TUAI PADI ANTARA MASAK, ESOK JANGAN LAYU-LAYUAN, INTAI KAMI ANTARA NAMPAK, ESOK JANGAN RINDU-RINDUAN...

Sunday, May 8, 2016

Throwback : Hadiah Dari Hati 2



        Tiga sekawan, 3 serangkai, 3 idiots...itulah mereka, Vinod a/l Manayokhen, Mohamad Faiz Alwagif dan John Francis s/o Charles Sebastian. Fotografer Sidang Redaksi 2014 paling berdedikasi yang pernah saya kenali.  Yang lain-lain bukannya saya kata tidak berdedikasi, tetapi mereka bertiga ni tersenarai dalam senarai paling berdedikasi. Kenapa mereka terpilih?  Kerana mereka sanggup datang ke sekolah dan membantu saya sebagai jurufoto untuk Majlis Hari Kecemerlangan Kurikulum 2015 ketika saya benar-benar memerlukan khidmat jurufoto pada ketika itu, sedangkan mereka sudah tamat persekolahan dan sepatutnya tugas itu digalas oleh jurufoto Sidang Redaksi 2015.  Saya tidak pernah menyalahkan jurufoto-jurufoto Sidang Redaksi 2015, kerana mereka sebenarnya ada hal tersendiri yang tidak dapat dielakkan.

         Di dalam kelas, mereka juga paling rapat dengan saya berbanding dengan yang lain.  Semasa saya mengajar, mereka suka bersembang.  Apabila saya menegur, mereka cuma tersengih, kadangkala menjawab juga, saling menyalahkan antara satu sama lain. Kadang-kadang naik angin juga saya dengan karenah mereka.  Apa-apa pun, mereka sebenarnya pelajar saya yang baik, ringan tulang dan baik hati, malah mereka jugalah penyeri  kelas U6SS1 2014.  Saya sangat menyayangi mereka dan semua  pelajar U6SS1  2014 seperti anak-anak saya sendiri. Saya terima mereka semua seadanya, tanpa syarat. Marah saya hanya kerana sayang, tak pernah membenci.

         Antara mereka bertiga, Vinodh paling setia dengan saya.  Setiap hari dia akan menunggu saya di depan pondok ilmu di hadapan tangga bangunan tingkatan enam.  Tanpa pernah saya meminta dia untuk membantu saya, dia sendiri meminta untuk membantu,  membawakan beg sekolah, barang-barang dan handbag saya naik ke bilik guru.  Jujur saya mengaku, saya ni memang malas bawa barang, hatta handbag sendiri. Biasanya kalau keluar dari kelas, pelajar -pelajar sayalah yang akan membantu saya membawakan buku-buku saya dan handbag saya ke bilik guru, sejak dulu hingga kini...hehhehe.  Aiman Syafiq,  Zulfikar Mazlan, dan Suriyah (2015), Murali dan Azwadie (2014) juga selalu jadi tukang bawa buku-buku dan handbag saya. Berbalik kepada Vinodh,  dia  akan sentiasa membantu saya setiap hari.  Jika kelibatnya tiada di situ, itu bermakna dia tidak hadir ke sekolah, dan saya berasa 'sesuatu' akibat ketidakberadaannya di situ.  

      Sikapnya, santunnya dan kesetiaannya terhadap saya mengingatkan saya kepada seorang lagi bekas pelajar saya, iaitu mendiang Ashween, bekas pelajar 5 Sains 1  tahun 2006-2007.  Mendiang juga seorang yang sangat setia terhadap saya, setia menunggu saya di hadapan pintu kereta saya setiap hari tanpa jemu, semata-mata   untuk membantu saya membawakan barang-barang saya.  Saya berasa sangat bertuah kerana memiliki pelajar seperti Vinod dan Ashween.  

       Saya pernah bertanya kepada mereka berdua, Vinodh dan Ashween, tidakkah mereka berasa malu kerana selalu membantu saya setiap hari dengan membawa barang-barang saya, sedangkan pelajar lain tidak pernah berbuat begitu.  Mereka menjelaskan kepada saya bahawa mereka melakukannya dengan ikhlas dan tidak pernah berasa malu, malah mereka berasa bangga dan seronok kerana dapat membantu saya.  Terima kasih Vinod, terima kasih Ashween.

