermain air banjir di situ.  

    Setelah selesai mengharungi air, saya dan anak-anak kembali ke kereta. Anak sulong saya memandu kereta ke Tesco Kota Bharu untuk melihat keadaan sungai dari tebing di hadapan Tesco.  Saya mendapati paras air tinggal kurang lebih sekaki sahaja untuk melimpah ke tebing.  Setelah beberapa minit di situ, akhirnya saya mengajak anak-anak pulang.  Sewaktu hendak pulang, saya mengarahkan anak saya memandu melalui jalan bawah lembah iaitu jalan KB-Pintu Geng-Kota-Wakaf Che Yeh. Tanpa disangka-sangka, jalan itu mengalami jem yang agak teruk.  Hampir sejam kami terperangkap dalam jem.  Rupa-rupanya, di selekoh jalan Pintu Geng, air sudah melimpah ke jalan raya, menyebabkan hanya satu laluan dibuka kepada kenderaan.  

          Pada malam itu, saya meminta anak-anak agar tidur awal dan berkemas-kemas kerana kami akan bertolak pulang ke Ampang seawal pagi yang mungkin.  Keesokan harinya, iaitu pada 25 Disember, hujan turun dengan lebat sekali.   Pagi itu juga saya mendengar khabar bahawa jalan ke Kuala Lumpur melalui Terengganu juga ditutup kepada   semua jenis kenderaan, namun kesahihannya tidak dapat dipastikan.  Saya berasa tidak sedap hati, tambahan pula hujan yang lebat membuatkan saya berasa cuak untuk meneruskan niat  untuk pulang pada hari itu.  Abah dan Umi menasihati saya agar menangguhkan kepulangan.  Saya menelefon suami dan meminta pendapatnya.  Beliau juga menasihati saya untuk menangguhkan kepulangan. Saya mengambil keutusan untuk pulang pada keesokkan harinya iaitu pada 26 Disember. Di rumah, kami hanya  menonton televisyen untuk mendapatkan info terkini tentang banjir.  

          Pada 26 Disember, selesai solat subuh, saya mendapat berita bahawa air sungai telah melimpah di jalan Bunut Payung menyebabkan jalan Bunut Payung - Kota Bharu telah ditutup.  Rupa-rupanya air mula melimpah ke jalan raya pada jam 3 pagi 26 Disember.  Sekali lagi saya terpaksa menangguhkan perjalanan pulang ke Ampang. 

          Setelah sarapan, saya bersama Abah pergi bersiar-siar ke Kg. Kota dan Kg. Jalan Pintu Geng dengan menaiki kereta abah.  Jalan ke Kg. Kota telah ditutup kerana air sudah melimpah ke jalan manakala jalan ke Pintu Geng ditutup selepas Taman Guru.  Setelah itu kami pergi pula ke rumah kakak saya di Desa Harmoni kira-kira 500m dari rumah Abah.  Air di kawasan luar pagar rumahnya separas peha. Sebelum ini kawasan rumahnya tidak pernah dinaiki air banjir kecuali air hujan yang bertakung sekiranya hujan turun tanpa henti selama sehari.  Kak Long mengajak saya pergi melihat air di Jalan Bunut Payung.  Oleh sebab saya hanya berkain sarung, saya menolak ajakan kak Long.  Saya mengambil keputusan untuk pulang semula ke rumah Abah dan mengenakan pakaian yang sesuai.  Dari rumah Abah, saya mengajak anak-anak saya ke rumah Kak Long menaiki kereta saya.  Sesampainya di rumah Kak Long, saya meletakkan kereta saya di atas tebing di hadapan rumah Kak Long.  Setelah itu saya dan anak-anak serta Kak Long bersama-sama dua orang anaknya serta dua orang lagi anak saudara  kami mengharungi air di luar kawasan pagar rumah Kak Long untuk keluar ke jalan raya melalui jalan belakang.  

        Setelah sampai di jalan raya, kami berjalan kaki ke Bunut Payung.  Keadaan di situ bagaikan pesta air kerana ramai penduduk keluar untuk mengharungi air yang melintas jalan raya.  

       Setelah agak lama di situ, kami pun pulang.  Anak- anak pulang terlebih dahulu kerana mereka berjalan lebih pantas. Saya dan Kak Long  mengambil keputusan untuk tidak melalui jalan yang kami datang tadi kerana tidak sanggup lagi mengharung air yang agak kotor.  Semasa berjalan pulang sambil berbual-bual, Kak Long membeli keropok lekor yang dijual oleh penjual di bahu jalan untuk anak bongsunya. Semasa berbual-bual, seorang remaja lelaki yang menaiki motor memberitahu kami bahawa kawasan hadapan stesen minyak Shell sudah dinaiki air.  Saya tergelak kecil mendengar kata-kata remaja itu.
     
