TUAI PADI ANTARA MASAK, ESOK JANGAN LAYU-LAYUAN, INTAI KAMI ANTARA NAMPAK, ESOK JANGAN RINDU-RINDUAN...

Thursday, May 10, 2012

Menjaga Persahabatan...


        
      “Sebagai manusia biasa, saya juga mempunyai perasaan seperti orang lain.  Saya tetap berasa sedih dan tersinggung apabila sering dikutuk oleh rakan-rakan kerana kekurangan diri saya.  Apabila saya sekadar berdiam diri dan mungkin air muka saya berubah, maka mereka yang mengutuk segera memberi alasan...ehh….gurau jelah, takkanlah macam tu pun nak kecik hati? “

         Saya bungkam seketika setelah  mendengar rintihan sahabat saya  ini.  Saya memandangnya dengan sebuah senyuman, sekadar untuk melegakan perasaannya.  Kemudian terpacul sebaris ayat dari bibir saya, “sabarlah n*******i”.  

         “Memanglah saya bersabar kak, sebab tu saya diam sahaja.  Kalau saya tak sabar, dah lama saya balas balik dengan kata-kata.”

         Saya terdiam lagi mendengar jawapannya.  Memang betul katanya.  Ingin saya katakan kepadanya bahawa saya juga pernah mengalami situasi yang sama.   Saya dapat menyelami hati dan perasaanya, sedih dan berasa malu!

       Begitukah yang dikatakan persahabatan?  Mengejek dan mengutuk sesuka hati, kemudian memberi alasan sekadar bergurau?   Sama juga keadaannya apabila seorang rakan sesuka hati memberi tanggapan yang negatif terhadap rakannya dalam khalayak, seperti “awak ni sombong”  hanya kerana rakannya itu tidak mampu memenuhi permintaannya.  Bukahkah hukuman atau tanggapan itu tidak adil dan memberi aib kepada orang yang dimaksudkan itu hanya disebabkan perkara kecil?  

       Yang peliknya, apabila orang yang mengejek itu diejek atau dikutuk kembali, bukan main melenting lagi dia. Tahu pula dia berasa sakit hati.  Pengajarannya,  kalau kita tidak mahu disakiti, janganlah menyakiti orang lain terlebih dahulu.   Jadi, berbicaralah berlandaskan akal, bukan berlandaskan hati.  Wallahhua’llam…

No comments:

Post a Comment