TUAI PADI ANTARA MASAK, ESOK JANGAN LAYU-LAYUAN, INTAI KAMI ANTARA NAMPAK, ESOK JANGAN RINDU-RINDUAN...

Thursday, March 10, 2011

Pantun Orang Merindu dan Cinta Tak Kesampaian...


Masuk ke hutan mahu berburu
bawa senapang tertembak rusa
kenapa begini rasa hatiku
sedih dan sayu datang menyapa?

Pisang emas dibawa belayar
pisang tanduk dimakan kera
carilah ubat segala penawar
untuk pulihkan hati yang lara  (Aju Nasuha)


Pisang emas di dalam peti
masak sebiji dimakan Cik Siti
inikah tanda dan gerak hati
rindu kepadamu setengah mati?

Kakek-kakek bermain gundu
biar pun tua jadi juara 
kalau rindu katakan rindu
usahlah cuba bersandiwara (Sudirman Matalil)

Siti Nurbaya anak penghulu
wajah jelita bersuara merdu
apa guna berkata rindu
jika dirimu buat tak tahu

Anak penghulu bersuara merdu
Pn Zuraidah sungguh jelita
andai hati terpaut rindu
kirimlah doa buat si dia  (
Aju Nasuha)

Anak-anak bermain guli
guli dipangkah berkali-kali
biarkan aku usah kaupeduli
hatiku yang rindu kupujuk sendiri

Guli dipangkah kanak-kanak
gasing tak lupa turut dipangkah
biarkan rindu tersimpan di benak
pasti terukir senyuman di wajah  (Aju Nasuha)
 
Azan bukan sebarang azan
azan bilal suaranya merdu
pesan bukan sebarang pesan
pesan ditinggalkan tandanya rindu  (Norman)

Hari minggu pergi ke pekan
hajat di hati nak beli baju
sungguh bijak telahanmu tuan
pantun ini bayangan rinduku

Buah mentimun di tepi tasik
habis busuk dimakan belalang
sudah bertahun kunanti adik
hatiku rindu bukan kepalang  (Norman)

Gulai darat itik serati
lauk utama waktu sarapan
apa dayaku nak serahkan hati
dirimu diam tak mahu melafazkan


Masuk ke hutan pergi berburu
nasib malang disengat tebuan
dulu diriku amatlah pemalu
takut bertepuk sebelah tangan  (Norman)

Bangsal kecil buat berteduh
mengelak dari terkena hujan
anggap sahaja tiada jodoh
jodoh pertemuan di tangan tuhan

Naik kereta ke kampung Kota
pergi dengan Pakcik Ali
kalau sudah begitu  dirimu berkata
kuterima segalanya sebagai takdir Illahi  (Norman)

1 comment:

  1. Pantun ini merupakan pantun spontan yang dijual beli antara saya, pelajar dan sahabat-sahabat saya di laman facebook. Indah bukan?

    ReplyDelete