        Satu hal yang membuatkan saya berasa sangat terharu apabila pada suatu pagi semasa menunggu perhimpunan pagi, Cik Prema Dewi memberitahu saya bahawa  Vinodh pernah memberitahu beliau apabila beliau bertanya kepada Vinodh, kenapa dia kelihatan sangat sayang kepada saya. Rupa-rupanya Cik Prema sendiri perasan apabila dia selalu melihat Vinodh membawakan beg dan barang-barang saya ke bilik guru setiap pagi. Jawab Vinodh, saya ialah ibunya yang kedua. Wah, sukanya saya kerana Vinodh menganggap saya ibunya.  Itu bukti dia sangat menyayangi saya.  Vinod, cikgu juga sangat menyayanyi awak. Percayalah.  Saya belum pernah bertanya sendiri kepada Vinod, kenapa dia sangat menyayangi saya. Teruja juga saya untuk mengetahui jawapan jujur daripadanya, tetapi hingga kini, belum terlontar soalan itu daripada mulut saya.

        Baiklah, berbalik semula kepada cerita saya berkenaan tiga sekawan tadi, Vinodh, Faiz dan John.  Tahun lepas, seminggu selepas tarikh hari lahir saya, mereka datang ke sekolah untuk berjumpa saya.  Saya mengajak mereka minum di kantin.  Nak belanja makan, mereka menolak, jadi saya paksa juga mereka oder milo ais sambil bersembang-sembang dengan mereka. Selepas beberapa minit bersembang, mereka mengeluarkan satu beg kertas dan menghulurkannya kepada saya.  Kata mereka, "Kami bawa sesuatu yang kecil sebagai hadiah daripada kami untuk cikgu sempena hari lahir cikgu yang ke-45.  Semoga cikgu sudi menerimanya.  Happy belated birthday cikgu Zue."  Saya terkejut, namun teruja. Saya bertanya, "Apa ni? Buat susah-susah je"  Mereka jawab, "Cikgu bukaklah dan tengok sendiri".  Saya mengeluarkan sebuah kotak dari beg kertas itu. Sebuah kotak jam.  Apabila saya membukanya, kelihatan seutas jam tangan berwarna emas.  "Ya Allah, cantiknya, terima kasih sangat-sangat, Vinodh, John dan Faiz.  Cikgu sangat suka dan sangat menghargainya." Saya benar-benar terharu, namun seronok. Saya tiba-tiba mengeluh.  "Jam ni mesti mahalkan?  Cikgu tak minta semua ni dan cikgu rasa bersalah pulak sebab awak terpaksa gunakan duit yang awak kumpulkan untuk beli hadiah ni untuk cikgu," saya sedikit beremosi.  "Tak apa cikgu, jam ni taklah mahal sangat pun, kami ikhlas cikgu.  Hadiah ini khusus untuk cikgu, hadiah dari hati kami sebab kami sayang cikgu." Mereka bertiga hanya tersenyum ramah.  Oh, terharunya.  "Terima kasih sekali lagi, Vinodh, John dan Faiz.  Semoga Allah membalas kebaikan awak bertiga dan memberi kejayaan kepada awak bertiga.

               Setelah bersembang kurang lebih setengah jam, mereka mohon untuk mengundur diri.  Ada hal, kata mereka, dan kami berpisah di situ.  Jam, hadiah dari hati mereka untuk saya itu, saya pakai setiap hari ke sekolah hingga kini, dan mereka sentiasa ada  di hati saya setiap hari.

P/S :  Ini jawapan Vinodh kepada saya apabila dia 'pm' saya tengah hari tadi.

First sbb masa saya form 5, semua cikgu mcm biasa.. Then lepas masuk form 6, cikgu Zue yg encourage saya.. Selalu beri tunjuk ajar yg baik
Bagi jawatan ketua biro fotografi
Sentiasa tolong kami.. Then saya sendiri dah accept cikgu sebagai ibu kedua bagi saya



        

          


No comments:

Post a Comment