     "Ha, Biar betul? Tak logik langsung", balas saya sambil memandang Kak Long.  Yalah, Kak Long menyokong. Sesunggunya saya berasa kata-kata remaja lelaki itu tidak masuk akal kerana saya berfikir dari mana datangnya air itu? Selain itu, dalam sejarah orang paling tua di kampung itu, Wakaf Che Yeh tidak pernah mengalami banjir kerana kawasan Wakaf Che Yeh agak tinggi berbanding kawasan Bunut Payung.  Kami terus berjalan lalu singgah di Restoran D'Klasik untuk minum.  Kami memesan dua gelas nescafe ais dan nasi goreng spesial, manakala Kak Long memesan ais kacang untuk anaknya.  Setelah pesanan kami siap, kami pun mula makan.  

      Sebelum kami sempat meghabiskan nasi goreng, seorang remaja pelayan D'Klasik masuk ke restoran dan memberitahu rakan-rakannya bahawa air sudah sampai ke pasaraya Ceria.  Pada masa itu saya dan Kak Long mula berasa cemas.  Biar betul!  Selera makan kami tiba-tiba sahaja mati.  Kami meminta pelayan restoran membungkus nasi goreng dan ais kacang.  Setelah itu kami berjalan pantas pulang ke rumah Kak Long.  Tiba-tiba saya tidak jadi pulang ke rumah Kak Long.  Saya ingin terus pulang ke rumah Abah untuk melihat air dan meminta Kak Long memberitahu anak-anak saya yang berada di rumah Kak Long agar pulang ke rumah Abah dengan kereta. 

      Sesampainya saya di hadapan pasar raya Ceria, hati saya berdebar-debar kerana air sudah separas betis saya.  Air di hadapan  pasar raya Ceria melimpah ke jalan.  Saya terus berjalan pulang dan mendapati paras air di hadapan lorong rumah Abah juga sudah separas betis dan alirannya agak deras.  Saya seperti tidak percaya air sudah melintas jalan dan air naik begitu cepat, sedangkan semasa saya keluar tadi lebih kurang sejam lebih yang lalu, tiada air langsung di Wakaf Che Yeh.  

       Saya terus mengharungi air di lorong masuk ke rumah Abah.  Apabila sampai di hadapan rumah Abah, Abah dan adik ipar saya ada di hadapan rumah adik bongsu saya. Saya menanya pendapat Abah dan Nizam, adakah patut saya mebawa kereta pulang atau bagaimana. Abah dan Nizam menasihati saya agar tidak membawa pulang kereta kerana bimbang kereta saya akan mati enjinya jika melalui lorong untuk masuk ke rumah. Jadi,  saya terus menelefon anak sulong saya agar tidak membawa pulang kereta dan beranggapan kereta saya selamat di atas tebing di hadapan rumah Kak Long.

      Kurang lebih 20 minit kemudian, anak-anak saya pulang dengan berjalan kaki.  Pada masa itu juga halaman rumah Abah sudah mula dilaimpahi air banjir yang melimpah dari kawasan kuarters RTM.  Dalam masa yang singkat, air mula membanjiri seluruh halaman rumah Abah dan mula mengalir ke halaman rumah adik saya pula yang terletak di hadapan rumah Abah.  Pada petang itu, kurang lebih pukul 5.30 petang, anak- anak saya iaitu  Along dan Danial meminta izin untuk pergi melihat kereta kami di hadapan rumah Kak Long. 

     
       Pada petang itu juga, bekalan elektrik dan air terputus.   Nasib baik kami masih ada simpanan air dari tangki.  Kurang lebih pukul 7.00 petang, Along dan Danial pulang dengan wajah yang sugul. Saya bertanya Along sebabnya.  Dengan lemah Along memberitahu saya bahawa kereta kami sudah 1/4 ditenggelami air.  Kameranya yang ditinggalkan di dalam kereta tidak dapat diambil kerana dia tidak membawa kunci kereta bersama-samanya.  Saya memarahinya kerana meninggalkan barang berharga di dalam kereta, namun nasi telah menjadi bubur.  Hendak pergi semula ke kereta, hari sudah gelap dan air semakin naik.  Mustahil untuk saya benarkan mereka pergi ke kereta pada malam itu.  

