TUAI PADI ANTARA MASAK, ESOK JANGAN LAYU-LAYUAN, INTAI KAMI ANTARA NAMPAK, ESOK JANGAN RINDU-RINDUAN...

Monday, March 12, 2012

Yang Bulat Tak Akan Datang Bergolek, Yang Pipih Tak Akan Datang Melayang… Kalau Tidak Dipecahkan Ruyong, Manakan Dapat Sagunya…


Assalamualaikum wahai  para pembaca yang budiman…

       Walaupun keputusan STPM  2011 telah pun diumumkan pada 7 Mac baru-baru ini, rasanya belum terlambat untuk saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada  para pelajar saya yang menduduki peperiksaan STPM pada tahun 2011, khususnya  kepada mereka yang mengambil subjek Bahasa Melayu. Alhamdulillah, syukur yang tak terhingga kepada Allah subhanahuwataala kerana gred lulus subjek Bahasa Melayu meningkat daripada 75% pada tahun 2010 kepada 90% pada tahun 2011. Kualiti dan kuantiti meningkat seiring. Pada tahun lepas, 4 orang pelajar mendapat A manakala 2 orang  pelajar mendapat A- . Selebihnya, 2 orang mendapat B+, 3 orang mendapat B, 3 orang mendapat B-, 2 orang mendapat C+, 2 orang mendapat C, manakala 2 orang gagal (seorang mendapat C- dan seorang mendapat D+),  berbanding pada tahun 2010, hanya seorang mendapat A dan selebihnya B+, B, C+, C manakala 6 orang gagal (C- dan D+).  Saya guru yang sama  mengajar kedua-dua “batch”. Cara dan pendekatan mengajar saya juga sama tetapi kenapa hasilnya tidak sama?  Anda pasti boleh menjawabnya sendiri setelah selesai membaca tulisan saya ini.

       Tahniah dan syabas kepada Nur Faizah bt Sun'Ani, Khatijah bt Marsidik, Hosnol Hotimah bt Mohamad, Nur Farhana bt Mohamad Yatim, Nur Haziqah bt Jamil, Ilchy Fazly bin Nalizar dan semuanya (sekadar menyebut beberapa nama sahaja).  "A" yang anda genggam kini ialah hasil kerja keras anda selama ini.  Segala penat lelah anda telah pun terbayar, bak kata pepatah, bersakit-sakit dahulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.  Saya yakin  dan percaya, anda kini berasa puas dengan segala pengorbanan yang anda lakukan untuk diri sendiri.

       Di sini saya ingin menekankan dan membincangkan  faktor “sikap” sebagai faktor  penentu kejayaan diri sendiri.   Saya ingin mengambil contoh yang paling dekat dan paling realistik yang saya lihat dan saya pantau selama setahun setengah, iaitu pelajar–pelajar  saya yang mengambil sujek Bahasa Melayu pada tahun 2011.  Saya akui, Bahasa Melayu bukan satu subjek yang mudah, dan oleh sebab itulah tidak ramai yang meminatinya dan mengambilnya.  Penulisan  karangan yang berjumlah 650-750 patah perkataan merupakan kekangan utama.   Pelajar-pelajar saya ini  bermula dengan sifar pengetahuan tentang format Bahasa Melayu STPM sebaik mereka menjejakkan kaki ke tingkatan enam rendah.  Menjadi tugas dan tanggungjawab saya untuk mengajar mereka,  memberi  pendedahan dan segala  ilmu kepada mereka sebanyak mungkin.  Segala ilmu telah saya perturunkan kepada mereka. Tiada satu ilmu pun yang saya rahsiakan daripada mereka.   Saya tidak sekadar mengajar, malah saya turut mendidik mereka, menggunakan pelbagai pendekatan.  Tidak cukup  dengan nasihat, saya turut membebel, malah air mata turut menjadi   senjata.  Bukan dibuat-buat, tetapi mutiara bening tumpah dengan sendirinya apabila emosi menguasai diri. Sebenarnya, bukan cerita tentang saya yang ingin saya ketengahkan di sini, tetapi kisah tentang pelajar-pelajar saya yang sangat rajin dan taat. Mungkin mereka juga letih dengan saya, terlalu banyak latihan, dan terpaksa menghantar rangka karangan setiap minggu.  Jika menjawab soalan aneka pilihan, mereka terpaksa memberi alasan untuk setiap pilihan jawapan. Tidak dapat memberi jawapan dan alasan yang tepat, maka berdirilah selama mungkin. Mereka kelihatan kecut dan takut setiap kali sesi perbincangan dan latihan.  Nota harus kemas dan sentiasa kemas kini. Terlalu banyak permintaan daripada saya, namun mereka tidak berani mengeluh, apatah lagi ponteng sekolah, takut kena "tulah" (barangkali). Saya melihat perubahan positif pada diri mereka, daripada malas, menjadi rajin (walaupun terpaksa). Walaupun “blank” pada awalnya, akhirnya memahami setiap isi pelajaran dengan baik berkat komitmen tinggi yang diberikan. Mereka juga menubuhkan "study group" dan sangat rajin mengadakan  perbincangan.  Saya sekadar membimbing, tetapi mereka sendiri yang menentukan kejayaan atau kegagalan mereka. 


        Keikhlasan juga sangat penting.  Saya selalu menekankan konsep ikhlas  kepada mereka.  Jika mereka tidak ikhlas belajar, tidak ikhlas menuntut ilmu dan   asyik merungut, maka kejayaan tidak akan menghampiri mereka. Allah tidak akan memberkati usaha mereka yang tidak ikhlas, jadi pastinya mereka tidak akan berjaya dan tidak akan mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan.  Hasilnya, mereka redha walaupun terlalu banyak tugasan yang saya beri.  Walau apapun yang saya lakukan, semuanya demi kejayaan mereka.  Mereka juga telah membuktikan bahawa berkat kerajinan, ketekunan dan keihklasan mereka belajar membuahkan kejayaan kepada mereka.   Mereka yang menanam pokok, dan mereka jugalah yang memetik buahnya.  Saya hanya tumpang gembira dan berbangga akan kejayaan mereka. Hanya sekadar itu sahaja.


                                                  

No comments:

Post a Comment