      Malam itu semua rumah di Wakaf Che Yeh dan kawasan sekitar bergelap.  Di rumah Abah, malam kami hanya diterangi cahaya lampu suluh dan lilin wangi.  Kebetulan di rumah Abah tiadak ada lilin.  Bekalan lilin di rumah memang tiada kerana jarang sangat bekalan elektrik terputus, kalau terputus pun sekejap sahaja.  Malam itu air tangki sudah habis dan kami masih lagi bernasib baik kerana kami mempunyai stok air mineral berkotak-kotak banyaknya.  Jadi dengan air botol itulah kami gunakan untuk mengambil wuduk, buang air kecil dan memasak selama seminggu. Dalam keadaan begitu, semua ahli keluarga tidak mandi kerana kami terpaksa menjimatkan penggunaan air seminima yang mungkin.

     Pada malam itu, saya menyediakan makanan seadanya sahaja untuk  keluarga bagi mengalas perut.  Pada malam itu juga, kami semua tidur di ruang tamu. Antara  ahli keluarga saya yang berada di rumah Abah ialah saya dan anak-anak saya serta adik saya dan 5 orang anaknya yang masih kecil. Suasana sunyi sepi.  Yang kedengaran hanyalah bunyi deruan air yang agak kuat di halaman rumah.  Kami tidak dapat tidur dengan nyenyak kerana diganggu oleh suasana yang panas dan gigitan nyamuk.  Umi berpindah ke rumah Adik kerana di rumah adik, bekalan air tangki masih ada, dan hal ini memudahkan Umi untuk ke tandas.  Saya tidak dapat menghubungi suami kerana talian telefon terputus, begitu juga coverage internet menyebabkan saya tidak dapat menghubungi sesiapa pun melaui aplikasi whassap.  Kami semua akhirnya tertidur juga dalam kepanasan.  

       Keesokan harinya, saya mendapati air mula memasuki dapur rumah abah.  Paras air juga semakin naik.  Setelah bersarapan, Along dan Danial pergi ke kereta kami dan membawa kunci kereta bersama-sama.  Tidak lama kemudian, mereka berdua pun pulang.  Along membawa beg kameranya yang basah.  Beg kameranya yang diletakkan di atas tempat duduk belakang akhirnya ditenggelami air kerana pada waktu itu, paras air di dalam kereta separas tombol pelaras aircorn.  Selepas mengambil beg kameranya, Along, Danial dengan bantuan beberapa orang lelaki di kawasan kejiranan Kak Long, kereta kami ditolak ke hadapan iaitu ke bahagian jalan yang lebih tinggi.  Kini paras air yang menenggelamkan kereta kami hanya separas separuh tayar. Along dan Danial melaporkan juga bahawa rumah Kak Long sudah dimasuki air.  Kak long dan anak-anaknya sudah berpindah ke rumah saudara suaminya setelah menumpang di rumah jiran yang tidak ditenggelami air semalaman. 

          Hari ketiga, air semakin naik.  Paras air di lorong rumah Abah sudah separas pinggang.  Hampir setiap hari saya dan anak-anak mengharungi air untuk keluar ke jalan besar.  Di jalan besar juga, air separas peha dan alirannya sangat deras.  Pada hari keempat, paras air bertahan.  Saya dan anak-anak pergi ke kedai di jalan besar untuk membeli barang keperluan.  Kebetulannya hanya sebuah kedai dibuka tetapi kami tidak dibenarkan masuk ke dalam kedai.  Kami hanya perlu membuat pesanan di luar grill kedai.  Pada hari itu juga, pasar raya Ceria Wakaf Che Yeh dipecah masuk oleh orang ramai.  Pada mulanya, saya menyangka pemilik pasar raya Ceria menjual barang dengan harga yang murah, tetapi rupa-rupanya pasaraya itu dirompak oleh penduduk kampung.  Berduyun-duyun penduduk kampung Wakaf Che Yeh, Taman Guru dan Pintu Geng keluar untuk mencuri barangan dari pasar raya Ceria. Bukan hanya barang makanan yang dicuri, tetapi  semua jenis barang dibawa pulang oleh orang ramai, siap dengan trolinya sekali.   Mereka yang terserempak dengan saya ada yang membawa setroli gula-gula, kereta remote control yang besar, dan macam macam lagi.   Masya-Allah, Allah menjadikan banjir untuk menguji keimanan manusia, tetapi mereka tidak insaf sebaliknya mereka menjadi lebih rakus dan tamak sehingga sanggup mencuri.  Asatagfirullahhalazim!!!

          Hari kelima, paras air sedikit surut. Kami menarik nafas syukur, namun bekalan air dan elektrik masih tiada. Malam kami masih ditemani api lilin dan deruan air di halaman rumah.  Pada petang itu, sebuah helicopter mendarat di padang RTM.  Kecoh anak-anak saudara berlari dalam air untuk melihat helicopter berwarna oren itu dari jarak dekat. Rupa-rupanya mereka membawa bantuan untuk mangsa banjir di pusat pemindahan di SRK Kota.  Petang itu, seorang lelaki memberi salam berkali-kali dari belakang rumah.  Rupa-rupanya beliau membawa dua buku kek pisang untuk kami.  Katanya, rezeki yang ada sama-sama dirasa.  Alhamdulillah.  


      Ada juga makanan ringan untuk anak-anak saudara makan pada malam itu. Berjauhan dengan suami dalam tempoh yang agak lama menyebabkan rindu menyesak dada.  Saya hanya berpeluang berhubung dengan suami melalui pesanan ringkas hanya pada lewat malam. Waktu siang, talian telefon langsung terputus apatah lagi internet.  

            Hari keenam, paras air semakin surut.  Pada pagi itu, saya dan adik-adik saya serta anak perempuan saya berjalan mengharungi air ke SMK Kota.  Tujuan kami adalah untuk menghantar bantuan individu kepada kenalan adik saya yang berada di situ.  Keadaan di pusat pemindahan agak lengang kerana sudah ramai penghuni pusat pemindahan pulang ke rumah masing-masing walaupun air belum surut sepenuhnya.  Bau hancing dari tandas sekolah menusuk hidung kami.  Saya maklum akan keadaan itu. Keadaan dan bau itu tidak dapat dielakkan kerana penghuni di situ terpaksa juga membuang air kecil di dalam tandas walaupun tiada bekalan air untuk membersihkan tandas selepas digunakan.

      Dalam perjalanan pulang, kami singgah di kedai runcit untuk membeli air mineral untuk kegunaan memasak dan mengambil wuduk.  Kami juga bercadang untuk ke rumah Kak Long namun tidak kami teruskan hasrat itu kerana kami melihat paras air di lorong masuk ke rumahnya masih separas pinggang lelaki dewasa, malah arus masih agak deras.  Kami tidak berani untuk mengambil risiko kerana apa-apa pun boleh berlaku.  Jadi kami mengambil keputusan utuk pulang sambil mengambil gambar  suasana di jalan besar Wakaf Che Yeh. Dua hari kemudian, air benar-benar surut, namun meninggalkan kesan lumpur yang tebal. Saya dan anak-anak membantu adik dan suaminya membersihkan rumah Abah.  Selepas itu kami menolong Kak Long membersihkan rumahnya.  Keesokan harinya suami saya pulang dan membantu apa-apa yang patut di rumah Kak Long.  

      Saya sekeluarga akhirnya pulang ke Ampang dengan kereta Waja.  Kereta Exora saya, saya tinggalkan di pusat service Proton di Jalan Langgar untuk dibersihkan dan dibaiki.  Sepanjang perjalanan kami pulang ke Kuala Lumpur, hati saya pilu dan sebak apabila menyaksikan banyak kemusnahan di sepanjang perjalanan, seperti rumah-rumah yang rosak, jalan-jalan raya yang rosak, jambatan runtuh, sampah sarap berlonggokan di mana-mana sahaja, kayu-kayu balak bersepah-sepah dan lain-lain lagi.  


     Saya bersyukur kerana saya dan semua ahli keluarga saya di Wakaf Che Yeh masih selamat, namun jauh di sudut hati saya sangat sedih apabila mengenangkan nasib mangsa-mangsa banjir yang kehilangan segala-galanya dalam banjir kuning 2014.  Saya hanya mampu berdoa dan memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan bantuan. Semoga Allah mempermudah segala urusan semua pihak yang bertungkus-lumus membantu mangsa-mangsa banjir. Saya juga berdoa agar Allah mempermudah kehidupan mangsa-mangsa banjir.  Semoga esok dan seterusnya memberi sinar baharu dalam hidup mereka, Insya-Allah.

        


























































































































       








      
      

No comments:

Post a Comment